• Chapter 06 •

Short Story Completed 62066

Bukan Sekadar Pengganti, bab yang memperlihatkan pergelutan emosi dalam diri Juanda apabila dia mula sedar kedudukannya dalam keluarga kecil itu semakin berubah bukan lagi sekadar pembantu rumah

Juanda melipat kain baju satu persatu, meletakkannya dalam susunan rapi ke dalam almari kecil di biliknya.

Malam itu terasa lebih sunyi dari biasa. Tiada bunyi televisyen dari ruang tamu, tiada suara Kayla Kalisya yang berlari-lari memanggil namanya.

Kayla Kalisya sudah lena di bilik utama, ditemani papanya sendiri.

Juanda menghela nafas panjang. Jari-jemarinya terhenti di atas sehelai baju tidur kecil milik Kayla Kalisya.

Baju itu penuh dengan cetakan kartun berwarna merah jambu yang Kayla Kalisya sayangi. Di hujung lengan, ada kesan jahitan halus kesan tangannya sendiri.

Dia senyum nipis.

Kenapa anak itu begitu lekat denganku?

Bukan dia tidak bersyukur, tapi semakin hari, hatinya makin takut. Kayla Kalisya terlalu bergantung padanya.

Dan Aidan Syafiq... lelaki itu juga mula menunjukkan sisi yang berbeza.lebih terbuka, lebih lembut, dan lebih… mendekat.

Ketukan perlahan di pintu mengejutkannya dari lamunan.

"Juanda?" Suara Aidan.

Cepat-cepat dia bangun, membuka pintu.

"Tuan. Ada apa-apa?" soalnya sopan.

Aidan Syafiq berdiri dengan tuala kecil di bahu. Rambutnya masih lembap, wajahnya tampak keletihan.

"Kayla panggil awak. Dia tak nak tidur kalau awak tak duduk dengan dia sekejap."

Juanda terdiam.

“Boleh?” soal Aidan, nada lembut tapi jelas penuh harap.

Dia hanya mengangguk perlahan.

Langkah diatur menuju ke bilik utama, dan seperti dijangka, Kayla sudah duduk bersandar sambil menggenggam patung beruang kecil.

"Mommy lambat..." rajuknya.

Juanda tersenyum dan naik ke atas katil, membelai kepala Kayla Kalisya hingga mata anak itu perlahan-lahan terpejam semula.

Aidan Syafiq berdiri di sisi pintu, memerhati tanpa suara.

Satu saat, dua saat.

"Juanda," panggilnya perlahan selepas beberapa minit.

"Ya, tuan?"

"Awak takut tak... bila orang nampak awak macam ganti tempat Khatijah?"

Juanda berpaling.

Wajahnya kosong seketika, sebelum dia senyum perlahan.

“Saya takut sangat.”

Aidan Syafiq mendekat, duduk di kerusi di hujung katil.

“Sebab saya bukan Puan Khatijah. Saya takkan pernah jadi dia.”

Aidan Syafiq angguk sedikit.

"Saya tak minta awak jadi dia."

Juanda tunduk.

“Saya cuma takut bila orang mula anggap saya pengganti. Saya bukan datang untuk isi ruang kosong. Saya datang sebab saya sayang Kayla, bukan sebab saya nak ambil tempat sesiapa…”

Aidan Syafiq diam lama.

Nafasnya teratur, tenang.

“Juanda, saya tak perlukan pengganti. Tapi saya perlukan seseorang yang ikhlas. Yang tak datang sebab masa silam saya… tapi sanggup hadir untuk masa depan kami.”

Mata Juanda berkaca.

Kata-kata itu menembusi benteng hatinya yang sudah lama dia bina.

Dan malam itu, tanpa kata yang panjang, mereka tahu satu perkara penting

Juanda bukan pengganti.

Tapi mungkin, dia adalah permulaan baru yang Tuhan hantarkan perlahan-lahan… tepat pada masanya.

Malam itu hujan turun renyai.

Bunyi titisannya menimpa atap rumah banglo sederhana dua tingkat itu, mencipta irama yang mengasyikkan.

Di dalam bilik Kayla Kalisya, lampu tidur berbentuk bulan separuh menyala samar. Bau minyak angin masih segar di udara.

Juanda duduk di sisi katil, memegang buku doa anak-anak yang sering dibacakan kepada Kayla Kalisya sebelum tidur.

Aidan Syafiq berdiri di tepi, menyandar pada dinding dengan tangan bersilang, memerhati dua insan yang semakin hari semakin mengisi ruang kosong dalam hidupnya.

“Dah boleh baca doa malam ni, cik Kayla?” soal Juanda sambil tersenyum lembut.

Kayla Kalisya angguk.

Dia melabuhkan tangan kecilnya di atas peha dan mula membaca perlahan-lahan.

"Bismillahirrahmanirrahim… Ya Allah, lindungilah Papa dan Mommy. Bagi Papa gembira. Bagi Mommy kekal sini. Jangan bagi Mommy pergi macam Mommy dulu…”

Suara Kayla Kalisya perlahan, tetapi setiap patah kata menikam jantung Aidan Syafiq. Dia berpaling seketika, menahan kelopak matanya dari terus menjadi saksi rasa.

“Doa siapa tu?” tanya Juanda perlahan, mengusap kepala Kayla.

“Doa Kayla. Kayla buat sendiri. Sebab Kayla tak nak sorang-sorang lagi. Kayla nak Papa senyum, Mommy masak, Kayla main-main lagi…”

Juanda terkedu. Nafasnya tersekat.

Aidan Syafiq pula sudah pun duduk di sisi katil. Tangannya mencapai tangan Kayla Kalisya yang kecil.

“Sayang, Mommy dulu tu... Tapi Mommy yang ni…” Aidan memandang Juanda yang tersentak sedikit.

“Dia ada di sini sebab dia sayang kamu Kayla. Dan Papa… Papa pun sayang sangat dekat Mommy Kayla.”

Kayla tersenyum kecil.

“Jadi... Mommy ni boleh kekal, kan?” Soalan itu terlalu jujur.

Dan Juanda hanya mampu tunduk, sebak mula menghurungi hati.

Aidan Syafiq menggenggam tangan Juanda perlahan-lahan di bawah selimut Kayla Kalisya, tersembunyi dari pandangan anak kecil itu.

Tiada janji diucapkan. Tapi genggaman itu cukup.

Malam itu, doa seorang anak kecil menyatukan dua jiwa yang selama ini berkira-kira untuk melangkah.

Dan untuk pertama kali sejak Khalijah pergi Aidan Syafiq rasa tenang.

Kerana mungkin, Tuhan sudah makbulkan doa yang dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu lafazkan selama ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience