Bab 2

Thriller Series 961

Bab 2
Pelan

Reza melihat lelaki itu sempat berlari meninggalkannya sebentar, manakala orang dijangkiti terus mengasak, cuba menggigit Reza dengan rakus. Reza sedaya upaya menahan, bergelut menggunakan segala tenaga agar tidak digigit. Orang dijangkiti itu menghentak-hentak tangan Reza berkali-kali dengan kuat, membuatkan lengannya terasa sakit berdenyut.

Tiba-tiba—
“Arrghhhhhhh!!!”

Lelaki itu kembali semula dengan laju, lalu menyepak bahagian kepala orang dijangkiti tersebut sekuat hati. Bunyi tulang leher patah kedengaran jelas. Makhluk itu terkulai, kaku, tidak lagi bergerak.
Lelaki itu bersuara, “Kau ingat aku lari kan? Aku ambil langkah lah…” sambil menghulurkan tangan untuk membantu Reza bangun.

Sementara itu, Lee masih tercari-cari pintu rumah kedai tingkat atas yang terbuka. Matanya liar memandang ke sekeliling sehingga ternampak seorang lelaki sedang membuka pintu rumah kedai dalam keadaan tergopoh-gapah. Di sisi lelaki itu, seorang budak perempuan bersama ibunya menunggu ketakutan di tepi kedai.
Pintu baru sahaja berjaya dibuka, tiba-tiba anak kecil itu menjerit,

“Ayahhh!!”
Beberapa orang dijangkiti meluru ke arah ayahnya. Lelaki itu segera bertindak berlari ke arah lain untuk mengalihkan perhatian, supaya anak dan isterinya sempat masuk ke dalam. Dia mengarahkan keluarganya dengan suara lantang penuh terdesak.

“Sayang!! Lari masuk dalam rumah sekarang!! Cepat!! Abang tak dapat bertahan lama ni!!”

Isteri dan anaknya berlari ke pintu rumah mereka dalam ketakutan. Lee yang melihat situasi itu terus menjerit memanggil Reza.

“Rez!! Aku dah jumpa dah!! Cepat sini!!!”

Reza dan lelaki yang baru diselamatkan itu segera berlari mendapatkan Lee. Dalam masa sama, mereka sempat melihat dengan jelas beberapa orang dijangkiti merempuh si ibu dengan kasar, lalu menerkam tubuhnya.

“Mama!! Mamaaaa!! Mamaaaaa!!!” jeritan budak perempuan itu membuatkan semua terkaku seketika.

Namun Lee tidak menunggu lama. Dia berlari dan menggelongsor ke arah budak itu untuk menyelamatkannya. Si ibu yang sedang digigit sempat menjerit kata-kata terakhir dengan sisa tenaganya.

“Lily!! Ikut abang tu!! Tinggalkan mama!! Selamatkan diri!!!”

Lee terhenti sejenak mendengar kata-kata itu, namun tanpa berlengah, dia terus mendukung budak perempuan tersebut.

“Rez!! Ambil kunci tu!!” jerit Lee.

Jeritan itu menarik perhatian orang dijangkiti. Mereka mula mengejar Lee yang sedang mendukung Lily.

“Lee!! Cepat lari!!” Reza bersedia menutup pintu besi rumah kedai itu.
Lee berlari pantas, masuk ke dalam rumah kedai sambil memeluk erat Lily yang menangis ketakutan. Reza segera menutup pintu besi dengan bunyi dentuman keras, menahan serbuan orang dijangkiti yang merempuh berulang kali.

“Lee!! Kau bawa budak tu naik atas dulu!! Aku dengan bro ni tahan pintu ni!!” arah Reza.

Reza dan lelaki itu menahan pintu besi sekuat tenaga, tubuh mereka bergegar setiap kali pintu dirempuh. Hampir sejam lamanya mereka berhempas pulas, sehingga akhirnya hentakan-hentakan itu reda, suasana menjadi senyap.

Reza menarik nafas panjang. “Rasanya… kita dah boleh gerak sekarang. Benda tu macam dah blah je. Kita naik ke atas perlahan-lahan.”
“Ok… aku gerak dulu,” kata lelaki itu.

Mereka bergerak perlahan, berhati-hati agar tiada bunyi yang boleh menarik perhatian haiwan atau orang dijangkiti.

Sebaik tiba di tingkat atas, mereka melihat Lee sedang menemani Lily yang tertidur keletihan di atas kerusi rumahnya. Reza dan lelaki itu membuka pintu rumah kedai secara perlahan-lahan. Lee menoleh dan segera memberi isyarat senyap, sambil menunjuk ke arah Lily yang sedang lena.

“Kita selamat… buat masa sekarang,” bisik Reza sambil bergerak ke arah tingkap, melihat keadaan pekan yang huru-hara di bawah. Sukar untuk dibayangkan bagaimana mereka dapat selamat daripada semua ini.
Reza berpaling, bertanya, “Bro, lupa nak tanya… nama kau siapa? Tadi kelam-kabut tak sempat nak kenal.”

“Nama aku Azlan… tapi panggil je Lan. Aku bukan orang sini, aku datang sebab urusan kerja,” jawab lelaki itu.

“Ooo ok Lan. Nama aku Reza, panggil Rez je. Yang ni kawan aku, Lee. Kami memang orang sini,” jawab Reza sambil bersalaman dengan Azlan.
Mereka mula berbincang mengenai keadaan yang berlaku.

“Kalau tengok sekarang ni… kita tak tahu apa sebenarnya jadi. Ada pengumunan dekat TV, pekan ni tengah huru-hara. Buat masa ni, kita rehat dulu. Bersihkan luka-luka ni dulu,” kata Reza.

Dia kemudian memberi arahan. “Lee, kau cuba cari apa-apa makanan. Lan, cari kasut atau baju yang kita boleh pakai, dah rabak habis baju kita ni. Aku dah la pakai selipar, putus masa lari tadi. Lepas tu aku nak naik bumbung atas, tengok keadaan sekeliling. Budak perempuan tu biar dia tidur, jangan kacau.”

Lan tergelak kecil. “Ooo… patutlah aku pelik tadi tengok kau kaki ayam masa tolong aku. Haha. Aku tadi lari pakai kasut binaan, berat gila, tambah pulak kena kejar benda tu. Memang tawakal habis aku. Nasib kau ada. Aku bersyukur gila, terima kasih banyak-banyak, Rez.”

Reza tersenyum sambil menyakat. “Lee, aku ingat tadi si Lan ni lari selamatkan diri je wei. Aku dah sumpah seranah dalam hati, menyesal tolong dia. Rupanya dia patah balik sepak kepala benda tu. Wei, dengar bunyi tulang tengkuk benda tu meletup… leher terkulai! Haha.”
Lee menyambung dengan nada sugul, “Tapi aku rasa kesian… dan bersalah kat budak perempuan ni. Aku tak sempat tolong ayah dia. Bila dia kena serang, aku hanya mampu tengok…” Matanya memandang Lily yang tidur lena.

Reza meletakkan tangan di bahu Lee. “Lee, kalau kau tolong tadi, mungkin bukan ayah budak tu je yang mati. Kita semua pun sekali. Apa kau buat tu betul. Kau selamatkan budak ni, itu dah cukup besar. Sekurang-kurangnya nanti kau tak menyesal.”

Lee mengangguk perlahan, cuba menenangkan dirinya. Dia kemudian bangun ke dapur. “Rez, Lan, duduk dulu. Aku ada jumpa biskut kering dengan air gas botol besar. Boleh alas perut dulu.”

“Aku pulak jumpa kasut dengan baju seluar. Tak pasti muat ke tak, tapi boleh cuba nanti,” kata Azlan.

“Tak apa, boleh cuba. Buat masa ni kita makan dulu, rehat, bersihkan luka. Nanti bila budak ni bangun, baru kita tanya dia,” kata Reza.

Mereka bertiga makan seadanya, membersihkan luka-luka sambil cuba berehat. Bunyi-bunyi menakutkan dari luar masih kedengaran. Reza sekali lagi ke tingkap, melihat pekan yang kini gelap, hanya diterangi lampu jalan. Dari jauh, orang dijangkiti berjalan secara gerombolan, menambahkan suasana ngeri.

Beberapa jam berlalu. Tiba-tiba, bunyi tembakan bertubi-tubi kedengaran dari arah selatan. Semua mereka terjaga, segera berlari ke arah tingkap. Mereka melihat segerombolan orang dijangkiti berlari laju ke arah bunyi tembakan itu, mengeluarkan jeritan mengerikan.

Ramai penduduk pekan sudah dijangkiti, sukar untuk tahu siapa yang masih hidup. Bunyi tembakan itu lama-kelamaan semakin jauh, membawa gerombolan orang dijangkiti menjauhi pekan.

Reza melihat keadaan sekeliling dari tingkap depan. Sunyi. Hanya tinggal beberapa ekor berkeliaran. Dia kemudian memanggil semua berkumpul di ruang tamu.

“Sekarang ni… kita kena buat pelan untuk survive. Kita kena cari bekalan makanan, senjata, apa saja yang boleh bantu kita. Tapi sebelum tu… cuba tengok telefon masing-masing. Hidup lagi tak?” soal Reza.

“Telefon aku… skrin dah pecah, touchscreen tak berfungsi,” jawab Lee.

“Telefon aku pun sama. Pecah, tak boleh hidup. Mungkin bateri pun dah habis,” kata Azlan.

“Aku pulak… telefon tercicir entah ke mana masa lari tadi,” kata Reza.
“Pakcik, telefon saya ada kat bilik. Tengah cas sebelum saya keluar dengan mama tadi,” kata budak perempuan itu dengan suara perlahan.
Lily berlari masuk ke bilik, kemudian keluar semula sambil membawa telefon.

“Nah pakcik, telefon saya. Bateri penuh, line masih ok,” ujar Lily sambil menghulurkan telefon kepada Reza.

Reza tersenyum lalu bertanya, “Sebelum pakcik lupa, adik nama apa?”
“Nama saya Lily Alia. Tapi mama dan papa panggil Lily,” jawabnya.

“Ooo… Lily Alia. Sedap nama tu. Kalau macam tu, pakcik panggil Lily je la. Nama pakcik Reza, panggil Rez. Ni cikgu Lee, dan yang muka dah tua ni Azlan,” usik Reza.

“Kurang ajar kau, Rez!” celah Azlan sambil ketawa.

Reza ketawa kecil. “Ok-ok, gurau je. Jadi, kita cuba tengok media sosial. Apa sebenarnya yang berlaku kat luar sana.”

“Sekejap pakcik… Lily tengok news feed Fac. Banyak video orang post, abang Reza…” Lily menyerahkan telefon kepadanya.

Reza, Lee dan Azlan menonton bersama. Mereka terkejut—seluruh dunia sedang berdepan masalah sama. Serangan haiwan, orang dijangkiti, kekacauan di mana-mana.

Lee bersuara perlahan, “Jadi… apa yang PM kita cakap tadi tu…”
Reza menelan liur. “Memang betul. Satu dunia tengah kena serang dengan virus ni.”

Mereka berpandangan sesama sendiri, terdiam. Masa depan mereka kini samar.

“Apa plan kita sekarang, Rez?” tanya Lee.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience