Series
991
Bab 15
Kod Morse
Dua minggu kemudian.
“Lan! Lee! Fariz! Jom ikut aku pergi ke kilang itu semula!” jerit Reza dari luar kubu bawah tanah.
“Ok, sekejap, Rez. Aku, Lan dengan Fariz tengah ambil senjata ni,” kata Lee.
“Ok baik! Cepat sikit!” balas Reza sambil bergerak ke arah kereta 4x4 untuk memanaskan enjin.
Sambil menunggu tiga yang lain bersiap, Reza memeriksa keadaan sekeliling menggunakan dron bagi memastikan keadaan benar-benar selamat untuk keluar nanti. Seperti biasa, tiada ancaman berbahaya yang dikesan di sekitar kawasan itu.
Beberapa minit kemudian
“Oi, Rez! Jom! Kami dah siap ni!” jerit Azlan.
Reza menoleh ke arah mereka. “Ok, aku datang!” balasnya sambil mengangkat ibu jari ke atas.
Dia berlari anak menuju ke arah mereka bertiga yang sudah bersedia untuk masuk ke dalam kereta 4x4 itu.
“Lambat betul korang bertiga ni. Aku dah siap pantau keadaan sekeliling,” kata Reza.
“Bukan saja-saja lambat, tapi bantu Fariz ni pilih senjata yang sesuai untuk dia,” sahut Azlan.
“Habis tu, kau bagi dia senjata apa?” tanya Reza.
“Aku bagi pistol je. Badan dia masih belum kuat lagi nak bawa senjata berat,” jawab Azlan lagi.
“Pistol je kau bagi? Tak apa... Sekarang ni, dah pasang penapis minyak tak?” tanya Reza.
Semua mengangguk tanda sudah. Reza terus mengundurkan kereta perlahan-lahan dan bergerak keluar dari kebunnya dengan berhati-hati agar tidak menimbulkan bunyi yang mencurigakan.
Lima minit kemudian, Reza berhenti di tepi jalan — di lokasi tempat senjatanya terjatuh semasa menangkis serangan Jalang dahulu. Dia keluar dari kereta dan mula mencari senjatanya di sekitar kawasan itu.
“Mana lah tercampak SLR aku ni… kustom pula tu,” bebel Reza seorang diri.
“Ada tak SLR kau, Rez?” tanya Azlan.
“Cuba kau tengok tepi gaung tu. Mana tahu ada kat situ,” sambungnya lagi.
Reza bergerak ke tepi gaung sambil memerhati sekeliling dengan berhati-hati. Yang lain pula meninjau kawasan berdekatan untuk memastikan tiada makhluk Jalang di situ.
Beberapa minit kemudian, Reza akhirnya menemui senjatanya — tersangkut pada ranting pokok kecil di tepi gaung.
“Alhamdulillah, dah jumpa dah SLR aku ni!” jerit Reza lega.
“Cantik! Rez, cepat masuk kereta!” jerit Azlan semula. Reza segera mencapai senjatanya dan berlari anak ke arah kereta.
“Sayang betul aku kat SLR ni... bukan senang nak ubah suai,” katanya lagi.
“Bangkai Jalang itu ada lagi tak?” tanya Azlan
Reza hanya menggelengkan kepala
“Ok, jom kita terus ke kilang pau tu. Kita ambil balik apa yang tertinggal masa dulu,” sambung Reza.
Dia terus memandu kereta menuju ke kilang pau — lokasi pertempuran dua minggu lalu.
Pada masa yang sama, Erenia dan Lily sedang mengemas kubu bawah tanah.
“Lily, tolong akak angkat meja makan ni. Akak nak bersihkan bawah meja,” kata Erenia.
“Baik, Akak Eren,” jawab Lily sambil meletakkan penyapu dan segera membantu.
Dua lagi ahli mereka sedang mengemas di kawasan radio transisi, tiba-tiba terdengar bunyi aneh:
... --- ... / ... -.- / - . -- .. .- -. --.
-.- .- -- .. / -.. .. ... . .-. .- -. --. / -- .- -.-- .- - / .... .. -.. ..- .--. / .--. . .-. .-.. ..- -.- .- -. / -... .- -. - ..- .- -.
Apabila mendengar bunyi itu, mereka berdua menyangka mungkin tersentuh sesuatu pada radio transisi. Mereka berlari ke arah Lily dan Erenia untuk memberitahu kejadian itu.
“Akak Eren, Lily! Tadi kami tengah kemas, penyapu Fauzan tersentuh radio tu, tiba-tiba keluar bunyi pelik,” kata Liyana cemas.
“Apa? Bunyi pelik? Bunyi apa tu? Sekejap, Lily, pergi tengok,” ujar Erenia.
Lily segera ke radio transisi. Bunyi itu berulang-ulang, seolah-olah mesej yang cuba dihantar. Lily berkerut dahi, cuba menala semula frekuensi, namun bunyi itu tetap keluar.
“Bunyi apa ni… kenapa bit-bit dia laju? Takpe lah, kita tunggu Pakcik Reza balik dulu. Biar dia tengok apa masalah radio ni,” kata Lily sambil menggeleng.
Sementara itu, di kilang pau —
“Sekarang ni, kita tengok apa yang boleh kita bawa balik. Senjata ke, makanan ke, peluru ke, apa-apa pun tak kisah. Aku bagi masa satu jam je. Faham semua?” arah Reza kepada tiga yang lain.
“Baik, bos! Tapi kami berdua nak minta izin cari alat kawalan TV dekat rumah besar dulu. Lepas tu kami datang sini balik,” kata Azlan, sambil memberi tabik tangan bersama Lee.
“Dah, dah, korang ni mengarut je nak bertabik bagai. Ini bukan kem tentera lah. Cepat pergi, lepas tu datang tolong aku dengan Fariz kumpul senjata AK ni,” balas Reza sambil menggelengkan kepala melihat gelagat mereka.
Azlan dan Lee pun bergerak ke rumah agam untuk mencari alat kawalan televisyen. Reza dan Fariz pula ke kawasan pertempuran untuk mencari apa sahaja yang boleh digunakan.
“Ya Allah… busuknya! Bau bangkai ni menusuk hidung,” keluh Fariz.
Reza menutup hidung sambil mengangguk. “Betul. Bau bangkai memang pening. Tapi tak banyak yang tinggal, sebab Jalang dah bawa yang lain ke sarang dia.”
“Serius lah… seram betul bila jumpa Jalang ni. Ganas betul,” ujar Fariz.
“Betul. Sebab tu kami lari bila ada peluang. Mustahil nak bunuh Jalang tu — tak boleh mati,” balas Reza.
Mereka terus memeriksa kawasan sambil berbual.
“Aduh, sayangnya tengok AK ni. Banyak dah rosak kena serang,” keluh Reza.
“Habis tu, nak buat macam mana, Rez?” tanya Fariz sambil membelek AK-47 yang berselerak di jalan.
“Itulah. Baik kita kumpul dulu mana-mana AK yang masih elok. Nanti boleh baiki. Lepas tu periksa kelopak peluru — kutip semua, kosong ke masih berisi ke,” arah Reza.
Mereka berdua berpecah, memeriksa satu per satu senjata dan mengutip kelopak peluru. Berulang kali mereka berlari menghantar hasil kutipan ke ruang kargo kereta 4x4.
Tidak lama kemudian, Azlan dan Lee muncul kembali dalam keadaan gembira — alat kawalan TV sudah di tangan. Reza memanggil mereka datang membantu.
“Fuh! Busuk gila! Macam mana korang boleh tahan?” tanya Azlan sambil menutup hidung.
“Macam mana kau tahan, Rez? Aku dah pening kepala dah ni,” sambung Lee.
“Banyak betul komplen korang ni. Cepat cari senjata yang boleh pakai, atau yang boleh dijadikan alat ganti. Kelopak peluru jangan lupa kutip. Atau pergi tengok dalam kereta penyangak tu, tengok ada apa-apa lagi,” arah Reza yang keletihan.
“Baik, bos!” balas mereka serentak.
Tanpa berlengah, mereka memeriksa setiap kereta penyangak. Ternyata mereka menemui banyak peluru dan senjata AK-47 yang masih sempurna.
“Rez! Fariz! Datang sini cepat! Tengok apa kami jumpa ni!” jerit Azlan sambil melambai.
Reza dan Fariz segera berlari ke arah mereka. Setelah sampai, Azlan menunjukkan hasil penemuan itu 20 laras senjata AK-47 dan lebih 50 kotak peluru besi.
“Tengok ni, Rez! Dua puluh AK-47 dan lima puluh kotak peluru penuh!” kata Azlan dengan wajah penuh bangga.
“Alhamdulillah… cukup untuk kegunaan kita bertahun-tahun,” ujar Reza sambil tersenyum lega.
“Ok, jom kita angkat semua ni cepat. Dah pukul tiga petang, bahaya kalau balik lewat malam nanti,” arah Reza.
Mereka segera mengangkat senjata dan kotak peluru berulang kali. Selepas lebih sejam, semuanya siap dimuatkan ke ruang kargo kereta.
“Fuh, gila penat! Tak sangka banyak betul kita jumpa,” keluh Azlan.
“Betul! Aku dah tak larat nak jalan. Bau bangkai ni pun buat kepala berpusing,” tambah Lee sambil mengelap peluh di dahi.
Reza tersenyum letih melihat ketiga-tiga rakannya duduk termengah-mengah di tepi kereta. Dia menyuruh mereka masuk ke dalam kenderaan untuk pulang ke kubu.
Lima belas minit kemudian, mereka tiba di kubu bawah tanah. Sebaik sampai, Azlan, Lee dan Fariz turun dan menuju ke pintu masuk untuk berehat.
Reza pula membuka ruang kargo, memeriksa setiap senjata, dan mengosongkan pelurunya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Melihat mereka pulang, Lily segera berlari keluar.
“Pakcik Azlan! Cikgu Lee! Mana Pakcik Reza?” tanya Lily.
“Ada kat luar, tengah periksa senjata,” jawab Lee.
Lily terus berjalan keluar mencari Reza.
“Pakcik Reza!” panggil Lily.
“Ya, Lily. Kenapa? Ada apa-apa masalah ke?” tanya Reza.
“Radio tu tiba-tiba berbunyi bit-bit laju. Lily tak berani nak sentuh, takut jadi lain.”
“Hmm? Bunyi bit-bit? Takpe, Lily masuk dulu. Pakcik nak kosongkan senjata ni dulu. Lepas tu pakcik tengok radio tu, ya?”
“Baik, Pakcik Reza,” jawab Lily dan melangkah masuk ke dalam kubu semula
Share this novel