BAB 8 - KEMEJA
Nur Halimah berlari dengan kadar yang perlahan di kawasan taman. Kemudian, dia berjalan-jalan di sekitar taman sambil menghirup udara segar. Langkahnya terhenti apabila ternampak benda yang berwarna hitam berada di atas sebuah bangku. Matanya sudah bulat manakala mukanya mulai pucat.
“Ap..pa tu?” dia bertanyakan pada dirinya.
Apabila benda hitam itu mula bergerak, Nur Halimah terus berundur secara perlahan-lahan.
Tanpa membuang masa, dia terus memusingkan badannya dengan pantas sambil matanya yang dipejam. Dia tidak menyedari bahawa seseorang sedang berdiri berdekatan dengannya menyebabkan tubuh tersebut dilanggar.
“Dush!”
“Aduh!” kesakitan mereka.
Nur Halimah yang terasa menghempap sesuatu yang lembut terus membuka matanya. Terkejut dia apabila mendapati dirinya sedang menghempap tubuh Tengku Ehsan lantas terus bangun.
“Ma..macam mana awak boleh berada di sini?” teragak-agak Nur Halimah.
“Mana maaf awak?” mendatar suara Tengku Ehsan sambil bangun dari pembaringan.
Dia mengibas kotoran pada pakaiannya.
“Ma..maafkan saya. Tapi, salah awak juga sebab berdiri di belakang saya tiba-tiba,” balas Nur halimah.
“Awak yang takut sangat dengan kucing hitam tu kenapa? Dia bukan makan awak pun,” ejek Tengku Ehsan.
“Laa..kucing ke? Ingatkan apa tadi,” lega Nur Halimah.
Geli hati gadis itu kerana bersangka buruk dengan ‘benda’ hitam yang menakutkannya sebentar tadi. Melihat ketawa kecil gadis itu, Tengku Ehsan turut ketawa.
“Lain kali jangan buat andaian sendiri. Tapi, saya rasa macam perkara ni seperti pernah berlaku je sebelum ni,” fikir Tengku Ehsan.
“Awak pun fikir macam tu juga ke? Samalah macam saya. Saya pun rasa macam benda ni pernah berlaku,” bulat mata Nur Halimah.
“Hahaha. Comellah awak ni. Awak tak nak tahu ke kenapa saya boleh ada di sini?” duga Tengku Ehsan.
“Itukan soalan yang saya tanya awak tadi. Jadi, apa yang CEO terkenal buat di taman ini?” balas Nur Halimah.
“Saya datang ke rumah bakal mertua saya,”
Jawapan Tengku Ehsan menaikkan bulu roma Nur Halimah. Jantungnya pula terasa lain degupannya.
“A..awak nak kahwin dah? Tah..niah,” gagap Nur Halimah.
Dia membelakangkan Tengku Ehsan. Pandangan ditundukkan memandang lantai. Dia pun pelik dengan perasaan cemburu dan sedih yang menyelubungi dirinya ketika itu.
“Awak tak nak tahu ke siapa bakal isteri saya?” soal Tengku Ehsan.
“Saya bukannya wartawan. Saya hanyalah seorang penyelidik dan pensyarah di sebuah universiti sahaja,” jawab Nur Halimah dengan lemah.
“Tetapi, bagaimana ye seorang penyelidik dan pensyarah itu berjaya mencuri hati seorang CEO terkenal?” terkejut gadis itu apabila mendengar kata-kata Tengku Ehsan.
Dia memalingkan tubuhnya memandang jejaka tersebut. Mereka saling bertatapan.
“Gadis itu buat apa yer sampai tidur malam CEO itu diganggu? Sepanjang malam dia teringatkan gadis itu. Akhirnya, dia buat keputusan untuk menikahi gadis tersebut. Tetapi, gadis itu seperti tidak berminat pula dengan CEO terkemuka tu,”
Tengku Ehsan membuat muka yang sedih. Nur Halimah masih dalam keadaan terkejut.
“Siapa nama bakal isteri awak?” soal Nur Halimah.
“Nur Halimah binti Hamidin,” senyum Tengku Ehsan.
Air mata mula bergenang. Dia tidak silap dengar, kan? Jejaka itu ingin menjadikan dia sebagai seorang isteri?
“Ta.. tapi, saya hanya orang biasa,” balas Nur Halimah.
“Kita hanyalah manusia biasa, Ima. Pangkat dan darjat tidak membezakan kita di sisi Allah. Awak sudi tak terima saya sebagai seorang suami, Ima?” lembut luahan Tengku Ehsan.
“Ta..tapi..,” teragak-agak Nur halimah.
“Saya tahu apa yang awak fikirkan sekarang. Mula-mula saya ragu juga. Selepas membuat solat istikharah, saya yakin dengan jawapan yang saya dapat. Oleh itu, saya terus merisik awak kerana saya enggan orang lain mendahului saya,”
Air mata gadis itu mengalir. Dia juga terasa sesuatu apabila bersama-sama dengan jejaka di hadapannya. Cuma, dia menyembunyikan perasaan itu melalui kata-kata dan layanan yang kasar. Namun, Allah Maha Mengetahui. Tiada apa yang dapat disembunyikan termasuklah isi hatinya.
“Jadi, awak terima saya ke, Nur Halimah binti Hamidin?” soalnya lagi.
Secara perlahan-lahan, Nur Halimah menganggukkan kepalanya.
“Alhamdulillah!” teruja Tengku Ehsan.
**********
Sudah 3 hari Tengku Ehsan dan Nur Halimah tinggal serumah sebagai suami isteri yang sah.
“Sayang!” panggil Tengku Ehsan dari kamar tidurnya.
“Ye, abang. Kejap!” pantas Nur Halimah menanggalkan apronnya menuju ke suaminya.
“Kenapa, abang?” pelik Nur Halimah.
Raut wajah suaminya seperti terkejut sambil memegang sehelai kemeja.
“Ini kemeja siapa, sayang?” soal Tengku Ehsan.
“Ini bukan sayang punya, kan? Macam mana kemeja lelaki boleh ada di dalam almari sayang?” sambungnya.
“Sebenarnya, sayang pun tak tahu siapa punya kemeja tu, abang,” terkejut Tengku Ehsan dengan jawapan isterinya.
“Maksud sayang?” soalnya.
Nur Halimah menarik tangan suaminya dan mendudukkan suaminya di atas katil. Kemudian, dia pula duduk bersebelahan dengan jejaka itu.
“Ia berlaku 5 tahun yang lalu. Bila sayang terjaga dari tidur, sayang terus menangis tanpa henti. Puas Hazim dan Hazimah pujuk sayang. Sayang tetap terus menangis. Cuma, yang peliknya…,” cerita Nur Halimah.
Hazim dan Hazimah merupakan sepupu Nur Halimah.
“Apa yang pelik, sayang?”
“Bila sayang peluk dan bau dari kemeja ni, sayang berhenti menangis,” sambungnya sambil menunding jarinya pada kemeja yang berada di pegangan suaminya.
Terbeliak mata Tengku Ehsan.
“Dari mana datangnya kemeja ni, sayang?”
Nur Halimah membalas dengan gelengan kepala.
“Sayang pun tak tahu, abang,” jujur Nur Halimah.
Tengku Ehsan membuka lipatan kolar. Terdapat tulisan pada kolar tersebut. Dia menunjukkan tulisan itu pada isterinya. Terbeliak mata Nur Halimah.
“Macam mana boleh ada nama kita, bang? Abang conteng ke baju ni?”
“Untuk pengetahuan sayang, 5 tahun lepas, abang kehilangan kemeja kesayangan abang yang berwarna biru lembut. Abang sayang sangat kat kemeja tu sampai tulis nama abang pada lipatan kolar. Macam ni,” ujar Tengku Ehsan.
“Kalau betul ini kemeja abang, macam mana boleh ada pada sayang?” keliru Nur Halimah.
“Itu yang abang bingung sekarang ni. Kalau abang yang bagi, mesti abang akan berikan pada orang yang istimewa sahaja. Tapi, kita pernah ke berjumpa sebelum ni? Itu yang abang sedang fikirkan sekarang,” serius kata-kata Tengku Ehsan.
Sedang mereka berdua berfikir, loceng rumah mereka berbunyi.
“Biar abang yang buka,” lalu Tengku Ehsan berjalan ke pintu utama.
Nur Halimah menyarung tudungnya sebelum mengekori langkah Tengku Ehsan.
“Terima kasih,” ucap Tengku Ehsan.
Pintu ditutup lalu dia duduk di atas sofa di ruang tamu. Nur Halimah duduk bersebelahan dengan suaminya.
“Surat apa ni, abang?” soal isterinya.
Tengku Ehsan membuka surat yang tertulis namanya serta nama isterinya.
“Surat jemputan? Siapa kahwin?” pelik Nur Halimah.
“Ismail Razak dan Shasya Edrina? Macam pernah dengar je nama mereka?” fikir Tengku Ehsan.
“Raz dan Ed?!” serentak mereka.
“Jap. Kita kenal mereka ke abang? Macam mana kita kenal mereka, abang?” pening Nur Halimah.
“Abang pun pening juga, sayang. Cuba sayang baca surat khabar ni. Apa yang sayang fikirkan?” helaian akhbar diangkat menghadap wajah isterinya.
Sepasang suami isteri tersenyum bahagia di dada akhbar.
“Akil dan Syaza. Eh? Macam mana sayang kenal mereka?” terkejut Nur Halimah dengan perkataan yang terkeluar dari mulutnya.
“Sayang sama dengan abang. Abang pun terkejut sebab mengenali mereka,” akhbar dilipat dan diletakkan di atas meja.
“Syaza, Akil, Raz, Ed, Izan dan Ima. Enam pelajar yang berumur 19 tahun didapati hilang secara tiba-tiba. Bukti yang dapat dijumpai hanyalah telefon bimbit yang berada di lokasi terakhir mereka namun bukan milik mangsa,” perlahan suara Nur Halimah.
Tiba-tiba mata Tengku Ehsan dan Nur Halimah menjadi bulat.
“Alam aneh!” serentak mereka.
Share this novel