PAGI-PAGI lagi Suri dah keluar ke kedai runcit. Sebenarnya Mak Timah yang nak ke kedai runcit, mahu membeli sedikit barang keperluan dapur tapi Suri beria-ia menawarkan diri untuk membantu.
Maknya itu dah tua. Suri tak sampai hati nak tengok Mak Timah jalan kaki pergi kedai. Walaupun jarak kedai runcit dan rumah mereka tidaklah jauh mana tapi Suri tak sampai hati nak biarkan Mak Timah jalan kaki ke sana.
Lagipun apa gunanya dia di rumah ini jika tidak membantu wanita itu. Sudah tiba masa untuk dia berbakti pada keluarganya pula. Sudah banyak masa yang dibazirkan selama ini. Mulai hari ini Suri mahu manfaatkan setiap detik yang ada.
Macam biasa, Suri mengayuh basikal tua milik Mak Timah menuju ke kedai runcit. Sejak kejadian tempoh hari, dia lebih berhati-hati mengayuh basikalnya. Tak mahu kejadian yang sama berulang kembali.
Sewaktu Suri sibuk memilih sayur, telinganya menangkap perbualan beberapa orang wanita sebaya maknya.
“Kenapa dia tiba-tiba balik kampung?”
“Dah kena buang kerja agaknya.”
“Bukan dulu sibuk sangat nak jadi model ke?”
“Ya ke jadi model? Entah-entah, jual badan dekat VVIP.”
“Patutlah dah bertudung sekarang. Dah bertaubat agaknya.”
“Pakai tudung sebab dah bertaubat ke sebab nak tutup aib?”
Suri menarik nafas dalam-dalam. Berat sekali tuduhan mereka terhadapnya. Dia hanya mampu pekakkan telinga saja. Diam bukan bererti dia mengiakan semua kata-kata mereka.
“Nak beli barang ke nak mengumpat ni?” tegur satu suara.
Wanita-wanita tadi terus berhenti bercakap tentang Suri. Sempat dia mengerling ke arah Suri sebelum beredar ke kaunter pembayaran.
Suri menoleh memandang pemilik suara itu. Dia tergamam seketika.
Umi.
Tubir matanya bergenang.
“Suri sihat?”
Suri terus mendapatkan wanita itu. “Umi...” Tangan wanita itu disalam hormat.
Mak Nah menarik perlahan tubuh Suri ke dalam pelukannya. Belakang tubuh Suri diusap perlahan.
“Hei, janganlah menangis.”
Pelukan dileraikan. Suri cepat-cepat mengesat manik-manik jernih yang mula menuruni lekuk pipi.
“Suri sihat?” tanya Mak Nah lagi. Sejuk hatinya melihat perubahan Suri sekarang. Syukurlah Suri baik-baik saja. Sepanjang Suri tiada, dia sentiasa memikirkan tentang gadis itu. Dia sudah menganggap Suri seperti anak kandungnya sendiri.
“Suri sihat. Umi sihat?”
“Alhamdulillah. Umi pun sihat. Cantiknya Suri pakai tudung,” puji Mak Nah.
Suri tersenyum nipis. “Cantik macam umi.” Mak Nah orang pertama yang menegur penampilan barunya.
“Kenapa tak datang jumpa umi? Suri dah tak sudi nak jumpa umi lagi ke?” soal Mak Nah lembut.
Suri menggeleng perlahan. “Bukan macam tu. Tapi Suri takut. Suri takut umi marahkan Suri. Suri takut umi benci Suri.”
“Umi tak pernah bencikan Suri. Umi sentiasa tunggu Suri balik. Umi percaya apa yang Suri buat mesti ada alasannya.”
Sungguh Suri terharu. Dia tak sangka Mak Nah masih mahu melayaninya dengan baik walaupun dia sudah menggoreskan luka di hati wanita itu.
“Umi tetap sayangkan Suri.”
Bibir Suri tercebik-cebik menahan sebak. “Suri pun sayangkan umi.” Kalaulah dia tak tinggalkan kampung dulu...
“Suri minta maaf dah kecewakan umi. Suri minta maaf sangat-sangat.”
“Umi dah lama maafkan Suri.”
Jawapan Mak Nah buatkan Suri bertambah sebak. Setelah apa yang dia lakukan pada keluarga wanita itu, Mak Nah masih sudi memaafkannya.
SURI menghampiri Mak Timah yang sedang sibuk membungkus nasi lemak itu. Sejak Suri tinggalkan kampung, Mak Timah dan Pak Leh berniaga nasi lemak dan pelbagai kuih-muih.
Walaupun setiap bulan Suri kirimkan duit belanja buat mereka, mereka tidak pernah menggunakan duit itu. Sikit pun mereka tak usik.
“Mak, kenapa mak tak guna je duit yang Suri kirim selama ni?” soal Suri.
“Mak tak nak duit kamu. Kami boleh cari duit sendiri.”
Suri terdiam. Nafas dihela berat. Kalaulah mereka tahu mengapa Suri tinggalkan kampung dulu...
“Biar Suri yang pergi meniaga hari ni ya. Mak duduk berehat je dekat rumah,” tawar Suri. Dia bersungguh-sungguh mahu mengambil kembali hati orang tuanya. Memang tidak mudah tapi Suri tidak akan berputus asa.
“Tak payahlah. Malu dekat orang kampung.”
Suri ketap bibir menahan rasa. Kalau nak fikirkan tentang mulut orang-orang yang bercakap buruk tentangnya, sampai bila pun tak akan habis. Takkan dia nak berkurung dalam rumah je?
“Mak... Tolong, izinkan Suri untuk tebus dosa Suri pada mak dan abah. Tolong izinkan Suri untuk terus berbakti pada mak dan abah,” ujarnya separuh merayu.
Dada Mak Timah dihurung sebak. Walaupun dia masih marahkan Suri tapi jauh di sudut hatinya dia tak sanggup melayani Suri begini. Dia rindukan Suri. Bertahun-tahun tak jumpa, ibu mana yang tak rindukan anaknya?
“Boleh ya, mak? Biar Suri yang buka kedai hari ni.” Suri masih tak mengalah memujuk.
PUAS Suri memujuk akhirnya Mak Timah akur juga. Mungkin dia juga rimas dengan Suri yang tak habis-habis merayunya.
Pagi itu Suri yang menggantikan tempat Mak Timah berniaga. Tapak gerai mereka tidaklah begitu jauh daripada rumah, jadi Suri hanya mengayuh basikal tuanya. Terpaksalah dia angkut nasi lemak dan kuih-muih yang ingin dijual ke dalam bakul basikalnya.
Kebiasaannya Pak Leh yang akan menghantar Mak Timah ke tapak gerai mereka sebelum lelaki itu ke tempat kerjanya. Tapi pagi ini Pak Leh tergesa-gesa. Tak sempat nak menghantar isterinya itu. Kadang-kadang bila Pak Leh tak sempat nak menghantar Mak Timah, wanita itu akan berjalan kaki saja.
Pak Leh, walaupun dah berumur, dia masih gigih bekerja mencari nafkah untuk keluarga. Sekarang ini lelaki itu bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang kerepek milik Syihan.
Syihan sendiri kesian dengan Pak Leh. Tak sampai hati nak terima Pak Leh bekerja. Tapi bila lelaki itu tak berhenti memujuk, Syihan tiada pilihan lain. Kadang-kadang dia saja bagi Pak Leh cuti. Dia tahu Pak Leh bukannya sihat sangat.
Sampai di tapak gerai, Suri terus membuka payung dan menyusun nasi lemak serta kuih-muih di atas meja. Melihat nasi lemak dan kuih-muih sudah siap tersusun di atas meja, Suri tersenyum senang. Sekarang ni dia cuma perlu menunggu pelanggan datang membeli.
Hampir tiga jam Suri membuka gerai tapi tak ada seorang pelanggan pun yang datang membeli. Ada yang sudah berhenti di gerainya tapi bila nampak Suri yang menjual, mereka terus tinggalkan gerai.
Sekarang Suri faham mengapa jualannya tidak laku. Mungkin pelanggan tidak mahu membeli kerana dia yang menjualnya. Bukan Mak Timah. Mengenangkan hal itu buatkan Suri risau. Apa dia nak jawab dengan Mak Timah nanti?
Nafas dihela berat. Suri memandang sayu nasi lemak dan kuih-muih yang tersusun di atas meja. Rasa bersalah melilit tangkai hati. Niatnya cuma mahu membantu Mak Timah tapi lain pula yang jadi.
Tiba-tiba ada sebuah kereta berhenti di hadapan gerainya. Kereta tu...
Syihan!
Suri terkedu seketika bila nampak lelaki itu keluar daripada perut kereta dan berjalan ke arahnya. Ini kali kedua mereka berjumpa selepas dia pulang.
“Abang.” Suri senyum segaris.
“Mana mak?” tanya Syihan. Wajahnya beku tanpa secalit senyuman.
“Mak ada dekat rumah. Hari ni Suri gantikan mak meniaga,” jelasnya ringkas.
Pandangan Syihan jatuh pada nasi lemak dan kuih-muih yang masih penuh di atas meja.
“Daripada tadi masih belum ada pelanggan yang beli,” adu Suri sebak.
“Bungkus semua. Aku beli.”
Suri terdiam. Bukan terkejut kerana Syihan mahu membeli semua jualannya tapi terkejut kerana Syihan sudah menukar kata ganti nama mereka. Aku? Syihan tak pernah beraku-kau dengan dia. Dulu lelaki itu membahasakan dirinya ‘abang’.
Sementara menunggu Suri membungkuskan semua nasi lemak dan kuih-muih yang dibeli, Syihan hanya berdiri di hadapan gerai. Pandangannya sengaja dibuang ke jalan raya. Cuma sesekali dia mencuri pandang ke arah Suri.
“Dah siap,” ujar Suri.
“Berapa?” soal Syihan.
“Semuanya 150 ringgit,” balas Suri. Gigih juga dia nak kira satu-satu tadi. Banyak sangat Syihan beli. Tak tahulah Syihan nak buat apa dengan makanan banyak-banyak ni. Apapun yang penting dia lega. Semua jualannya hari ini laris walaupun cuma seorang pelanggan yang datang membeli.
Syihan keluarkan dompet daripada poket belakang seluarnya. Empat keping not RM50 dihulurkan pada Suri.
“150 ringgit je abang. Ada lebih ni.” Suri mahu memulangkan kembali baki Syihan tapi lelaki itu segera menolak. Memang dia sengaja bagi lebih.
“Ambil je lah. Bagi mak.”
Suri mengangguk. “Terima kasih abang.” Dia rasa dirinya kerdil sangat kalau nak dibandingkan dengan Syihan sekarang ni.
Agak-agak Syihan sudah menemui penggantinya ke sekarang? Ah, soalan apa kau tanya ni Suri. Kalau Syihan dah ada penggantinya pun, tak ada yang salah. Lelaki itu berhak hidup bahagia.
“Abang sihat?” Suri memberanikan diri bertanya.
“Hmm.” Cuma itu yang Syihan balas. Jelas dia tidak berminat nak berbual dengan Suri.
Suri mengetap kuat bibirnya. Dia tersenyum perit. “Tahniah abang. Suri gembira tengok abang semakin berjaya sekarang. Suri doakan semoga abang terbang lebih tinggi lagi.”
“Tak naklah terbang terlalu tinggi. Nanti kalau jatuh, sakit.” Usai itu Syihan terus berlalu meninggalkan gerainya.
Suri terdiam. Lama. Hanya pandangan matanya menghantar pemergian Syihan.
Happy reading!
Share this novel
apa ya sbb Suri tinggal kampunggg..tak sabar nak tau ni