DENGAN bantuan beberapa orang lelaki dewasa yang merupakan penginap di hotel yang sama,Iman akhirnya dapat diangkut hingga ke kereta.Dia menggelepar minta dilepaskan.Selepas dipaksa masuk ke dalam kereta,tubuhnya diikat kemas-kemas dengan tali yang agak tebal.Akhirnya dia tidak mampu melarikan diri.
Abang Zul memandu keretanya pergi selepas mengucapkan terima kasih kepada yang membantu.Sophian duduk di hadapan,sebelah tempat duduk pemandu.Ketika itu jam sudah melepasi pukul 11.00 malam.
"Kehkehkeh..."Iman gelak terkekeh-kekeh di belakang.
Suaranya berlapis-lapis.Bertindih di antara suaranya dengan suara seorang wanita.
Sophian langsung tidak menoleh ke belakang.Dia tiada kekuatan untuk berbuat begitu.Selepas memaksa Iman masuk ke kereta,dia lihat wajah rakannya itu pelik.Mungkin kerana wajahnya terlalu pucat.Sepanjang perjalanan yang mengambil masa hampir 20 minit itu,segala makian dan provokasi Iman,dia tidak pedulikan.
Biar dia terpekik-pekik seorang diri di belakang.
Sophian akhirnya mampu berasa lega tatkala kereta Abang Zul memasuki simpang untuk ke rumah Haji Hamid.Dari jauh sudah nampak rumah kayu itu.Abang Zul memberhentikan kereta dan mematikan enjin di hadapan rumah Haji Hamid.
Tidak lama kemudian,Hajah Salbiah membuka pintu dan Haji Hamid bergegas menuruni anak tangga.Turut kelihatan di situ ialah anak bongsu mereka iaitu Zara.
Haji Hamid mengintai Iman di tempat duduk belakang.
"Kau tengok apa?Tuih!"marah Iman lalu meludah cermin kereta.Dia meronta-ronta mahu melepaskan diri dari ikatan tali.
"Piah,tolong hampar tikar."arah Haji Hamid.
Hajah Sapiah terus mendapatkan tikar yang tersandar di dinding lalu dihampar di tengah-tengah ruang tamu.Di situ Iman akan dibaringkan.
"Mari bawa dia masuk."ujar Haji Hamid.
Abang Zul mengangguk faham.
Semasa pintu dibuka,Iman merenung muka-muka mereka dengan penuh dendam kesumat.Sophian berdiri di sebelah Abang Zul.Bersedia untuk membawa Iman masuk ke rumah.Kerja untuk memindahkan Iman dari dalam kereta ke rumah bukanlah satu kerja yang senang.Dia berdegil tidak mahu keluar dari kenderaan itu.
"Macam mana ni tuan haji?"soal Sophian sudah buntu.
Hujan rintik-rintik mulai turun membasahi kepala mereka.Cuaca tiba-tiba berangin dan sejuk.
"Cepat,cepat!"desak Haji Hamid.
Dia memegang bahu Iman dan sedaya upaya menarik pemuda itu keluar.Dia yang sudah berusia hampir 60 tahun semakin kehabisan tenaga kerana Iman yang berkeras tidak mahu naik ke rumah.
Selepas bertungkus-lumus selama 10 minit,Iman akhirnya dibawa naik.Ketika itu hujan lebat sudah turun membasahi bumi.Habis lencun pakaian mereka.Di ruang tamu sudah tersedia tikar mengkuang dan sebotol air kosong yang sudah dibaca Yasin dan ayat Kursi.
"Anak dara kau?Cantik."kata Iman selepas melihat Zara yang berdiri di sisi kerusi.Hilai tawanya memenuhi rumah kampung itu.
Berderau darah Hajah Sapiah dan Zara.
"Zara,masuk bilik."suruh Haji Hamid.
Zara seorang gadis yang lemah semangat.Sejak kecil dia selalu diserang demam panas kerana sering terserempak dengan makhluk-makhluk ghaib.Seperti mempunyai sixth sense ataupun deria keenam tetapi kelebihannya itu hilang selepas dia bersekolah darjah tiga.Bimbang juga apabila Iman yang kerasukan berada di situ.Mungkin makhluk itu akan suka pada Zara kerana dia seorang yang lemah semangat.
Zara dan Hajah Sapiah bergegas masuk ke bilik.
"Zara,kenapa masuk bilik?Marilah teman saya kat sini!"
Bulu roma Zara meremang.Dia duduk bersila di atas katil dan memeluk bantal.Hajah Sapiah pula hanya duduk di birai katil dengan wajah bimbang.
"Mak,"panggil Zara.
"Hmm?"
"Zara nampak perempuan mata putih masa Abang Iman dibawa naik tadi."ujar Zara berterus-terang.
Hajah Sapiah tergamam.
"Perempuan mata putih?:
"Lepas tu bila Abang Iman dah naik,dia duk perhatikan Zara dengan mak."jelas Zara lagi.
Merinding Hajah Sapiah mendengar kata-kata Zara itu.Dia kenal sangat dengan anak bongsunya itu.Zara seorang yang berterus-terang dan tidak biasa berbohong.Jadi apabila Zara menceritakan apa yang dia lihat,bulu roma Hajah Sapiah serta-merta berdiri tegak.
"Zara rasa perempuan tulah yang rasuk Abang Iman."ujar Zara cuba membuat kesimpulan.
Siapa punya angkara kalau bukan perempuan tinggi macam galah itu?
"Zara nampak jelas ke rupa dia?"
Zara mengangguk.
"Cerita kat mak."pinta Hajah Sapiah.
Belum sempat Zara bercerita,dua beranak itu dikejutkan dengan jeritan Iman.Lelaki itu menjerit-jerit kesakitan akibat dibacakan ayat-ayat suci ALLAH.Meraung-raung minta dikasihani.
Hajah Sapiah bangun perlahan-lahan dan berjalan menuju ke pintu bilik.Di situ dia mengintai apa yang sedang berlaku di luar.Kelihatan Iman menggelepar di atas tikar dengan wajah merah seperti udang kena bakar.Kakinya menendang-nendang ke udara akibat rasa sakit yang menyiksa jiwa.
"Argh!"
Sophian dan Abang Zul memegang tubuh Iman.Mereka sudah berpeluh-peluh.Mahu menyeka pun tidak sempat.
Ibu jari kaki Iman dipicit kuat sehingga membuatkan lelaki berwajah Cina itu meraung keperitan.Sakitnya bukan kepalang.Dalam waktu yang sama,Haji Hamid menyapukan air penawar ke muka Iman.Proses itu berlangsung selama 30 minit sebelum Iman akhirnya pengsan tidak sedarkan diri.
"Lailahaillah Muhammadurrasulullah."ucap Haji Hamid membisikkan dua kalimah syahadah ke telinga kanan Iman.
"Alhamdulillah benda tu dah tak ada dalam tubuh Iman."ujar Haji Hamid selepas selesai semuanya.Dia tersandar ke tiang seri.Letih.
Sophian dan Abang Zul melepaskan pegangan masing-masing.Akhirnya mereka dapat berehat.Jari-jemari mereka sakit-sakit kerana memegang tubuh Iman yang tenaganya melebihi tenaga manusia.
Share this novel