Tubuh Syazlin yang ditimpa air hujan yang turun lebat itu diperhati sebelum dia bergerak mendekat. Tudung yang berada dihujung kaki Syazlin diambil sebelum Adam duduk melutut di tepi sahabatnya itu.
Rambut yang basah menutupi dahi. Air hujan jatuh ke atas kepala lalu turun ke mukanya. Adam hanya membiarkan air itu jatuh melalui dagunya. Bahu Syazlin disentuh perlahan.
Syazlin mengalihkan pandangannya ke arah Adam. Matanya kelihatan sembap dan sangat merah. Dia cuba untuk bangun daripada perbaringan. Sakit di perut ditahan. Dia menekan kuat perutnya dengan dahi yang berkerut-kerut.
Adam yang daripada tadi memegang tudung sekolah Syazlin terus menyarungkan tudung itu ke kepalanya, tanpa bersentuhan.
"Aku minta maaf, aku tak mampu nak tolong kau tadi." Kuat suara Adam seperti berlawan dengan suara hujan yang begitu kuat.
Syazlin hanya menggeleng perlahan. Mulutnya yang sakit dan terketar tak mampu dibuka. Sakit sangat.
Tudung yang senget-benget dibiarkan. Sampul berwarna coklat itu dicapai sebelum dia cuba untuk berdiri. Kaki yang tidak kuat menyebabkan dia jatuh terjelopok di atas tanah itu.
Adam memegang lengan Syazlin untuk mengimbangkan badan sahabatnya yang tiada kudrat itu. Syazlin dipimpin menuju ke garaj kereta untuk berteduh. Dia didudukkan di kerusi batu yang terdapat di situ sebelum Adam berlari meredah hujan ke arah keretanya.
Baju sejuk berwarna merah yang sentiasa ada di dalam keretanya dicapai. Dia bergegas ke tempat Syazlin. Kelihatan sahabatnya itu memeluk lutut menahan sejuk dan mungkin sakit di perut.
Baju sekolah yang basah lencun itu menyebabkan warna kulit Syazlin terdedah. Dengan pantas, Adam menyelimutkan Syazlin dengan jaketnya. Air mata yang masih mengalir, Syazlin biarkan.
Barang-barang yang berada di bawah garaj itu ditarik ke dalam sedikit untuk mengelakkannya daripada tempias hujan.
Punggungnya dilabuhkan di kerusi batu yang menghadap Syazlin. Sahabatnya yang kesejukan itu dipandang. Dia meletakkan kepala di atas meja batu tanpa menghiraukan pandangan Adam.
"Kau nak tinggal mana lepas ni?"
Gelengan daripada Syazlin yang diterimanya sebagai balasan. Mereka berdua berdiam diri sementara menunggu hujan berhenti.
"Sakitttt." Perlahan sahaja suara Syazlin tapi masih dapat ditangkap oleh telinga lintah Adam.
Lengan Syazlin yang melapiki kepala itu dicuit oleh Adam perlahan. Mata yang memerah itu menyapa.
"Jom kita pergi klinik. Hujan pon dah berhenti ni." Kata Adam sebelum berdiri menghadap sahabatnya itu. Syazlin hanya mengagguk sebagai balasan.
Perut yang senak ditekan menggunakan tangan kanannya. Syazlin berjalan perlahan ke arah pintu penumpang yang telah Adam buka.
Wajah Adam dipandang lama. Adam hanya menaikkan kening sehingga mengerutkan dahinya. Rambut yang jatuh ke dahi diraut ke belakang.
"Aku lencun ni. Nanti kusyen kereta kau basah." Suaranya berada di tahap yang paling rendah. Sungguh, dia tiada kudrat.
"Aku pon basah ni. Kau jangan risau,kau masuk dan duduk dekat situ diam-diam okay?" Adam tersengih melihat muka serba-salah Syazlin. Adam menutup pintu kereta sebelah Syazlin sebelum dia bergerak kembali ke arah garaj rumah Datuk Mansor untuk mengambil semua barang Syazlin. Banyak betul.
Setelah selesai mengangkut barangan Syazlin ke dalam but kereta, Adam menghidupkan kereta dan terus menuju ke klinik yang berdekatan.
Enjin kereta belum panas, tapi ada Adam kisah?
"Syaz.."
Senyap. Tiada balasan yang diterimanya.
"Aku—aku nak mintak maaf pasal hal dekat sekolah tadi." Syazlin di sebelah diperhati seketika sebelum pandangan dialihkan ke jalan raya yang agak licin disebabkan hujan tadi.
Maaf atas segala apa yang dia cakap.
Maaf atas segala apa yang dia lakukan.
Syazlin yang mendengar hanya mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Mengendahkan segala perkataan yang keluar daripada mulut Adam.
Hati aku masih sakit dengan ayat kau.
Perbuatan Syazlin itu hanya mengundang keluhan daripada Adam. Yalah, aku salah.
-----
Syazlin yang baru sahaja keluar daripada bilik doktor terus menuju ke tempat menunggu yang diduduki oleh Adam. Dia duduk selang sebuah kerusi daripada tempat Adam. Jaket merah pemberian Adam ditarik rapat ke badannya yang terasa bahang tetapi sejuk sehingga ke tulang.
Badannya disandarkan ke dinding klinik sambil menunggu namanya dipanggil oleh kakak di kaunter pendaftaran itu. Matanya cuba dilelapkan seketika. Kepala yang terasa pening diabaikan.
Adam hanya menjeling sedikit rakan di sebelahnya. Tandas klinik sudah ditujunya untuk membilas kepala yang terkena air hujan tadi. Matanya kembali menatap benda segi empat di tangannya itu.
"Syazlin Ameera binti Mansor."
Syazlin yang terdengar namanya terus membuka matanya.
Tapi,nAdam lebih pantas berdiri.
"Kau duduk sini, biar aku yang pergi ambik ubat kau." Syazlin hanya mengganggukkan kepalanya sebelum dia duduk tegak di atas kerusi memerhati Adam yang rancak berborak dengan kakak di tempat pengambilan ubat.
Dia memang mudah mesra dengan sesiapa pun. Untunglah ramah.
Syazlin terus bergerak ke arah sahabatnya itu setelah Adam mengamitnya untuk keluar daripada klinik itu. Senyuman separuh ikhlas diberi kepada kakak-kakak di situ.
Pintu kereta Adam dibuka sebelum badannya dipaksa masuk ke dalam. Tali pinggang keledar ditarik dan dipasang. Duduknya diubah berkali-kali supaya selesa.
Dalam perjalanan, Adam memperlahankan suara radio yang hanya kedengaran dj berceloteh pada waktu tengah hari itu.
"Syaz, tadi aku ada carikan kau rumah sewa. Then, pekerja papa mesej aku cakap dia ada rumah kosong. Kau nak tak?"
"Kat mana."
"Tak jauh dari sekolah kita. Nanti senanglah kau nak ulang-alik. Lagipon, segala jenis kedai ada dekat situ. Jadi kau jangan risau." Bersungguh-sungguh Adam menerangkan kepada Syazlin yang agak sengau disebabkan selsema.
"Okay. Kejap lagi ingatkan aku duit ubat. Aku belum bayar lagi kat kau." Kedua-dua belah tangan disilangkan menahan sejuk.
Adam hanya menunjukkan simbol okay menggunakan tangan kirinya yang bebas daripada memegang stereng.
Setelah sekian lama perjalanan mereka, Adam memberhentikan keretanya di sebuah rumah corner lot. Bahagian tanah corner lot itu dibina sebuah rumah kecil. Entah rumah atau stor pon dia tak tahu.
Adam keluar daripada kereta sebelum memberi salam di hadapan rumah itu. Lebih kurang beberapa saat kemudian, muncul seorang lelaki pertengahan usia menghampiri Adam dengan wajah yang tak lokek dengan senyuman.
Adam menyalami tangan tua itu sebelum menunjukkan kea rah Syazlin yang berada di dalam kereta. Adam mengamit Syazlin untuk keluar untuk bertemu tuan rumah.
Syazlin dan Adam dijemput masuk ke dalam rumah dan diperkenalkan isterinya yang mungkin mempunyai usia yang sama.
Sofa diduduki mereka sebelum motif kedatangan mereka diceritakan oleh Adam. Syazlin hanya mampu duduk bersandar dan tersenyum lemah. Dia betul-betul tak larat.
Share this novel