"MASA kat sana nanti,jangan sentuh dan usik apa-apa walaupun seketul batu."pesan Abang Zul.
Mereka menerima pesanan itu dengan baik.Sudah beberapa kali Abang Zul mengulang benda yang sama.Lelaki itu tidak mahu timbul sebarang masalah ketika di sana nanti.
"Jangan tegur kalau ternampak,terhidu atau terdengar apa-apa.Buat tak tahu je."
Mereka mengangguk-angguk.
"Kita takkan nampak apa-apa ke kalau kat sana bang?"tanya Iman.
Abang Zul menggeleng.
"Tak,jangan bimbang."jawab Abang Zul.
Terlihat jelas riak kecewa di wajah Iman.Sophian dan Daniel hanya mampu tersenyum melihat respons Iman.Apalah yang dia teringin sangat mahu melihat makhluk-makhluk itu.Bukannya cantik pun.
"Bolehlah gerak sekarang.Lewat-lewat sangat tak berapa elok."ujar Abang Zul selepas melirik jam di tangannya.
"Berapa lama kita kat sana bang."tanya Alisya sebelum Abang Zul sempat memulakan langkah.
"Dalam dua jam.Tak elok kalau lama-lama kat sana."balas Abang Zul lalu tersenyum.
Alisya mengangguk walaupun baginya dua jam tidak mencukupi.
"Siapa nak tumpang abang?"
"Saya bang.Mereka berempat ni naik satu kereta."jawab Iman sambil bergerak dan berdiri di sisi Abang Zul.
Yalah,diakan lelaki solo.Tiada teman wanita maka eloklah dia dengan Abang Zul.Dua pasangan itu tidak mahu berenggang.
Mereka berjalan menuju ke kereta masing-masing.Sophian yang akan memandu pada pagi itu.Kereta itu mereka sewa untuk dua hari.Alisya dan Daniella mengambil tempat duduk di belakang.Sophian mula memandu apabila kereta Abang Zul bergerak dan mengekori dari belakang.
IMAN memandang ke hadapan.Dia berasa teruja sejak semalam.Banyak benda yang ingin dia tanyakan pada Abang Zul.
"Abang dah lama ke jadi perantara dunia mistik ni?"
"Dah dekat enam tahun rasanya."balas Abang Zul.
"Lama juga tu.Abang tak pernah kena ganggu ke selama ni?"
Soalan Iman memang soalan biasa bagi Abang Zul.Termasuk Iman sudah berpuluh orang yang bertanyakan soalan yang sama.
"Alhamdulillah tak pernah."jawab Abang Zul.Jujur.
"Wow!"balas Iman kagum.
"Asalkan yang ikut abang tu dengar kata.Tak usik apa-apa masa kat sana."beritahu Abang Zul lagi.
Sementara itu,Alisya dan Daniella yang berada di dalam kereta bersama pasangan masing-masing berkerut dahi.Suasana yang meriah dengan manusia mula sunyi.Tiada lagi bangunan-bangunan cantik seperti tadi.Hanya hutan rimba di kiri dan kanan.Perasaan seram sejuk mula muncul.
"Sunyinya."ujar Alisya secara tiba-tiba.
Daniella yang duduk di sebelah mengangguk-angguk tanda setuju.Suasana ketika itu memang sunyi.Bunyi unggas pun tidak kedengaran.Di atas jalan raya itu hanya kereta mereka dan Abang Zul sahaja.Puas Alisya dan Daniella meneliti setiap pokok kalau-kalau ternampak tupai atau monyet namun hampa.
"Jauh lagi ke?"tanya Daniella.
Sophian dan Daniel berpandangan sesama sendiri.Bahu kedua-duanya terjongket serentak.
"Entahlah darling,macam dah nak sampai je ni."balas Daniel.Daniel memang menggelar kekasih hatinya dengan panggilan itu.
Tidak sampai sepuluh minit selepas itu,Abang Zul memberi isyarat berhenti.Sophian memberhentikan kereta betul-betul di belakang kereta Abang Zul.
"Kita dah sampai ke bang?"tanya Iman tidak sabar.
Abang Zul menggeleng dengan senyuman yang tidak lekang di bibir.Dia keluar dari kereta dan bertemu dengan yang lain di luar.
"Kita kena berjalan masuk ke hutan sana.Dalam 15 minit sampailah ke pintu masuk untuk ke sana."ujar Abang Zul memberi penerangan sebelum sesiapa sempat bertanya.
Mereka ternganga.Lima belas minit?Jauhnya!
"Tak berapa jauh sebenarnya.Elok kita mula berjalan sekarang."arah Abang Zul bagaikan dapat membaca keresahan anak-anak muda itu.
Sebenarnya tidak menjadi masalah kerana cuaca hari ini pun tidak berapa panas dan tidak berapa mendung.Sedang sedang sahaja.Mereka langsung tidak berpeluh.Setiap kali peluh mula merenik,angin sejuk akan bertiup mengeringkan peluh mereka.
Alisya asyik menoleh ke belakang semasa berjalan.Perbuatannya itu disedari oleh Sophian.
"Kenapa Lisya?"
"Tak ada apa-apa."dalih Alisya.
Sophian kembali memandang ke hadapan.Perjalanan diteruskan.
Tidak sampai seminit,Alisya berpaling ke belakang sekali lagi.Berkali-kali.
"Ada orang!"ujar Alisya cemas.Lengan Sophian dirangkul erat.Dia ketakutan.
Mata Sophian melilau ke sekeliling.Cuba mengesan sesiapa selain mereka tetapi ternyata tiada sesiapa pun.Mungkin Alisya yang salah lihat.
"Tak ada sesiapa pun.Awak salah tengok tak?"balas Sophian menafikan.
"Eh!"Alisya bersembunyi di belakang teman lelakinya.Sumpah,dia ternampak seseorang yang lalu tadi!
Sophian bingung.
Abang Zul dengan yang lain berhenti melangkah.Semua memandang Sophian dan Alisya yang jauh tertinggal di belakang.Pasangan itu nampak bingung.Alisya seperti dalam ketakutan.
"Alisya nampak seseorang bang."kata Sophian.
Dia sangat bingung dengan apa yang dikatakan Alisya kepadanya.Alisya tidak pernah bersikap begitu sebelum ini.Malah teman wanitanya seorang yang berani.
Berkerut muka Abang Zul.Tiada sesiapa pun di situ selain mereka berenam.
"Tak apa.Relaks.Baca ayat suci."ujar Abang Zul memberi nasihat.
Mungkin semangat Alisya tercuit ketika di situ.Gadis itu kelihatan serba tidak kena.Dia tidak dapat bertenang dan asyik bersembunyi di belakang teman lelakinya.Ada seseorang yang sedang berjalan menuju ke arahnya,katanya.
Abang Zul mula meninjau keadaan di sekitar.Lama-kelamaan aura aneh mula terasa menular di dalam diri.Mungkin benar apa yang dilihat oleh Alisya.Memang ada sesuatu yang bukan dari kalangan manusia sedang berlegar-legar di sekeliling mereka.Mengapa Alisya yang diganggu?Bukankah sepatutnya hijab mereka tertutup?
"Awak lemah semangat agaknya."ujar Abang Zul.
Alisya pantas menggeleng.Cuba menafikan kesimpulan yang dibuat lelaki itu.
"Tak,saya bukan seorang yang lemah semangat.Saya pun tak tahu kenapa saya nampak seseorang di situ.Bukan manusia ke?"tanya Alisya dalam nada berbisik.
Abang Zul mengangguk.Mengiyakan pertanyaan Alisya.Dia tidak nampak apa-apa yang dikatakan oleh Alisya.Mana ada orang lain selain mereka berenam di situ.
"Masih ada ke?"tanya Sophian.
Alisya mengintai dan memandang ke sekelilingnya.Sudah tiada.Dia menggeleng sebagai jawapan.
Daniella dan Daniel hanya mendiamkan diri dari tadi.Selepas Alisya mendakwa sedang didekati seseorang,bulu roma serta-merta berdiri.Alisya tidak akan saja-saja berkata begitu.Belum masuk ke dunia mistik mereka sudah diganggu.Pasti jika masuk ke sana,bermacam detik getir akan mereka tempuhi.
Share this novel