Bab 7

Thriller Series 961

Bab 7
Selamat

“Aku upah orang buat rumah ini sejak tiga tahun lepas. Pinjaman bank yang aku buat pun agak besar untuk siapkan rumah ni. Bila rumah siap, aku terus pasang elektrik. Tapi aku pasang elektrik tu dekat pondok, wayar aku tanam masuk ke rumah bawah tanah ni. Lepas tu, setiap bulan aku datang pasang benda-benda penting — elektrik, air, radio. Cuma tandas je aku buat kat luar, dekat dengan pondok tu.” terang Reza kepada semua mengenai rumah bawah tanah rahsianya.

Azlan mengangguk perlahan. “Aku tak nak soal banyak-banyak, janji kita selamat dekat sini… dari semua benda tu.”

Lee dan Lily pantas bersetuju dengan kata-kata Azlan tentang keselamatan. Tanpa membuang masa, Reza segera mengarahkan mereka menurunkan barang-barang dari trak untuk dibawa masuk.

“Sekarang kita turunkan barang dulu. Lily, kau turun ke bawah tolong pakcik Reza susun barang. Lan dan Lee, kau berdua turunkan barang dari trak, lepas tu hulur dari atas, aku sambut dari bawah.” Arahan Reza jelas, suaranya penuh keyakinan.

Masing-masing terus bergerak. Suasana terasa tenang, tiada gangguan, tiada ancaman Z. Mereka bekerja dengan santai, menurunkan barang satu demi satu hingga petang yang indah mula melabuhkan tirai.

Setelah semua selesai, Azlan dan Lee terduduk kepenatan. Perut mereka berkeroncong, nafas masih tercungap. Azlan, masih dengan rasa curiga, memandang ke arah Reza lalu berbisik kepada Lee.

“Hey, Lee… kau rasa pelik tak pasal benda ni?”

Lee mengangkat kening. “Aku lagi pelik sebenarnya. Jarang aku nampak dia balik Pagoh. Kali terakhir, lima tahun lepas… masa tu dia baru habis belajar, balik kampung sekejap. Lepas tu dia masuk tentera, sampai sekarang aku tak pernah jumpa lagi. Aku ni kawan lama dia, tapi macam mana dia boleh bersedia macam ni sekali? Tu yang aku hairan.”

Azlan menghela nafas panjang. “Ok… kita tunggu Rez sendiri cerita. Nampak sangat dia dah bersedia dengan benda-benda macam ni. Macam tak masuk akal.”

Lee menyambung, “Macam aku cakap tadi, dia tentera. Pangkat dia pegawai atasan. Jadi nak tahu hal-hal rahsia macam ni memang senang. Mungkin dia buat persediaan awal, lepas dia dapat tahu.”
“Sekejap… dia pegawai atasan tentera? Pangkat apa?” soal Azlan, separuh tidak percaya.

“Leftenan.” jawab Lee ringkas.

Azlan terdiam, wajahnya jelas terkejut. Dalam fikirannya, Reza hanyalah orang biasa. Namun ternyata jauh berbeza.

Tiba-tiba, jeritan Reza dari arah pondok memecah sunyi.

“Oi! Korang berdua mengumpat apa dekat bawah pokok durian tu? Sudah-sudah! Jom masuk, dah nak masuk waktu senja ni!”

Azlan dan Lee tersentak, lalu bangun. Mereka merenggangkan pinggang ke kiri dan kanan, cuba hilangkan lenguh sebelum bergegas ke arah rumah bawah tanah.

Sementara itu, Reza sedang mengemas meja makan di ruang utama. Ketika Azlan dan Lee menuruni tangga, mata mereka membulat. Ruang bawah tanah itu luas, tersusun, malah sejuk bagaikan rumah sebenar.

“Wow, Rez… gila luas tempat ni. Siap ada penghawa dingin! Patutlah sejuk masa nak masuk tadi.” ujar Lee kagum.

Reza tersenyum puas. “Kan aku dah cakap, jangan risau pasal tempat ni. Selamat dari bahaya. Nasib baik korang ikut, kalau tak, aku duduk sorang-sorang je.”

Azlan dan Lee berjalan keliling, masuk dari satu bilik ke satu bilik, penuh rasa teruja. Sementara itu, Reza bersama Lily menyiapkan makan malam makanan dalam pek.

“Pakcik Reza, ransom tu apa?” tanya Lily ingin tahu.

“Ransom ni makanan dalam pek, orang panggil MRE — Meal Ready to Eat. Tentera kalau masuk hutan atau pergi misi PBB kat luar negara, mereka bawa ni. Tak payah nak masak, cuma panaskan je.” terang Reza.

Lily mengangguk faham. Mereka sama-sama menyiapkan hidangan. Sementara itu, Azlan dan Lee membantu memasang katil portable di bilik. Hampir sejam kemudian, semuanya selesai.

“Oi Lee! Lan! Jom makan! Aku dah siapkan ni.” panggil Reza.

Mereka datang ke ruang makan. Reza menghulurkan pek MRE bersama air tin. Masing-masing mengambil satu, duduk makan dalam diam, tenang, sambil termenung — mengingati apa yang mereka lalui sejak semalam.

Untuk menceriakan suasana, Azlan bersuara. “Bila Rez bagi aku ransom ni, terus aku teringat zaman kanak-kanak aku. Ayah aku kerja tentera. Bila dia balik operasi, mesti dia bawa balik ransom. Aku dengan adik-beradik selalu berebut biskut keras besi ni makan dengan jem nanas. Perkena pulak dengan kopi panas… fuh, indah zaman tu.”

Mereka ketawa kecil, senyum terukir.

Lee menyampuk, “Ini kali pertama aku makan ransom. Sedap jugak… lagi-lagi bubur pulut hitam ni.”

“Lily cuba biskut keras ni… tapi keras sangat! Sakit gigi Lily.” rungut Lily. “Ingatkan dah expired… rupanya memang keras!”

Mereka ketawa beramai-ramai. Reza lalu menjelaskan, “Biskut tu kena celup air panas, baru lembut. Nah Lily, cuba bubur pulut hitam ni, manis dan sedap.”

Lily menghirup perlahan, matanya bersinar. “Sedaplah pakcik Reza!”
Reza turut memberikan gula-gula padanya, diikuti Lee dan Azlan. Lily tersenyum gembira.

Malam itu mereka makan sambil berkongsi cerita zaman kanak-kanak, bergelak ketawa, melupakan ketakutan semalam.

Selepas itu, masing-masing mula rasa mengantuk. Ada pula yang ingin mandi, badan melekit berpeluh.

“Kalau nak mandi, bilik air ada dekat belakang. Lagi satu dalam bilik, tu untuk Lily. Kalau nak buang air, tandas dekat luar, sebelah pondok. Jangan risau, ada lampu.” terang Reza.

Azlan berseloroh sambil ketawa, “Aduh… macam jamban lama, kena keluar kalau nak buang air.”

Reza turut ketawa. “Memang aku sengaja buat macam tu. Cuba bayang kalau ada orang berak, bau macam telur tembelang… mahu pengsan kita dalam rumah ni. Jadi tandas luar, bilik air dalam.”

“Tapi kalau takut, suruh Lee teman. Dia Cina, tak percaya hantu Melayu!” usik Reza sambil ketawa besar.

“Celaka kau, Rez. Aku percaya jugak lah.” balas Lee separuh marah, separuh ketawa.

Mereka sama-sama tergelak.

Reza kemudian memberi arahan terakhir. “Siapa nak mandi dulu, pergi mandi. Tuala dalam kotak tepi tu, baju pun ada… tak tahu cukup saiz ke tak. Untuk Lily, nanti kita cari lain. Malam ni kita tidur puas-puas. Esok banyak kerja kat dusun ni. Malam esok baru aku cerita pasal rumah bawah tanah ni. Sekarang… aku nak pergi melepaskan hajat. Dah tak tahan sangat ni.”

Until Bab 8, 9 Dan 10 akan di kemaskini pada Bulan 5 nanti. Stay tune!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience