Series
961
Bab 10
Kebenaran
Malam itu menyelubungi bumi dengan kegelapan pekat, hanya diterangi cahaya lampu kecil yang malap di ruang makan bawah tanah. Kelihatan mereka semua sudah selesai mengemas diri, wajah masing-masing jelas mempamerkan keletihan setelah seharian penuh dengan tugas yang berat demi kelangsungan hidup. Namun begitu, meskipun tubuh lesu dan mata hampir terpejam, ada satu perkara yang membuat mereka tetap terjaga—janji Reza untuk menceritakan kebenaran yang selama ini disimpannya rapat.
Azlan menggosok lengannya yang lebam akibat bergesel dengan tali memanah. Dia merengek kecil, menahan pedih yang masih terasa.
“Aduh, sakit tangan aku kena tali ni…” rungut Azlan, sambil menunjukkan kesan merah kebiruan pada lengannya.
Lee yang duduk di sebelahnya pantas menyambut, sambil mengangkat lengan sendiri.
“Itulah, sama juga dengan aku. Tengok ni, lebam jugak,” katanya, menunjukkan kesan yang serupa.
Reza hanya ketawa kecil, menggeleng kepala melihat gelagat mereka berdua.
“Ala, baru sikit je tu. Jangan risau… nanti korang akan biasa. Itu pun baru belajar memanah, belum lagi rasa bila tembak senjata betul-betul. Lagi pedih, aku jamin,” jawab Reza sambil ketawa kecil, cuba menceriakan suasana.
Lee yang masih menekup lengannya dengan kain basah suam memandang tepat ke arah Reza.
“Tapi Rez… kau dah janji dengan kita orang. Malam ni, kau kena cerita hal sebenar. Semua yang kau simpan tu.”
Reza mengangguk perlahan. Dia mengangkat cawan kopi panas, meniup sedikit asap yang berlegar, lalu meneguk seteguk sebelum meletakkannya kembali di atas meja. Matanya tajam memandang ke arah Azlan dan Lee, seolah-olah cuba menyusun ayat yang tepat untuk memulakan pendedahan itu.
“Baiklah. Sambil kita makan ni, aku akan ceritakan semuanya. Dari awal… macam mana aku boleh bersedia dan bina rumah bawah tanah ni.”
Suasana jadi hening seketika. Hanya bunyi desiran pendingin udara lama yang mengisi ruang itu. Reza menarik nafas panjang, kemudian memulakan kisahnya.
“Bermulanya empat tahun lepas…”
Ketika itu, Reza berada dalam sebuah penerbangan sulit bersama Perdana Menteri, timbalannya, dan beberapa orang delegasi kerajaan. Tugasnya bukanlah sebarangan—dia dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk mengawasi VVIP tersebut, memastikan tiada ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan mereka walau sesaat pun.
Sebagai seorang pegawai perisikan RGK, Reza dilantik untuk menyertai misi sulit itu. Dia bukan sekadar pengiring, tetapi penilai kepada setiap maklumat yang mungkin timbul sepanjang persidangan rahsia yang akan dihadiri.
Pesawat itu sudah meluncur selama 12 jam sebelum suara juruterbang berkumandang melalui sistem pengumuman.
“Kepada semua penumpang, sila duduk di kerusi masing-masing dan pasangkan tali pinggang keselamatan. Kita akan mendarat sebentar lagi.”
Di dalam bilik mesyuarat kecil pesawat itu, Reza segera bangun setelah menerima isyarat daripada anggota UTK dan RGK yang lain. Perdana Menteri dan timbalannya juga diarahkan untuk bersedia.
Pesawat itu akhirnya mendarat di sebuah kawasan asing—lapangan terbang yang dipenuhi dengan pesawat-pesawat dari seluruh dunia. Setiap negara ternyata menghantar delegasi masing-masing ke persidangan sulit itu. Dari jauh, Reza melihat bendera-bendera negara asing berkibar, menandakan betapa besar dan pentingnya pertemuan itu.
Sebelum mereka bergerak keluar, ketua pengiring UTK memberi isyarat tangan kepada Reza. Dia dibawa masuk ke sebuah bilik kecil berdekatan kabin.
“Reza… kau rasa apa sebenarnya yang berlaku ni?” soal Iqbal, rakannya yang juga pengiring utama.
Reza menggeleng perlahan.
“Aku tak tahu, Iqbal. Tapi kalau tengok pada suasana ni… memang nampak macam sesuatu yang sangat penting.”
Iqbal menunduk, kemudian menepuk bahu Reza.
“Itulah… aku pun rasa begitu. Reza, aku nak minta tolong sikit.”
“Apa dia?” tanya Reza, keningnya berkerut.
“Kalau kau dapat sebarang maklumat dalam persidangan tu nanti, tolong kongsi dengan aku. Jangan simpan sorang.”
Reza mengangguk pantas.
“Baiklah. Aku janji. Kita gunakan saluran kita sendiri nanti.”
Iqbal tersenyum kecil.
“Bagus. Oh ya, kau dah letakkan mikrofon tu dalam kocek Tan Sri?”
Reza mengangguk lagi.
“Dah. Masa kita dalam bilik mesyuarat tadi, aku sempat selitkan.”
“Bagus,” jawab Iqbal, lega.
Tidak lama kemudian, mereka berdua kembali ke tempat masing-masing. Delegasi Malaysia keluar dari pesawat, dikawal rapi oleh UTK dan RGK. Sebuah bas khas sudah tersedia, dihantar oleh organisasi rahsia yang menganjurkan persidangan itu.
Perjalanan mengambil masa hampir setengah jam sebelum mereka tiba di sebuah bangunan besar yang megah. Dari luar, puluhan delegasi negara lain kelihatan berbaris, masing-masing disambut oleh pelayan dan pegawai protokol.
“Malaysia?” tanya seorang pelayan wanita berbahasa Inggeris ketika rombongan mereka tiba.
“Yes,” jawab Perdana Menteri dengan tenang.
“Please follow me,” balas pelayan itu, lalu membawa mereka masuk ke ruang tamu yang luas.
Namun, hanya Perdana Menteri dan timbalannya dibenarkan masuk ke dewan persidangan utama. Delegasi lain, termasuk Reza, diarahkan ke bilik pemerhati di tingkat atas.
Sebelum melangkah pergi, Perdana Menteri sempat menoleh ke arah Reza.
“Reza, saya nak kamu analisis setiap butiran yang kamu dengar nanti. Bila kita kembali ke Malaysia, saya mahu laporan penuh.”
“Baik, Tan Sri,” jawab Reza penuh hormat.
Di bilik pemerhati, Reza memasang telinga sebaik mungkin. Persidangan dimulakan dengan ucapan seorang pakar mewakili sebuah organisasi rahsia.
“Jumlah penduduk dunia kini sudah mencecah tujuh bilion. Dalam tempoh sepuluh tahun, ia dijangka meningkat sehingga sepuluh bilion. Masalah besar menanti—sumber makanan akan tidak mencukupi, kebuluran besar-besaran akan berlaku di seluruh dunia,” jelas pakar itu.
Setiap perkataan itu menusuk hati Reza. Dia tahu, jika perkara ini benar, masa depan manusia amat kelam.
Namun, ketika pakar itu mula menyentuh soal cadangan pengawalan populasi, tiba-tiba cermin bilik pemerhati bertukar legap. Sistem pembesar suara dimatikan. Hanya mereka yang berada di dalam dewan utama dapat mendengar perbincangan itu.
Nasib baik, mikrofon kecil yang diselitkan Reza ke dalam kocek Perdana Menteri masih berfungsi. Walaupun tidak begitu jelas, dia sempat menangkap beberapa perkataan.
“Genocide… rabies… biological weapon…”
Kening Reza berkerut. Nafasnya jadi sesak. Cadangan mereka… benar-benar mengerikan.
Hampir tiga jam persidangan itu berlangsung sebelum delegasi Malaysia kembali berkumpul. Wajah Perdana Menteri dan timbalannya kelihatan masam, seolah-olah menanggung beban rahsia besar. Di tangan mereka, sebuah tablet kecil digenggam erat. Mereka tidak berkata sepatah pun, hanya terus menuju bas untuk pulang ke pesawat.
Reza menarik nafas panjang, menghabiskan kisahnya. Azlan dan Lee memandangnya tanpa berkelip.
“Itulah ceritanya. Masa tu, aku hanya sempat dengar tiga perkataan tu—genocide, rabies, senjata biologi. Dari situ aku yakin, satu hari nanti sesuatu yang besar akan berlaku… cuma aku tak tahu bila.”
Dia menyambung, suaranya perlahan tapi penuh tekad.
“Beberapa bulan selepas tu, aku terus buat pinjaman besar. Aku bina rumah bawah tanah ni. Sebab aku tahu… kalau apa yang mereka rancang tu jadi kenyataan, dunia takkan sama lagi.”
Lee menelan liur. “Jadi, hanya kau dan Iqbal je yang tahu semua ni?”
Reza mengangguk. “Ya. Hanya kami berdua.”
Azlan mengerutkan dahi.
“Tapi kenapa kau tak hebahkan pada dunia? Biar semua orang tahu kebenaran?”
Reza mengukir senyum sinis.
“Kalau aku cerita, kau rasa ada orang percaya? Atau aku akan dianggap gila?”
Mereka terdiam. Azlan akhirnya mengangguk perlahan. “Betul juga…”
Reza menyandar, matanya merenung jauh.
“Tapi aku tak sangka… senjata biologi yang mereka maksudkan… berubah jadi macam ni.”
Suasana jadi sunyi. Hanya bunyi kipas lama berputar.
“Keputusan aku untuk bina kubu bawah tanah ni… adalah keputusan tepat. Ia satu-satunya cara untuk kita bertahan.”
Azlan tersenyum hambar.
“Rez, aku bersyukur kau selamatkan aku tempoh hari. Sekarang aku dah tahu cerita sebenar… dan aku takkan persoalkan lagi.”
Lee turut mengangguk setuju. “Aku pun sama, Rez. Terima kasih.”
Reza berdiri, menepuk bahu mereka berdua.
“Cukuplah untuk malam ni. Esok kita ada banyak kerja menanti. Mari tidur, aku pun dah penat.”
Mereka bertiga bangun, bersiap untuk menuju ke bilik masing-masing. Namun sebelum melangkah pergi, Azlan sempat bertanya lagi.
“Eh Rez… aku nak tanya. Dalam bilik senjata tu, kenapa ada banyak kotak oil filter?”
Reza tersenyum misteri.
“Ohh… yang tu? Nanti aku jelaskan kegunaannya.”
Dia meninggalkan mereka dengan persoalan yang masih tergantung di udara.
Share this novel