Series
961
Bab 6
Kubu Bawah Tanah
“Kau diam, apek!” jawab Azlan dengan nada keras.
“Dah, dah… naik cepat!” kata Reza, suaranya tegas tetapi jelas tergesa-gesa.
Mereka semua akhirnya selamat tiba di rumah kedai, lalu melepaskan nafas lega yang terasa berat di dada. Dalam keadaan keletihan bercampur luka, mereka duduk berehat sambil membuka ikatan buku di kaki dan tangan, menukar balutan luka yang tercabut akibat kejadian kelam-kabut di balai polis sebentar tadi. Setelah selesai membalut lukanya semula, Reza bangun dan terus bergerak membuat persiapan terakhir.
“Aku turun masuk stor sekejap. Korang siap sedia ambil dapur masak, periuk nasi, alatan dapur semua… kita bawa ke sana. Lepas siap, kita terus gerak,” ujar Reza sambil memandang serius ke arah mereka.
Masing-masing bangun, bergerak pantas untuk menyiapkan persiapan terakhir sebelum berangkat ke kubu bawah tanah milik Reza. Sementara itu, Reza masuk ke dalam stor mencari barangan tambahan. Ketika sedang menyelongkar, matanya terpaku pada sebuah tong diesel penuh. Dia menariknya ke tepi pintu stor sebelum kembali menyambung pencarian.
Di bawah, Lee, Azlan dan Lily sudah mengangkat alatan dapur ke trak dengan penuh berhati-hati. Bunyi besi dan periuk yang berlaga cuba mereka kawal agar tidak mengundang perhatian sesuatu yang tidak diingini.
“Lee, panggil Rez. Lama dia kat atas tu. Dia cari apa agaknya?” kata Azlan, sedikit ragu.
“Ya lah… lama betul dia. Jap, aku naik panggil dia,” jawab Lee.
Lee berlari menaiki tangga, dan sesampai di tingkat satu, dia terlihat Reza sedang meneliti barangan di rak. Pandangan Lee terhenti pada tong diesel di tepi pintu dan sebuah kotak kecil di atas rak. Tanpa berlengah, Lee mencapai kotak itu lalu memanggil Reza.
“Kau cari apa lagi sebenarnya, Rez?” soal Lee sambil mengangkat kotak pemetik api itu.
“Kau jumpa kat mana?” tanya Reza, keningnya berkerut.
“Atas rak ni,” jawab Lee sambil menuding.
“Puas aku cari satu stor… berpusing-pusing aku dibuatnya,” rungut Reza sambil menghela nafas berat.
Lee tersenyum sinis. “Lain kali cari guna mata, bukan guna hidung.”
Reza menoleh tajam. “Kau berani guna balik ayat aku, ya?” katanya, wajah sedikit suram.
“Dulu kau selalu cakap macam tu kat aku. Sekarang biar aku pulangkan balik. Hahaha!” balas Lee sambil ketawa kecil.
Reza hanya menggeleng, namun senyum nipis sempat terukir. “Sudahlah. Jom tolong aku angkat tong diesel ni.”
Mereka mengangkat tong diesel dengan penuh berhati-hati, turun ke bawah tanpa mengeluarkan bunyi yang boleh membocorkan keberadaan mereka. Sampai di bawah, Reza segera meletakkan tong diesel ke dalam trak, lalu menggunakan bahasa isyarat untuk mengumpulkan semua.
“Kita bahagikan dua kumpulan. Lee dengan Lan naik trak biru. Semua barang yang kita dapat kat balai, letak kat trak biru. Aku dengan Lily naik trak putih. Aku gerak dulu, baru korang ikut rapat di belakang,” arah Reza dengan nada tegas.
Mereka patuh. Reza kemudian memanggil Azlan, menyampaikan arahan khas dengan wajah serius.
“Lan, shotgun ni aku serah pada kau. Ingat, gunakan bila betul-betul perlu saja. Kita kena bergerak pantas, jangan bagi peluang benda tu serbu. Kau dan Lee mesti ikut rapat trak aku. Jangan berhenti. Kalau ada yang halang, langgar saja! Tapi kalau terlalu ramai, elak. Sebab kalau kau berhenti, benda tu boleh melompat naik ke atas kereta. Kalau jadi macam tu, barulah kau guna shotgun. Cuma hati-hati… aku risau tali gantung senjata tu boleh terlepas dari badan kau.”
Azlan mengangguk perlahan, wajahnya jelas faham dengan tanggungjawab berat itu.
Enjin kedua-dua trak dihidupkan serentak. Bunyi deruman enjin membelah sunyi malam, lalu Reza terus memecut keluar simpang jalan kedai. Lee yang mengekori di belakang cuba sedaya upaya mengekalkan jarak rapat.
Namun tidak lama, jeritan seram menggema. Makhluk Zek yang mendengar bunyi enjin itu berlari pantas, menghambur dari pelbagai arah menuju ke trak. Tanpa pilihan, Reza dan Lee terus memecut sambil merempuh gerombolan Makhluk Zek yang cuba melompat ke arah mereka.
Sampai di simpang Taman Sri Pagoh, Reza memberi arahan cepat kepada Lily.
“Lily! Ambil mercun papan kat belakang, cepat! Lepas tu bakar dan baling keluar!”
“Baik, Pakcik Reza!” jerit Lily.
Dengan tangan sedikit terketar, Lily segera mencapai kotak mercun papan, menyalakan sumbunya, lalu membaling keluar tingkap. Dentuman kuat bergema, memecah malam yang sunyi. Seperti yang dijangka, gerombolan Makhluk Zek berpaling serentak ke arah bunyi itu, meninggalkan trak mereka.
“Cepat! Jangan toleh belakang!” jerit Reza sambil menekan pedal minyak sedalam-dalamnya.
Mereka semua menarik nafas lega apabila akhirnya gerombolan itu semakin jauh ditinggalkan. Namun perjalanan tidak kurang mendebarkan. Jalan-jalan dipenuhi kereta terbalik, ada yang terbakar, ada yang bertindih remuk berlanggar. Mayat-mayat Makhluk Zek bergelimpangan, sebahagian masih berkeliaran di tengah jalan. Lily terus tekun dengan tugasnya, menyalakan mercun papan dan melemparkannya untuk mengalih perhatian, manakala Azlan di trak belakang sudah bersedia, shotgun di tangan.
Beberapa kilometer kemudian, Reza terlihat sebuah lori tangki minyak tersadai di tepi jalan menuju ke Parit Sulung. Jantungnya berdegup laju—itu peluang besar. Namun dia terpaksa menahan diri. Berhenti bermakna mengundang maut. Dengan hati berat, dia meneruskan perjalanan, tekad menangguhkan rancangan itu sehingga mereka tiba di dusun.
Sepuluh minit berlalu. Lampu isyarat belok kiri menyala, dan mereka memasuki simpang menuju Dusun Damai. Aneh… jalan dusun itu sunyi. Tiada kelibat Makhluk Zek, tiada bunyi ancaman. Hanya ladang tembikai, kebun kelapa sawit dan pokok durian yang berdiri tenang di kiri kanan jalan.
Reza membelok masuk ke jalan berbatu yang tidak rata. Kenderaan bergoncang, namun mereka teruskan juga hingga akhirnya sampai ke pintu pagar besi dusun Reza.
“Lily, turun buka pagar tu. Tak berkunci,” arah Reza.
Tanpa berlengah, Lily turun, namun Azlan turut mengiringi untuk melindunginya. Setelah pagar dibuka, kedua-dua trak masuk dan pagar ditutup semula.
Mereka kini berada di dalam kawasan dusun yang luas. Pandangan mata disajikan dengan pokok buah-buahan, kolam kecil dan sungai yang mengalir tenang. Reza turun dari trak, menghela nafas lega.
“Fuh! Lega akhirnya… besar kan tempat ni? Ada sungai, ada kolam, pokok durian, jambu… siap pagar besi. Jauh lebih baik daripada rumah kedai tu,” kata Reza sambil memandang Lee.
Lee terpaku. “Seriuslah, Rez? Besar gila dusun kau ni. Cantik! Nasib baik aku ikut kau. Kalau tak… entah apa jadi kat tempat tu.”
Reza menepuk bahunya. “Itulah. Lain kali percaya cakap aku. Dekat sini, kita selamat. Jauh dari benda tu, jauh dari bahaya.”
Tiba-tiba Lily menjerit riang. “Pakcik Reza! Cantiknya dusun ni! Banyak pokok buah. Tengok tu, ada kolam, Pakcik Azlan! Jom pergi tengok kolam tu!” jeritnya sambil menarik tangan Azlan.
Reza dan Lee tersenyum melihat gelagat mereka berdua yang berlari anak ke arah kolam.
“Jom, kita pergi dekat diorang,” ajak Reza.
Mereka berempat akhirnya berkumpul di tepi kolam, wajah masing-masing jelas terlukis rasa lega.
“Pakcik Reza! Dalam kolam ni ada ikan tak?” tanya Lily dengan mata bersinar.
Reza mengangguk sambil tersenyum. “Ada, Lily. Macam-macam ikan. Nanti kita boleh mancing sama-sama.”
“Yeah! Mancing ikan! Tapi… ada ikan jerung tak dalam ni?” soalnya lagi, penuh rasa ingin tahu.
Reza tergelak kecil. “Ikan jerung kat laut, sayang oi. Kolam ni ada ikan-ikan kecil je.”
Gelak tawa mereka sedikit meredakan ketegangan. Namun Azlan masih berfikir tentang sesuatu. Dia memandang ke arah pondok yang berdiri berhampiran.
“Rez… mana kubu bawah tanah kau tu? Dari tadi aku cari, tak nampak pun. Yang tu pondok je kan?” soal Azlan, bingung.
Reza tersenyum penuh rahsia. “Bukan. Itu pondok dusun keluarga aku. Kubu bawah tanah ada kat sebelah kiri, antara dua pokok durian tu.”
Azlan terdiam, matanya cuba menilai kawasan yang ditunjukkan.
“Ok semua, ikut aku. Aku tunjuk kubu bawah tanah tu.”
Mereka berjalan mengikut Reza. Sampai di lokasi, Reza tunduk, menarik sesuatu di tanah. Pintu besi tersembunyi terkuak. Azlan membantu mengangkatnya, menampakkan tangga gelap yang menurun ke bawah tanah.
Reza menyalakan lampu suluh, menapak perlahan ke bawah.
“Tunggu kat luar sekejap. Aku cari suis lampu,” katanya.
Beberapa saat kemudian, klik! Lampu neon menyala, memancar terang. Mereka yang menunggu di atas terpegun.
Kubu bawah tanah itu luas. Dinding konkritnya penuh rak besi berisi barangan keperluan, makanan kering, senjata dan peralatan bertahan hidup.
Lee menelan liur, kagum. “Rez… sejak bila kau buat tempat macam ni?”
Share this novel