Series
961
Bab 1
Permulaan
Sehari sebelum peristiwa di balai polis…
“Ok encik, encik nak order apa?” tanya pelayan kepada Reza.
Reza memesan, “Bagi saya teh O ais dengan nasi goreng kampung satu, itu saja.”
“Itu saja encik?” tanya pelayan itu lagi.
“Ya, itu saja, terima kasih,” jawab Reza.
Pelayan itu berlalu pergi meninggalkan meja Reza untuk menghantar pesanan tersebut ke dapur. Sambil itu, Reza termenung melihat berita di televisyen mengenai ketidakstabilan politik dan ekonomi negara. Ketika Reza sedang khusyuk menonton berita itu, tiba-tiba dia ditegur oleh seseorang yang memanggil namanya penuh dengan suara yang amat dikenalinya… suara yang dia dengar lapan tahun yang lalu.
“Reza?” tegur seorang lelaki berbangsa Cina.
Reza menjawab, “Ya, saya,” sambil menoleh ke belakang, lalu dia terkejut apabila melihat susuk tubuh yang amat dikenali sejak zaman tadika hinggalah ke sekolah menengah.
“Lee ke ni?” tanya Reza kepada lelaki itu.
“Yeah bro, itu nama aku,” jawab Lee sambil ketawa kecil.
“Lama sudah tak jumpa kau. Kau apa khabar, Rez?” soal Lee dengan senyuman lebar.
Reza ketawa kecil, “Wei Lee, itulah… aku lama tak balik kampung ni. Tengok aku, baik-baik saja. Kau tu makin berisi sekarang, nampak makin sihat.”
“Hahaha, biasalah… makan tidur, makan tidur,” jawab Lee sambil ketawa besar.
Reza kemudian mempelawa Lee untuk duduk bersamanya. “Lee, jom duduk dengan aku. Boleh kita berbual panjang.”
“Lah, aku ingat kau tak nak ajak aku duduk sekali lagi,” jawab Lee sambil ketawa.
“Kau gila apa tak nak ajak kau duduk sekali. Tengoklah kerusi ni ada empat,” seloroh Reza.
Lee terus duduk di sebelah Reza sambil tersenyum, lalu memanggil pelayan untuk membuat pesanan. Reza sempat bertanya tentang pekerjaan Lee sekarang.
“Lee, segak betul kau sekarang. Kau kerja di mana?” soal Reza.
Lee menjawab, “Aku sekarang kerja cikgu dekat sekolah lama kita tu lah.”
“Seriuslah Lee? Sanggup kau turun naik sekolah atas bukit tu?” seloroh Reza.
Lee hanya ketawa apabila mendengar gurauan Reza mengenai sekolah lama mereka.
Lee menjawab sambil tergelak, “Itu nasib baik dapat dekat dengan kampung. Kalau dihantar ke Sabah Sarawak, mahu biru muka aku.”
“Rez, bukan ke kau sekarang ni dalam tentera?” tanya Lee.
“Ya, aku masih lagi dalam tentera, tapi untuk sekarang aku ambil cuti panjang sebab aku dah lama tak balik kampung,” jawab Reza.
“Wah! Cun lah! Jadi kita boleh lepak lama-lama nanti. Sekarang ni pangkat kau apa dalam tentera? Bukan sudah kapten ke?” tanya Lee.
“Memang cun lah! Boleh lah kita pergi memancing macam dulu-dulu lagi. Aku belum jadi kapten, aku masih lagi leftenan,” jawab Reza.
Mereka berdua berbual panjang, saling bertukar cerita tentang apa yang dilalui sejak bertahun-tahun tidak berjumpa. Namun, ketika mereka asyik berbual, tiba-tiba siaran televisyen yang sedang menayangkan drama pukul 3 petang bertukar menjadi siaran kecemasan kerajaan. Muncul wajah Perdana Menteri di kaca TV.
“Kepada semua rakyat Malaysia yang saya kasihi… saya di sini tidak mahu berucap panjang lebar, tetapi saya menyeru semua rakyat Malaysia untuk segera pulang ke rumah dengan kadar segera. Tinggalkan semua kerja, pulanglah secepat mungkin. Pastikan bekalan makanan mencukupi untuk seminggu atau tiga minggu. Dengan berat hati saya sampaikan bahawa kini seluruh dunia diserang oleh satu virus yang tidak diketahui puncanya, yang menyebabkan haiwan menyerang manusia secara mengejut di beberapa kawasan di Malaysia baru-baru ini. Jadi saya minta semua rakyat segera pulang ke rumah dan—”
“Bang! Bang! Bang! Arghhh! Tolong! Tolong!!!”
“Lindung Alpha! Lindung Alpha! Escot Alpha ke safe room!!” jerit seorang pegawai UTK.
Tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan bertubi-tubi dan jeritan kuat dalam siaran kecemasan itu. Kelihatan pengawal-pengawal khas Perdana Menteri sedang melindungi beliau dengan melepaskan beberapa das tembakan ke arah hadapan dalam keadaan kelam-kabut. Kamera siaran langsung terhempas akibat dirempuh sesuatu. Siaran kecemasan ditamatkan serta-merta.
“Siaran Tamat.”
“Wei! Apa dah jadi ni?!” jerit Lee dengan wajah pucat.
“Benda apa yang serang PM tadi?”
Reza menjawab perlahan, dalam keadaan terpaku, “Aku tak tahu…”
Mereka berdua masih terkejut dengan ucapan Perdana Menteri sebentar tadi, ditambah pula suasana kelam-kabut yang tiba-tiba berlaku. Ada sesuatu yang besar sedang terjadi. Ketika mereka berdua masih cuba menghadamkan apa yang berlaku, tiba-tiba suasana di kedai makan bertukar kecoh. Dari keadaan tenang, bertukar menjadi jeritan dan huru-hara.
Reza dan Lee melihat beberapa ekor anjing dan kucing tiba-tiba menyerang manusia dengan ganas.
“Rez! Tengok tu! Kat jalan raya! Anjing dengan kucing tengah kejar orang macam orang gila!” jerit Lee.
“Cepat! Lari masuk dalam kereta sekarang!!” balas Reza.
“Apa dah jadi ni?!” tanya Lee panik.
“Aku pun tak tahu!” jawab Reza cemas.
Akibat terkejut dengan apa yang mereka lihat, Reza dan Lee bergegas lari ke arah kereta masing-masing untuk menyelamatkan diri. Namun mereka tidak sempat, kerana terdengar bunyi kereta bertembung di jalan keluar dari kedai makan itu.
“Rez! Kita nak buat apa sekarang?! Jalan dah kena block dengan kereta eksiden!” tanya Lee ketakutan.
Reza kelihatan kelam-kabut, cuba memikirkan cara menyelamatkan diri dari huru-hara itu. Tiba-tiba mereka terlihat beberapa orang yang digigit haiwan mula menggelepar, terbaring… dan kemudian bangun semula dengan keadaan mengerikan, sambil mengeluarkan suara menakutkan. Mereka terus menyerang orang lain yang berdekatan.
“Rez! Wei tengok tu! Orang tu macam mana boleh bangun balik semula dan serang orang lain?!”
Terkejut dengan apa yang mereka lihat, Reza mengambil keputusan dalam keadaan panik.
“Lee! Lari ke pekan! Sekarang!!” jerit Reza.
“Seriuslah?! Lari ke pekan?!” tanya Lee.
“Ya!! Cepat wei!! Lari selaju yang boleh!!” jerit Reza.
Kedua-dua mereka berlari ke pekan tanpa berfikir panjang. Sepanjang perjalanan, mereka melihat suasana huru-hara: orang ramai menjerit, perempuan, orang tua, kanak-kanak, semua melarikan diri. Ada yang merayu minta diselamatkan, namun Reza dan Lee hanya mampu berlari, melihat haiwan serta orang dijangkiti menyerang manusia dengan begitu ganas sekali, tanpa belas kasihan.
“Laju lagi Lee! Cepat!!”
Sedang mereka berlari tercungap-cungap, tiba-tiba Lee dirempuh oleh seseorang sehingga dia terjatuh berguling di jalan raya.
“Reza!! Tolong aku!! Tolong!!!”
Reza berpaling ke belakang, terlihat Lee tersungkur akibat dirempuh oleh seorang lelaki yang cuba lari daripada orang dijangkiti. Reza segera berpatah balik, merempuh orang dijangkiti itu sekuat hati sehingga ia terpelanting jauh ke belakang. Reza segera menarik Lee bangun.
“Lee!! Cepat bangun!!” jerit Reza sambil menghulurkan tangan.
“Cepat Lee!! Sebelum benda tu kejar balik semula!!”
Makhluk itu kembali bangun dan mengejar Lee dengan pantas, namun tiba-tiba ia dilanggar sebuah kereta yang terus terbabas ke tepi jalan.
Lee berlari semula, tidak menghiraukan luka di kaki dan tangannya. Dia menahan kesakitan akibat rempuhan itu.
“Jauh lagi ke, Rez?” tanya Lee tercungap-cungap, malah hampir termuntah kerana terlalu penat berlari tanpa henti.
“Dah tak jauh! Lepas stesen minyak tu kita naik rumah kedai dekat bank tu!” jawab Reza sambil termengah-mengah.
Keadaan sekeliling ngeri: kereta terbalik, terbakar, berlanggar, orang menjerit diserang haiwan dan orang dijangkiti. Semua itu membuatkan mereka seolah-olah tidak percaya apa yang sedang berlaku.
Ketika hampir sampai di kawasan bank, mereka terlihat seorang lelaki sedang berlari, dikejar orang dijangkiti, sambil menjerit minta tolong.
“Bang! Tolong saya bang!!”
“Apa kita nak buat ni Rez?! Orang tu minta tolong!” tanya Lee dengan wajah cemas.
“Bagi aku fikir jap…” Reza kelihatan serba salah.
Lelaki itu terjatuh, bergelut dengan orang dijangkiti, cuba mengelak daripada digigit.
“Lee, kau tengok sekeliling tempat ni kalau ada pintu terbuka ke tingkat atas! Aku pergi tolong orang tu!!” arah Reza.
Lee menjawab tergagap, “Ok, Rez! Ok!!”
Reza nekad. Dia berlari sekuat hati merempuh orang dijangkiti itu sehingga ia bergolek. Namun makhluk itu kembali bangun, merangkak laju lalu menerkam ke arah Reza sambil mengetap mulut, cuba menggigit wajahnya.
Reza menjerit dengan panik, “Tolong aku wei!! Tolong!!!”
“Oi!! Tolong aku!!!”
Share this novel