Bab 1 : Doktor dan Pesakit

Adventure Completed 1375

BAB 1 - DOKTOR DAN PESAKIT

Suasana hiruk-pikuk di bahagian kecemasan di sebuah hospital terkemuka. Kawasan pembinaan yang sedang dijalankan secara tiba-tiba runtuh. Ramai pekerja yang cedera dibawa ke bahagian itu. Seorang doktor yang dibuai mimpi tersedar apabila pager (alat komunikasi – radio panggil) miliknya berbunyi menandakan khidmatnya diperlukan dengan segera.

Pantas dia membetulkan tudungnya yang sudah tersarung pada kepalanya serta mengemaskan kot putihnya sebelum keluar ke jabatan kecemasan. Terkejut dia apabila melihat suasana yang riuh-rendah itu.

“Doktor Syaza, masuk ke bilik pembedahan 3 sekarang!” kedengaran suara Doktor Hidayah dari jauh apabila dia menjejakkan kakinya di situ.

“Baik!” laju langkah Siti Syazanah menuju ke bilik pembedahan 3.

Selesai membuat persiapan, dia masuk ke dalam bilik pembedahan 3.

“Situasi pesakit?” soal Siti Syazanah sambil melihat keadaan pesakit yang terbaring di atas katil tidak sedarkan diri.

“Pesakit disyaki mengalami kecedaraan pada kepala dan bahunya apabila runtuhan yang berlaku mengenai di kawasan tersebut. Memandangkan pesakit masih tidak sedarkan diri, kami jangkakan terdapat darah beku pada kepalanya,” kata salah seorang jururawat di situ.

Selepas mengenalpasti kecederaan pesakit, Siti Syazanah memulakan tugasannya. Hampir 3 jam dia berada di dalam bilik pembedahan 3 sehingga dia tidak menyedari matahari sudah terbit.

“Alhamdulillah, selesai juga,” lega Siti Syazanah sambil duduk bersandar pada sofa pejabatnya.

“Nah, air,” hulur rakan sekerjanya sekotak air.

“Terima kasih, Dayah,” huluran disambut beserta senyuman.

Doktor Hidayah duduk berhadapan dengan Siti Syazanah.

“Macam mana keadaan pesakit yang berada di bilik bedah 3 tadi, Syaza?” soal Hidayah sambil menyedut air menggunakan straw minuman.

“Dia hampir ‘pergi’ tadi. Tiba-tiba je jantungnya berhenti. Terkejut Syaza. Tapi, alhamdulillah hayatnya masih panjang dan jantung dia kembali berdegup. Sekarang dia dimasukkan ke wad VIP memandangkan dia orang penting katanya,” panjang cerita Siti Syazanah.

“Ooo..jadi, dia di bawah jagaan Syaza ke?” tanya Hidayah.

“Ha’ah. Lepas sarapan nanti Syaza kena periksa dia dan berjumpa dengan ahli keluarganya untuk menerangkan keadaan pesakit. Penatnya. Dahlah malam tadi tidur 2 jam je,” mengeluh Siti Syazanah namun dia sedar bahawa khidmatnya amat diperlukan.

“Itulah dinamakan kehidupan, Syaza. Wei Syaza. Bila kau nak kahwin ni? Umur dah 24 kan?” usik Hidayah.

“Kahwin? Entahlah, Dayah. Jodoh belum sampai lagi kut. Lainlah dengan kau. Dah jadi tunang orang. Cemburunya,” luah Siti Syazanah.

“InsyaAllah jodoh kau nanti sampailah. Doa yang baik-baik Syaza,” pujuk Hidayah.

“Terima kasih, Dayah. Jomlah kita sarapan di kantin. Nanti lewat pula nak periksa pesakit,” ajak Siti Syazanah.

**********

Bilik VIP bernombor 27 diketuk dengan lembut. Pintu dibuka dari dalam. Seorang lelaki yang agak berusia namun pemakaiannya amat kemas muncul di muka pintu.

“Doktor ke yang merawat anak saya?” bersuara lelaki itu.

“Ye saya. Mari kita berbincang di dalam sementara saya memeriksa anak tuan,” sopan Siti Syazanah.

Lelaki itu mempelawanya masuk. Kelihatan seorang wanita yang agak berusia serta seorang gadis sedang menangis berdekatan dengan pesakit. Mereka menoleh memandangnya apabila ayah pesakit bersuara.

“Sayang, Ila, bagi doktor periksa abang jap,”

Mereka akur dengan lelaki itu. Selepas memeriksa keadaan pesakit, Siti Syazanah menulis sesuatu pada dokumennya.

“Bagaimana keadaan anak saya, doktor?” sebak suara wanita itu.

“Alhamdulillah keadaan pesakit semakin baik. Kami berjaya membuang darah beku pada kepala pesakit. InsyaAllah, tidak lama lagi pesakit akan sedar. Sebelum tu, nama saya Doktor Syaza yang akan memantau perkembangan pesakit,” manis senyuman Siti Syazanah.

“Alhamdulillah,” lega mereka.

“Terima kasih, doktor,” ucap mereka.

“Sama-sama. Boleh saya dapatkan maklumat tuan supaya senang untuk saya hubungi jika sesuatu berlaku pada pesakit?” tanya Siti Syazanah.

“Boleh, doktor. Ini kad saya,” kad yang dihulurkan disambut lembut oleh Siti Syazanah.

“Dato’ Nik Muhammad Hassan?! Maafkan saya Dato’ sebab menggelar diri Dato’ sebagai tuan tadi,” sesal Siti Syazanah.

Dia berasa bersalah kerana sebelum ini dia pernah dimarahi oleh pelawat pesakit kerana menggelarnya sebagai tuan dan bukannya Dato’.

“Panggil saya encik pun tak apa, Doktor. Lagipun, itu hanyalah pangkat sahaja. Bukan boleh dibawa ke kubur pun nanti,” balas lelaki itu.

“Bagusnya kalau semua orang berfikir macam Dato’,” terlepas kata-kata Siti Syazanah.

“Sesuatu berlaku pada doktor ke sebelum ini?” soal wanita itu sambil mendekati Siti Syazanah.

“Hah? Tak..tak ada apa-apalah, Datin. Saya minta diri dulu ye. Assalamualaikum,” pinta Siti Syazanah.

Selepas bersalaman dengan dengan wanita itu serta gadis ayu itu, Siti Syazanah keluar dari bilik tersebut.

“Abang, saya berkenanlah dengan doktor tu,” bersuara wanita tua itu.

“Betul tu, papa. Adik pun suka dengan dia. Cantik dan lembut orangnya,” sokong gadis ayu itu.

“Tahulah nanti papa buat apa,” senyum lelaki tua itu.

Dia turut menyenangi dengan sikap doktor itu.

**********

Jam menunjukkan pukul 2 pagi. Dia tergerak hati untuk menjenguk pesakitnya yang berada di bilik VIP bernombor 27. Selesai memeriksa pesakit, dia merenung lama wajah pesakit itu. Walaupun berbalut, tetapi masih terserlah kekacakan pada wajah pesakit itu. Secara tiba-tiba, jantungnya berdegup dengan kencang.

‘Kenapa dengan jantung pula ni?’ resah Siti Syazanah.

“Emm?” tersentak Siti Syazanah apabila mendengar bunyi tersebut.

Pantas matanya memandang wajah pesakit itu kembali. Malah, tangan pesakit itu mula memberi reaksi.

“Encik Nik Akhil Mokhtar, jika encik boleh mendengar suara saya, sila naikkan jari telunjuk encik,”

Pesakit itu menaikkan jari telunjuk kirinya.

“Alhamdulillah encik sudah sedar. Saya Doktor Syaza yang merawat encik. Sekarang encik berada di hospital,” terang Siti Syazanah.

Nik Akhil berasa tenang mendengar suara doktor itu. Malah, hatinya berbunga-bunga untuk melihat gadis lembut itu namun matanya masih berat untuk dibuka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience