SELESAI majlis kedua-dua belah pihak, malam ini buat pertama kalinya Suri akan bermalam di rumah mentuanya. Dan buat pertama kalinya juga dia akan berkongsi bilik dengan Syihan.
Kalau bukan dengan Syihan, takkan dia nak tidur sebilik dengan Mak Nah pula kan?
Debar jantung memukul dada. Suri mula tak keruan. Perkara biasa buat pengantin baru. Kalau selama ini tidur sendirian, tapi selepas ini sudah ada peneman. Tentu saja rasa janggal. Dan... Malu! Mungkin.
“Suri, kenapa tak masuk bilik lagi? Suri perlukan apa-apa ke?” tegur Mak Nah bila dia lihat menantunya itu masih di luar bilik. Masih lagi dalam persalinan songket berwarna hijau emerald.
Suri tersenyum janggal. Ya, dia memang perlukan sesuatu. Dia cuma perlukan kekuatan je sekarang ni. Kekuatan untuk menghadapi Syihan. Entah kenapa debarnya lain macam.
“Syihan dah masuk bilik?” soal Mak Nah. Pulang daripada dewan tadi, dia langsung tak nampak kelibat anak tunggalnya itu. Bertuah betul budak ni. Ada ke patut dia tinggalkan isteri dia dekat luar bilik.
“Err... Ya kut.” Suri bagi jawapan selamat. Dia pun tak pasti sebenarnya. Turun je kereta tadi, kelibat Syihan sudah tidak singgah di mata.
“Pergilah masuk bilik. Rehat. Mesti Suri penat kan.”
Suri mengangguk perlahan. Nasib baiklah ada Mak Nah. Kalau tak mungkin sampai langit dah bertukar gelap pun dia masih tercegat berdiri di sini. Tak tahu nak buat apa! Takkan nak memandai-mandai masuk bilik Syihan. Dah lah orang tak pelawa!
“Jangan malu-malu. Buat macam rumah Suri sendiri.” Mak Nah menepuk perlahan bahu Suri sebelum berlalu. Dia juga letih sebenarnya. Nasib baiklah majlis di pihak lelaki diadakan di dewan. Tak adalah penat sangat nak kemas rumah.
Tarik nafas dalam-dalam, Suri memberanikan diri memulas tombol pintu bilik Syihan. Daun pintu ditolak perlahan.
“Boleh Suri masuk?” soal Suri di muka pintu. Punyalah berdebar sampai suaranya pun tak berapa kedengaran.
“Hmm.” Itu saja balasan daripada Syihan yang sedang berbaring di atas katil itu. Cis! Laju betul cari katil.
Perlahan Suri melangkah masuk ke dalam bilik suaminya itu. Kemas dan teratur saja susunannya. Rasanya bilik Syihan lebih kemas daripada biliknya sendiri.
Suri tercegat di tepi katil. Dia tak tahu nak buat apa. Lihat Syihan berbaring, terbit cemburu di hati. Seronoknya kalau dapat berbaring juga! Mesti selesa dapat luruskan pinggang yang rasa macam nak patah dah ni. Tilam Syihan nampak begitu empuk.
“Nak jadi tugu negara ke?”
Suri tersentak. “Err... Tak...”
Syihan bangun daripada pembaringannya. Aksesori yang berada di bajunya segera ditanggal. Rimas! Turun daripada katil, dengan selamba Syihan membuka bajunya.
Suri terus palingkan tubuh membelakangi Syihan. Dia ketap bibir. Syihan yang buka baju, dia pula yang rasa malu. Wajahnya terasa membahang. Merah di pipinya makin bertambah.
“Kau nak pakai baju tu sampai bila? Baju tu sewa je tau.” Syihan mengerling sekilas ke arah Suri.
Suri garu kepalanya yang masih berbalut tudung itu. Memanglah dia nak tukar baju. Tapi macam mana dia nak tukar baju kalau Syihan ada dalam bilik ni? Takkan dia nak tukar baju depan Syihan? Memanglah tak berdosa tapi dia malu!
Hujung bibir Syihan ternaik sedikit. Dia dapat rasakan kegusaran isterinya itu. Tuala yang tersangkut di ampaian dicapai. Kaki terus melangkah keluar meninggalkan bilik. Dia mahu mandi.
Bila Syihan dah tinggalkan bilik, barulah Suri boleh tarik nafas lega. Macam nak pecah dadanya tadi bila berdua-duaan dengan lelaki itu di dalam bilik ini. Dah lah selamba je Syihan buka baju depan dia.
Suri terus kunci pintu bilik. Dia nak salin pakaian. Kalau tak kunci nanti, buatnya Syihan terjah masuk semula bilik. Tak ke niaya?
Aksesori di kepala dan tubuhnya ditanggalkan terlebih dahulu sebelum dia menukar pakaian. Beg pakaiannya yang Syihan letakkan tepi almari dibuka. Sehelai t-shirt lengan panjang dan seluar track dikeluarkan.
“SURI.”
Suara garau itu mengejutkan Suri daripada lenanya. Kalut dia bila buka mata, wajah Syihan menyapa pandangan.
“Err... Abang.” Suri meraup wajahnya. Manalah tahu kalau-kalau ada air liur meleleh ke waktu dia tertidur tadi. Punyalah lama dia tunggu Syihan mandi. Sampai terlelap.
“Pergilah mandi. Lepas tu siap-siap nak solat asar,” suruh Syihan.
Suri patuh. Dia langsung turun daripada katil dan berlalu ke bilik air.
Syihan menghela nafas perlahan. Dilabuhkan duduk di birai katil. Rasa macam mimpi.
Selepas Suri pergi dulu, dia tidak pernah menyangka Suri akan pulang. Dia tidak pernah menunggu kepulangan Suri tapi... Jauh di sudut hatinya sebenarnya dia masih mengharap yang Suri pulang.
Dan sekarang, semuanya berlaku terlalu cepat. Suri sudah menjadi isterinya yang sah. Cinta pertamanya, dah jadi miliknya sepenuh hati. Tapi itu bukan jaminan. Syihan masih trauma ditinggalkan dahulu.
Mengenangkan betapa hancurnya dia waktu itu, Syihan tak sanggup nak merasainya sekali lagi. Oleh kerana itu dia tak berani nak menyerahkan hatinya sekali lagi kepada Suri. Biar dia letakkan dinding di antara mereka. Sekurang-kurangnya kalau Suri pergi juga tinggalkan dia suatu hari nanti, taklah sakit sangat hati ini.
SURI serba salah nak tanggalkan telekung yang menutupi rambutnya. Segan dengan Syihan. Padahal bukannya berdosa pun kalau lelaki itu lihat rambutnya. Macamlah Syihan tak pernah tengok rambutnya sebelum ini.
Sebaik Suri tanggalkan telekung, Syihan terus memandang ke arahnya. Pandangan mata mereka bertaut buat seketika.
Pandangan Syihan jatuh pada rambut Suri yang separas bahu itu. Suri dah potong rambut. Dulu rambut Suri panjang separas pinggang. Kerana rambutnya yang ikal mayang itulah dia banyak mendapat tawaran untuk menjadi model dulu. Siap dapat tawaran berlakon dalam iklan syampu lagi.
“Kenapa abang pandang Suri macam tu?” tanya Suri. Naik segan dibuatnya bila Syihan asyik merenungnya.
Syihan tersentak. Dia terus larikan pandangan ke arah lain. Ah, tertangkap pula! Dia pun satu. Pandang sampai tak berkelip.
Tanpa sepatah kata, Syihan terus berlalu keluar daripada bilik. Tiba-tiba rasa oksigen di dalam bilik ini bagaikan tidak cukup.
Suri menghela nafas perlahan. Tangannya naik menyentuh rambut sendiri. Ke Syihan pandang dia sebab rambut dia dah pendek? Tak panjang macam dulu lagi. Dia dah tak cantik ke di mata Syihan? Macam-macam yang berlegar di fikiran Suri ketika ini.
Rambut ikal mayangnya rosak gara-gara selalu menukar warna rambut. Menjadi seorang model, memaksanya untuk menukar warna rambutnya dengan kerap. Akhirnya Suri putuskan untuk memotong rambutnya. Walaupun sayang, dia terpaksa. Lagipun sekarang dia sudah berhijab.
Bila rambut pendek ni, lagi senang nak jaga. Kalau basah pun, cepat kering. Lagi-lagi untuk perempuan bertudung sepertinya. Suri lebih selesa berambut pendek separas bahu sekarang ni.
“KENAPA tak masuk bilik lagi Han? Dah lewat malam dah ni,” tanya Mak Nah bila lihat anaknya itu masih berada di ruang tamu. Tak pernah-pernah Syihan berjaga sampai lewat malam. Selalunya pukul sebelas malam dia dah masuk bilik.
“Sekejap lagilah umi. Han nak tengok TV,” balas Syihan. Sengaja dia mencari alasan. Padahal mahu mengelak daripada Suri. Kalau boleh dia mahu Suri tidur dahulu sebelumnya. Sebab tu dia sengaja tidak masuk bilik dahulu walaupun dia sangat mengantuk ketika ini. Puas juga dia nak tahan kantuk.
“Pergi masuk bilik. Tidur. Dah lewat dah ni. Kesian Suri.” Mak Nah bukannya tak kenal anaknya. Daripada besar tapak tangan sampailah dah besar panjang begini, dia yang jaga. Sudah tentu dia kenal sangat perangai anaknya itu. Saja nak mengelak lah tu!
Syihan garu kepalanya yang tidak gatal. “Haa... Kejap umi.”
“Sekarang.” Mak Nah capai alat kawalan televisyen lalu ditekan butang off.
“Ya lah.” Akhirnya Syihan terpaksa akur. Langkah terus dibawa ke biliknya. Harap-haraplah Suri dah tidur.
Buka saja pintu bilik, Syihan lihat Suri sudah berbaring di atas katil. Gadis itu membelakanginya jadi dia tak pasti sama ada Suri sudah tidur atau belum. Tapi nampak macam dah tidur je tu.
Dengan perlahan Syihan menutup kembali pintu bilik. Takut mengejutkan Suri yang sedang tidur itu.
“Abang?”
Syihan tersentak. Macam nak pecah dadanya bila Suri tiba-tiba bangun daripada pembaringannya.
Share this novel
sambunggg plsss