"KITA sambung perjalanan sekarang.Tak elok bazirkan masa."ujar Abang Zul berpaling ke hadapan dan menyambung langkahnya.
Perasaan Alisya yang berkecamuk mulai tenang.Dia menarik nafas dan menghelanya perlahan.Dia sudah bersedia untuk menyambung perjalanannya.Mujur ada Sophian yang selalu berada di sampingnya.
"Kau okey?"tanya Daniella akhirnya membuka mulut.Dia sudah berdiri di sisi Alisya.
Alisya mengangguk-angguk sambil tersenyum tawar.Beberapa kali dia menoleh ke kiri,kanan dan belakang.Memang benarlah ia sudah tiada.Ghaib entah ke mana.
"Macam mana rupa dia?"tanya Daniel penuh minat.Dia memandang Alisya dengan kening yang terangkat.
Daniella menyenggol rusuk Daniel dengan kuat.Dia geram dengan tingkah Daniel kerana sengaja mahu menambahkan ketakutan Alisya!Lelaki berkulit kuning langsat itu tersengih.
Sepuluh minit berjalan,mereka akhirnya sampai di hadapan pintu masuk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.Pastinya ia terlindung dari pandangan mereka berlima.Hanya Abang Zul sahaja yang terbuka hijabnya ketika itu.
"Mana bang?"tanya Iman sambil matanya melilau ke serata tempat.
Tiada langsung sesuatu yang berupa pintu di sekeliling mereka.
"Syy..."Daniella melarang Iman dari terus bertanya soalan yang berbunyi begitu.Rasanya Abang Zul lebih tahu apa yang dilihatnya.
"Ada."jawab Abang Zul ringkas.
Dia mengarahkan lima orang muda itu untuk berdiri ke belakang sedikit.Perbuatannya yang terkumat-kamit membaca sesuatu membuatkan mereka terlopong.Abang Zul kemudiannya menadah tangan dan berdoa selama beberapa minit.Tindakannya itu ditiru oleh lima sekawan itu.
Abang Zul hanya membaca ayat-ayat suci ALLAH sahaja.Dia tidak pernah membaca jampi serapah yang menggunakan jin sebagai khadam.
"Amin..."Semua mengaminkan setelah selesai berdoa.
"Pintu masuk dah ada.Ikut saya."ujar Abang Zul seraya melangkah dua langkah ke hadapan dan menghilang ke dimensi lain.
Mereka berlima ternganga.Hebat!
Ia diikuti oleh Iman dan Daniel.Orang yang terakhir yang masuk ialah Alisya.Perasaannya tiba-tiba menjadi tidak tenteram selepas apa yang dilihatnya tadi.Alisya berdiri sambil memandang ke hadapannya.Mahu masuk atau tidak?
Sophian sudah resah menanti.Mana Alisya ni?Kenapa tidak masuk-masuk lagi.Dia mahu keluar semula tetapi ditegah Abang Zul.Tidak boleh keluar masuk sesuka hati.
"Tak apa,dia akan masuk."ujar Abang Zul menyedapkan hati lelaki itu.
Mereka menunggu dengan sabar.
Alisya terasa ada nafas yang menghembus di pipi kirinya.Dingin seperti ais.Cepat-cepat dia menoleh ke kiri.Ada sesuatu yang aneh!Hatinya resah.Akhirnya dia melangkah masuk ke dalam dan bertemu dengan yang lain di situ.
Suasana kelam biru terus menyapa.
"Kenapa?Awak okey?"tanya Sophian berkali-kali.Risau betul dia.
Belum sempat Alisya membuka mulut,Iman tiba-tiba mengadu sakit.
"Auch..."Matanya terpejam dan jari-jemarinya menyentuh tengkuk yang pedih.
Abang Zul berlari anak untuk melihat keadaan Iman.Awal-awal sudah terjadi hal sebegini.Tidak tahu petanda apakah ini.Tidak pernah berlaku sepanjang dia membawa orang masuk ke situ.
"Kenapa Iman?"tanya Danie,sedikit panik.
Abang Zul merenung kesan merah di leher Iman.Hampir berdarah.Leher Iman bagaikan ditampar oleh satu tangan yang besar dan berjari runcing.Nampak dengan jelas hujung jari-jemari runcing di tengkuk Iman.
"Macam kena tampar."balas Iman dengan suara tersekat-sekat.Sakitnya bukan kepalang.
Semua terdiam.
"Apa ni?"tanya Sophian dengan muka jelik.Ada kesan jari di leher rakannya.
Abang Zul mengeluarkan sapu tangan dari poket seluarnya,melipatkan dan menggunakannya untuk membalut leher Iman yang melecet teruk.
"Insya-ALLAH tak ada apa-apa.Mari kita teruskan perjalanan."arah Abang Zul.
Dia memandang Iman untuk memastikan lelaki itu benar-benar okey dan boleh meneruskan aktiviti.Iman mengangguk dan tersenyum pahit.
"Don't worry bang.I'm okey."ujarnya.
Perjalanan disambung semula.Kini mereka sedang menuju ke rumah kayu usang.
Daniella dan Alisya berpegangan tangan.Rumah itu kelihatan menakutkan.Lebih-lebih lagi Alisya melihat ada wanita berketinggian 190 sentimeter sedang berdiri tegak di beranda.Wanita itu berambut panjang mengurai hingga mencecah lantai.dan matanya cengkung ke dalam.Bebola matanya putih dan sedang menghadap ke arah mereka.
Alisya seperti mahu menangis.
"Bang."panggil Alisya.
Semua mata memandang ke arahnya.
"Ada perempuan kat atas sana."bisiknya.
Daniella menelan liur.Jantungnya berdegup pantas.Alisya betul-betul menakutkannya.
"Apa kau cakap ni Lisya?"soal Daniella sambil menyenggol lengan Alisya.Berharap ianya sekadar gurauan semata-mata.
Alisya menunduk ke bawah.Dia memejamkan matanya.Tidak menjawab pertanyaan Daniella.Apa yang dilihat di hadapan matanya sangat-sangat menggerunkan.Dia tidak sanggup bertentang mata dengan makhluk itu.Perbuatannya menambah rasa cuak Daniella.
Sophian menapak dan menghampiri kekasihnya.Emosi Alisya tidak stabil sejak menjejakkan kaki ke situ.Tidak pula dia tahu yang kekasihnya ini seorang yang lemah semangat.Sesungguhnya dia tidak nampak apa yang dilihat Alisya.Wanita mana yang dimaksudkan oleh Alisya?
"Alisya,okey tak ni?"tanya Sophian.
Alisya masih tidak mahu mengangkat wajahnya.Tetap menunduk seperti tadi sambil memejamkan matanya.
"Lisya."pujuk Sophian.
Abang Zul merenung lama ke rumah itu.Dia tidak nampak apa yang gadis itu nampak tetapi aura aneh memang ada.Itu yang dia tidak nafikan.Dunia yang mereka lawati ini pun bukan dunia untuk manusia.Ini dunia ghaib.Dunia yang tidak seharusnya dimasuki oleh mereka yang bergelar manusia.
"Ada lagi tak?"soal Iman pula selepas semuanya membisu.
Alisya memberanikan diri untuk mengangkat wajahnya.Beranda dipandang dengan perasaan takut.Perempuan itu sudah tiada.
Soalan Iman dibalas dengan gelengan.Abang Zul tidak berkata apa-apa.Dia menunggu Alisya bersuara.Mahu memastikan sama ada gadis itu mahu meneruskan perjalanan atau mahu pulang sahaja.
"Kita teruskan."kata Alisya seperti dapat membaca hati Abang Zul.
Sophian khuatir jika keadaan Alisya semakin teruk.Kekasihnya nampak tidak tenteram.Bimbang jika terjadi apa-apa nanti.Setelah diyakinkan oleh Alisya sendiri,barulah dia setuju untuk meneruskan perjalanan.
Ketika kaki mereka menjejak tangga,Iman merasakan lehernya semakin pedih.Bagai dicucuk-cucuk dengan jarum.
"Aduh!"
KUCING-KUCING yang bercakaran di luar menarik perhatian mereka yang berada di rumah Haji Hamid.Cerita Abang Zul terhenti di situ.Langit yang berwarna jingga membuatkan Abang Zul menepuk dahi berkali-kali.Tidak lama lagi akan masuk waktu Maghrib!Solat Zuhur dan Asar pun mereka boleh terlepas.
Astaghfirullahalazim!
Apa-apa pun,ALLAH nombor satu.Abang Zul bingkas bangun dari kerusi dan bergegas meminta diri untuk pulang bersama enam pemuda itu.Mereka harus pulang secepat mungkin.
Haji Hamid tersenyum.
"Hati-hati balik tu."pesannya.
Ganesh dengan yang lain terpinga-pinga.Mereka masih belum puas mendengar cerita dua tahun lepas.Cerita itu tergantung dan tidak dihabiskan oleh Abang Zul.
Share this novel