Series
991
Bab 11
Pembersihan
30 bulan kemudian
Pagi itu, langit kampung Tanah Merah cerah. Matahari penuh menggantung sayu, sinarnya menembusi celahan pokok kelapa sawit yang mengelilingi dusun. Angin malam membawa bau busuk menusuk — bau daging reput bercampur lumpur lembap. Bau itu cukup untuk membuatkan sesiapa pun sedar, Zek masih berkeliaran berhampiran.
Reza memimpin operasi pembersihan. Mereka berpecah kepada dua kumpulan kecil: Reza bersama Lily, manakala Azlan dengan Lee. Cara ini lebih mudah untuk membersihkan rumah-rumah kampung satu demi satu, memastikan tiada Zek yang menghantui kawasan itu.
Reza berhenti di hadapan sebuah rumah kayu usang. Tangannya memberi isyarat.
“Lily, bersedia,” bisiknya perlahan, suaranya serak menahan tegang.
Lily mengangguk. Tangannya menggenggam kukuh senjata jenis Sterling, muncungnya sudah dipasang penapis minyak buatan sendiri yang berfungsi sebagai peredam bunyi. Dia berdiri di sisi pintu, nafas ditahan, jantung berdegup kencang seolah-olah mahu pecah dari dada.
Reza perlahan-lahan menolak daun pintu kayu. Engselnya berkeriuk seperti suara mayat tua. Lily segera masuk, langkahnya lembut dan penuh waspada. Reza mengekori rapat dari belakang, senapang separa automatiknya diangkat, sedia melepaskan tembakan bila-bila masa.
Mereka bergerak dari ruang tamu yang berhabuk ke dapur yang dipenuhi pinggan mangkuk pecah. Bau hapak menusuk, seolah-olah rumah itu sudah lama ditinggalkan. Semuanya kelihatan tenang... hinggalah Lily menghentikan langkah.
Bunyi.
Halus, sayup, datang dari arah bilik.
Lily segera memberi isyarat tangan.
“Psst... bilik,” bisiknya, menunjuk ke arah pintu kayu di hujung lorong.
Reza mengangguk perlahan dan menghampiri Lily.
“Lily, pasti bilik ini?” soalnya perlahan.
“Ya, pakcik Reza,” jawab Lily, tekaknya kering.
Reza mengingatkan dengan nada tegas,
“Pastikan peluru penuh. Ingat latihan kita — leher dan kepala. Jangan teragak-agak.”
“Baik, pakcik,” Lily menarik nafas dalam.
Reza memeriksa senapangnya, memastikan tiada peluru tersekat. Jari telunjuknya tegang di picu, tubuhnya menegang menanti saat. Kemudian dia mengangkat ibu jari — isyarat untuk bertindak.
Lily membuka tombol perlahan-lahan. Bunyi klik itu terasa nyaring di telinga mereka. Pintu didorong sedikit, cukup untuk memberi laluan. Reza segera mara ke hadapan, muncung senjata teracung.
Namun sebaik sahaja pintu terbuka penuh, mereka terpaku.
Di dalam bilik, berdiri seekor makhluk Zek bermutasi — tubuhnya gempal, berisi lemak menjijikkan. Kulitnya pucat kebiruan, pecah-pecah dan mengalirkan cecair kekuningan. Mulutnya berbuih, mengeluarkan lendir pekat yang menitis ke lantai kayu, menghakis papan dengan bunyi ssszzzt.
Reza berbisik perlahan.
“...Sembab.”
(Catatan: Sembab ialah makhluk Zek yang telah bermutasi — tubuhnya besar dan gemuk, mampu memuntahkan cecair asid serta meletup apabila diganggu.)
“Undur perlahan,” arah Reza kepada Lily.
Lily menelan air liur. Dia bergerak mundur satu langkah demi satu langkah. Reza menutup pintu bilik perlahan-lahan. Degupan jantungnya berdentum, bagai gendang perang.
Tetapi malang tidak berbau.
Krak!
Kaki Lily tersadung botol kaca pecah di lantai. Bunyi itu memecahkan keheningan.
Sembab itu tersentak. Matanya membelalak, lalu mengaum dengan suara seram, gusi berdarah ternganga. Tanpa amaran, ia berlari ke arah mereka dengan kelajuan luar jangka.
“Lily, keluar sekarang! Cepat!!” jerit Reza.
Lily berpaling, terus berlari. Tetapi di pintu keluar, tiga ekor makhluk Zek lain tiba-tiba muncul, menyerbu deras. Lily terkejut, terundur hingga terjatuh ke lantai. Seekor makhluk Zek melompat ke arahnya, gigi tajam mengunyah tangan
Lily menahan dengan lengan yang sudah dililit kain pelindung tebal. Gigi makhluk Zek itu menggigit kuat, hampir menembusi. Dia menjerit cemas
.
“Pakcik! Tolong! Lily tak kuat lawan benda ni!!”
Reza, pada masa sama, sedang menahan pintu bilik agar Sembab tidak menerobos keluar. Nafasnya memburu. Namun tanpa berfikir panjang, dia menoleh, mengangkat senapang, lalu menembak tepat ke leher makhluk Zek yang menggigit Lily. Darah hitam memancut deras.
Lily segera menolak mayat makhluk Zek itu ke tepi, merangkak ke arah senjatanya yang tercampak. Dengan pantas, dia mengacukan muncung dan menembak tepat ke kepala makhluk Zek lain yang cuba menggigit tangan Reza. Letupan senyap, otak makhluk Zek itu berkecai.
“Bagus, Lily! Ke sini!!” jerit Reza, peluh menitik deras.
Namun pintu bilik tiba-tiba meletup terbuka. Tubuh Sembab yang raksasa itu merempuh keluar, menolak Reza dan Lily hingga terpelanting.
Mereka berdua terhempas ke dinding dapur. Kepala Lily berpinar, telinganya berdesing. Sembab berdiri megah, mengeluarkan raungan panjang.
“ARGHHHHHHHHH!!!!”
Bunyi itu membuat lantai bergetar, seakan seluruh rumah bergema.
“Lily! Bangun cepat! Kita kena keluar sekarang!!” Reza menarik lengannya, memaksa tubuhnya bergerak walau lutut longlai.
Mereka berlari terhuyung-hayang. Tetapi Lily menoleh — dan matanya membesar.
“Pakcik! Benda tu... mengembung!!”
Tubuh Sembab itu mulai bergetar, kulitnya menegang, urat-urat hijau membonjol. Suara raungannya berubah parau.
“Lari!!!” jerit Reza sekuat hati.
Beberapa saat kemudian,
BOOOOOM!!!
Tubuh Sembab meletup. Cecair asid memercik ke seluruh ruang, dinding kayu reput cair serta-merta. Api kecil menyambar tirai lusuh, asap hitam memenuhi ruang. Reza dan Lily sempat terjun keluar melalui tingkap dapur, berguling di tanah berlumut.
Di belakang mereka, rumah itu hancur berkecai, api menyala merah. Bau daging busuk bercampur asid memenuhi udara.
Reza tercungap-cungap, menoleh pada Lily yang masih terbaring, dadanya naik turun deras.
“Lily.. selamat?”
Lily mengangguk, walau wajahnya pucat ketakutan.
Sementara itu, Azlan dan Lee sedang menuju ke sebuah rumah besar di hujung kampung. Bulan menyimbah cahaya pucat ke halaman yang luas, dipenuhi pokok kelapa sawit di sekitarnya.
Azlan mengusap peluh di dahinya.
“Lee... orang kampung sini kaya betul ke? Rumah besar macam ni? Orang bandar pun kalah.”
Lee tersenyum nipis, namun matanya tetap liar memerhati sekeliling.
“Orang kampung ni nampak biasa, tapi tanah mereka luas. Kau belum tengok lagi — ada yang berpuluh ekar. Dusun Reza pun kecil kalau nak dibanding.”
Azlan terdiam seketika.
“Tiba-tiba aku rasa miskin betul, Lee.”
Lee ketawa kecil, kemudian menunjuk ke arah rumah besar yang suram.
“Sudahlah, jangan banyak cakap. Tinggal rumah ni saja yang belum kita periksa.”
Mereka sampai ke pagar batu besar. Halaman sunyi, hanya daun kering berguguran, menimbulkan bunyi renyah bila dipijak.
Lee cuba menolak pintu pagar besi. Berkunci. Dia segera memberi isyarat.
“Lan, kau panjat. Aku tolong.”
Azlan memijak bahu Lee, menarik diri ke atas tembok. Jari-jemarinya hampir terlepas kerana dinding lembap. Dengan susah payah, dia berjaya naik lalu menghulurkan tangan membantu Lee. Kedua-duanya akhirnya mendarat di halaman.
Suasana terasa menyesakkan. Rumah besar itu berdiri muram, jendelanya gelap, seolah-olah sedang memerhati mereka.
“Kenapa aku rasa... tempat ni lain macam?” bisik Azlan.
“Diam. Fokus,” balas Lee perlahan.
Mereka bergerak perlahan ke pintu utama. Azlan mengangkat senjata, muncungnya bergetar sedikit — tangannya tidak seteguh biasa. Lee memegang tombol pintu, wajahnya tegang.
“Sedia, Lan?”
Azlan menarik nafas dalam, jari di picu.
“Sedia. Buka... buka... buka!!”
Pintu ditolak serentak. Mereka meluru masuk — dan mata mereka terbeliak.
Apa yang terpampang di dalam rumah itu membuatkan mereka menarik nafas
Share this novel