Bab 14

Thriller Series 991

Bab 14
Lega

Setelah menjelang kemuncak malam, Fariz telah selesai menguruskan dan menidurkan Fauzan serta Liyana di dalam bilik Lily. Lily turut bergembira dengan kehadiran mereka berdua yang menjadi peneman setelah 30 bulan tanpa berinteraksi dengan orang lain.
Fariz dan Erenia keluar dari bilik dan menuju terus ke meja makan, manakala Reza pula membancuh air kopi di dapur. Azlan dan Lee pula kelihatan kecewa apabila benda penting tertinggal di rumah agam itu.

Reza keluar dari dapur sambil membawa air kopi dan terus menuju ke meja makan.

“Lan, Lee, jom minum kopi dulu. Muka tu jangan kecewa sangatlah, remote TV je,” ajak Reza kepada Azlan dan Lee untuk bersama minum kopi sambil mendengar cerita daripada Fariz dan Erenia.

“Kau tahu tak betapa kecewanya kami berdua bila tertinggal remote? Gila sedih,” kata Azlan.

Lee pula dengan muka kecewanya tidak tahu hendak berkata apa.

“Kau berdua tak pernah buka TV secara manual ke?” tanya Reza kepada mereka sambil meletakkan air kopi di atas meja.
Reza terus bergerak ke arah televisyen dan tangannya meraba di bahagian belakangnya, lalu televisyen itu terus menyala.
Riak muka Azlan dan Lee berubah ceria apabila Reza berjaya menghidupkan televisyen tersebut.

“Kau berdua tak pernah buka TV secara manual ke? Kau, Lan, kata technician, takkan tak tahu pasal ni? Kau pun sama juga, Lee?” ujar Reza sambil tersenyum.

Dalam suasana gembira itu, Azlan menjawab,

“Aku ni technician, tapi kat rumah dulu aku pakai remote je. Lagipun aku tak pernah guna TV jenama ni,” katanya sambil tergelak.
Lee juga mengangguk setuju dengan apa yang dikatakan Azlan.

“Sudah-sudah, jom ke meja makan. Kita nak dengar cerita Fariz ni, apa yang sebenarnya berlaku,” kata Reza.

Mereka berdua berasa seronok apabila televisyen 60 inci yang berjaya dibawa balik akhirnya dapat berfungsi juga. Mereka sempat mencium televisyen itu sebelum bergerak ke meja makan.

“Sudah selesai tidurkan budak-budak tu?” tanya Reza.

“Alhamdulillah, sudah. Terima kasih atas keselesaan ini,” jawab Fariz.

“Bagus kalau macam tu. Meh lah kita berborak,” sambung Reza.

Kelihatan Azlan dan Lee turut serta duduk untuk mendengar cerita daripada Fariz dan Erenia.

Fariz berkata dengan kagum terhadap persediaan Reza menghadapi kiamat ini.
“Lawa juga kubu bawah tanah ni. Aku tak pernah tengok lagi kubu macam ni.”
“Macam tak percaya ada orang yang dah bersedia awal untuk hadap benda-benda macam ni, siap dengan kelengkapan senjata semua. Memang betul-betul bersedia,” katanya lagi.

Reza mengangguk faham dengan apa yang Fariz katakan.

“Sebab Rez ni berpangkat Leftenan dalam tentera. Mestilah dia tahu dan ambil tindakan awal,” seloroh Azlan.
Reza memandang Azlan sambil menggeleng kepala dengan senyum kelat.

“Apa?! Reza ni pegawai tentera ke?” tanya Fariz.

“Ya, betul,” jawab Reza.

“Maksudnya kau dah bersedia awal pasal ni? Kenapa kau rahsiakan daripada semua?” tanya Fariz dengan nada sedikit tidak puas hati.
“Agak-agak kalau aku bagitahu semua orang, mereka percaya ke? Pertama, apa akan jadi pada aku kalau aku beritahu semua? Sama ada penjara atau mati, dua tu je. Walaupun kita bersedia sekalipun, benda ni tak boleh dijangka. Aku ingat perang nuklear, tapi sebaliknya berlaku,” jawab Reza tenang.

“Betul apa yang Rez cakap. Dengan sikap orang kita ni, agak-agak mereka percaya ke? Silap hari bulan jadi bahan lawak je,” ujar Azlan.

“Aku pun terkejut juga bila Rez boleh bersedia semua ni, tapi aku rasa bersyukur sebab dia yang selamatkan aku masa makhluk tu cuba nak gigit aku,” sambungnya.

“Aku pula takkan persoalkan Rez sebab dia kawan aku dari zaman sekolah,” celah Lee.

Azlan dan Lee memberi sokongan terhadap tindakan awal Reza sebelum malapetaka berlaku. Pada awalnya, mereka berdua tidak bersetuju untuk datang, tapi akhirnya ikut juga atas dasar keselamatan dan pujukan Lily.

Fariz yang sejak tadi diam mendengar kini bersuara kembali.

“Betul juga apa yang kau cakap. Orang kita ni susah nak percaya benda-benda macam ni. Tak kisah siapa pun yang cakap, tetap jadi bahan lawak kat media sosial,” ujar Fariz sambil ditenangkan oleh Erenia.

“Takpe, Fariz. Aku faham. Ya lah, kalau aku jadi kau pun, aku tetap persoalkan. Benda normal,” jawab Reza.

“Jadi, seperti dijanjikan lepas maghrib tadi, kau nak cerita apa sebenarnya yang berlaku pada kau berdua ni?” sambung Reza.

“Baik. Aku ceritakan. Aku, Erenia dan dua anak tu sebenarnya terpisah dengan pasukan tentera semasa mereka buat operasi pembersihan makhluk tu dan menyelamatkan sesiapa yang masih hidup untuk dibawa ke tempat perlindungan di Danga Bayu,” cerita Fariz.

“Kami nak bergerak dari Sedenak ke Danga Bayu, tiba-tiba kami semua diserang hendap oleh kumpulan Lor’gya lengkap bersenjata AK-47 ketika melalui bandar Pontian,” sambungnya.

“Pasukan tentera cuba melawan tapi gagal, sebab bukan hanya Lor’gya ada ketika tu, makhluk tu pun ada sekali menyerang kami. Keadaan jadi haru-biru dan kelam-kabut. Aku, Erenia dan budak-budak tu ambil keputusan keluar dari trak tentera dan lari selamatkan diri, takut jadi mangsa tembakan atau digigit makhluk tu.”

“Sedang kami berempat mencari tempat untuk bersembunyi di kawasan sekitar, tiba-tiba kepala aku dihentak kuat. Aku tak sedarkan diri. Bila sedar, tahu-tahu dah berada di kem hamba di Kluang.”

“Kami berempat terpisah dalam kem tu. Hampir enam bulan kami semua berada di situ,” sambungnya.

“Sekejap — Lor’gya ada AK-47?” tanya Azlan terkejut.

“Ya, betul. Mereka ada kelengkapan senjata dan menguasai bandar Kluang tu,” sambung Fariz lagi.

“Rez, kau tahu tak pasal AK-47 ni? Macam mana boleh masuk ke dalam negara ni?” tanya Azlan.

Lee pula mengangguk kepala, seolah-olah tidak percaya dengan semua yang berlaku.

“Ya, betul Lan. Tujuh tahun lepas, PGA dan tentera ada buat rondaan di kawasan sempadan antara Kedah dan Thailand. Mereka ternampak sekumpulan lelaki Lor’gya dalam keadaan mencurigakan. Tentera terus buat serbuan dan rampas seribu senjata AK-47 buatan Pakistan yang cuba diseludup masuk ke negara,” jelas Reza.

“Apabila disoal siasat, sebenarnya Lor’gya ni dah lama bawa masuk banyak AK-47. Mereka merancang untuk ambil alih bandar Meru dengan melakukan kudeta,” sambungnya.

Azlan, Lee, Fariz dan Erenia terkejut mendengar penjelasan Reza tentang bagaimana penyangak Lor’gya boleh mendapat senjata AK-47 dalam negara ini.

“Lepas tu, semua rakaman video dan gambar diambil, tapi atas arahan pihak atasan, semua lelaki Lor’gya tu dihapuskan untuk menutup bukti dan elak perkara ni tersebar kepada umum,” sambung Reza lagi.

“Dengan bukti yang ada, tentera bersama polis dan imigresen terus buat serbuan dan rampas hampir 5,000 AK-47 di pelbagai tempat di Malaysia, tapi itu pun belum separuh lagi.”

“Sudah, Fariz. Habiskan cerita kau tu. Macam mana kau boleh larikan diri?” tanya Reza.

Fariz meneruskan cerita tentang kem hamba itu.

“Sepanjang enam bulan tu, banyak benda teruk yang Lor’gya ni buat. Rogol budak-budak, perempuan, ada yang bernafsu songsang — habis budak lelaki bawah umur dan remaja jadi mangsa.”

“Bukan tu saja. Semua orang dipaksa buat kerja berat tanpa mengira jantina atau umur. Kami diberi makan tiga hari sekali je.”

“Kalau ada yang terjatuh atau tak larat bangun, Lor’gya datang terus sembelih atau tembak kepala.”

Reza, Azlan dan Lee mendengar cerita Fariz dalam keadaan marah dan geram atas kekejaman Lor’gya, sedangkan dunia sedang bergelut dengan makhluk Z.

“Aku dah tak tahan dengan seksaan tu. Aku ambil keputusan cari jalan untuk larikan diri,” sambung Fariz.

“Sekejap. Erenia jadi mangsa rogol juga ke?” tanya Lee.

“Tak. Sebab Erenia berpura-pura ada penyakit kelamin, jadi Lor’gya tak berani ganggu,” jawab Fariz.

“Budak dua tu anak kau ke? Sebab kau berdua masih muda lagi,” tanya Azlan.

“Budak dua tu sebenarnya anak jiran kami masa peristiwa tu berlaku. Mak ayah mereka tak sempat diselamatkan. Masa tu kami baru berkahwin, jadi kami ambil keputusan bawa mereka sekali untuk cari tempat perlindungan yang selamat,” jawab Fariz.

“Ooo, patutlah,” ujar Azlan sambil mengangguk faham.

“Kenapa pilih jalan ke Pagoh?” tanya Reza.

“Sebenarnya pelan asal kami nak ke Muar, tapi semuanya jadi kacau bila Lor’gya mula kejar kami dekat jalan Parit Sulong,” sambung Fariz.

“Tengah kelam-kabut tu, aku main masuk simpang tanpa fikir apa-apa sebab Lor’gya kejar ramai sangat.”

“Jadi macam mana kau dapat kereta tu?” tanya Reza lagi.

“Kereta tu aku rembat masa semua Lor’gya tengah berseronok main judi. Aku terus bergegas dapatkan kereta, bawa Erenia dan dua budak tu, tolak senyap-senyap dan terus gerak ke Muar,” jawab Fariz.

“Judi apa Lor’gya ni main?” tanya Lee.

“Rusia rolet,” jawab Fariz.

Lee terdiam seketika mendengarnya.

“Setiap minggu ada saja judi Lor’gya buat untuk hiburan mereka. Ada budak-budak, perempuan mengandung, orang tua jadi mangsa judi.”

“Budak-budak, perempuan mengandung, orang tua tu diorang buat apa?” tanya Lee lagi.

“Kalau budak, mereka jadikan macam haiwan buruan. Lor’gya lepaskan dan buru. Siapa paling banyak bawa kepala budak, jadi pemenang.”

“Kalau perempuan mengandung, Lor’gya akan cabut undi pilih sama ada bayi lelaki atau perempuan. Perempuan tu diikat kaki tangan seperti bintang, perut ditoreh hidup-hidup untuk tengok jantina bayi. Lepas tu, perempuan tu dibiarkan mati perlahan-lahan dalam kesakitan,” sambung Fariz.

Azlan dan Lee bangun dengan rasa marah bercampur geram. Tangan mereka menggigil menahan emosi.

“Manusia jenis apa ni?” kata Azlan dengan suara bergetar.

“Itu belum teruk lagi. Ada lagi yang lebih kejam. Aku tak sanggup nak cerita,” kata Fariz.

“Jangan ceritakan lagi. Aku tak mampu nak dengar,” kata Lee.

Reza menggeleng kepala apabila mendengar cerita Fariz tentang kekejaman mereka.

“Ingat tak apa aku cakap, Lan, Lee? Makhluk tu memang bahaya, tapi manusia lagi bahaya,” kata Reza.

Fariz menyambung,
“Bila aku hilang kawalan kereta sampai terbabas dekat kilang tu, aku ingat memang habis aku kena dengan Lor’gya tu. Tapi syukur, Alhamdulillah, kau berempat ada masa tu.”

“Pistol tu pun aku dapat dari dalam kereta tu. Itulah senjata yang aku guna untuk lawan balik demi selamatkan Erenia dan dua budak tu,” sambung Fariz.

“Takpe, buat masa sekarang ni, kau, Erenia dan budak-budak tu boleh tinggal dengan kami. Ada juga kawan untuk Lily,” kata Reza.

“Sekejap, Reza. Aku nak tanya — benda apa yang menjerit tu? Telinga aku pekak, badan pun menggigil dengar jeritan tu,” tanya Fariz.

“Benda tu namanya Jalang. Kami berempat dah beberapa kali jumpa. Pernah cuba bunuh, tapi tak boleh. Benda tu boleh sembuh sendiri walaupun cedera teruk,” jawab Reza.

“Termasuk yang aku dengan Lan lawan masa balik tadi. Aku dah putuskan tangan dan tetak lehernya, tapi bila tengok semula, dah tak ada. Biasanya benda tu duduk dalam hutan untuk buru mangsa,” sambung Reza.

“Memang tak boleh bunuh ke benda tu? Lepas tu apa makanannya?” tanya Fariz.

“Tak pasti. Tapi berdasarkan pengalaman kami, memang tak boleh dibunuh. Bukan kau je menggigil, kami berempat pun sama. Telinganya sangat sensitif dengan bunyi,” kata Reza.

“Makanannya boleh jadi manusia, binatang, atau makhluk Z tu. Sebab tu kami tak bela ayam atau haiwan lain — takut benda tu datang sini.”

“Buat masa sekarang, kita akan berehat dua minggu dalam kubu bawah tanah ni sebab benda tu masih dekat dengan kawasan ni. Lepas dua minggu baru kita keluar semula cari keperluan,” sambung Reza.

“Kau tak pernah jumpa benda tu?” tanya Reza.

“Tak pernah. Ini kali pertama,” jawab Fariz.

“Takpe, sekarang ni rehat dulu. Esok kita fikir apa yang boleh dibuat dalam dua minggu ni,” kata Reza kepada Fariz.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience