Bab 4

Thriller Series 961

Bab 4
Balai Polis

"Pakcik Reza, ini kunci kereta papa. Kereta tu tak ada alarm, remote pun dah rosak. Papa selalu buka pintu guna kunci je," ujar Lily dengan suara perlahan.

Selepas Reza membuat tinjauan dari tingkat atas untuk memastikan keadaan di hadapan kedai selamat, dia perlahan-lahan turun dan membuka pintu, berhati-hati agar tiada bunyi yang mampu menarik perhatian makhluk Z. Langkahnya terus menuju ke trak yang terparkir di depan kedai. Dia memeriksa keadaan trak sebelum mula memasukkan bekalan—barang asas makanan, beberapa keperluan harian, serta dua tong plastik berisi minyak diesel—semuanya untuk dibawa ke rumah bawah tanah. Dari tingkap rumah, Lily hanya mampu memerhati Reza yang tekun memuatkan bekalan ke dalam trak dengan penuh waspada.

"Cikgu Lee, Pakcik Azlan, boleh tak Lily cakap sesuatu?" tanya Lily dengan wajah cemas.

"Cakaplah, Lily," balas Lee, cuba menenangkan.

"Lily… takut sebenarnya kalau kita tinggal kat sini lagi. Bunyi benda tu… menyeramkan. Lily takut…" suaranya bergetar menahan sebak.

Lee dan Azlan terdiam. Kata-kata Lily menusuk hati mereka. Terlintas kembali perbualan dengan Reza malam tadi—tentang risiko, tentang masa depan, tentang sejauh mana mereka mampu bertahan di rumah itu dengan segala ancaman yang semakin menghimpit.

"Betul juga apa Reza cakap malam tadi… Sampai bila? Bila bekalan habis, itu satu hal. Kalau makhluk tu datang balik ke pekan ni… lagi satu hal. Memang sakitlah nak keluar nanti," ujar Lee perlahan, seakan bercakap dengan diri sendiri.

"Jadi… keputusan sekarang ni, kita kena ikut Reza juga lah. Nak tak nak… sekurang-kurangnya rumah bawah tanah dia jauh dari makhluk-makhluk ni, lebih selamat dari sini," tambah Azlan akhirnya.
Dengan tekad baru, mereka berdua turun ke bawah untuk menyatakan persetujuan. Namun, sewaktu hendak melangkah, mereka terserempak dengan Reza yang baru sahaja naik ke tingkat atas.

"Reza, aku dengan Azlan dah buat keputusan… kami ikut kau ke kubu bawah tanah. Betul juga apa kau cakap, sampai bila kita boleh selamat kalau terus tinggal kat sini," kata Lee.

"Tak apa. Jom tolong aku angkat barang. Ambil yang penting dulu oat, beras, sardin, Nestum, biskut, gula, tepung, air mineral, air tin. Ambil ikut keperluan kita," jawab Reza dengan nada serius.

"Ok, boss!" balas Lee dan Azlan serentak, cuba berjenaka untuk mengurangkan tegang suasana.

Mereka naik semula dan mula memuatkan bekalan ke dalam dua buah trak—satu untuk Lee dan Azlan, satu lagi untuk Reza. Segala gerakan dilakukan penuh berhati-hati, seolah-olah setiap bunyi kecil mampu mengundang maut.

Selepas lebih sejam, mereka kembali ke tingkat atas untuk menyusun semula pelan terakhir.

"Ok, sebelum kita gerak ke balai tu, ingat apa yang kita rancang malam tadi. Kita masuk ikut pintu pagar kecil tepi balai. Bergerak perlahan, jangan buat bising. Kalau terserempak dengan Zek, elakkan lawan kalau boleh," pesan Reza.

"Ok, Rez. Jadi, kita kena gerak pukul berapa?" tanya Azlan.

"Kita gerak tengah hari. Sekarang ni, kita buat persediaan untuk lindung diri, terutamanya tangan dan kaki. Masa aku kena serang dulu, benda tu memang terus gigit bahagian yang senang kena," jelas Reza.

"Lily!" panggil Reza.

"Ya, saya!" sahut Lily cepat.

"Lily ada buku tebal tak? Buku teks ke, buku apa-apa… dengan selotip sekali?"

"Ada, Pakcik Reza. Sekejap ya, Lily ambil."

Lily berlari masuk ke bilik, mengambil semua buku teks dan latihan, lalu kembali dengan selotip di tangan. Nafasnya sedikit tercungap.

"Pakcik Reza, ni semua buku-buku Lily. Sekolah pun dah tak buka lagi kan… jadi semua ni dah tak guna dah," ujarnya sambil menghulur.

"Amboi, Lily pandai ye cari alasan tak nak buat kerja sekolah," Reza tersenyum nipis sebelum kembali serius. "Terima kasih, Lily. Tolong Cikgu Lee dengan Pakcik Azlan, ya."

Lily mengangguk. Dia melihat Reza melekatkan buku di tangan dan kaki Lee, dibantu oleh Azlan. Satu persatu mereka disiapkan dengan pelindung buku—termasuk Lily sendiri. Kini, semuanya bersedia.

Reza, Lee, dan Azlan menggenggam pisau dapur masing-masing. Lily juga memegang satu, meskipun dia hanya akan menunggu di rumah.

"Ingat, jangan buat bising. Jangan lawan Zek kalau boleh elak. Lily, tunggu kat atas sampai kami balik," pesan Reza.

Lily mengangguk.

Dengan langkah perlahan, mereka bertiga meninggalkan rumah kedai menuju ke balai polis. Setiap kenderaan rosak di jalan raya dijadikan perisai, setiap langkah diatur agar tidak mencetuskan bunyi.

Namun perjalanan itu penuh dengan pemandangan ngeri. Bangkai anjing dan kucing bergelimpangan di tengah jalan.

"Hati-hati… takut anjing dan kucing tu bangun serang kita," bisik Lee.
"Pelik… semalam anjing dengan kucing serang orang macam gila. Tiba-tiba sekarang semua diam," balas Azlan.

"Cuba cucuk, tengok gerak tak," ujar Lee.

Reza menolak bangkai dengan hujung kakinya. Tiada respon.

"Rasanya dah mati. Tapi tetap hati-hati… takut tiba-tiba bangun," katanya.

Mereka terus bergerak menuju ke warung berhampiran. Dari situ, Lee menunjuk arah pintu pagar kecil di tepi balai.

"Pintu masuk utama kat depan bukit. Kita naik tangga sampai pagar tu," bisiknya.

"Ok. Jom," arah Reza.

Mereka memanjat perlahan. Sampai di pagar, Reza mengintai keadaan sekeliling.

"Zek ada kat hujung sana, jauh dari kita. Kita teruskan ikut belakang, ke tempat parking MPV polis," katanya.

Mereka merangkak perlahan, namun tiba-tiba seekor Zek muncul dari depan, jaraknya hanya 20 meter. Serentak, mereka meniarap di jalan. Jantung berdegup kencang apabila makhluk itu semakin dekat… tetapi ia berlalu begitu sahaja, seolah-olah tidak menyedari kehadiran mereka.

"Fuh… serius wei, menggigil aku tadi," bisik Azlan.

"Aku pun… rasa nyawa melayang bila dia lalu depan muka aku. Nak terkencing rasanya," tambah Lee, separuh berbisik separuh ketawa cemas.

"Perasan tak? Dia macam tak nampak kita. Bila kita diam… seolah-olah kita tak wujud," kata Reza.

Mereka mula menyedari sesuatu.

"Benda tu macam buta… tapi peka pada bunyi. Jom kita test," ujar Reza, mencari objek. Dia menemui botol kosong, lalu mengangkatnya.

"Rez, jangan baling ke arah pagar. Nanti susah kita nak keluar," ingatkan Azlan.

Reza mengangguk lalu membaling botol ke arah jauh. Serentak, Z terus berlari ke arah bunyi itu, melanggar apa sahaja yang menghalang.

"Betul! Dia triggered dengan bunyi! Macam semalam masa bunyi tembakan. Semua Zek terus ke arah tu," kata Azlan dengan mata terbeliak.

"Maknanya kita kena ekstra hati-hati. Jangan buat bising," pesan Reza lagi.

Mereka meneruskan perjalanan ke pintu belakang balai polis. Dari tingkap sisi, Reza mengintai. Bangunan kelihatan sunyi. Tiba-tiba—seekor Zek muncul betul-betul di depan tingkap. Nafas Reza tersekat, hampir menjerit, namun mujurlah makhluk itu langsung tidak menyedarinya.

"Ok… dalam nampak sunyi. Ada satu, dua ekor je. Pintu belakang memang terbuka," bisiknya selepas menarik nafas lega.

"Jap, sebelum kita masuk, kita cari dulu walkie talkie kat tingkat bawah. Kalau ada barang penting lain, ambil je. Tapi jangan buat bising," tambah Reza.

Mereka masuk perlahan-lahan. Tingkat bawah diredah dalam senyap, berpecah untuk mencari sesuatu yang berguna.

Lee melambai—tangan kanannya memegang walkie talkie. Reza dan Azlan mengangkat ibu jari tanda setuju.

Sementara itu, Azlan terjumpa senapang patah di atas meja. Wajahnya bercahaya teruja. Namun dalam keghairahan itu, sikunya terlanggar gelas kaca.

PRANGG!!!

Bunyi kaca pecah bergema.

Reza yang sedang bergerak ke arah Lee terkejut besar. Zek di dalam dan luar bangunan tiba-tiba menjadi agresif, berlari ke arah mereka.

Suasana jadi kelam-kabut. Mereka bertiga panik, cuba mencari senjata sambil menahan nafas.

Dan tiba-tiba—

"Reza!!! Belakang kau!!!" jeritan Lee memecah udara, membuat darah Reza terasa membeku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience