Bab 5 : Jatuh Cinta

Adventure Completed 1375

BAB 5 - JATUH CINTA

Selepas Ismail Razak selesai dirawat, Shasya Edrina duduk di atas kerusi bersebelahan dengan katil pesakit. Dia merenung wajah jejaka itu sebelum dia tersenyum.

“Raz, terima kasih,” tanpa disedari, dia menyebut perkataan itu.

“Assalamualaikum,” tersentak Shasya Edrina.

Dia berdiri dan menoleh memandang pintu masuk wad.

“Waalaikummusalam. Siapa ye?” balas Shasya Edrina.

“Saya Ismail Razali, abang pesakit ni,” ujar jejaka yang berlesung pipit itu.

“Dan saya Isma Rayza, adik kepada abang Raz,” manis senyuman gadis itu.

“Oh. Saya pula Shasya Edrina,” balas Shasya Edrina.

“Saya tahu. Kakak Sya yang jadi model terkenal di majalah ‘Girls’ Things’ kan? Saya suka tengok kakak peragakan pakaian dan tudung. Cantik sangat. Tak sangka saya dapat berjumpa dengan kakak Sya!” teruja Isma Rayza sambil memeluk Shasya Edrina.

“Aiza, ‘behave yourself’!” tegas Ismail Razali.

Dia mendekati adik lelakinya yang terbaring di atas katil.

“Boleh saya tahu keadaan adik saya dan apa hubungan cik dengan adik saya?” serius Ismail Razali apabila melihat tangan adik lelakinya berbalut.

“Semua salah saya. Saya minta bantuan dia kerana saya sering menerima surat dan panggilan yang berunsur gangguan seksual dari salah seorang peminat saya. Tanpa disangka, rupa-rupa peminat itu mengekori saya dan melihat saya bersama-sama dengan Raz. Jadi, selepas saya pergi, dia bertindak untuk menikam Raz. Kalau saya tidak berjumpa dengan Raz, pasti perkara ini tidak berlaku,” teresak-esak Shasya Edrina menangis.

Dia berasa bersalah sangat ke atas perkara yang menimpa jejaka pujaannya. Isma Rayza memeluk tubuh gadis itu dan memujuknya dengan lembut.

“Kak Sya sayangkan abang Raz ke?” soal Isma Rayza dengan lembut.

“Kakak tak pasti perasaan kakak sekarang ni. Tapi, yang pasti, kakak sangat sedih bila melihat dia terlantar di sini,” balas Shasya Edrina.

“Kalau kakak tengok dia senyum, kakak rasa apa?” tanya Isma Rayza lagi.

“Kakak rasa gembira sebab dia senyum pada kakak. Kakak rasa bahagia sangat,” jawab Shasya Edrina tanpa disedari.

Tersenyum Isma Rayza dan Ismail Razali. Model terkenal sudah jatuh cinta pada pendakwa raya gamaknya.

“Jangan risau, cik. InsyaAllah Raz tidak ada apa-apa. Biar saya jaga Raz. Aiza, ajak cik ni jalan-jalan,” arah Ismail Razali.

“Tapi,”

“Tak apa, kak. Abang Zal nak suruh kakak tenangkan fikiran dulu. Jom kita jalan-jalan di taman ye?” ajak Isma Rayza.

Akhirnya, Shasya Edrina akur. Selepas hilang kelibat dua orang gadis itu, Ismail Razali mula bersuara.

“Kau dah boleh buka mata, Raz,”

Lalu Ismail Razak membuka matanya. Muka dipalingkan untuk menyembunyikan mukanya yang merah.

“Tak lama lagi, abang Zal dapat adik ipar manakala Aiza dapat kakak ipar. Model terkenal pula tu,” usik Ismail Razali.

“Janganlah usik Raz, abang!” geram Ismail Razak kerana malu.

Semua perbualan tadi, dia dapat mendengarnya dengan jelas.

“Malu pula dia. Jangan risau, dik. Abang dah beritahu umi dan abi. Seronok mereka sebab bakal dapat menantu,” senyum sinis Ismail Razali.

“Abang Zal!” geram Ismail Razak kerana abangnya suka bertindak melulu.

Tidak berbincang langsung dengan empunya badan dulu.

“Betullah tindakan abang ni. Bukannya kau tidak suka model itu, kan?”

“Dia ada nama, abang Zal,” tegur Ismail Razak kerana tidak menyukai dengan panggilan yang diberikan oleh abangnya.

“Kalau abang sebut nanti, Raz cemburu pula,” usik Ismail Razali.

Suka dia melihat wajah adik lelakinya yang merah menahan malu.

**********

Selepas waktu melawat tamat, Shasya Edrina pulang ke rumahnya dengan menaiki kereta Ismail Razali.

“Terima kasih abang Zal dan Aiza kerana menghantar saya ke rumah,” ucap Shasya Edrina.

“Sama-sama,” serentak Ismail Razali dan Isma Ayza.

“Semoga kita berjumpa lagi, kak,” ceria suara Isma Ayza.

“InsyaAllah,” balas Shasya Edrina beserta senyuman di bibir.

Selepas hilang kelibat kereta, Shasya Edrina melangkah ke pintu rumah. Dia mula berasa debar kerana sudah lama dia tidak pulang ke situ. Dengan lafaz bismillah, dia menekan loceng rumah. Tidak sampai 10 saat, pintu dibuka dari dalam.

“Anak mama!” tubuh Shasya Edrina dipeluk dengan erat.

“Mama..,” menitis air matanya.

Dia amat merindui pelukan hangat itu.

“Maafkan Ed, mama. Maafkan Ed,” teresak-esak Shasya Edrina.

“Kami pun nak minta maaf juga Ed kerana enggan mendengar penjelasan Ed. Kami ingatkan Ed menjadi model dengan mendedahkan aurat. Salah kami kerana berfikiran begitu,” kata seorang lelaki tua yang berdiri bersebelahan dengan ibu Shasya Edrina.

“Papa!” pelukan beralih pada ayahnya pula.

“Papa dan mama tak salah. Lepas ni, papa dan mama tidak perlu risau lagi. Ed dah berhenti menjadi model,” senyum Shasya Edrina walaupun air matanya masih mengalir.

“Berhenti?” terkejut Datin Norliza.

“Kita sambung berbual di dalam ye. Mari masuk dalam,” kata Dato’ Hamzah sambil mengangkat bagasi milik anak gadisnya.

Selepas menceritakan kisah hidupnya pada ibu bapanya, barulah ibu bapanya memahami dengan tindakan anak tunggalnya.

“Hari dah lewat ni. Ed tidur dulu ye. Esok pagi, kita sambung berbual-bual,” kata Datin Norliza sambil mengusap lembut kepala anaknya.

“Baiklah, mama. Ed masuk tidur dulu ye. Selamat malam, mama, papa,” ciuman diberikan pada pipi ibu bapanya sebelum dia masuk ke dalam biliknya.

“Tak sangka anak kita berada di dalam bahaya, abang,” sedih Datin Norliza.

“Alhamdulillah Allah masih sayangkan anak kita. Syukur anak kita selamat, sayang,” pujuk Dato’ Hamzah.

“Esok kita berjumpa dengan pendakwa raya tu boleh, abang?” pinta Datin Norliza.

Dia berasa terhutang budi dengan pendakwa raya yang telah membantu anaknya memberkas peminat yang mengganggu ketenteraman hidup anaknya.

“Baiklah, sayang. Abang pun nak juga berjumpa dengan dia,” angguk Dato’ Hamzah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience