PEDAL basikal dikayuh perlahan keliling kampung. Petang-petang ni saja nak ambil angin sambil menikmati keindahan kampungnya yang setelah sekian lama dia tinggalkan.
Bila kenang kembali, Suri dihurung penyesalan. Andai dia boleh ulang masa, dia tidak akan tinggalkan kampungnya. Dia tidak akan membuat mak dan abah marah padanya. Tapi Suri tahu, dia sudah terlambat dan dia tak mampu nak ulang masa. Sekarang dia perlu menanggung akibat daripada perbuatannya.
“Buat apa balik? Duduk je dekat sana tu sampai bila-bila. Itu yang kamu nak kan?” Jelas riak kekecewaan pada wajah ibu tua itu. Apa yang Suri lakukan terlalu sukar untuk dia lupakan.
“Mak... Suri minta maaf...”
“Senang je minta maaf. Tak fikir langsung perasaan kami ni lepas kamu dah conteng arang ke muka kami. Apa kamu fikir dengan kata maaf dapat kembalikan keadaan macam dulu ke?” Pak Leh yang sedari tadi membisu akhirnya bersuara.
Kalau isterinya terkejut dengan kepulangan anak tunggal mereka itu, dia seratus kali lebih terkejut. Anak yang selama ini dianggap sudah mati itu tiba-tiba muncul kembali. Luka lama seakan berdarah kembali bila Suri pulang.
Bertahun-tahun mereka menanggung malu. Terpaksa pekakkan telinga dengan cemuhan orang kampung. Sampai satu tahap nak keluar rumah pun mereka malu. Tak sanggup nak berhadapan dengan orang-orang kampung. Malunya tak terkata.
“Suri tahu apa yang Suri buat melampau sangat. Tapi Suri dah tak ada sesiapa selain mak dan abah. Suri sanggup buat apa saja asalkan mak dan abah boleh maafkan Suri.”
Marah memang marah tapi Pak Leh dan Mak Timah tak tergamak nak menghalau Suri keluar daripada rumah. Seteruk mana pun Suri, dia tetap anak kandung mereka.
Jauh fikiran Suri melayang. Walaupun mak dan abah tidak menghalaunya keluar daripada rumah, tapi layanan mereka padanya masih dingin. Suri tak salahkan mereka. Suri tahu mereka sangat terluka dengan perbuatannya.
Suri berharap seiring dengan waktu yang berjalan, marah orang tuanya itu akan reda. Dia sudah tiada sesiapa di dunia ini melainkan mereka berdua.
Kayuhan dilajukan sedikit. Hatinya sedikit tenang melihat keindahan kampung ini. Fikirannya mula teringatkan seseorang. Selain mak dan abah, lelaki itu juga pasti terluka dengan pemergian Suri empat tahun lalu.
Kalau mak dan abah pun masih marahkannya apatah lagi lelaki itu. Buat masa ni Suri tak terfikir lagi untuk berhadapan dengan lelaki itu. Dia tiada keberanian.
Sewaktu ingin keluar daripada simpang, tiba-tiba dia bertembung dengan sebuah kereta. Silapnya juga kerana tidak berhenti terlebih dahulu. Suri yang tidak dapat mengawal basikalnya itu langsung terjatuh. Mujurlah kereta itu sempat menekan brek. Kalau tidak...
“Ah!” Suri mendesis kesakitan. Tapak tangannya terluka. Pinggulnya pula terhentak kuat di atas jalan raya itu tadi. Mujurlah dia jatuh dalam keadaan terduduk. Kalau jatuh dalam keadaan yang mengaibkan?
“Awak tak apa-apa?” Suara garau pemandu kereta itu menampar gegendang telinganya.
“Saya okey,” balas Suri. Lagipun memang salahnya. Cukup baik pemandu kereta itu tidak memarahinya di atas kecuaiannya sendiri.
Tapi, kejap! Kenapa suara pemandu kereta tu macam familiar je?
Angkat wajah, matanya bertembung dengan sepasang mata milik seseorang yang sebolehnya dia tidak mahu bertemu. Tapi hari ini mereka dipertemukan secara tidak sengaja.
Tiba-tiba oksigen di sini bagaikan tidak cukup untuk disedut. Tubuh Suri mengeras. Namun matanya masih tidak berkalih daripada menatap seraut wajah itu. Seraut wajah yang tidak pernah dilupakan.
“Ehem.” Syihan berdehem perlahan menghilangkan rasa canggung antara mereka.
Suri yang seakan baru tersedar segera bangun. Keningnya berkerut halus menahan sakit.
Sekarang Syihan faham apa yang umi cuba sampaikan kepadanya. Suri sudah balik ke kampung rupanya.
“Suri minta maaf sebab keluar simpang melulu,” ujar Suri perlahan. Suaranya kedengaran bergetar seperti sedang menahan sebak.
Syihan hanya diam. Dia membantu mengangkat kembali basikal Suri.
“Terima kasih, abang,” ucap Suri.
Tanpa sepatah kata Syihan terus berlalu masuk ke dalam keretanya kembali. Suri cepat-cepat mengalihkan basikalnya yang menghalang laluan Syihan.
Dia hanya mampu memandang sepi kereta Syihan berlalu meninggalkannya. Tubir matanya bergenang. Ada rasa ngilu yang bertandang di hati. Suri tersenyum perit.
Dia tiada niat untuk muncul di depan Syihan lepas apa yang sudah dia lakukan pada lelaki itu. Dia tahu kepulangannya ini hanya membuat luka lama berdarah kembali. Tapi dia tiada tempat lain untuk pulang. Kalau dia ada pilihan yang lain, dia tidak akan berada di sini. Suri juga tidak mahu menganggu ketenteraman hidup Syihan lagi.
“Suri bangga dengan abang,” ujar Suri sendiri. Melihat Syihan semakin berjaya buatkan Suri merasa bangga dengan kejayaan lelaki itu. Suri tahu bukan mudah untuk Syihan sampai ke tahap ini.
Perlahan-lahan dia mengayuh kembali basikal pulang ke rumah. Keputusannya untuk keluar mengambil angin petang ini adalah salah. Kalau dia tahu dia akan bertemu dengan Syihan tadi, dia tak akan keluar rumah.
SYIHAN memandu pulang ke rumah. Dia batalkan niat untuk melawat kilangnya. Fikirannya menerawang jauh mengingat kembali pertemuannya dengan Suri tadi.
Kenapa Suri balik? Kenapa baru sekarang Suri nak balik? Pertanyaan itu berlegar-legar di kepalanya.
Waktu matanya bertembung dengan sepasang mata milik Suri tadi, jantung Syihan hampir hilang detaknya. Sungguh dia tidak menyangka yang dia akan melihat Suri lagi.
Suri masih sama. Masih cantik seperti dulu. Walaupun penampilannya sudah berubah sekarang ini, dia masih kelihatan cantik. Malah lebih cantik apabila dia menutup aurat dengan sempurna.
Syihan meraup perlahan wajahnya. Dadanya diurut perlahan. Rasa sakit yang dia rasakan dahulu seakan berdenyut kembali. Mimpi ngeri yang dialaminya dulu datang kembali.
“Han!”
Syihan tersentak. Toleh ke kanan, dia nampak umi sudah berdiri di sisi keretanya. Pantas dia keluar daripada perut kereta.
“Sekejap je pergi kilang?” tanya Mak Nah hairan.
“Han tak jadi pergi kilang,” balasnya ringkas.
“Kenapa? Letih? Haa tu lah, umi cakap tadi duduk rumah je rehat. Sibuk juga nak pergi kilang tu.”
Mak Nah mula mengomel.
“Umi tahu dia dah balik?”
Mak Nah langsung terdiam. Nampaknya Syihan sudah tahu.
“Umi tahu?” tanya Syihan lagi.
Perlahan-lahan Mak Nah mengangguk. Dia masih tak berkesempatan lagi nak berjumpa dengan Suri tapi dia dengar orang kampung mula bercerita tentang kepulangan Suri.
“Han jumpa dia. Tadi.”
Mak Nah tergamam. Ingatkan Syihan tahu daripada orang kampung juga. Rupanya Syihan sendiri berjumpa dengan Suri.
“Kami cuma terserempak,” ujar Syihan tidak mahu Mak Nah salah faham.
“Han...”
“Kami dah tak ada apa-apa umi. Han pun kalau boleh tak nak jumpa dia lagi.” Sikit pun Syihan tak sembunyikan rasa kecewanya.
“Umi faham. Tapi... Mungkin Suri ada sebab kenapa dia buat macam tu.”
Syihan menggeleng perlahan. “Han tak nak tahu apa sebabnya.”
“Han patut dengar dulu penjelasan Suri.”
Syihan tahu uminya itu terlalu sayangkan Suri. Tengoklah, lepas apa yang Suri dah buat pada keluarga mereka pun umi masih mahu bersangka baik lagi.
MASUK ke dalam bilik, Syihan merebahkan badannya di atas katil. Dia masih lagi teringatkan Suri. Kepulangan gadis itu memberi kesan besar kepadanya.
Sampai sekarang Syihan tidak tahu mengapa Suri tega melukai sekeping hati miliknya. Pemergian Suri empat tahun lalu buatkan Syihan hampir kehilangan dirinya. Bukan mudah untuk dia bangkit kembali.
Atas dorongan umi, dia kembali bangkit daripada kisah dukanya. Bila difikirkan kembali, sampai bila dia nak meratap pemergian gadis itu? Suri bahagia saja dengan kehidupannya, sedangkan dia di sini hidup menderita. Ini tak adil.
Syihan bangun daripada pembaringannya. Laci meja kecil yang berada di tepi katilnya ditarik. Sekeping kad berwarna krim dikeluarkan.
Kad itu masih nampak baru walaupun sudah bertahun-tahun disimpan. Menyimpan kad ini bukanlah satu idea yang baik. Tapi entah mengapa sukar untuk Syihan membuangnya. Kad ini salah satu kenangan yang terindah buatnya.
Tertera tarikh keramat pada kad itu. Tarikh yang Syihan tidak akan lupakan sampai bila-bila. Tarikh dimana dia ditinggalkan tanpa belas.
Di bawah tarikh itu pula tertera nama Syihan dan... nama Suri.
Perlahan Syihan memejamkan matanya. Cuba mengusir rasa sakit yang bertandang kembali.
Share this novel