Bab 13

Thriller Series 991

Bab 13
Selamatkan Diri

“AAAAAAAARGH!!!”

Satu teriakan yang begitu kuat bergema sehingga membingitkan telinga semua yang berada di situ. Reza dan Azlan menahan bunyi yang memekakkan itu sambil berlari mendapatkan Fariz dan yang lain, memastikan mereka berempat tidak membuat sebarang bunyi ketika Jalang itu sedang menjerit.

“Tutup telinga kuat-kuat! Jangan buat bising!” jerit Reza, mengarahkan Fariz dan yang lain agar diam.
Reza berhenti seketika, meneliti keadaan Fariz dan rakan-rakan untuk memastikan kecederaan mereka telah dirawat. Azlan pula, sambil menutup telinga, memerhati sekeliling bagi mengesan kehadiran Jalang.

Ketika itu, ketua penyangak Lor’gya menjerit-jerit ketakutan, mengarahkan anak buahnya berhenti bergerak dan membentuk formasi bulatan bagi melindunginya. Tubuhnya menggigil ketakutan selepas mendengar teriakan Jalang yang begitu kuat.

Nota:
Jalang ialah salah satu makhluk Zek yang telah berubah bentuk menjadi seakan-akan binatang. Ia bergerak menggunakan tangan dan kaki seperti anjing dan kucing, serta memiliki pendengaran yang amat sensitif. Jalang biasanya bergerak dalam kumpulan sederhana, dengan seekor ketua bertindak sebagai peninjau untuk mencari mangsa. Teriakannya sangat kuat hingga mampu membingitkan telinga dan memanggil gerombolannya bagi melakukan serangan dahsyat serta mengerikan terhadap mangsa. Cara membunuhnya masih belum diketahui.

Azlan memanggil Reza, meminta melihat keadaan penyangak Lor’gya yang ketakutan akibat teriakan tadi. Reza segera memberi arahan agar mereka berundur ke kebun. Bagi Reza, adalah mustahil untuk menghadapi Jalang dengan kekuatan senjata yang mereka ada.

Beliau membuat keputusan untuk berundur sebelum Jalang itu muncul dan menyerang, menggunakan kumpulan penyangak Lor’gya sebagai ‘tiket’ keluar dari kawasan kilang pau tersebut.

Reza memberi isyarat tangan kepada Lee agar turun dan hidupkan enjin kereta, bersiap sedia untuk bergerak ke arahnya. Lee memahami arahan itu, segera turun dari bumbung kedai makan, berlari pantas masuk ke kereta 4x4.
Namun, sebaik sahaja Lee menghidupkan enjin, terdengar jeritan ketakutan dan tembakan rambang dari kumpulan penyangak Lor’gya. Suasana menjadi kecoh dan huru-hara apabila segerombolan Jalang muncul, bergerak pantas memburu mangsa.
Mereka menyerang dengan kejam — menggigit, mencarik, dan membunuh tanpa belas. Ada penyangak Lor’gya yang menggigil ketakutan, ada pula yang menangis melihat rakan-rakan mereka dicarik-carik. Walau tembakan dilepaskan bertubi-tubi, peluru seolah tidak memberi kesan. Kepala, tangan dan organ mangsa terpisah dari badan, darah membasahi tanah.
Dalam ketakutan yang menggila, ada yang cuba melarikan diri — ada yang terkencing di dalam seluar ketika berebut mahu naik kenderaan. Namun, tiada siapa yang terselamat. Jalang semakin ramai keluar dari ladang kelapa sawit, memburu setiap yang masih bernyawa.

Melihat keadaan huru-hara itu, Reza nampak satu peluang keemasan untuk melarikan diri. Lee sudah bersedia, memusingkan kereta 4x4 ke arah kilang pau sambil menunggu isyarat.

Tatkala keadaan semakin kacau-bilau, Reza segera mengangkat tangan memberi isyarat untuk Lee memecut ke arahnya. Kereta itu segera meluncur ke tepi pagar kilang.

“Fariz! Kau bawa budak-budak ni naik kereta cepat! Aku dan Lan naik ATV ikut belakang untuk tembakan perlindungan! Gerak sekarang!” arah Reza lantang sambil menunjuk ke arah kereta 4x4.

Fariz, Erenia dan dua orang kanak-kanak berlari terencut-encut menuju ke kereta. Lee cepat-cepat mengarahkan Lily membuka pintu belakang agar mereka dapat masuk. Sebaik semuanya masuk, Reza mengarahkan Lee supaya terus bergerak ke kebun dengan pantas.

“Lan! Hidupkan ATV, kita gerak sekarang!” ujar Reza sambil menukar kelopak peluru rifle SLR.

“Ok, Rez! Jom naik, kita gerak sekarang!” balas Azlan.

Reza naik ke ATV, duduk menghadap ke belakang untuk mengawasi keadaan. Namun, baru sahaja mereka keluar dari simpang kilang pau, seekor Jalang yang sedang mencaruk salah satu mayat penyangak Lor’gya tiba-tiba menoleh — tertarik dengan bunyi enjin ATV mereka.

Makhluk itu menjerit nyaring, lalu memecut laju ke arah mereka.

“Azlan! Pecut, Lan! Jalang tengah kejar kita!” jerit Reza sambil mengacukan rifle SLR yang dipasang penapis minyak ke arah Jalang.

“Ya, aku tahu! Aku tengah tarik habis ni!” Azlan menjawab dalam nada cemas, menggigil ketakutan sambil menggigit gigi dan menunduk ke hadapan.

Reza melepaskan beberapa das tembakan, namun Jalang itu lincah — semua peluru meleset. Semakin lama, jarak semakin dekat. Makhluk itu melompat tinggi, menerkam ke arah ATV.

Reza segera mengangkat rifle SLR-nya menahan serangan. Jalang itu menggigit dan mencakar bertubi-tubi, cuba menyerang wajahnya. Azlan menunduk rapat ke hadapan, cuba mengelak dari cakar tajam.

Tidak tahan dengan kekuatan luar biasa makhluk itu, Reza segera mencapai parang pendek di pinggangnya. Dengan satu libasan pantas, parang itu mengenai tangan kanan dan leher Jalang. Kepala makhluk itu terputus, berguling ke tanah.

Namun, tubuh Jalang yang masih terhentak menarik rifle SLR Reza jatuh bersama. Reza hanya mampu melihatnya hilang ke dalam semak. Dia menarik nafas berat — pasrah, tetapi bersyukur masih hidup.

“Rez! Nak berhenti tak, ambil senjata kesayangan kau tu?” tanya Azlan.

“Tak perlu. Nyawa kita lagi penting. Kita terus balik ke kebun. Senjata tu lain kali boleh ambil,” jawab Reza tegas.

Lima minit kemudian, mereka akhirnya tiba di kebun. Tanpa membuang masa, mereka meletakkan ATV berhampiran kereta 4x4 dan berlari ke kubu bawah tanah untuk memastikan semua orang selamat.

“Semua ok? Ada yang tercedera kena tembak? Macam mana kau semua?” tanya Reza sambil memeriksa keadaan mereka satu per satu.

“Kami berempat baik-baik saja, cuma luka-luka kecil masa terbabas tadi,” jawab Fariz sambil merawat luka Erenia dan dua kanak-kanak itu.

“Alhamdulillah, bagus. Sekejap, aku ambil peti rawatan untuk kau,” kata Reza menepuk bahu Fariz sebelum berlalu ke bilik stor.
“Rez! Aku nak pergi luar sekejap ambil TV dekat kereta! Lan, tolong aku angkat TV!” jerit Lee sambil berlari.

Reza hanya menggeleng sambil tersenyum melihat telatah mereka. Azlan dan Lee keluar dengan wajah ceria, seolah-olah tiada apa yang berlaku sebentar tadi. Fariz turut tersenyum kecil melihat mereka masih mampu bergembira walaupun baru sahaja bertarung nyawa.

“Aku nak ucapkan terima kasih sebab selamatkan kami. Aku bersyukur Allah hantar kau selamatkan kami. Kalau kau tak ada tadi, mungkin kami mati kena tembak,” kata Fariz perlahan.

“Tak apa. Itu semua ketentuan. Kebetulan kami buat pembersihan berkala sekitar kawasan tu. Sekurang-kurangnya bahaya makin berkurang dekat sini,” balas Reza sambil membantu merawat luka mereka.

“Lupa… aku minta maaf sebab tertembak hampir kena kau tadi,” kata Fariz lagi.

“Tak apa. Aku faham situasi kau. Aku pun akan buat benda yang sama. Eh, sekejap ya,” kata Reza sambil memandang Lily.

“Lily, tolong rawat kawan awak tu,” arah Reza.

“Baik, pakcik Reza,” jawab Lily lalu menuju kepada kanak-kanak itu.

Fariz menyambung, “Jadi nama kau Reza lah? Budak perempuan tu Lily, yang dua orang lagi tu?”

“Lupa nak perkenalkan diri. Aku Reza. Yang perempuan tu Lily, yang Cina tu Lee, dan lagi seorang tu Azlan,” jawab Reza.

“Nama aku Fariz. Ini Erenia. Dua budak ni — yang lelaki Fauzan, dan perempuan Liyana,” balas Fariz sambil memperkenalkan yang lain.

“Lily, ada kawan baru tu,” kata Reza.

Lily tersenyum gembira, melambai kepada dua kanak-kanak itu.

Fariz kemudian menyoal lagi, “Aku tak pernah jumpa makhluk macam tadi. Benda apa tu? Seram bila dia menjerit.”

“Kau tak pernah jumpa ke? Benda tu kita panggil Jalang. Dia sensitif dengan bunyi kuat,” jelas Reza.

“Maksudnya kau orang dah banyak kali jumpa Jalang tu?” tanya Fariz musykil.

“Ya. Banyak kali. Tapi bila jumpa, jangan buat bising. Diam saja sampai dia beredar,” jawab Reza.

“Jalang tu biasanya bergerak dalam gerombolan, selalunya dalam hutan,” sambungnya lagi.

“Tapi kau punya bunker ni dalam hutan. Tak bahaya ke?” tanya Fariz hairan.

“Setakat ni tak ada apa. Setiap kali nak keluar, kami guna dron dulu tengok keadaan sekeliling. Bila selamat, baru gerak,” jawab Reza.
Tiba-tiba, kedengaran suara Azlan dan Lee menjerit berulang kali dari luar.

“TV! TV! TV! TV!”

Mereka masuk sambil ketawa riang, memikul televisyen 60 inci besar.

“Berdua tu memang macam tu ke?” tanya Fariz, menggeleng kepala.

“Hahaha, memang macam tu. Tapi kau belum nampak lagi perangai sebenar diorang,” jawab Reza sambil ketawa kecil.

“Jangan lupa tutup pintu! Safety first!” Jerit Reza.

“Baik, bos!” balas Azlan dan Lee serentak.

Reza menghela nafas lega. “Buat masa sekarang, rehat dulu. Pulihkan tenaga, jangan stres.”

“Aku dan Lily sediakan makanan untuk malam ni. Kau berempat rehat dulu,” katanya lagi.

“Ok, baik Reza,” balas Fariz.

“Panggil Rez saja. Oh, bilik air dekat belakang. Dua minggu ni kita duduk sini dulu, sampai si Jalang tu pergi,” ujar Reza.

“Maksudnya… benda tu memang ada dekat sini?” tanya Fariz perlahan.

“Ya,” jawab Reza tenang.

“Rehat dulu. Malam ni kau cerita apa yang berlaku. Kami nak tahu,” kata Reza menutup bicara malam itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience