Series
991
Bab 21
Kemenangan
Manakala Azlan dan Lee pula melihat situasi itu dan terus mengacukan senjata mereka ke tempat penyangak itu berlindung di sebalik rumah yang tengah melepaskan tembakan ke arah Reza untuk memberi perlindungan kepada rakannya yang sedang berpatah balik. Tanpa membuang masa, Azlan dan Lee terus melepaskan tembakan bertalu-talu tanpa dapat dikesan oleh penyangak itu.
Kesemua penyangak puak Lor’gya itu terkejut mendengar bunyi desupan peluru datang tepat menuju ke mereka, dan dua antara mereka tumpas akibat tembakan itu. Melihat keadaan itu, mereka yang terselamat terus berlari menyelamatkan diri menuju hujung lorong baris rumah pertama. Mereka terus hilang dari pandangan, lalu Azlan terus memaklumkan kepada Reza mengenai kedudukan penyangak itu yang berlari ke hujung lorong baris rumah pertama.
Apabila Reza mendengar maklumat dari Azlan, tanpa berfikir panjang, dia mengangkat senjatanya dan terus berlari dengan pantas ke hujung lorong baris rumah keempat menunggu untuk membuat serangan hendap. Setelah sampai di hujung lorong baris rumah keempat, Reza terus mencari posisi bersembunyi di belakang dinding tempat letak kereta di rumah kedua hujung. Reza menunggu dengan sabar dan berada dalam posisi sedia sehingga terdengar beberapa suara bertutur dalam bahasa asing sambil menangis, panik dan ketakutan; penyangak puak Lor’gya itu sedang berjalan menuju ke arah tempat Reza bersembunyi. Apabila mereka semua telah melintas rumah kedua hujung itu, Reza terus mengacukan senjata AK-47 ke arah mereka lalu melepaskan tembakan bertalu-talu di belakang badan.
Mereka terus jatuh tersungkur dan bergelimpangan di atas jalan itu. Namun seorang penyangak dewasa yang terselamat dari serangan hendap yang dibuat oleh Reza, lalu cuba untuk lari menyelamatkan diri tetapi gagal apabila Reza menjerit menyuruh berhenti sambil melepaskan tiga das tembakan di sisi penyangak itu.
“Berhenti, bangsat! Kau jangan nak lari lagi! Diri dekat situ, bangsat! Kau gerak aku terus tembak!” gertak Reza penuh kemarahan sambil mengacu muncung senjata dekat muka penyangak itu.
“Jangan kasi tembak sama saya, saya mahu hidup,” merayu penyangak puak Lor’gya itu sambil merapatkan tangannya ke Reza.
“Kau diam, bangsat! Kau diam!” jerit Reza sambil berhati-hati menjaga jaraknya agar tidak terlalu rapat atau jauh.
Penyangak puak Lor’gya itu merayu menangis-nangis kepada Reza agar tidak menembaknya, namun Reza tidak berhasrat untuk menembaknya, cuma mengacu senjatanya dekat penyangak. Hal ini kerana Reza memerlukan tahanan hidup untuk disoal siasat bagi mengetahui kekuatan musuh.
“Kau pusing depan! Gerak sekarang!” gertak Reza dengan menerajang belakang penyangak itu supaya berjalan.
Setelah beberapa minit berjalan, akhirnya Reza dan tahanannya sampai ke jalan utama. Reza memanggil dua remaja yang sedang bersembunyi di dalam longkang besar itu:
“Oi budak! Naik sekarang! Keadaan sudah selamat, jangan risau, bangsat semua dah mati! Cepat naik!” jerit Reza memanggil dua remaja itu untuk naik ke atas.
Dua remaja itu menjenguk kepala untuk melihat keadaan sekeliling dan kelihatan Reza sedang mengacukan senjata dekat seorang tahanan. Barulah mereka memanjat naik dari longkang itu untuk pergi ke belakang Reza.
“Jom, ikut aku pergi bangunan kedai depan itu, jangan risau, cikgu Lee kau pun ada kat sini,” kata Reza.
“Cikgu Lee? Mana dia?” kata salah seorang remaja.
“Tengok kat menara tangki air tu, nampak tak orang tengah melambai itu?” tanya Reza.
“Nampak!” kata dua remaja serentak tersenyum sambil melambai semula.
“Kita jumpa cikgu Lee itu dekat bangunan kedai nanti,” sambung Reza lagi.
Azlan dan Lee melihat kelibat Reza bersama-sama dua orang remaja dengan seorang tahanan sedang berjalan menuju ke bangunan kedai. Mereka berdua terus bangun dan melambai-lambai ke arah Reza. Lalu mereka berdua mengangkat senjata mereka turun ke bawah dan menuju ke bangunan kedai.
Lima minit kemudian,
mereka semua berjumpa di hadapan kedai di mana rumah kedai Fariz dan yang lain sedang bersembunyi.
“Aku dapat tangkap seekor bangsat, boleh aku soal siasat nanti,” kata Reza sambil menolak penyangak itu yang sedang merayu agar tidak dibunuh.
“Kau memang sial, celaka, binatang! Tidak ada hati perut!” kata Azlan sambil menampar berkali-kali muka penyangak puak Lor’gya itu.
“Rez, kau selamatkan anak murid aku ini, aku berterima kasih dekat kau,” kata Lee menuju dekat anak muridnya.
Reza hanya mampu tersenyum sambil mengacukan senjata dekat penyangak itu.
“Ok dah, jom naik atas dulu,” arahan Reza.
Mereka semua naik ke rumah kedai tingkat satu dan Fariz kelihatan sedang menunggu ketibaan mereka di pintu. Setelah itu, mereka semua terduduk rehat di atas lantai kecuali Reza yang sedang membawa penyangak itu masuk ke bilik di mana tiga orang penyangak remaja dikumpul dan diikat di atas kerusi yang tengah menangis menahan kesakitan akibat tulang kering dan lengan dipatahkan oleh Reza. Lalu Reza meminta penyangak itu untuk memandang menghadap dinding dan Reza terus menghayun dengan kuat belakang senjata ke kepala penyangak itu; terus jatuh pengsan. Reza memanggil Fariz untuk membawa tali dan membantunya untuk mengikat penyangak itu di atas kerusi.
Selesai mengikat penyangak itu, Reza dan Fariz keluar dari bilik itu dan Reza pula bersedia untuk keluar semula untuk mengambil kumpulan kanak-kanak yang dia sembunyikan di dalam bilik sebuah rumah.
“Korang semua rehat dulu, aku nak pergi ambil kanak-kanak dekat rumah yang aku sembunyikan,” kata Reza terus bergerak keluar dari pintu rumah kedai tingkat atas.
Share this novel