SELEPAS memberi lembu-lembu ternakannya makan, Syihan terus memandu keretanya menuju ke kilang. Beginilah rutinnya setiap hari. Penat memang penat tapi Syihan lebih suka sibuk begini. Bila dia sibuk, dia tak sempat memikirkan hal-hal yang lain.
Selepas arwah ayahnya meninggal dunia, Syihanlah yang menguruskan lembu-lembu ternakan arwah ayahnya. Tak larat nak uruskan sendiri, Syihan mengupah Ali untuk membantunya. Lagipun kadang-kadang Syihan perlu ke luar negeri. Kalau dia tiada di sini, siapa yang nak bagi lembu-lembunya makan?
“Han!” Dari jauh Johan sudah memanggil kawan baiknya itu.
Syihan keluar daripada perut kereta. Dia mengangkat tangan pada Johan. Oh ya, Johan juga bekerja di kilang Syihan. Sejak daripada awal pembukaan kilang lagi Johan sudah berkhidmat di sini.
“Baru balik daripada kandang lembu ke?” tanya Johan.
Syihan mengangguk mengiakannya.
“Han, aku nak tanya sikit boleh tak?”
Syihan mengecilkan matanya memandang Johan. Sejak bila pula Johan minta izin dulu ni? Selalunya main terjah je.
“Apa dia?”
“Aku dengar Suri dah balik. Betul ke?”
Syihan menghela nafas perlahan. Dia mengangguk.
“Kau dengan dia macam mana?” tanya Johan lagi.
“Macam mana apa?” Soalan dibalas dengan soalan kembali. Saja Syihan buat-buat tak faham soalan Johan.
“Ya lah, Suri tu kan...”
“Dah lah, pergi sambung buat kerja. Aku tolak gaji kau nanti.” Tak sempat Johan nak habiskan ayatnya, Syihan sudah memintas.
Johan berdecit perlahan sebelum menyambung kerjanya. Nampaknya Syihan sengaja nak mengelak daripada bercakap tentang Suri.
“UMI...” Syihan melangkah masuk ke dalam rumah. Bau aroma asam pedas kuat menusuk ke hidungnya. Buatkan dia tersenyum sampai ke telinga. Umi ni macam tahu-tahu je yang dia memang teringin nak makan asam pedas umi.
“Haa dah balik. Umi baru siap masak.” Mak Nah menghidangkan asam pedas ikan pari yang masih berasap itu ke atas meja makan.
“Bau asam pedas umi ni sampai ke kilang. Tu yang Han terus balik,” seloroh Syihan.
Mak Nah sempat menampar lembut lengan anak terunanya itu. Ada-ada saja!
“Kenapa umi tiba-tiba masak asam pedas ni?” tanya Syihan. Dia sudah pun mengambil tempat di meja makan.
“Umi ingat nak hantar pada Suri sikit. Han masih ingat, Suri suka sangat makan asam pedas ikan pari ni.”
Dengar sebaris nama itu disebut Syihan terus terdiam. Tadi dekat kilang Johan sibuk tanyakan tentang gadis itu padanya. Sekarang ni bila balik rumah, umi pula sebut nama Suri.
“Han pun suka juga makan asam pedas umi.”
Mak Nah ketawa kecil. “Ya lah. Umi tahu. Han dengan Suri banyak sangat persamaan.”
Syihan pandang muka uminya itu. Nampak umi macam tengah tahan sebak. Pemergian Suri dulu bukan saja buatkan dirinya yang kecewa, umi juga kecewa sama. Dan setiap kali melihat umi sedih kerana Suri, hati Syihan semakin sakit.
“Umi kesian dengan Suri. Orang-orang kampung asyik mengata Suri. Mereka bercakap seolah-olah mereka kenal Suri. Seolah-olah mereka berada di tempat Suri.”
“Umi, kita memang tak boleh nak tutup mulut orang.”
“Umi sayangkan Suri tu macam anak umi sendiri. Bila dengar orang bercakap buruk tentang Suri, hati umi ni sakit. Kita tak tahu apa yang Suri lalui. Jadi kita tak berhak nak hukum dia.”
Kata-kata umi buatkan Syihan terdiam. Ada benarnya kata-kata umi itu.
“Dah lah umi, jom makan,” ajak Syihan. Dia tidak mahu Mak Nah terus larut dalam kesedihan.
Beruntungnya Suri. Ramai orang yang sayangkannya. Andai saja Suri tak buat perangai dulu, tentu mereka dah lama hidup bahagia.
“SURI ingat Suri nak cari kerja. Boleh tak mak?” soal Suri.
Awalnya dia bercadang mahu membantu Mak Timah berniaga saja. Tapi mengenangkan tiada pelanggan yang mahu beli bila dia yang menjualnya, Suri batalkan niatnya.
Kasihan dekat Mak Timah nanti. Pasti dia kecewa jika jualannya tidak laku. Hari tu pun Suri bernasib baik kerana Syihan membeli semua jualannya. Kalau tidak kerana Syihan, mereka akan rugi hari itu. Lagipun, takkanlah dia nak harapkan Syihan je yang beli jualannya setiap hari?
“Bila Suri dah dapat kerja nanti, mak dah tak payah meniaga. Mak duduk rumah rehat je. Abah pun sama. Abah dah boleh berhenti kerja. Lagipun duit simpanan Suri masih ada.”
“Tak payahlah. Kami masih kuat lagi untuk cari rezeki. Tahulah kami nak cari makan. Sebelum ni kamu tak ada pun, kami boleh je hidup.”
Jawapan Mak Timah buatkan Suri ketap bibir menahan rasa. Dia tahu maknya itu masih kecewa dengan apa yang dia lakukan.
“Mak, dulu mungkin Suri tak ada dengan mak dan abah. Suri sia-siakan masa yang ada untuk kejar impian Suri. Tapi sekarang Suri dah balik. Biar Suri jaga mak dan abah ya?” pujuknya lembut.
Mak Timah hanya diam. Sebenarnya dia sudah lama memaafkan Suri. Cuma hatinya masih belum bersedia untuk menerima Suri kembali. Parut luka semalam masih belum kering.
“Assalammualaikum!”
Suara orang memberi salam di luar rumah menghentikan perbualan dua beranak itu. Mak Timah mahu bangun daripada sofa tapi Suri menghalang.
“Tak apa. Biar Suri yang pergi tengok.” Suri lantas bangun menyarung tudung menutupi rambutnya. Kaki melangkah ke muka pintu.
“Waalaikumsalam. Sia...” Bicara Suri terhenti tatkala matanya bertembung dengan sepasang mata itu.
Syihan.
Jantung automatik berdetak kencang. Dadanya diasak debaran. Perlahan dia melangkah turun daripada anak tangga rumah.
“Mak mana?” tanya Syihan.
“Mak ada dekat dalam. Abang nak jumpa mak ke?” soal Suri kembali. Tiap kali mereka jumpa, mesti Syihan akan tanya tentang Mak Timah dulu. Adakah Syihan langsung tidak peduli padanya lagi?
“Takpalah. Ni... Umi bagi.” Syihan hulurkan bekas lauk yang umi kirim tadi.
Berat hati dia nak datang ke sini tadi. Kalau dulu dia tak kisah pun nak datang ke sini. Rumah Mak Timah dan Pak Leh sudah ibarat rumah keduanya tapi sejak kepulangan Suri, keadaan tidak lagi sama macam dulu.
“Terima kasih,” ucap Suri. Huluran Syihan disambut bersama senyuman tapi wajah lelaki itu masih beku. Tiada secalit senyuman pun yang terukir di bibirnya.
Sungguh, Suri rindu mahu melihat senyuman lelaki itu. Tapi dia sedar, dia juga yang membuat lelaki itu berubah.
Usai memberikan bekas lauk itu kepada Suri, Syihan mahu cepat-cepat beredar. Tak betah dia berlama-lama di sini. Bimbang pertahanan benteng hatinya akan goyah.
“Err... Abang,” panggil Suri.
Langkah kaki Syihan terhenti. Dia menoleh kembali memandang Suri.
“Suri minta maaf.”
Sebaris ayat itu buatkan tubuh Syihan mengeras. Bibir tersenyum sinis.
“Suri minta maaf untuk semuanya,” ucap Suri lagi.
“Tak semua rasa sakit selesai hanya dengan kata maaf.”
“Kata maaf memang selalu jadi pilihan manusia untuk lepaskan diri daripada rasa bersalah. Aku boleh maafkan. Tapi macam mana dengan luka yang kau dah tinggalkan?” sambung Syihan lagi.
Suri tertunduk menahan sebak di dada. Tubir mata sudah bergenang dengan air mata.
Syihan terus berlalu pergi. Tiada apa lagi yang tinggal di antara mereka. Semuanya sudah musnah dihancurkan oleh Suri sendiri.
Suri cepat-cepat mengesat air mata yang mengalir. Nafas ditarik dalam-dalam. Sebaik dia menoleh ke belakang, dia lihat Mak Timah sedang memandangnya. Wanita itu berdiri di muka tingkap. Pasti Mak Timah dengar perbualannya dengan Syihan tadi. Suri hanya mampu tersenyum perit.
Share this novel