Bab 12

Romance Series 59726

SURI melangkah masuk ke dalam bilik. Riak wajahnya jelas menunjukkan kekecewaan yang dia rasakan ketika ini.

“Tu bilik kau,” ujar Syihan sambil menudingkan jari ke arah sebuah bilik yang berhadapan dengan biliknya.

“Bilik Suri?” tanya Suri kembali.

“Ya lah. Bilik kau. Ada orang lain lagi ke?”

“Tapi... Kita kan suami isteri. Kenapa nak tidur bilik asing-asing?” Suri masih boleh terima lagi bila Syihan tidak mahu tidur sekatil dengannya. Tapi kalau dah sampai tidur bilik berasingan ni, dia kena bersuara juga.

“Lupa ke yang kita kahwin sebab orang tua kita je?”

Kendur bahu Suri mendengar balasan Syihan. Dia tahu dia salah. Kalau dia tak tinggalkan Syihan dulu, semuanya takkan jadi begini. Tapi tak bolehkah jika Syihan memberi dia peluang kedua untuk memperbaiki keadaan mereka?

“Abang, tak boleh ke abang bagi Suri peluang? Suri janji, kali ni Suri tak akan sia-siakan abang lagi.”

Hujung bibir Syihan ternaik sedikit. “Dulu pun kau pernah berjanji hal yang sama, Suri. Tapi kau mungkir juga janji kau. Dan sekarang kau nak aku pegang janji kau lagi? Semudah tu?”

“Suri minta maaf. Suri tahu beribu kata maaf pun Suri tak akan dapat sembuhkan luka dekat hati abang. Tapi Suri betul-betul menyesal dengan apa yang Suri buat dulu. Kalau Suri boleh putarkan masa, Suri tak akan tinggalkan abang,” ucapnya penuh sesal.

“Kau buang aku macam sampah yang tak berharga Suri. Kau tinggalkan aku macam tu je. Seolah-olah aku ni tak ada makna dalam hidup kau. Cuba kau bayangkan kalau kau yang ada dekat tempat aku, kau masih nak kembali pada hubungan yang dah tak ada makna ni?”

Suri mengetap kuat bibirnya menahan pedih di hati. Hubungan yang dah tak ada makna? Ah, sakitnya mendengarkan ayat itu. Tubir matanya terasa hangat.

“Aku tak pernah berharap pun untuk kau balik Suri. Dan aku rasa sebenarnya lebih baik kalau kau tak kembali.”

Air mata Suri gugur juga walaupun puas ditahan. Sebak mencengkam dada.

“Kau tahu tak apa yang paling teruk jadi lepas kau pergi? Kau dah buat aku benci pada diri aku sendiri. Sedangkan orang yang patut aku benci tu adalah kau. Bukan diri aku sendiri. Aku tertanya-tanya dekat mana kurangnya aku? Apa salah aku sampai kau tinggalkan aku macam tu je tanpa rasa bersalah?” Tubir mata Syihan berkaca. Suaranya kedengaran bergetar menuturkan kata. Dia juga sedang berperang dengan perasaannya sendiri tika ini.

“Abang...” Suri tertunduk menahan rasa. Dia tahu silap yang dia lakukan ini besar. Tapi andai Syihan tidak memberinya peluang, bagaimana dia mahu memperbaiki semua ini?

“Sakit, Suri. Sakit!” Syihan menepuk kuat dadanya. Usai itu dia terus melangkah ke biliknya. Meninggalkan Suri sendirian di situ.

Makin lebat air mata Suri. Meninggalkan Syihan adalah penyesalan terbesarnya.

Deringan telefon bimbitnya menyedarkan Suri daripada lamunan panjangnya. Pipinya yang basah dengan air mata, lekas-lekas di kesat dengan belakang tangan.

“Mak...”

“Suri tengah buat apa?” soal Mak Timah di hujung talian. Sunyi pula rumahnya tanpa Suri. Kalau boleh dia mahu anaknya itu terus tinggal bersamanya tapi dia faham anaknya itu sudah berkeluarga.

“Suri baru lepas kemas barang mak,” bohong Suri. Terpaksa. Takkan dia nak cakap yang dia baru lepas menangis pula kut? Makin risau Mak Timah dibuatnya nanti.

“Syihan mana?”

“Tengah tengok TV.” Suri main jawab je. Dia pun tak pasti Syihan tengah buat apa di bilik sekarang. Lepas kejadian tadi, Syihan langsung tak keluar daripada bilik.

Selepas berbual ringkas dengan Mak Timah, panggilan ditamatkan. Suri menghela nafas berat. Jalan ini masih panjang untuk ditempuhi. Seandainya dengan jalan ini dia dapat menebus kesilapannya pada Syihan, dia sanggup.

Suri capai tas tangannya. Sekeping gambar yang kelihatan sudah lama itu dibawa keluar. Gambar dia dan Syihan ketika mereka di bangku sekolah. Gambar pertama mereka bersama.

Sampai sekarang Suri masih menyimpan gambar itu. Kemana-mana dia pergi, dia tidak pernah meninggalkan gambar itu. Walaupun jasad Syihan jauh ditinggalkan beribu batu, dia tetap membawa gambar ini bersamanya sebagai pelepas rindu.

Dan tak pernah sedetik pun dia melupakan lelaki itu. Tidak pernah sedetik pun dia berhenti mencintai Syihan.

Hanya Syihan.

Satu-satunya lelaki yang pernah bertakhta di hatinya. Dulu, kini dan selamanya. Cuma Syihan.

SYIHAN berdiri di hadapan pintu bilik Suri. Pintu bilik gadis itu tertutup rapat. Buatkan dia serba salah mahu mengetuk. Bimbang jika menganggu Suri.

Tapi sekarang sudah pukul sembilan malam dan gadis itu masih belum makan apa-apa. Kali terakhir Suri makan, tengah hari tadi.

Syihan yakin Suri masih belum makan kerana tiada apa-apa makanan pun di rumahnya. Dia pun baru je balik daripada warung Pak Nan. Beli je makanan untuk malam ini. Dia bercadang mahu membeli barang-barang dapur pagi esok.

Setelah hampir sepuluh minit Syihan berkira-kira untuk mengetuk pintu bilik Suri, akhirnya dia layangkan tangan juga mengetuk pintu bilik gadis itu. Makan minum Suri, tanggungjawab dia. Takkan dia nak biarkan Suri kelaparan pula?

“Suri,” panggil Syihan. Lepas kejadian siang tadi dia jadi canggung nak berhadapan dengan Suri sebenarnya. Syihan sendiri tidak tahu mengapa dia terlalu beremosi tadi.

Tak sampai beberapa detik, pintu bilik Suri terbuka. Wajah Suri terpacul di mula pintu.

“Jom makan. Aku ada bungkuskan makanan,” ajak Syihan. Dia perasan mata Suri kelihatan sembab. Ah, pasti gadis itu menangis tadi.

“Tak apa. Abang makanlah. Suri kenyang lagi.” Suri tak lalu nak makan apa-apa sekarang ni. Dia cuma nak berehat.

“Kenyang apanya? Last kau makan tengah hari tadi. Jangan nak mengada-ngada, jom makan. Nanti kalau kau sakit, kau menyusahkan aku juga.”

Zap! Suri tersentak dengan ayat terakhir Syihan. Syihan tidak pernah bercakap sekasar itu dengannya selama ini.

Syihan yang perasan akan perubahan wajah Suri langsung terdiam. Dia dah terlebih kasar sangat ke?

“Err... Jomlah. Makan. Aku tunggu kau dekat dapur.” Usai itu Syihan terus berlalu.

Suri menarik nafas dalam-dalam. Dia tak mampu menipu hatinya. Dia benar-benar terasa dengan kata-kata Syihan.

“Nanti kalau sakit, kau menyusahkan aku juga.”

Kata-kata Syihan itu seperti radio rosak yang berulang-ulang memainkan lagu yang sama.

Mengenangkan betapa baiknya Syihan padanya dulu buatkan Suri larut dalam kesedihan. Rindunya waktu itu...

WALAUPUN tak ada selera nak makan, Suri pergi juga ke dapur. Lagipun Syihan sudah menunggunya. Dia pun dah tak sanggup nak dengar kata-kata kasar yang keluar daripada mulut Syihan. Jadi lebih baik dia turutkan saja.

“Makanlah. Aku ada belikan kau kuetiau goreng.”

Suri mengambil tempat berhadapan dengan Syihan. “Abang masih ingat Suri suka makan kuetiau goreng?” soalnya agak teruja. Ternyata lelaki itu masih ingat makanan kegemarannya.

“Aku tak tahu nak belikan kau makanan apa. Jadi aku beli je lah kuetiau goreng ni.” Ceh, nak cover pula! Padahal memang Syihan saja bungkuskan kuetiau goreng untuk Suri sebab dia tahu itu adalah makanan kegemaran Suri. Dan dia tak pernah lupa.

“Ya ke?” Suri jungkit kening memandang Syihan. Tak kisahlah kalau Syihan tak mengaku pun. Biar je lah dia nak rasa syok sendiri seorang-seorang.

“Terima kasih abang,” ucap Suri tiba-tiba.

Mata Syihan memandang tepat ke wajah Suri.

“Terima kasih sebab tolong jagakan mak dan abah waktu Suri tak ada. Suri hargai sangat-sangat.”

“Apa yang jadi antara kita tak ada kena mengena dengan dia orang. Hubungan kita putus, tak bermakna hubungan aku dan dia orang pun putus.”

Suri mengangguk setuju. Mak dan abahnya pun sudah menganggap Syihan itu seperti anak mereka sendiri. Begitu juga dengan umi Syihan.

“Terima kasih untuk semuanya,” ucap Suri lagi. Senyuman paling manis diukirkan untuk Syihan.

Syihan cepat-cepat larikan wajahnya. Senyuman Suri adalah kelemahannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience