Bab 11 : Orang Pertama

Adventure Completed 1375

BAB 11 - ORANG PERTAMA PULIH INGATAN

Di ruang tamu, kelihatan sang suami sedang duduk di atas sofa manakala sang isteri sedang duduk di atas karpet lembut.

“Macam mana korang pulihkan ingatan Ed?” soal Ismail Razak.

“Kami sebut nama yang Ed berikan semasa di alam aneh tu je,” balas Siti Syazanah.

“Hahaha. Comel 1, Comel 2, Comel 3,” geli hati Tengku Ehsan apabila mengingati nama ‘penjaga’ yang menjadi ‘mangsa’ Shasya Edrina.

Monyok muka Shasya Edrina apabila diperli sebegitu.

“Tak baik abang ni. Janganlah cakap macam tu,” cubitan berbisa dilabuhkan pada lengan Tengku Ehsan.

“Aduh! Bisanya sayang,” adu Tengku Ehsan sambil mengusap tempat cubitan.

Ganas sungguh isterinya. Kalau selalu dicubit, pasti lebam seluruh badannya kelak.

“Baiklah. Kini, giliran ‘ketua’ kita,” bersuara Nik Akhil.

Semua mata memandang wajah Ismail Razak.

“Macam mana Raz boleh ingat alam aneh tu?” sambung Nik Akhil.

Tersenyum Ismail Razak apabila dirinya menjadi tumpuan.

“Sama seperti Syaza mendapat semula ingatannya,” jawab Ismail Razak sambil memandang Siti Syazanah.

“Melalui mimpi?”

Ismail Razak membalas pertanyaan Siti Syazanah dengan anggukan kepala.

“Shahril muncul dalam mimpi Raz. Tapi, mimpi tu sangat ngeri. Raz dapat melihat alam aneh sekarang sudah menjadi huru-hara. ‘Penjaga’ mula hilang kawalan. Mereka menyerang Mila dan Shahril. Seperti sesuatu sedang mengawal mereka. Setiap aras pula sudah tidak sekata. Aras pertama merupakan aras musim luruh, kan? Tetapi, dalam mimpi tu, Raz nampak ada salji,” terbeliak mata mereka.

“Sebab itu, Shahril minta bantuan kita berenam untuk membantu mereka di alam aneh. Dia suruh Raz kumpulkan kita berenam dan pulihkan ingatan kita semua sebelum masuk ke alam aneh tu,” sambung Ismail Razak.

“Macam mana Raz jumpa kami?” tanya Nur Halimah.

“Mudah saja. Akil cedera parah di sebuah pusat pembinaan. Sesiapa sahaja tahu tentang berita ini memandangkan Akil orang penting dalam pembinaan tu. Berita tu tersebar di dalam akhbar. Semasa Raz nak melawat Akil, tak sangka Raz akan berjumpa dengan Syaza. Jadi, Raz nak tengok dulu korang berdua dari jauh.

Tup tup. Raz dapat berita yang korang berdua bakal berkahwin. Lagi senang Raz nak dekati korang. Kemudian, Izan pula, CEO terkemuka di Malaysia. Sama macam Akil dan Syaza, Raz perhatikan dari jauh saja. Yang terkejutnya, Izan akan berkahwin dengan Ima. Makin senang kerja Raz untuk kumpulkan korang.

Jadi, tinggal giliran Ed. Senang nak cari Ed sebab Ed model terkenal. Bila Raz dapat tahu yang Ed nak Raz kendalikan kes Ed, Raz betul-betul ingat yang Ed sudah dapat ingatannya semula. Tetapi, jangkaan Raz meleset,” panjang cerita Ismail Razak.

“Patutlah muka abang sedih je semasa Ed tanya nama abang,” faham Shasya Edrina dengan perubahan wajah suaminya sewaktu mereka bertemu buat pertama kali.

Ismail Razak membalas dengan senyuman.

“Kemudian, Raz melamar Ed. Tak sangka, Ed turut menaruh hati dengan Raz. Jadi, Raz mengambil kesempatan dengan menghantar kad perkahwinan kami pada korang. Itulah ceritanya,” kata Ismail Razak.

Barulah mereka faham kisah sebenar di sebalik kad jemputan itu.

“Raz memang ketua kami. Sebab itu tugasannya agak berat,” kata Nur Halimah.

“Dan Syaza pula penolong yang berkaliber. Sebab itu Mila muncul dalam mimpinya,” sambung Shasya Edrina.

“Jadi, macam mana kita nak masuk ke alam aneh ni?” soal Tengku Ehsan.

Masing-masing mula mendiamkan diri mereka.

“Korang, masih ingat pesanan Mila tak?” bersuara Siti Syazanah.

Mereka memandang wajah gadis itu. Tangannya sudah memegang tangan suaminya dengan erat.

“Dua kepala lebih baik daripada satu kepala,” serentak Siti Syazanah dan Nik Akhil.

Ismail Razak memegang tangan isterinya.

“Tiga kepala lebih baik daripada satu dan dua kepala,” serentak Shasya Edrina dan Ismail Razak.

“Tetapi,”

Nur Halimah memegang tangan suaminya dengan erat.

“Enam kepala lebih baik daripada satu, dua, tiga, empat dan lima kepala,” sebulat suara mereka berenam.

Tidak lama kemudian, tubuh mereka bercahaya. Terbeliak mata masing-masing.

“Jangan lepaskan tangan!” pesan Ismail Razak yang masih erat memegang tangan isterinya.

Nik Akhil dan Tengku Ehsan turut memegang erat tangan isteri masing-masing.

“Argh!”

Tubuh mereka berenam mula pudar dan kemudian, hilang sepenuhnya. Beberapa beg galas mereka turut hilang. Rumah tersebut menjadi sunyi tanpa bunyi.

Ke manakah mereka berenam menghilang? Adakah mereka bakal ke alam aneh? Nantikan sambungannya ^^

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience