ABANG Zul sampai ke rumah sewa mereka seperti yang dijanjikan.Mereka berkumpul di ruang tamu,sesekali menghirup air teh panas dan meratah biskut kering yang dihidang oleh Isyraf.Zarul tidak menyertai mereka kerana sedang tidur di dalam bilik.Abang Zul menjenguknya ketika mula-mula sampai tadi.
"Abang datang sebab ada benda yang abang nak tanyakan pada kamu semua."ujar Abang Zul memulakan bicara.
Lima sekawan itu saling berpandangan.
"Abang nak tanya,kau orang ada terusik atau terambil apa-apa kat sana?"soal Abang Zul.
Air muka Fazziq terus berubah.Hilang terus senyuman pada bibirnya.Dia mengunci mulut dan merenung meja.
"Kenapa bang?"tanya Ganesh berminat ingin tahu.
Pasti ada yang mengganggu Abang Zul sehingga dia datang ke rumah semata-mata untuk bertanya tentang hal ini.
Abang Zul menggeleng.Dia memang mahu menyembunyikan kejadian menakutkan dinihari tadi.Tidak mahu menakutkan para pemuda ini.
"Tak ada rasanya."kata Ganesh dengan mata terpaku tepat pada Fazziq.Manalah tahu Fazziq ada benda yang perlu dia mengaku.
"Kenapa kau tengok aku?"tanya Fazziq.
Suasana bertukar senyap.Semua mata tertumpu pada Fazziq.Dia suspek yang paling dicurigai sekarang.Semasa di sana,dia hilang dan masuk ke dalam salah sebuah bangunan yang berderet.Mustahil dia tidak menyentuh atau mengusik apa-apa.Mampukah dia menahan nafsu tatkala melihat barangan unik dan aneh itu?Rakan-rakannya sedia maklum dengan kegilaan Fazziq mengumpul barangan aneh terutamanya patung kecil.
"Zarul ada menyebut pasal patung pagi tadi.Dia cakap kau tahu Ziq."celah Aniq.
Semakin berkerut wajah Fazziq apabila diserang bertubi-tubi seperti itu.Abang Zul merenungnya dengan air muka yang serius.Tiada ruang untuk bergurau atau apa-apa.Jika benar Fazziq telah mengambil sesuatu,maka keadaan akan bertambah buruk sahaja nanti.Apabila ada sesuatu yang mengekori,bukan mudah untuk mengusirnya pulang.
Pantas kejadian dua tahun lepas bermain di hadapan mata Abang Zul.
"Jangan degil!Keluar sekarang,Allahuakbar!"
"Aku takkan keluarlah bodoh!Sampai mampus pun aku takkan keluar!"
"Pegang dia kuat-kuat!"
"Arghh!"
Abang Zul tidak mahu kejadian buruk itu berlaku sekali lagi.Dia tidak mahu pisang berbuah dua kali.Biarlah kejadian dua tahun lepas itu menjadi yang terakhir.Benda seperti inilah yang membuatkan dia serik untuk menjadi pengantara untuk ke dunia ghaib.Jika tersalah langkah,maka semua yang terlibat akan terkena tempiasnya.Malah sampai yang menjadi gila pun ada.
Sungguh,dia mulai menyesal.Entah apa yang bermain di fikirannya ketika dipujuk Aniq dan Isyraf untuk kembali menjadi pengantara.Namun semuanya sudah terlambat.Dia tidak boleh memutar waktu ke belakang.
"Abang harap ada yang jujur petang ni."pujuk Abang Zul.
Fazziq semakin serba salah.Tapak tangannya berpeluh-peluh.
"Kerana ada yang mengusik benda kat sana,seorang meninggal dunia kerana sakit misteri dan seorang sakit mental sampai sekarang."ujar Abang Zul terpaksa berterus-terang.
Mata lima sekawan itu terbeliak.Serius sampai begitu?Mereka mula cuak.
"Abang tak pernah cerita pun pasal ni?"kata Isyraf.
Ada riak tidak puas hati terzahir pada wajahnya.Jika tahu seteruk ini,pasti dia dan Aniq tidak bersungguh memujuk lelaki ini.Seram pula apabila mendengar ada orang terkena sakit misteri dan gila apabila mengusik barang-barang di sana.
"Sebab tu abang larang usik barang-barang kat sana.Kesannya sangat buruk."ujar Abang Zul dengan nada yang kedengaran berat.
"Kalau terambil,apa patut kita buat bang?"soal Fazziq secara tiba-tiba.
Soalannya berjaya menarik perhatian semua yang ada di situ.Jadi memang benarlah Fazziq ada usik atau ambil apa-apa?
"Kita kena pulangkan barang tu balik ke tempat asalnya secepat mungkin."balas Abang Zul.
Dia merenung tepat ke dalam mata Fazziq.Renungannya menusuk ke jiwa.
Fazziq memaksa dirinya senyum.Pahit,sepahit hempedu.
"Kalau tak pulangkan apa akan jadi bang?"soal Xiao pula.
Padahal Abang Zul sudah memberitahu kesan buruknya sebentar tadi.
Abang Zul melepaskan segumpal nafas berat."Macam-macam akan jadi."
Suasana sunyi seketika.Rasa takut mula menjalar dalam diri masing-masing.Fazziq yang paling tidak menentu perasaannya ketika itu.Sejak melihat sendiri jelmaan Zarul dan berhadapan dengan perangai pelik lagi menakutkan rakannya itu,seribu kekesalan mula timbul di pangkal hati.
"Bila abang sampai?"tegur Zarul dari balik pintu bilik yang terbuka separuh.
Semua yang berada di ruang tamu automatik memandang Zarul.Apa yang lelaki itu buat di balik pintu?Daripada apa yang boleh mereka nampak,wajah Zarul kelihatan pucat lesi.
"Kau okey ke Rul?"soal Aniq bingkas bangun dan berjalan menuju ke bilik tidur Zarul.
Ketika pulang dari hospital pagi tadi,lelaki ini nampak okey.Fazziq nampak dengan jelas bagaimana Zarul sedang memandang ke arahnya dengan segaris senyuman sinis.Seolah-olah sedang mempermain-mainkannya.Fazziq cepat-cepat mengalihkan pandangan.Dia lebih banyak merenung lantai pada petang itu.
Aniq berhenti melangkah betul-betul di hadapan bilik.Bulu romanya merinding serta-merta.Zarul berdiri di balik pintu hanya menampakkan sebahagian tubuhnya.Mulutnya tersengih dan matanya terbeliak.Badan Aniq mula menggigil.Tidak terungkap kata-kata dari mulutnya.
"Marilah duduk sini Rul."pelawa Isyraf.
Abang Zul memandang Aniq dengan kening berkerut.Pemuda itu sekadar berdiri kaku di hadapan bilik dan badannya menggigil.
Aniq mengalihkan pandangan perlahan-lahan ke katil Zarul.Ada seorang lelaki yang sedang terbaring di situ dan dia ialah Zarul!Jadi siapa yang sedang berdiri di balik pintu sambil tersengih ke arahnya?Semakin lama semakin aneh wajahnya.
"Kau orang ni okey ke tak?Jomlah duduk sini."panggil Isyraf sekali lagi.
Fazziq mengetap bibir.Dia tidak selesa jika Zarul menyertai mereka di situ.Pasti lelaki itu akan menyindirnya.Dia jadi serba tidak kena.
"Okey."balas Zarul menyahut dari dalam bilik.Dia bergerak perlahan-lahan dan mula menampakkan keseluruhan tubuhnya.
Mata Aniq terbeliak,mulutnya ternganga dan wajahnya dibasahi peluh.Jantungnya bagaikan terhenti dan akhirnya dia rebah.Keadaannya itu mengejutkan semua yang ada di situ dan sekejap sahaja dia dikerumuni oleh mereka.Mereka memanggil namanya dan cuba menyedarkannya tetapi gagal.
"Aniq,bangun!"
Share this novel