Series
961
Bab 3
Persediaan
"Pelan sekarang ini... kita kena cari apa sahaja senjata atau benda yang boleh kita guna untuk lindung diri, dan makanan untuk terus hidup," tegas Reza dengan nada serius.
"Pakcik Reza kedai papa Lily kat bawah tu... tingkat satu ada stor tempat papa simpan barang-barang niaga. Tapi Lily tak pasti sama ada stor tu berkunci atau tak," ujar Lily dengan wajah penuh kerisauan.
"Tak apa. Kunci tu kita boleh cari sekarang. Lily, cuba ingat balik dekat mana papa simpan kunci tu. Lee, tolong Lily cari kunci. Aku dengan Lan naik ke bumbung, tengok keadaan sekeliling," arah Reza sambil memandang tajam ke arah mereka.
Semua mengangguk tanda faham.
Reza dan Azlan perlahan-lahan naik ke bahagian bumbung, meninjau persekitaran. Sementara itu, Lee dan Lily menyelongkar setiap sudut rumah mencari kunci stor yang disimpan oleh ayah Lily.
"Ok Lan, kau tengok bahagian belakang. Aku tengok bahagian depan. Kita kena pastikan keadaan betul-betul selamat atau tak," kata Reza dengan nada berwaspada.
"Belah belakang nampak agak kosong... cuma ada beberapa ekor ‘benda tu’. Aku tak tahu nak panggil apa makhluk tu. Kira-kira ada sedozen," jawab Azlan sambil mengerutkan dahi.
"Aku pun tak tahu nak gelar apa makhluk tu. Nanti kita bincang pasal tu balik. Belah depan pun sama... ada tiga hingga lima ekor berkeliaran sekitar kedai," balas Reza.
"Aku juga nampak dua buah trak terbiar kat depan kedai," sambung Reza lagi.
Mata Reza kemudian tertancap pada sebuah bangunan di kejauhan. "Balai polis kat atas bukit tu nampak macam selamat... cuma aku tak pasti betul-betul."
Kedua-duanya terdiam, hanya memandang bangunan itu sambil menimbang sesuatu. Akhirnya mereka turun ke bawah untuk berbincang lanjut. Pada masa yang sama, Lee dan Lily masih gigih mencari kunci stor di bilik ayah Lily.
"Cuba Lily ingat... papa Lily hari tu letak mana kunci lepas check stor?" tanya Lee.
"Rasanya papa letak kunci dalam almari bilik dia," jawab Lily perlahan.
"Kalau macam tu, Lily tunjuk dekat cikgu bilik papa dekat mana," pinta Lee.
"Jom cikgu Lee. Biliknya dekat bahagian belakang," balas Lily sambil menarik tangan Lee ke arah bilik itu.
Ketika mereka sedang menghala ke bilik ayah Lily, Reza dan Azlan turun ke bawah dengan penuh hati-hati, cuba mengelak sebarang bunyi bising.
"Cikgu Lee... ni kunci stor papa!" kata Lily sambil tersenyum lega apabila menjumpai kunci yang dicari.
"Wah, bagus Lily. Jom kita ke ruang tamu tunggu yang lain," balas Lee.
Reza dan Azlan sudah menunggu di ruang tamu. Lee dan Lily segera menyampaikan berita baik itu.
"Pakcik Reza, pakcik Lan, kami dah jumpa kunci stor tu!" ujar Lily dengan penuh semangat.
"Ye ke, Lily?" Reza seakan tak percaya.
"Ye, pakcik Reza," balas Lily sambil menghulurkan kunci itu kepadanya.
Reza segera mengambil kunci tersebut, lalu mengajak Azlan dan Lee menemaninya ke stor untuk mencari bekalan makanan. Lily pula diarahkan tinggal di rumah, demi keselamatannya.
Mereka bertiga perlahan-lahan menuruni tangga menuju ke tingkat satu. Sampai sahaja di depan stor, Reza memasukkan kunci ke tombol besi dan membukanya. Daun pintu berkeriut, lalu terbuka mendedahkan ruang simpanan yang penuh dengan stok makanan.
"Cantiklah... banyak stok makanan ni. Boleh kita bertahan lama," kata Azlan, matanya bersinar sedikit lega.
"Betul, Azlan. Bekalan ni cukup sampai tahun depan," seloroh Lee sambil ketawa kecil.
"Jom kita periksa dan ambil apa yang perlu dulu untuk tenaga nanti," arah Reza.
Mereka bertiga mengumpul beberapa bekalan penting. Setelah cukup, mereka kembali naik ke tingkat atas untuk berbincang pelan seterusnya.
"Aku sebenarnya nak bincangkan sesuatu dengan korang. Aku rasa tempat ni tak cukup selamat untuk jangka masa panjang. Aku nak ajak korang semua pindah ke kubu bawah tanah aku," ujar Reza tiba-tiba, nada suaranya penuh serius.
Kata-kata itu membuatkan semua terdiam. Mereka menaiki tangga dalam keadaan senyap, masing-masing tenggelam dalam fikiran. Hanya selepas masuk ke dalam rumah, Lee akhirnya bersuara.
"Ada apa-apa kau rahsiakan dari kami ke, Rez?"
Reza terdiam seketika.
"Kubu kau tu dekat mana sebenarnya? Jauh ke?" tanya Azlan.
"Kubu tu kat tanah pusaka arwah ayah aku, kat dusun. Tak jauh dari sini... dalam tujuh kilometer je," jawab Reza.
"Jadi, Kubu bawah tanah tu ada apa sebenarnya?" Lee mencelah.
"Kat sana ada semua keperluan untuk kita hadapi benda-benda ni," balas Reza yakin.
Azlan menghela nafas panjang. "Ok... kalau macam tu, apa pelan kita sekarang? Sebab dekat sini kita dah ada bekalan makanan, tempat tinggal pun agak ok... cuma masalahnya kita tak ada senjata untuk pertahankan diri."
"Pelan dia macam ni..." Reza menarik nafas panjang.
Mereka berkumpul, mendengar penuh perhatian.
"Kita kena pergi ke balai polis atas bukit tu. Cari senjata. Biasanya senjata polis disimpan dalam bilik kebal. Tapi ada satu lagi bilik—bilik barang rampasan. Dalam tu macam-macam ada. Kalau nasib kita baik, boleh jumpa senjata. Masalahnya... kita kena fikir cara nak masuk ke balai tu. Ada idea?" tanya Reza.
"Aku ada idea," Lee tiba-tiba bersuara. "Lily, cikgu nak pinjam telefon sekejap."
"Ambil lah cikgu Lee." Lily terus menghulurkan telefonnya.
Lee membuka peta online kawasan itu. "Ok, tengok sini. Sekarang kita berada kat sini. Balai polis tu lebih kurang dua hingga tiga ratus meter je dari sini. Selalu aku nampak polis lalu pintu pagar kecil tepi balai tu untuk pergi warung. Kita boleh guna pintu tu untuk masuk, tak perlu lalu pintu depan. Pintu depan terlalu berisiko. Kalau ikut peta ni, ada laluan jalan kaki terus ke pejabat polis dari sebelah kanan. Kita boleh cuba masuk dari belakang."
"Cantik... tapi masalahnya kita tak tahu bilik simpanan barang rampasan tu kat tingkat mana. Balai tu ada tiga tingkat. Jadi pelan kita... bila dah sampai dalam, kita kena berpecah—seorang untuk satu tingkat," jelas Reza.
Azlan terus menyampuk, wajahnya risau. "Bahaya gila pelan ni! Kau pun tahu benda tu berkeliaran kat sekitar balai. Kita tak ada senjata langsung untuk lawan. Fikir betul-betul, Rez. Ini soal nyawa, bukan main-main."
"Sebab tu kita kena bergerak senyap-senyap. Kalau terserempak, jangan lawan. Seboleh-bolehnya elak. Kita tak tahu kelemahan mahupun kekuatan benda tu. Ingat! Elakkan. Kalau terpaksa, guna apa saja yang ada dekat dapur untuk pertahankan diri. Tapi jangan cari pasal dengan makhluk tu," tegas Reza.
Azlan cuba mengendurkan suasana tegang. "Tapi nak tanya... kita nak panggil benda tu apa? Takkan nak asyik sebut ‘benda tu datang, benda tu datang’?" katanya sambil ketawa kecil.
Yang lain turut tersenyum.
"So, ada cadangan nak bagi nama apa?" tanya Reza.
"Orang mati?" cadang Azlan.
"Panjang nak sebut," balas Reza.
"Undead?" kata Lee.
"Susah nak dengar," geleng Reza.
"Kalau zombi... pun panjang jugak," tambah Reza.
"Pakcik Reza, Lily nak cadangkan nama," Lily tiba-tiba bersuara.
"Apa dia, Lily?" tanya Reza lembut.
"Zek," jawab Lily ringkas.
Reza mengangkat kening. "Macam mana yang lain?"
"Ok je. Pendek, senang sebut," balas Azlan dan Lee serentak.
"Baiklah. Mulai sekarang, kita panggil benda tu... Zek," Reza mengangguk puas.
Dia kemudian menyambung, "Lepas kita keluar dari balai polis, pelan aku adalah terus ke rkubu bawah tanah dekat dusun ayah aku."
Azlan menggeleng. "Tapi kenapa kita tak tinggal je kat sini? Air ada, elektrik ada, bekalan cukup. Tempat ni tinggi, agak selamat juga dari Zek."
"Aku pun setuju dengan Lan. Kenapa perlu susah-susah pindah? Semua dah ada kat sini," tambah Lee.
Reza terdiam sebentar. Dia tidak menyangka mereka berdua akan membantah. Namun dia akhirnya bersuara dengan nada tegas.
"Aku tak boleh bantah keputusan korang. Tapi aku tetap akan pergi... walaupun tanpa korang. Sebab aku yakin kubu bawah tanah aku lebih selamat. Kat sana ada walkie talkie, boleh bercucuk tanam, bekalan air tak pernah putus, elektrik ada, senjata pun ada untuk pertahankan diri."
Dia berhenti sejenak, kemudian menambah, "Tapi kalau korang nak tinggal sini, aku tak halang. Cuma fikirkan... kalau Zek datang balik ke sini, berapa lama bekalan air dan elektrik boleh bertahan? Makanan cukup sampai bila? Korang kena tahu... akan ada manusia lain yang lebih berbahaya daripada Zek. Bila soal makanan timbul, manusia boleh jadi jauh lebih kejam."
Suasana menjadi tegang.
"Kalau korang tak nak ikut pun tak apa. Tapi aku minta izin ambil sedikit bekalan untuk aku bawa ke sana. Esok pagi aku akan load semua bekalan ke trak. Lepas kita selesai di balai polis, aku terus bergerak ke rumah bawah tanah," sambung Reza sebelum bangun meninggalkan mereka menuju tempat tidur.
Lee dan Azlan masih diam, buntu, tidak tahu sama ada mahu terus tinggal di rumah kedai itu atau ikut bersama Reza ke dusun.
Share this novel