Series
991
Bab 17
SK Temiang
1 jam sebelum serangan makhluk Zek
“Pasukan 3 sudah balik ke belum? Sudah dua hari pasukan 3 tak balik-balik. Ada masalah ke?” tanya Seiftis kepada operator radio transisi.
“Belum lagi, saya cuba berhubung dengan ketua pasukan 3 berkali-kali tapi masih belum dapat lagi, Seiftis,” kata operator radio transisi.
“Cuba hubung mereka semula sampai dapat.”
“Baik, Seiftis,” balas operator radio transisi.
“P3 masuk, P3 masuk.”
“P3 sila respon, P3 sila respon.”
“Tidak ada respon, Seiftis.”
“Tak apa, terus cuba hubung sampai dapat. Saya nak pergi cari Joe dulu,” kata Seiftis.
Seiftis menuruni beranda di atas pentas. Langkahnya perlahan namun tegas. Dari situ, dia melangkah keluar meninggalkan dewan, mencari kelibat Joehainor yang entah ke mana perginya. Di luar, suasana terasa riuh — pasukan-pasukan sibuk membuat persiapan untuk keluar mencari makanan, peralatan, dan apa jua keperluan yang masih kurang.
Di halaman sekolah, kanak-kanak berlari riang mengelilingi bangunan yang lusuh itu, seolah-olah melupakan seketika ketakutan dunia luar. Sementara itu, orang-orang tua tekun dengan urusan masing-masing — ada yang menyediakan makanan, ada yang mencuci pakaian, ada pula yang mengasah senjata di bawah sinar matahari pagi. Di antara mereka, Seiftis bergerak perlahan, menyapa satu persatu wajah yang berada di bawah jagaannya, memastikan segalanya masih teratur dan selamat.
Seiftis terus bergerak menuju ke padang sekolah untuk mencari Joehainor yang berkemungkinan sedang membuat taklimat kepada pasukan yang diberi tugas mencari keperluan-keperluan kem sekolah itu. Setelah Seiftis sampai ke padang sekolah, jangkaannya tepat apabila Joehainor sedang membantu menurunkan barangan pasukan yang baru balik pagi tadi.
“Joe! Kau sibuk sekarang ni? Aku ada benda nak bincang ni.”
“Terkejut aku, nenek tua ni. Suka betul datang dari belakang. Tak sangat, tengah angkat barang. Kenapa, Seiftis?” jawab Joehainor sambil memunggah barangan.
“Pasukan 3 tak balik lagi. Operator radio sudah banyak kali cuba berhubung tapi tak dapat.”
Joehainor menurunkan barangan dan terus memandang muka Seiftis dengan serius apabila Seiftis bercakap mengenai pasukan 3 yang belum pulang sehingga hari ini.
“Pasukan 3 ni belum balik lagi ke? Dah dua hari ni. Diorang ditugaskan pergi area Bakri untuk cari alatan kayu buat tempat pertanian,” kata Joehainor.
“Berapa ramai yang kau letak dalam pasukan 3?”
“Biasanya satu pasukan dalam lima orang, tapi pasukan 3 hari tu minta nak guna ramai orang sebab nak guna tenaga kerja banyak. Aku setuju. Sekarang ni dah jadi macam ni, susah lah pula,” jawab Joehainor.
“Bulan lepas pasukan 10 hilang tanpa jejak. Sekarang ni pasukan 3 pula. Ke diorang pergi masuk bandar?” ujar Seiftis sambil mengeluh dan menggeleng kepala.
“Kan bulan lepas kita dah buat keputusan dalam Majlis, tak boleh pergi ke bandar selepas pasukan 10 hilang masa cari bekalan perubatan. Jadi sekarang ni kita nak hantar pasukan pencari tak?” kata Joehainor.
“Tak perlu. Kita tak boleh ambil risiko orang kita lagi. Makin ramai hilang, makin panik pula orang-orang dalam ni,” kata Seiftis.
“Jadi sekarang ni nak buat apa? Takkan nak berdiam diri pasal benda ni?” tanya Joehainor.
“Pukul 11 nanti kita buat perjumpaan majlis, bincangkan hal ni dan apa tindakan orang kita nak ambil,” kata Seiftis.
“Ok, baik. Kita jumpa lagi setengah jam. Aku nak pergi inform semua ahli majlis,” balas Joehainor.
Joehainor mula bergerak pergi mendapatkan semua ahli majlis untuk menghadiri perjumpaan bagi memaklumkan perkara yang berlaku serta tindakan yang boleh diambil. Manakala Seiftis pula terus bergerak ke bilik mesyuarat untuk persediaan perjumpaan majlis.
Suasana di sekeliling sekolah mula agak tegang apabila khabar pasukan 3 yang belum kembali menjadi buah mulut dengan cepat.
30 minit kemudian
Bilik mesyuarat berada dalam suasana agak tegang apabila wakil kumpulan yang merupakan ahli majlis menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang berlaku dan menuntut penjelasan daripada Seiftis dan Joehainor mengenai pasukan 3.
“Seiftis! Macam mana perkara ni boleh berlaku lagi? Bulan lepas kita dah hilang lima orang, hari ni lagi sepuluh orang hilang?” tanya salah seorang ahli majlis.
“Kami sudah pastikan semua sebelum keluar dari sekolah. Kami buat taklimat pergerakan, waktu balik dan pastikan semua peralatan serta radio dalam keadaan berfungsi, baru kami luluskan pergerakan tu,” jawab Seiftis.
“Tapi masalahnya sekarang, kenapa sepuluh orang yang hilang kali ni? Biasanya lima orang saja setiap kali keluar kan? Itu prosedur yang majlis sendiri tetapkan,” balas ahli majlis dengan sokongan suara ahli lain.
“Ya, betul. Tapi minggu lepas ahli majlis juga buat permintaan untuk besarkan tempat pertanian. Kita semua setuju. Bila kami gerakkan pasukan 3 yang arif kawasan Bakri, ketua pasukan 3 buat permohonan nak bawa lagi sepuluh orang untuk percepatkan proses angkat kayu. Jadi kami luluskan,” jawab Seiftis.
“Jadi sekarang nak buat apa? Bukan sepatutnya kita hantar pasukan pencari untuk kesan pasukan 3 di mana?” kata seorang lagi ahli majlis.
“Kami sudah rancang nak hantar pasukan pencari, tapi ada kekangan. Kita kekurangan tenaga orang dan yang arif pasal kawasan Bakri. Jadi kami ambil keputusan untuk tidak hantar pasukan pencari,” balas Seiftis.
Semua ahli majlis tidak berpuas hati dengan jawapan Seiftis, dan keadaan dalam bilik mesyuarat menjadi riuh dengan tindakan Seiftis yang dianggap mengabaikan pasukan 3. Dalam keadaan riuh dan tertekan, Joehainor masuk campur dalam perjumpaan itu.
“Saya yang buat keputusan untuk tidak hantar pasukan pencari tu. Saya sebagai ketua penyelaras pasukan buat keputusan untuk elakkan lebih ramai yang hilang atau mati akibat diserang oleh mayat hidup,” kata Joehainor dengan tegas.
“Saya sepatutnya bertanggungjawab mengenai ni. Saya yang luluskan permintaan ketua pasukan 3 untuk bawa lima orang lagi, bukan nenek tua ni. Dia dah lakukan yang terbaik. Sekarang ni ahli majlis nak pertikai pula?” kata Joehainor.
“Kita kekurangan tenaga muda. Kalau kita hantar pun, takut perkara yang sama jadi semula. Itu yang kami tak mahu. Buat masa ni, kita tunggu respon dari kawalan radio. Seiftis panggil ahli majlis semua bukan nak tambah panik atau apa-apa, dia cuma bertanggungjawab dan telus maklumkan mengenai pasukan 3 ni saja dekat ahli majlis.”
“Sekarang ni, kita berdoa dan berharap mereka dapat pulang dengan selamat...”
Tiba-tiba radio dua hala berbunyi.
“Joe! Kod Merah! Kita kena serang dengan mayat hidup!” kata operator radio.
“Apa?! Seiftis! Kod Merah! Aku pergi dewan, kau uruskan pergerakan yang lain!” kata Joehainor sambil berlari keluar dari bilik mesyuarat.
Manakala Seiftis mengangguk faham dan terus memberi arahan kepada semua ahli majlis.
“Semua ikut Drill Merah! Pastikan semua kanak-kanak dan orang tua naik bangunan C! Gerak cepat!” arahan Seiftis kepada ahli majlis lain. Mereka semua bergegas keluar dari bilik mesyuarat.
Suasana yang asalnya ceria dan tenang berubah menjadi kelam-kabut dan haru-biru. Kelihatan kanak-kanak lari menangis ketakutan, orang tua berlari sambil memimpin yang lain menuju ke bangunan C. Seiftis menjerit memberi arahan kepada semua orang supaya bergerak pantas dan tinggalkan barangan yang tidak perlu.
“Semua kanak-kanak dan orang tua, pergi naik tingkat tiga bangunan C sekarang!”
“Ikut seperti kita latih setiap bulan!”
“Yang muda, bantu urus mereka naik ke tingkat tiga! Pastikan setiap pintu pagar tangga ditutup dan disendal dengan kayu apabila semua dah naik! Faham?!”
“Faham, Seiftis!”
Remaja dan perempuan muda ditugaskan untuk menguruskan kanak-kanak serta orang tua naik ke tingkat tiga. Manakala Joehainor pula berlari ke arah pintu depan sekolah untuk melihat situasi sebenar.
Kelihatan skuad perisai sedang menghalang makhluk Zek yang sudah masuk ke perkarangan dewan. Apabila Joehainor melihat situasi itu, dia terus memberi arahan kepada yang lain.
“Skuad Perisai, dua baris hadapan! Skuad Lembing, satu baris tengah! Skuad Parang, satu baris belakang! Skuad, sedia!” jerit Joehainor memberi arahan kepada semua skuad.
Kelihatan skuad perisai pertama yang bertahan di perkarangan dewan sudah mula rapuh, dan ada dalam kalangan mereka yang terjatuh serta terjangkiti akibat digigit makhluk Zek. Joehainor yang mengetuai skuad perisai mula mengarahkan pergerakan untuk memberi bantuan kepada skuad pertama.
“Skuad, sedia bergerak! Formasi V!”
Semua skuad bergerak serentak membentuk formasi V seperti diarahkan oleh Joehainor. Sambil itu, dia berkata-kata untuk memastikan semua skuad berada dalam keadaan bersedia dan tidak takut bertempur dengan makhluk Zek.
“Kita akan bertahan selama mungkin sehingga semua yang di belakang kita selamat! Selagi mereka belum selamat, kita akan bertahan habis-habisan!”
Skuad perisai pertama sudah tumbang, dan kelihatan yang terselamat mula lari ke arah skuad yang dipimpin oleh Joehainor. Makhluk Zek terus mengejar yang terselamat berlari ke belakang. Suasana menjadi sangat tegang apabila kelihatan makhluk Zek yang terlalu banyak bergerak laju menuju ke arah skuad Joehainor.
“Skuad, Temiang bertahan!” jerit Joehainor.
“Temiang bertahan!” jerit semua skuad dalam keadaan bersedia.
Makhluk Zek berlari pantas ke arah skuad Joehainor dan mula merempuh skuad perisai dengan kuat sehingga mereka terundur ke belakang. Namun, skuad perisai yang dipimpin oleh Joehainor dapat mengawal keadaan dan menolak semula makhluk Zek ke belakang.
“Skuad Perisai, Maju ke hadapan!”
Jeritan semangat bergema sambil skuad perisai menolak makhluk Zek yang cuba menggigit mangsanya dengan ganas dan menakutkan. Keadaan tegang apabila berlaku tolak-menolak antara makhluk Zek dan skuad perisai sehingga suasana mula di luar kawalan. Lalu Joehainor mengarahkan skuad lembing untuk menyerang.
“Skuad Lembing! Tikam kepala mayat hidup!”
Skuad lembing maju ke hadapan membantu skuad perisai untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. Tikaman demi tikaman dibuat ke kepala dan badan makhluk Zek. Namun begitu, makhluk Zek dengan ganas merempuh tanpa henti, dan mayat mula bergelimpangan di atas jalan, menyukarkan skuad perisai untuk bertahan.
Apabila Joehainor melihat keadaan skuad perisai semakin sukar bertahan dengan jalan yang licin dan dipenuhi darah, dia terus membuat keputusan untuk skuad perisai maju ke depan.
“Skuad Perisai! Tolak!” jerit Joehainor.
“Tolak! Tolak! Tolak!” jerit skuad perisai sambil menolak berkali-kali mengikut arahan Joehainor.
Makhluk Zek tertolak ke belakang walaupun jumlah mereka masih ramai, namun mereka mula berundur akibat tekanan tolakan itu. Skuad parang pula menjadi pertahanan terakhir menjaga skuad perisai dan lembing dari belakang.
Ketika skuad perisai dan lembing sibuk bertahan dan menyerang makhluk Zek di bahagian depan, ada juga makhluk Zek yang mula menyerang dari sisi. Ketika ini peranan skuad parang bermula — mereka melindungi yang lain dengan melibas setiap makhluk Zek yang cuba mendekati mereka.
Setelah 45 minit bertahan, mayat makhluk Zek bergelimpangan di sekeliling skuad yang sedang maju ke hadapan. Pada masa yang sama, semua skuad sudah kelihatan kepenatan sehingga ada yang tidak mampu bertahan. Akhirnya terdengar suara Seiftis di radio dua hala mengatakan semua orang sudah berada di tempat selamat.
“Joe! Drill Merah sudah selesai! Boleh bergerak ke bangunan B sekarang!”
Bila mendengar Drill Merah sudah selesai, Joehainor mengarahkan skuadnya untuk menolak keluar makhluk Zek hingga ke pintu pagar sekolah. Walaupun semua sudah dalam keadaan kepenatan, mereka tetap menguatkan semangat dan menggunakan tenaga terakhir untuk menolak makhluk Zek keluar dari sekolah. Namun, makhluk Zek masih ganas merempuh dan menolak semula.
Skuad perisai mengagahkan diri untuk terus menolak makhluk Zek sehingga keluar dari pintu pagar sekolah. Setelah itu Joehainor memberikan arahan kepada skuad parang.
“Skuad Parang! Tutup pintu pagar!” jerit Joehainor sambil menolak makhluk Zek kekal di luar pagar sekolah.
Skuad parang bergegas ke pintu pagar sambil membunuh sisa-sisa makhluk Zek. Mereka menolak dengan sepenuh tenaga untuk menutup pintu sambil skuad perisai dan lembing bertahan. Sesudah pintu pagar ditutup rapat, semua orang bersorak gembira kerana berjaya mengeluarkan makhluk Zek dari perkarangan sekolah. Namun, kegembiraan itu hanya sebentar apabila makhluk Zek mula merempuh pintu pagar dengan kuat sehingga pintu itu bergoyang.
Joehainor terus memberi arahan kepada semua skuad.
“Skuad! Lari pergi ke bangunan B sekarang!” jerit Joehainor.
Apabila pintu pagar mula bergoyang, semua mendengar arahan Joehainor dan terus berlari ke bangunan B seperti dalam Drill Merah, membuang peralatan untuk berlari secepat mungkin. Ketika mereka baru sahaja berlari, pintu pagar tumbang dan makhluk Zek dengan lajunya berlari mengejar mangsanya. Keadaan kembali kelam-kabut; semua orang lari bergelimpangan untuk menyelamatkan diri bila melihat pintu pagar tumbang.
Share this novel