Bab 5

Thriller Series 1109

LANTAI di beranda berbunyi-bunyi ketika dipijak.Abang Zul mengarahkan supaya menjarakkan diri antara satu sama lain kerana bimbang berat yang akan ditanggung beranda itu jika mereka berdiri di tempat yang sama.Kemungkinan ia akan runtuh.

"What's next Bang Zul?"bisik Isyraf.

"Kita masuk ke dalam."balas Abang Zul tenang.

Kali ini dia tidak menunggu lama dengan melayan soalan demi soalan.

Seperti biasa,Abang Zul yang akan memulakan sesuatu dahulu.Dia melangkah masuk ke dalam dan menunggu enam pemuda itu di dalam.

Fazziq dan Aniq beriringan masuk lalu diikuti dengan Isyraf dan Zarul.Ganesh dan Xiao masih tercegat di luar.Ganesh belum bersedia untuk meneruskan perjalanannya.Dia hanya terpacak seperti tunggul kayu.

"Ganesh,jom masuk."ajak Xiao sambil menarik lengan rakannya.

Tubuh lelaki itu terasa berat sekali.Seolah-olah memakukan tapak kakinya ke lantai.

"Ganesh,jom masuk."ajak Xiao berkali-kali.

Ganesh menelan liur.Dia seperti ternampak sesuatu sedang mengintai di balik tiang seri.Hanya mata hitam kemerahan yang kelihatan dan ia merenung tepat ke arah Abang Zul dan rakan-rakannya yang sudah berada di dalam.

"Kalau ternampak,terdengar atau tercium apa-apa,jangan sesekali tegur."

Terngiang-ngiang pesanan Abang Zul di telinga.Ganesh membatalkan niatnya untuk memberitahu apa yang dilihatnya.Dia memejamkan matanya buat beberapa saat.Cuba mencari kekuatan untuk meneruskan langkahnya.

"Weh Ganesh,Xiao!Apa yang kau orang terpacak kat luar tu?Marilah masuk!"bebel Fazziq.Dia sedaya upaya memperlahankan suaranya di hadapan Abang Zul.

Abang Zul memandang Ganesh tidak berkelip.Dia tahu Ganesh ternampak sesuatu yang menakutkan.Perlahan-lahan dia mengalihkan pandangan ke hadapan dan memerhati ruangan itu dengan hati yang tidak enak.Dia mula membisikkan ayat-ayat suci.Entah apa yang dilihat Ganesh sehingga membuatkannya pucat.

"Weh,cepatlah!"panggil Fazziq.

Geram pula dia melihat Ganesh dan Xiao yang dari tadi tidak bergerak.Sudahlah masa berjalan.

Ganesh mengangkat muka dan memandang ke tiang seri itu sekali lagi.Makhluk itu sudah tiada.Gejolak di jiwa mengendur sedikit.Demi tidak mahu menyusahkan semua yang ada di situ,dia menggagahkan diri masuk ke situ.

Xiao menyusul dari belakang.Timbul pula rasa simpati apabila melihat Ganesh yang seperti tidak gembira ketika berada di situ.Riak tidak selesa tergambar jelas pada wajah rakannya itu.Namun perjalanan mesti diteruskan kerana mereka perlu menamatkan apa yang mereka mulakan.Lagipun mereka berada di situ hanya selama dua jam sahaja.Tiada apa yang harus dirisaukan jika Abang Zul ada bersama-sama mereka.

Zarul menyentuh lehernya yang dilindungi sapu tangan.Kulit di situ terasa semakin pedih.Kadangkala ia berasa panas.Mujur cuaca si situ tidak sepanas dunia mereka di luar sana.Sekurang-kurangnya dia tidak perlu mengesat peluhnya yang tidak berhenti mengalir.

Aniq dan Isyraf mendekati Abang Zul.Ketua mereka itu tidak berganjak dari situ.Apa yang perlu mereka lakukan selepas ini?

"Bang,kita mauk pegi sine gik kaktok?"(Bang,kita nak ke mana pulak lepas ni?)"tanya Isyraf.

Hampir sepuluh minit rasanya Abang Zul mendiamkan diri.

"Auk bang,masa berjalan tok(Ya bang,masa berjalan ni)"tambah Aniq.

Abang Zul mengukir senyuman pahit.Tidak berasa pula masa yang berlalu.Sebenarnya ada satu keanehan yang dia rasai sebelum ini tetapi dia bertindak mendiamkan diri.Tidak mahu menambahkan kegusaran di dalam hati Ganesh dan rakan-rakannya.

Selama dia menjadi perantara,ini kali kedua dia diserang rasa aneh ketika masuk ke dunia itu.Malah rasa kali ini lebih kuat daripada yang pertama kali.Mungkinkah kehadiran mereka telah disedari oleh 'penduduk' di situ?Jika benar,maka mereka harus lebih berhati-hati dan melakukan aktiviti mereka dengan pantas.

"Bang,okey tak?"tanya Fazziq dari belakang.Agak lama juga mereka tidak bergerak dan hanya terpacak di situ.

Abang Zul berpaling dan memandang tepat ke wajah Fazziq.Seketika kemudian,dia mengangguk dan ada sejalur senyuman tawar di bibirnya.Pada masa yang sama,dia memandang ke arah Zarul dan Ganesh.Zarul asyik berkerut muka sejak tadi kerana kesan tamparan di tengkuknya.Manakala Ganesh pula membalas renungan Abang Zul.Dia mahukan penjelasan.

"Mari gerak sekarang."arah Abang Zul.

Dia cepat-cepat mengalihkan pandangannya daripada Ganesh.Dia tahu lelaki India itu dapat mengesan gelora yang melanda hatinya.

Senyuman di mulut Fazziq melebar hingga ke telinga.Dia mempercepatkan langkahnya dan berdiri betul-betul di belakang Abang Zul.Senang dia mahu merujuk tentang apa-apa selepas ini.

Xiao beriringan dengan Ganesh dan Zarul menuju ke pintu keluar yang terkuak luas.Langkah diatur dengan penuh berhati-hati kerana kesuraman yang menghiasi ruangan itu.Sesekali bunyi berkeriut akan terhasil di bawah tapak kasut mereka.Lantai yang dibuat daripada kayu lama benar-benar membuatkan mereka cuak.Jika tersilap langkah pasti akan patah.

Perjalanan yang hanya mengambil masa seminit pantas menemukan mereka dengan pintu belakang.Pintu yang sedia terbuka sejak mereka naik ke situ.Semasa melewati tiang seri,ada kepala yang menarik perhatian Ganesh.Ia berlaku dengan pantas dan menghilang apabila Ganesh menoleh ke sisi.

"Kau nam..."Ayat Ganesh tergantung.

Xiao dan Zarul memandangnya serentak.Masing-masing menunggu ayat yang seterusnya.

"Tak ada apa-apa."ujar Ganesh akhirnya berdalih.

Hampir dia terlupa dengan pesanan Abang Zul sebelum ini.Khuatir akan menanggung kesan buruknya nanti jika tertegur sesuatu.

Xiao dan Zarul tidak berminat untuk bertanya dengan lebih lanjut.Mereka mempercepatkan langkah dan akhirnya menjejak di dunia luar.Ganesh hanya menyusul beberapa saat selepas itu.

Enam pemuda itu melopong.Mereka kehilangan kata-kata.

Dunia yang menyapa mereka ketika ini berbeza dengan dunia sebelumnya.Suasana sudah tidak sebiru tadi.Alam ini disinari cahaya matahari walaupun langitnya mendung sedikit.Tiada hidupan di situ kecuali objek-objek yang tidak bernyawa.

Isyraf dan Aniq merenung jauh di hadapan mereka.Kereta-kereta bersimpang-siur menganggu pandangan.Sebahagian daripadanya diselaputi karat dan debu.Dunia mistik seperti ini pun mempunyai pengangkutan seperti manusia?

"Jangan tegur.Apa yang kau orang lihat hanya ilusi semata-mata."ujar Abang Zul menitip pesan sebelum salah seorang daripada budak-budak muda itu menegur apa yang berada di hadapan.

Fazziq benar-benar teruja.Sangkanya dunia mistik berwajah suram tetapi ternyata sangkaannya meleset seratus peratus.Dia memberanikan diri berjalan melepasi Abang Zul untuk melihat kereta-kereta itu dengan lebih dekat.

Badan kereta berwarna hitam disentuh.Tiada bezanya dengan kereta di alam manusia.Ruangan dalaman diintai dan semuanya saling tidak tumpah seperti apa yang kereta-kereta yang dimiliki oleh manusia.Ada kusyen tempat duduk,stereng,dashboard dan lain-lain lagi.Tiada apa yang istimewanya tentang alam ini.

Abang Zul dengan yang lain sekadar memerhatikan perlakuan Fazziq dengan penuh minat.Biarlah dia memeriksa apa yang ada di dalam kereta-kereta itu.

Tiba di kereta yang keempat,perhatian Fazziq bagaikan ditarik-tarik.Ada sesuatu yang tergantung di cermin hadapan.Bendanya kecil sahaja.Mungkin sebesar ibu jari tetapi reka bentuknya sangat unik dan menarik.Tanpa disedari,dia mengetap bibir.

"Apa yang si Fazziq duk intai-intai tu?"soal Xiao hairan.

Sudah beberapa minit rakannya itu tertunduk-tunduk seperti menghendap anak dara orang mandi di perigi.Sudahlah langsung tidak menoleh ke arah mereka.

"Jom tengok!"ajak Zarul meluru mendapatkan Fazziq.

Tidak ada faedahnya jika mereka hanya tercegat di situ dan menunggu Fazziq.Entah apa yang dilihat oleh lelaki itu pun mereka tidak tahu.

Zarul berdiri di sisi Fazziq dan turut mengintai ke dalam kereta berwarna merah darah itu.Ada patung kayu kecil yang berwarna hitam tergantung di cermin hadapan.Ia terhayun ke kiri dan kanan bagaikan ada tangan yang sedang menghayunkannya.

"Kau ke yang sentuh patung tu?"soal Zarul.

"Macam mana aku nak sentuh?Cermin kereta pun tak buka."balas Fazziq hampa.Jika cermin terbuka sudah pasti patung itu dia rentap!

"Dah tu bergoyang-goyang tu,siapa yang pegang?"

Pertanyaan Zarul membuatkan kedua-duanya tergamam dengan serta-merta.Rasa seram sejuk mula menyerang segenap urat saraf.Mereka berdua menjauhi kereta itu dan berjalan ke arah rakan-rakan yang disedari tadi menunggu.

"Hah,apahal?"soal Aniq.

Riak cuak tergambar jelas di wajah Zarul dan Fazziq.Mereka menggeleng-geleng sebagai tanda rahsia tetapi pasti akan diceritakan ketika kembali ke rumah kelak.

"Nampak takut aje."sindir Ganesh.

Matanya tepat memandang Fazziq.Yalah,selama ini si Fazziq galak sekali melabelkannya sebagai pengecut.Sekarang siapa yang pucat?

Abang Zul merenung kereta merah.Ada tangan yang kulitnya mereput sedang memegang patung kecil yang tergantung itu.Jari runcingnya menolak-nolak patung hingga berayun ke kiri dan ke kanan.Namun selepas beberapa minit tangan itu ghaib.

Abang Kipli tahu ia petanda yang kurang baik kerana hal yang hampir sama pernah berlaku beberapa tahun yang lalu.

Ya ALLAH,apakah yang bakal berlaku nanti?KAU lindungilah kami daripada syaitan yang direjam.

"Kita dah tak ada banyak masa,marilah kita teruskan perjalanan."arah Abang Zul jelas.

Waktu sedang berdetik.Jadi,lebih baik mereka meneruskan perjalanan.Seperti biasa,dia berjalan di hadapan.

Semasa melintasi kereta itu,Zarul dan Fazziq sempat menoleh dan merenung patung yang tergantung.Ia sudah tidak berayun lagi seperti tadi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience