Bab 14 : Aras 2

Adventure Completed 1375

-------------------

BAB 14 - ARAS 2

“Mungkin ini ‘butang’ yang dimaksudkan kak Mila,” kata Ismail Razak sambil menunjuk pada dinding lubang pokok yang mengeluarkan cahaya yang berbentuk bulat.

Empat pasang mata memandang ke arah cahaya tersebut. Tali beg galas masing-masing dipegang dengan erat. Ketika itu, mereka sedang duduk dengan melipatkan kaki masing-masing memandangkan lubang masuk itu kecil dan rendah menyukarkan mereka untuk berdiri.

“Semua dah bersedia?” soal Ismail Razak sambil memandang sahabatnya yang mendiamkan diri sejak tadi.

Serentak mereka menganggukkan kepala. Muka berubah menjadi serius.

“Bismillah…,” dengan lafaz bismillah, Ismail Razak memegang cahaya tersebut.

“Klak!” terbeliak mata mereka apabila satu lubang muncul dari bawah kaki mereka.

“Argh!”

Menjerit mereka apabila tubuh mereka mula menggelongsor masuk ke dalam lubang yang muncul itu.

“Dum!”

Seminit kemudian, mereka mendarat di atas tanah yang rata. Masing-masing mula mengaduh kesakitan secara perlahan-lahan. Mereka membuka mata untuk melihat sekeliling mereka.

“Ha..?” pantas tangan Nik Akhil dan Ismail Razak menekup mulut isteri masing-masing.

Wajah Siti Syazanah dan Shasya Edrina sangat pucat ketika itu.

‘Makhluk’ yang berada di hadapan mereka amat menggerunkan mereka. Walaupun ‘makhluk’ itu sedang tidur, mereka tetap berasa takut.

Walaupun ‘makhluk’ itu pernah menjadi kawan mereka, mereka tetap perlu berhati-hati.

“Jangan bersuara,” kedengaran suara Ismail Razak berbisik.

Mereka kini berada di dalam lubang masuk rumah pokok. Yang peliknya, mereka berada di hujung belah kiri lubang sedangkan mereka masuk melalui lubang belah kanan. Namun, persoalan itu hanya dibiarkan memandangkan tiada sesiapa yang dapat menjawab soalan misteri itu.

Mereka yakin bahawa mereka sudah tiba di aras kedua disebabkan ‘makhluk’ yang menyerupai serigala berkepala tiga itu. Mereka pernah bertemu dengan makhluk itu pada 5 tahun yang lepas.

Makhluk itu sedang tidur di dalam lubang yang sama tetapi bertentangan dengan mereka, iaitu di hujung lubang belah kanan.

“Macam mana kita nak dapatkan penawar kalau ‘mereka’ tutup laluan tu?” gusar Nik Akhil.

“Biar Ed jadi ‘umpan’ mereka,” terkejut mereka mendengar cadangan gadis itu.

“Tak boleh. Raz tak bagi!” tegas Ismail Razak.

Suara masih dapat dikawal agar tidak mengejutkan ‘makhluk’ di hadapan mereka.

Shasya Edrina memegang tangan suaminya dengan erat. Mata menatap ke dalam anak mata jejaka itu.

Ismail Razak mengeluh. Pandangan dilarikan ke arah pasangan yang sedang tekun memandang dirinya dan isterinya.

“Akil, Syaza, kami berdua akan mengalihkan perhatian mereka. Korang berdua ambil kesempatan untuk ke aras tiga dan dapatkan penawar tu. Pastikan misi kita berjaya,” ujar Ismail Razak.

“Tak apa ke, Raz, Ed?” risau Siti Syazanah.

Bukan mudah untuk men’jinak’kan ‘makhluk’ itu. Bimbang mereka pula yang terkorban jika ‘makhluk’ itu turut hilang kawalan.

Ismail Razak dan Shasya Edrina mengukir senyuman.

“Jangan risau, Syaza. Yakin dengan kami sepertimana kami yakin dengan Syaza dan Akhil, dan sepertimana Ima dan Izan percayakan kita berempat,” kata Shasya Edrina.

“Begitu juga dengan kak Mila dan abang Shahril yang percayakan kita berenam untuk menyelamatkan alam aneh ini,” sambung Ismail Razak.

Mereka tidak dapat membantah. Pasangan di hadapan mereka sudah nekad untuk membuka laluan kepada mereka.

“Kami pergi dulu. Hati-hati Syaza, Akil,” sempat Ismail Razak berpesan.

“Korang pun hati-hati juga,” balas Nik Akhil.

Pantas Ismail Razak dan Shasya Edrina keluar dari lubang tersebut.

Nik Akhil dan Siti Syazanah duduk di penjuru lubang belah kiri di mana tempatnya lebih malap agar kehadiran mereka tidak disedari oleh ‘makhluk’ serigala itu.

“Kenapa Raz tidak sertai Syaza dan Akil sekali?” soal Shasya Edrina.

Matanya memandang wajah suaminya yang turut menatapnya.

“Abang tidak sanggup berpisah dengan isteri abang. Maklumlah, usia rumahtangga kita baru 3 hari. Abang tak puas lagi nak bersama dengan Ed,” naik bulu roma apabila mendengar suara romantik itu.

Pantas Shasya Edrina mengalihkan pandangan pada lubang pokok. Mukanya sudah panas menahan malu. Tersenyum Ismail Razak melihatnya.

“Dah. Jom kita ‘kejutkan’ Comel-Comel awak tu. Lama pula Syaza dan Akil tunggu kita,” ajak Ismail Razak, mendekatkan dirinya dengan isterinya.

Dengan kiraan 1 hingga 3 secara perlahan-lahan, mereka berdua serentak memanggil nama ‘penjaga’ yang sedang lena di dalam lubang pokok.

“Comellll !!”

Terbangun ketiga-tiga ‘penjaga’ itu. Lantas mereka mencari suara yang memanggil mereka.

“Ed, mereka dah bangun tu. Bersiap untuk lari,” tangan isterinya dipegang erat.

Shasya Edrina membalas dengan anggukan.

Nik Akhil dan Siti Syazanah mula cemas apabila salah satu daripada kepala serigala itu memandang mereka berdua. Comel 1 sedang bertentangan mata dengan mereka. Siti Syazanah yang berada di dalam dakapan suaminya memejamkan matanya dengan erat.

Dengan degupan jantung yang kencang, dia berdoa di dalam hati agar makhluk di hadapannya tidak menyedari kehadiran dia dan suaminya.

Syukur mereka apabila ‘penjaga’ yang berkepala tiga itu keluar dari lubang pokok. Nik Akhil mendekati pintu lubang pokok untuk melihat keadaan ketika itu.

Kelihatan, ‘penjaga’ itu sedang mendekati Ismail Razak dan Shasya Edrina. Tangan isterinya ditarik kemas dan berlari ke penjuru lubang belah kanan. Kemudian, tangannya pantas menyentuh cahaya yang muncul.

“Klak!”

Mereka berdua berjaya membuka laluan yang muncul di bawah mereka dan menggelongsor menuju ke aras ketiga.

“Co… comel? Masih ingat kami tak? Saya Ed dan ini Raz. Kita pernah bertemu 5 tahun yang lepas. Kami juga yang merawat kecederaan Comel dan membantu aras ini mendapatkan semula sumber air mereka. Malah, korang juga pernah membantu saya, Syaza dan Ima ketika kami hamper lemas di sungai. Kalian masih ingat pada kami tak?” lembut suara Shasya Edrina menceritakan kisah silam mereka.

“Aunggg !!!”

“Aunggg !!!”

“Aunggg !!!”

Terkejut mereka apabila serigala berkepala tiga itu meraung secara tiba-tiba.

Malah, makhluk itu memandang mereka seperti hendak makan.

“Ed, kita kena lari,”

Seusai berkata begitu, pantas Ismail Razak menarik tangan gadis itu dan melarikan diri dari situ. ‘Penjaga’ tersebut terus mengejar manusia yang sedang lari menjauhi mereka.

Namun, fakta telah membuktikan bahawa serigala lebih pantas daripada manusia. Makhluk itu melompat di atas mereka dan mendarat tepat di hadapan mereka. Terhenti larian mereka.

“Apa yang harus kita lakukan sekarang, Raz?” takut Shasya Edrina.

Badannya yang gigil berdiri di belakang Ismail Razak. Tangannya kuat mencengkam lengan belakang baju jejaka itu.

Ismail Razak mula resah. Apabila ternampak sebatang dahan yang berada di kakinya, dia mencapai dahan itu dan melibas di hadapan makhluk itu.

“Jangan harap kalian dapat mencederakan kami !” lantang suara Ismail Razak berniat untuk menakutkan makhluk itu.

Namun, reaksi yang dipamerkan oleh serigala berkepala tiga amat mengejutkan mereka berdua. Apa sudah berlaku pada alam ini sebenarnya? Runsing Ismail Razak dan Shasya Edrina.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience