SEBAIK sahaja aku bersarapan bersama ibu, Maklong Wati, Ammar dan juga Airaa, aku terus bergegas pergi ke butik.
Hanim mesej memberitahu supaya aku datang cepat ke butik. Katanya ada hal penting yang ingin dia beritahu.
Aku pun terus laju meluncur dengan kereta Mini ku menelusuri lebuh raya untuk sampai ke tujuan.
Lagu di radio tidak lupa dimainkan.
Aku bernyanyi keriangan.
Pagi yang indah, sesuai betul lagu ini dengan suasana yang aku rasa sekarang. Langit yang cerah, burung-burung terbang di awan, sesekali terdengar burung berkicawan. Aku lebih gemar membuka tingkap dari memasang penghawa dingin pada awal pagi.
“Pagi yang gelap kini sudah terang…”
“HAA!” Aku terkejutkan Hanim dari belakang. Hanim dah terpacak duduk dalam butik. Kau tengok dia melatah nanti.
Terhenjut bahu Hanim. “Eh mak kau nak makan pelita bulan puasa nanti!”
Kan aku dah kata.
Aku pun gelak terbahak-bahak mendengar Hanim melatah tadi.
“Nanti aku bawa mak aku pegi beli tepung pelita kat bazaar ya Nim” gurau ku
“Haih kau ni, kalau ya pun bagi la salam dulu ke apa ke. Ini tak, main terjah je aku. Mana tak melatah” kata Hanim bengis.
“Hahaha, sorry. Hurm, apa benda penting yang kau nak bagitahu aku tu?”
Hanim pun pergi ke arah meja berdekatan, mengambil sebuah kotak yang besar. Eh, ni kotak yang sama macam semalam. Tapi warna je lain, hitam semua tak ada warna emas. Pelik.
“Nah. Untuk kau. Masa aku nak buka restoran tadi, ada orang letak kat depan pintu. Ada nama kau atas kotak ni. Jadi aku suruh la kau datang awal sikit.” Kata wanita yang manis berbaju kurung dan bertudung warna crème itu.
Aku perhatikan sekeliling. Nasib tiada ramai pengunjung. kalau ramai, sudah tentu aku masuk ke ruangan aku. Jika orang tahu, yang aku dapat hadiah dengan kotak yang sebesar ini pasti media sudah menyebarkannya. Entah apa yang mereka akan tulis mengenai diri aku nanti.
Setiap hari pasti ada orang yang akan bertanya akan keberadaanku. Tapi aku lebih suka menyendiri. Ada je yang bagi hadiah apa semua, aku terima sahaja. Tanda penghargaan kepada mereka yang menyayangi diriku.
Sayang aku? Tapi kalau ada berita tak baik tentang aku, adakah mereka masih nak buat baik dengan aku? Silap-silap muka aku kena baling dengan tomato satu hari nanti. Eee ngeri.
Aku buka kotak itu. Sama seperti semalam. Satu jambangan bunga. Dua kotak kecil berisi coklat jenama Patchi. Cuma jambangan bunganya bukan bunga mawar putih tetapi mawar merah.
Ada kad.
Aku membaca.
“Assalamualaikum Zahirah, saya tunggu awak semalam. Tapi awak tak sampai pun. Tidak mengapa, hari ni saya tunggu awak lagi. Jangan lupa ya” baca ku. Siapakah yang mengirim ini semua?
“Zahirah, kau nak jumpa dia ke?” tanya Hanim
“Tak tahulah. Sebenarnya aku malas…”
Hanim memotong percakapan ku
“Ha tak ada malas-malas. Kau jumpa dia hari ni juga. Aku nak tahu dia ni siapa. Sebab Airina kata semalam pun kau dapat hadiah yang sama. Mestilah dari orang yang sama kan.”
“Kau nak jumpa dia kat mana?” tambahnya lagi.
Aku menjawab malas. Dia ni kepochi tau. Sama je macam perangai tuan punya rumah yang dia sewa tu.
“Kat butik ni la. semalam dia kata jumpa pukul 8.00. hari ini tak bagitahu pula pukul berapa.”
Muncul satu idea!
“Nim, kau je lah yang jumpa dia. kata kat dia yang sebenarnya kau lah Zahirah bukan aku.”
Hanim menolak kepala aku. “Aduh!”
“Hoi. Kau ingat ni drama ke. Atau kau ingat ni novel yang ada beratus-ratus bab tu? Agak-agak lah. Cuba jadi bijak sikit.”
Aku menggosok kepala aku. Sakit.
“Eh Zah, Zah!” Hanim goyang-goyangkan tangan aku.
“Kau nak tahu tak?”
“Tahu apa pulak” menyampah la dengan dia ni. Tak rasa bersalah ke. Main tolak je kepala orang.
“Tak lama lagi, aku dengan Haikal dah nak kahwin!” kata Hanim teruja.
Terbuntang mata aku.
“Macam mana boleh kahwin pula ni. Kau baru je dapat jumpa dia semua masa kat rumah Pakcik Zahid kan. Baru jumpa, tahu tahu dah nak kahwin. Laju kerja kau Nim”
Hanim tersengih mengalahkan monyet di hutan.
“Cinta kami terpaut kembali lah Zah. Hihi malunya.”
Gedik punya minah. Bukan minah rempit sebab dia ada skuter je.
“Apapun aku gembira dengan berita ni. Tahniah Hanim. Bila nak langsung?”
“Itu tak tahu lagi. Tapi dalam tahun ni juga. Kau doakan lah yang terbaik ya”
Aku mengangguk dengan senyum gembira.
Akhirnya kau jumpa balik cinta hati kau ya Hanim. walaupun dia bukan cinta pertama kau, tapi kau pernah bagitahu aku yang Haikal tu lah cinta terakhir kau.
Walau kau dah lama terpisah dengan dia tapi kau berdua dapat jumpa semula. Dan tak lama lagi nak bina rumah tangga pulak. Aku tak tahu pula kisah dia orang. Kalau tahu kisah tu, mesti boleh buat novel kan. Hmmm?
“TERMENUNG apa tu” Encik Syahir menegur anak tunggalnya itu.
Amir memandang wajah bapanya. Lalu tersenyum nipis.
“Tak ada apa lah pa. Tengah fikir pasal kerja dekat office sikit. Ada lagi yang tak settle.” Bohong Amir.
Kening Encik Syahir terjungkit.
“Iya ke? Amir tipu papa kan. Sebab gambar yang ada dekat skrin tu dah jelas menunjukkan yang Amir tak fikirkan pasal kerja pun. Tapi sebaliknya”
Amir memandang ke skrin telefon. Alamak kantoi!
“Amir, kalau rindu pergilah jumpa. Sampai bila nak pendam. Satu hari nanti rasa tu pun akan diluahkan juga. Nanti melepas. Papa tak dapat tolong dah.” Kata Encik Syahir. Lalu beredar dari ruang tamu.
Betullah apa yang papa nya kata tu. Dia sangat merindui Zahirah.
Patutkah Amir pergi berjumpa dengan wanita yang berjaya menambat hati seorang Amir Naufal dalam diam. Amir sememangnya sudah lama mempunyai hati dengan Zahirah. tetapi dia keliru, tidakkah Zahirah perasan tentang semua itu atau Zahirah buat-buat tak perasan. T
inggi harapan yang dipengang oleh Amir Naufal tentang Zahirah juga mencintainya. Tidak salah kan berharap. Tapi dia juga tidak lupa, perasaan menaruh harapan setinggi gunung juga boleh bertukar kepada kekecewaan yang beribu kehampaan.
JAM 5.00 petang. Kini masanya untuk pulang ke rumah setelah penat seharian bekerja.
“Cik Zahirah. Saya balik dulu ya.” Kata Reisyah, staf di butikku ini.
Aku mengangguk tanda membenarkan.
Aku orang terakhir yang pulang dari butik.
Aku melangkah keluar dari butik. Sebelum tu aku periksa dahulu suis di dalam. Setelah memastikan semuanya tertutup, barulah aku keluar.
Hari ini aku membiarkan semua pekerja aku pulang awal ke rumah. Sekali sekala. Mereka yang selama ini penat membanting tulang tak kira siang dan malam untuk menjayakan Zahirah’s.
Tidak kiralah sama ada staf butik atau yang lain. Layanan aku sama sahaja pada mereka. Kecuali Hanim dan Airina.
Tiba-tiba langkahku terhenti. Apabila ingin menoleh, ada sekujur tubuh menghalang langkahku.
Seseorang yang aku rindu. Dulu dan kini.
Zayyad.
“Assalamualaikum Zahirah” kata Zayyad sambil tersenyum ikhlas.
Aku menatap wajahnya. Kacak. Dulu dan kini.
“Waalaikumussalam” jawabku dengan wajah tak ada perasaan
“Jadi awak suka tak bunga-bunga tu?” tanya Zayyad.
Kening ku bertaut.
“Bunga? Awak ke yang bagi?”
Dia tersenyum lagi.
“Saya harap awak suka lah” ujar Zayyad.
“Saya tak minta lah semua tu. Dan saya tak nak awak bagi lagi. Saya tegaskan lagi sekali, jangan bagi apa-apa lagi.” Bukannya aku bencikan dia tapi hatiku masih tak boleh nak lupakan apa yang dia buat walaupun aku masih cintakan dia.
“Awak, saya betul-betul nak minta maaf atas apa yang saya buat kat awak dulu” tulus Zayyad meminta maaf.
Aku hanya diam.
Kemudian, aku melangkah ke hadapan. Ingin pulang meninggalkan Zayyad sendirian.
“Zahirah”
Tiba-tiba ada seorang lagi yang memanggilku. Aku memandang ke hadapan. Amir naufal.
“Zahirah, boleh saya cakap dengan awak sekejap?” kata Amir.
Demi nak melarikan diri dari Zayyad, akhirnya aku bersetuju dengan pelawaan Amir.
“Boleh. Tapi bukan dekat sini. Haritu awak kata nak belanja saya kan? Apa kata kita pergi makan dan sambil tu, awak cakap lah apa yang awak cakap kat saya.”
Amir tersenyum. Suka mendengar jawapan yang dituturkan Zahirah. tidak terlalu dingin sewaktu dia mesej wanita itu semalam.
Aku pun mengambil langkah ke arah kereta. Amir juga begitu.
“Amir!”
Ibu? Aku ingat ibu tak datang hari ini sebab dia kata, pagi tadi ada kelas mengaji di masjid jadi dia ambil keputusan untuk tidak datang ke bakery. Rupanya ibu datang.
Kemudian, ibu mengambil batu yang ada di jalan tar. Dan membalingnya tepat mengena ke arah kepala Amir.
“Berani kau tunjukkan muka kau kat depan mata aku kan. Kau tahu kan aku tak suka mak kau, termasuk kau sekali aku tak suka dan semua ahli keluarga kau. Aku akan benci sampai mati! Kau ingat tu”
Darah mula menitik di kepala Amir.
Aku mendekati Amir. Aku hulurkan tisu untuk dia lap darah tu.
Zayyad masih setia jadi pemerhati.
“Ibu, dah lah. Kita tak berhak nak menghukum orang bu. Lagi-lagi nak mencederakan orang tu. Lagipun Amir tak salah. Dan keluarga dia pun tak salah. Ini semua takdir ibu. Takdir!” seraya air mata ku mengalir. Ibu masih tidak dapat lunturkan kisah lama dalam hidupnya. Perasaan benci tidak dapat dihapuskan.
“Kak, ibu nak akak balik sekarang. Jangan pernah jumpa dia lagi. Keluarga dia penyebab segalanya!”
Aku akur dengan arahan ibu. Aku terus pergi masuk ke dalam kereta. tapi aku tak kan balik lagi.
“Dan kau Amir. Jangan pernah jumpa dengan anak aku lagi. Kau ingat tu!”
Dan ibu terus beredar dari situ.
Sejurus selepas ibu pulang, aku keluar semula dari kereta dan pergi ke arah Amir. Zayyad mendekati Amir dan bawa Amir untuk duduk di bangku berdekatan, prihatin.
“Awak, jom kita pergi klinik sekarang.” Ajakku.
“Zahirah, awak pergi balik. Tak baik lawan cakap ibu awak. Jangan risau, saya okey.” Kata Amir.
“No excuse. Kita pergi sekarang jugak.” Arahku.
Dan Amir akur.
Zayyad mencelah.
“Saya ikut. Amir naik kereta dengan saya. Awak follow kita orang kat belakang” Arah Zayyad pula.
Aku sekadar mengangguk.
Sebenarnya Zayyad tak mahu Zahirah dengan Amir berdua sahaja. Ada satu perasaan aneh menyelubungi diri.
SAMPAI sahaja di klinik. Amir terus di rawat. Walaupun tidak seteruk mana. Tapi risau ku bukan kepalang.
Aku bermundar-mandir sementara tunggu Amir keluar dari bilik doktor.
“Zahirah. awak nampak risau sangat dekat Amir. Awak ada….”
Aku memotong percakapan Zayyad.
“Awak tahu tak, dia dah banyak tolong saya. Dia ada bila saya perlu. Bila saya sedih dia akan hilangkan semua tu dengan cara dia sendiri. Dan bila awak dah tak ada, dia yang selalu jadi tempat saya bercerita tentang betapa sedihnya saya waktu tu. Saya hilang ayah saya dan saya juga hilang awak, orang yang saya sayang dulu. Awak tak rasa Zayyad. Rasa sakit orang yang ditinggalkan lagi sakit dari rasa orang yang meninggalkan” habis ku hamburkan segalanya.
Zayyad menunduk. Dia sedar, dia banyak buat Zahirah menderita selama ini mungkin juga Zahirah masih menderita sekarang. Padahal Zahirah lah yang paling memahaminya dulu.
Zayyad ingin melihat Zahirah tersenyum semula. Bukan dengan orang lain tapi dengan dirinya sendiri. Itu janjinya.
“Zahirah. Saya minta ma….” Kata-kata Zayyad terhenti apabila Amir keluar dari bilik doctor.
Zayyad terasa apabila Zahirah lebih utamakan Amir. Dia tahu, dia hanyalah penyibuk. Dulu menghilang dan sekarang muncul kembali.
“Amir! Awak okey tak?”
Amir mengangguk sambil tersenyum
“Better. Dah jom kita balik. Tapi sekejap, saya bayar bil dulu” kata Amir.
Zahirah memandang balutan yang ada di kepala Amir. Rasa kasihan menyelubungi diri.
“Saya minta maaf. Biar saya bayarkan bil awak. Jom” aku mengajak Amir ke ruangan pengambilan ubat dan kaunter bayaran.
Zayyad ku tinggalkan di belakang. Tak kisahlah apa dia fikir. Aku risaukan Amir. Kerana ini juga salah aku. Walaupun ibu yang buat tapi aku tetap anggap ini salah aku.
KAMI bertiga keluar dari klinik sekitar jam 6.30 petang.
Ada setengah jam lagi untuk masuk waktu maghrib. Aku perlu pulang. Aku tidak suka keluar ketika waktu senja.
“Zayyad, awak boleh tolong hantarkan Amir balik rumah dia?” tanya aku. Aku tahu Zayyad tak kan menolak.
Zayyad mengangguk “Boleh”
“Zayyad, kau hantar aku dekat butik Zahirah je. Aku nak balik dengan kereta aku.” Kata Amir kepada Zayyad.
Aku mencelah “ No no no. Tak boleh, awak balik dengan Zayyad juga. Walaupun kepala awak yang luka bukannya tangan atau kaki tapi saya risau kot-kot nanti buatnya awak pening ke apa. Bahaya tu”
‘Risau betul awak dengan Amir ni ya Zahirah. Tunggulah nanti, saya akan buat awak seribu kali risau terhadap saya’ kata Zayyad dalam hati.
Amir akur dengan arahanku. Aku tak tahu apa perasaan Zayyad. Bukan niat aku nak buat dia rasa tersisih.
Dan kami pun pulang ke rumah masing-masing dengan menghadap kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur.
Aku tak pernah menyangka yang ibuku akan bertindak sebegitu sekali. Aku berharap akan ada perdamaian antara keluarga aku dan juga Amir suatu hari nanti.Semoga hari besok akan lebih baik dari hari ini.
Selamat membaca kepada para pembaca semua. Terima kasih sudi menyokong karya saya yang tak seberapa ni dan memang banyak kekurangan yang harus saya sempurna kan. Terima kasih sekali lagi.
Share this novel