Series
991
Bab 12
Pertempuran
“Fariz! Belok ke kanan, pergi ikut jalan Senangar!” kata Erenia sambil menunjuk arah kepada Fariz dalam keadaan huru-hara untuk lari daripada penyangak Lor’gya yang sedang menembak ke arah mereka menggunakan AK-47.
“Erenia, tundukkan kepala budak-budak ini! Awak pun ikut sekali!” kata Fariz sambil menundukkan kepalanya.
“Jangan perlahan kereta! Laju lagi, Fariz!” kata Erenia sambil membalas tembakan menggunakan pistol ke arah penyangak Lor’gya.
Fariz memandu kereta dengan laju, terus menuju ke simpang ke arah Pagoh untuk cuba melarikan diri daripada penyangak Lor’gya bagi menyelamatkan Erenia dan kanak-kanak daripada cengkaman penyangak tersebut.
Pada masa yang sama
“Lee! Tengok depan itu,” kata Azlan kepada Lee sambil menunjuk televisyen 60 inci.
“Hahahaha! Terbaiklah ada TV ini, boleh kita bawa ke kebun nanti,” jawab Lee sambil tergelak melihat sekeliling televisyen itu untuk memikirkan cara menanggalkannya dari dinding rumah.
“Kita kena jackpot ini. Dekat luar ada motor ATV, lepas itu dapat TV pula. Memang jackpot,” balas Azlan sambil melihat keadaan di sekitar rumah untuk memastikan tidak ada makhluk Zek berkeliaran.
“Dah-dah, tolong aku angkat TV ini. Lepas itu kita guna ATV untuk bawa TV ini dekat kereta,” balas Lee semula.
Azlan terus bergerak dekat Lee sambil menghulurkan tangan untuk membantu mengangkat televisyen. Setelah selesai menurunkannya, Lee dan Azlan memeriksa keadaan rumah agam dari ruang tamu, bergerak ke dapur, terus bilik ke bilik bagi memastikan makhluk Zek tidak ada di dalam rumah.
Selepas pemeriksaan dibuat dan memastikan rumah agam itu bersih daripada sebarang ancaman, mereka berdua turun dari tingkat atas untuk membawa televisyen keluar.
“Lan, boleh ke ATV itu hidup semula?” tanya Lee.
Manakala Reza dan Lily pula dalam keadaan tertiarap selepas sembab meletupkan badannya di dalam rumah. Mereka melakukan pembersihan untuk elak terkena asid yang terpercik di seluruh tempat.
“Lily, bangun,” kata Reza sambil menghulurkan tangan dan menarik Lily yang sedang tertiarap akibat letupan sembab.
“OK tak Lily? Ada cedera mana-mana tak?” tanya Reza yang risau melihat Lily kelihatan pening dan lemah.
“Pakcik Reza, Lily OK saja, tak ada cedera,” jawab Lily sambil memeriksa tubuh badannya. Reza turut memeriksa untuk memastikan Lily selamat
.
“Baguslah kalau begitu. Jom ambil semula senjata dalam rumah itu dan kita terus bergerak ke tempat mereka,” kata Reza.
Dia terus masuk ke rumah untuk mengambil semula senjata yang terjatuh akibat dirempuh sembab sebelum meletup. Pada masa sama, Reza mencapai radio dua hala untuk berhubung dengan Azlan dan Lee.
“Lan, Lee, sila masuk.”
“Lan, Lee, sila masuk.”
“………..” Bunyi statik radio dua hala tanpa sebarang respon.
“Dia orang OK ke tak ini? Ke ada apa-apa berlaku?” tanya Reza pada Lily.
Reza yang risau dengan keselamatan Azlan dan Lee membuat keputusan untuk terus bergerak ke tempat perjumpaan yang telah ditetapkan. Reza dan Lily tanpa membuang masa terus berjalan kaki ke sana.
“OK Lee, sekarang kau cabut bateri walkie talkie itu dulu. Lepas itu letak wayar merah dekat tembaga bateri, klip dan pasang semula,” arah Azlan kepada Lee untuk menghidupkan enjin motor ATV.
“Baik. Aku hidupkan ATV ini, kau Lee hidupkan walkie talkie,” ujar Azlan.
Azlan cuba menghidupkan enjin motor ATV beberapa kali sambil mengarahkan Lee untuk matikan dan hidupkan semula radio dua hala. Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya ATV berjaya dihidupkan, namun bateri radio dua hala telah kehabisan tenaga.
“Hahaha! Cantiklah Lan, ATV ini boleh hidup balik,” ujar Lee.
“Aku pun tak percaya boleh hidupkan semula ATV pakai bateri walkie talkie saja,” sambung Azlan gembira.
“Tak apa, sekarang ini kita biarkan ATV ini hidup dalam 15 minit. Lepas itu baru kita gerak ke kereta,” sambung Azlan lagi.
Mereka berdua melakukan pemeriksaan terakhir di rumah agam itu sebelum bergerak ke arah kereta 4x4 dengan membawa motor ATV dan televisyen. Mereka seolah-olah mendapat ganjaran besar selepas membuat pembersihan di sekitar kampung Tanah Merah.
Reza dan Lily pula berjalan kaki keluar dari perkampungan Tanah Merah menuju ke jalan raya dalam keadaan berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kejadian yang mampu mendatangkan kecederaan.
Sesudah mereka sampai di jalan utama, mereka melihat Azlan dan Lee sedang berseronok menaiki motor ATV berpusing-pusing di kaki lima jalan.
“Rez! Tengok apa yang kita jumpa! Hahaha, ATV abang, baru mantap!” kata Azlan sambil membonceng Lee di belakang dengan perasaan seronok.
Reza hanya menggeleng kepala melihat gelagat mereka, manakala Lily berlari ke arah mereka teruja ingin mencuba.
“Pakcik Azlan, Lily nak cuba juga!” kata Lily sambil melambai tangan ke arah Azlan.
Reza pula berkata,
“Lan! Lee! Kenapa tak jawab walkie talkie tadi? Kau tahu tak aku dan Lily risau bila korang tak respon pun?”
Azlan memberhentikan motor ATV.
“Aku dengan Lee bukan tak nak jawab, tapi bateri walkie talkie habis sebab guna untuk cas bateri ATV ini. Aku minta maaf,” kata Azlan.
“Apa? Kau guna bateri walkie talkie untuk hidupkan ATV ini? Tapi tak apa, yang penting kau berdua selamat. Aku malas nak cari masalah,” ujar Reza.
“Jom gerak balik kebun naik ATV,” kata Azlan.
Reza menggeleng kepala melihat gelagat Azlan membawa Lily dan Lee ke arah kereta untuk pulang ke kebun. Sesampainya di kereta, Reza melihat televisyen 60 inci di atas belakang kereta 4x4 lalu berkata,
“Seriuslah kau berdua ni? TV mana pula kau curi ni?”
Azlan dan Lee tergelak sambil mengangkat bahu.
“Pakcik Reza! Yeah, ada TV! Boleh lah tengok nanti, dah lama tak tengok, rindu,” kata Lily gembira.
Reza mengarahkan Azlan dan Lee memeriksa peralatan supaya tiada yang tertinggal. Ketika mereka sedang berkemas, tiba-tiba terdengar bunyi tembakan bertalu-talu dari arah jalan utama Senangar. Mereka bergegas menyembunyikan kereta dan motor ATV.
“Lan! Kau pergi dekat kilang itu, panjat bumbung kilang pau. Bawa ATV sekali! Bawa Enfield!” jerit Reza.
“Baik, bos!” balas Azlan.
“Lee! Kau bawa kereta ini pergi bersembunyi dekat belakang kedai itu! Lepas itu cari tempat untuk tembakan perlindungan, bawa SMG kau!” arah Reza.
“Lily, ikut Cikgu Lee! Sembunyi dalam kereta!”
“Baik, Rez!” jawab Lee lalu bergegas membawa kereta 4x4 ke belakang kedai makan.
Reza juga membawa rifle SLR dan bersembunyi di belakang kereta lama tersadai di tepi jalan berhampiran kilang pau. Dia memberi isyarat tangan kepada Azlan dan Lee untuk menggunakan penapis minyak sebagai penembat bagi mengelirukan musuh tentang kedudukan mereka.
Beberapa minit kemudian, sebuah kereta dipandu laju menuju ke arah mereka, diikuti penyangak Lor’gya yang menembak bertalu-talu. Kereta itu terbabas masuk ke halaman kilang pau. Tanpa membuang masa, Azlan melepaskan tembakan dari arah bumbung, diikuti Reza dan Lee. Bunyi senjata bersahutan, beberapa penyangak rebah ditembak.
Reza, Azlan, dan Lee terus menembak, satu demi satu penyangak Lor’gya mati sehingga selebihnya terpaksa berlindung. Ketua penyangak mengarahkan anak buahnya melepaskan tembakan membabi buta kerana tidak tahu kedudukan mereka bertiga.
Reza mengarahkan Lee menggunakan rifle SLR dengan bantuan skop dan mencari posisi lebih tinggi untuk membantu Azlan yang tinggal sedikit peluru. Lee segera memanjat bumbung kedai makan memberi tembakan sokongan.
Sedang mereka bertempur, Reza terdengar tangisan kanak-kanak dari kereta yang terbabas di halaman. Tanpa berfikir panjang, dia berlari ke arah kereta itu, namun dua das tembakan dilepaskan dari dalam, memaksanya meniarap di bawah kereta.
“Jangan tembak aku! Aku nak bantu kau!” jerit Reza.
“Orang Melayu ke?” tanya Fariz.
“Ya, bodoh! Aku orang Melayu!” jawab Reza sambil melepaskan beberapa das tembakan.
“Tolong kami! Lor’gya itu buru kami berempat!” kata Fariz dalam kesakitan akibat impak kemalangan.
“Sekejap! Bagi aku pusing ke pintu penumpang sebelah kiri!” balas Reza.
Reza merangkak ke pintu kiri dan membuka pintu untuk mengeluarkan mereka berempat, lalu menjerit,
“Oi! Cepat keluar dari kereta dan pergi ke tepi dinding itu cepat!”
Selesai menyelamatkan mereka, Reza segera memberi rawatan asas kepada Erenia dan kanak-kanak.
“Kamu semua OK tak? Ada yang cedera teruk?” tanya Reza.
“Aku masih OK, tengok mereka bertiga ini,” jawab Fariz sambil memeluk kanak-kanak.
“Kami dari bandar Kluang. Kami cuba larikan diri daripada kem hamba Lor’gya, tapi kantoi, sebab itu mereka kejar kami,” jelas Fariz.
“Tak apa, nanti kita bincang. Sekarang berlindung sini dulu. Aku nak naik atas tolong kawan aku,” kata Reza.
Dia berlari ke bumbung kilang pau dan menjerit kepada Azlan,
“Lan! Mangkuk hayun dekat mana?”
“Mangkuk hayun tu ada dekat situ, situ, dan situ!” jawab Azlan sambil menunjuk arah posisi penyangak Lor’gya.
“Rez! Peluru aku tinggal sikit ni!”
“Berapa lagi?”
“Dalam 20 butir je!”
“Tak apa! Terus tembak sampai habis! Aku lindung kau!”
Namun tiba-tiba, kedudukan mereka terbongkar apabila anak buah penyangak Lor’gya menunjukkan arah ke bumbung. Ketua penyangak mengarahkan tembakan deras ke arah mereka. Peluru menghujani atap, memaksa Reza dan Azlan melompat turun menyelamatkan diri.
Lee cuba membantu, tetapi posisinya juga mula terdedah. Dalam kekalutan itu, dari arah ladang kelapa sawit, satu pekikan ngeri kedengaran — bukan suara manusia.
“Jalang…” bisik Reza kepada Azlan.
Share this novel