“KERJA?” soal Suri.
Lepas Syihan balik daripada solat subuh di masjid tadi, terus dia minta Suri bersiap mengikutnya ke kilang. Terpinga-pinga gadis itu dibuatnya.
“Ya. Kerja. Takkan kau nak duduk rumah goyang kaki je?” sindir Syihan. Memang dia sengaja nak buat Suri sakit hati dengannya.
“Bukan macam tu. Suri...”
“Aku tak akan lupa bagi kau nafkah. Tapi kalau kau nak duit lebih, kau kena kerja.”
“Tak boleh ke kalau Suri terus kerja dekat kedai runcit tu?” tanya Suri kembali. Dia tak kisah pun kalau Syihan menyuruhnya bekerja. Walaupun Syihan boleh tanggung makan minumnya, dia mahu mencari duit juga untuk orang tuanya.
Takkan dia nak harapkan Syihan yang bagi duit belanja dekat mereka juga. Walaupun dia tahu Syihan tak kisah pun, tapi dia tetap rasa tak selesa. Suri tidak mahu mengambil kesempatan.
“Aku cuma izinkan kau kerja dekat kilang aku je.”
Suri ketap bibir. Sumpah dia rasa Syihan yang berada di depannya ini sangat berbeza dengan Syihan yang dia pernah kenal dulu. Rasa macam nak menangis pun ada bila kenangkan layanan Syihan padanya dulu. Jauh berbeza dengan yang sekarang. Tapi silap Suri juga yang membuatkan Syihan berubah.
SURI turutkan juga seperti yang Syihan mahukan. Pagi ini dia mengikut Syihan ke kilang kerepek lelaki itu. Bukannya malu bekerja di kilang. Tapi dia lebih rela bekerja di kedai runcit Pak Zahar. Kalau boleh dia tidak mahu bertembung dengan Ayu, sepupu Syihan. Bukannya dia tidak tahu gadis itu juga bekerja di kilang suaminya.
“Walaupun kau isteri aku, aku nak kau kerja macam orang lain. Jangan curi tulang. Buat kerja betul-betul.” Belum apa-apa lagi, Syihan dah tinggalkan pesanan daripada dalam kereta lagi.
Suri hanya mengangguk. Raut wajahnya jelas menunjukkan dia tidak senang. Rasa sedih pun ya. Terlalu jauh Syihan sudah berubah.
“Jangan nak malukan aku. Jaga diri kau elok-elok. Ingat, sekarang ni kau tu isteri aku.”
“Ya.” Bergetar suara Suri menyahut. Sikit lagi mahu dia menangis dekat sini. Orang lain seronok-seronok nak pergi kerja, tapi dia berendam air mata!
Syihan yang sedang memandu itu mengerling sekilas ke arah Suri. Dia terlalu kasar ke pada Suri? Ah, Suri perlakukan dia lebih teruk dulu.
Tiba di kilang, Syihan menyuruh Suri mengikut Ayu. Katanya Ayu akan menerangkan pada Suri skop kerjanya. Suri tiada pilihan lain. Dia ikutkan saja walaupun dia tahu Ayu pasti tidak senang dengan kehadirannya. Nak buat macam mana, dia tiada pilihan lain. Kalau boleh dia pun tak nak.
“Ingatkan bila dah kahwin dengan tauke kerepek, boleh duduk rumah goyang kaki. Rupanya kena kerja juga ya?” sindir Ayu sambil ketawa.
Suri hanya diam. Bukan apa, dia malas nak layan. Lagipun dia datang sini nak bekerja. Bukan nak cari gaduh dengan Ayu. Lantaklah Ayu nak cakap apa pun. Nanti kalau dia dah penat nanti, dia diamlah.
“Kesian juga aku tengok kau ni Suri. Tapi nasib baiklah Abang Syihan tu nak juga ambil kau jadi isteri dia. Kalau tak, mereputlah kau dekat kampung ni!”
Suri ketap bibir. Entah apa yang buat Ayu sakit hati sangat dengan dia pun, dia tak pasti.
“Tapi kau pun tak kahwin lagi. Masih tak laku ya?” Kan dah cakap, jangan bagi Suri buka mulut je. Kalau dia buka mulut, Ayu yang makan hati nanti.
“Eh, kau jangan nak kurang ajar eh, Suri! Aku ni bukan perempuan murahan macam kau. Tengok je lah nanti berapa lama rumah tangga kau dengan Abang Syihan bertahan. Aku tak sabar nak tengok kau jadi janda.” Ayu tersenyum puas. Puas dapat sakitkan hati Suri.
“Aku tak ada masa nak gaduh dengan kau. Kau tunjukkan je apa yang aku nak kena buat, boleh?” Suri malas nak panjangkan cerita. Nanti kalau kesabaran dia hilang, mahu tercetusnya perang dalam kilang Syihan ni.
Ayu ketawa sinis. Dia mula merancang idea jahat mahu mengenakan Suri.
PELUH yang merenik di dahi dikesat dengan belakang tangan. Nafas lelah dilepaskan. Suri rasa macam nak patah pinggangnya bila disuruh mengangkat berbakul-bakul ubi kayu turun daripada lori. Dia tak tahu pula sampai macam ni sekali skop kerjanya.
Sampai hati Syihan...
Tak mahu dikatakan mengada-ngada, Suri turutkan juga walaupun tubuhnya mula terasa sengal-sengal. Tangan ni rasa macam nak patah pun ada!
“Suri!” Daripada kejauhan Johan berlari datang mendapatkan Suri.
Langkah Suri terhenti. Terpinga-pinga dia memandang Johan. Dah kenapa Johan lari macam kena kejar dengan hantu tu?
“Kenapa Suri angkat semua ni?” tanya Johan. Cepat-cepat dia mengambil bakul yang berisi ubi kayu di tangan Suri.
“Suri tengah kerjalah Abang Jo,” balas Suri.
“Kerja?” Berkerut seribu dahi Johan memandang gadis itu.
“Ya, kerja. Kenapa?” tanya Suri kembali.
“Ini kerja orang lelaki, Suri. Takkanlah Suri nak buat kerja-kerja ni. Bahaya orang perempuan angkat barang-barang berat.”
Suri menghela nafas perlahan. Kata Ayu, Syihan yang menyuruhnya bekerja di bahagian ini. Apa lagi dia nak kata dah kalau Syihan sendiri yang nak dia buat kerja ni?
“Siapa yang suruh Suri buat kerja ni?” soal Johan geram. Mesti ada yang sengaja nak kenakan gadis itu.
“Ayu.”
Kan Johan dah agak! Dia mendengus geram. Ayu... Perempuan ni memang nak kena!
“Tapi Ayu cakap Abang Syihan yang suruh,” ujar Suri lagi.
Johan terkedu. Syihan? Biar betul Syihan yang suruh Suri buat kerja-kerja begini? Takkanlah lelaki tu kejam sangat dengan Suri.
“Tak apalah abang. Suri okey je.” Suri mahu mengambil kembali bakul yang berada di tangan Johan tapi lelaki itu pantas menghalang.
“Bahaya Suri! Ini kerja orang lelaki,” ujarnya tegas.
Terkebil-kebil Suri memandang Johan. Rasa macam nak menangis pun ada bila tiba-tiba lelaki itu tinggikan suara kepadanya.
“Maaf. Abang tak sengaja.” Johan cepat-cepat meminta maaf apabila apabila menyedari dia sudah terlanjur meninggikan suara kepada gadis itu.
“Ada apa ni?”
Suri dan Johan langsung memandang ke arah pemilik suara itu.
Syihan.
Entah daripada mana lelaki itu muncul. Rasanya tadi dia keluar berjumpa dengan pengedar kerepeknya.
“Ada apa-apa masalah ke?” Tajam mata Syihan merenung Suri. Rasa cemburu mula terbit melihat Suri berdua-duaan dengan Johan.
“Kau dah kenapa suruh Suri angkat ubi daripada lori?” soal Johan.
Syihan nampak sedikit terkejut. Bila masa pula dia suruh Suri angkat ubi kayu turun daripada lori? Dia taklah kejam sangat sampai sanggup minta Suri buat kerja seteruk itu!
“Suri nak pergi tandas sekejap.” Suri langsung beredar daripada situ. Saja beri alasan nak ke tandas. Biarlah Syihan dan Johan cakap berdua je. Dia malas nak masuk campur walaupun hal ini melibatkan dirinya. Nanti keadaan makin kecoh pula.
KAKI diheret pantas ke tandas. Masuk je ke dalam tandas, tangisan yang ditahan sejak daripada tadi dilepaskan sepuas-puasnya.
Teresak-esak Suri menangis melepaskan rasa hatinya. Dia menangis bukan kerana sedih dipaksa bekerja. Cuma dia sedikit kecewa dengan Syihan. Sampai hati Syihan biarkan dia buat kerja berat itu...
“Suri, bila kita dah kahwin nanti abang nak Suri duduk rumah je. Tak perlu kerja. Biar abang yang cari rezeki untuk keluarga kita.”
Suri senyum mendengar ujaran Syihan. “Ya ke ni? Abang tak nak Suri tolong abang cari duit?”
“Itu tanggungjawab abang.”
“Untungnya Suri dapat bakal suami macam abang...” Lebar senyuman Suri. Ah, tak sabar rasanya nak jadi isteri Syihan!
“Abang yang beruntung sebab dapat bakal isteri secantik Suri.”
“Kalau Suri dah tak cantik suatu hari nanti, abang masih sayangkan Suri tak?”
“Mestilah. Cinta abang pada Suri tak akan pernah berubah. Macam mana sekali pun keadaan Suri, abang akan tetap sayang dan cintakan Suri.”
Air mata Suri mengalir semakin lebat. Mengenang kembali kenangan lama buatkan jiwanya semakin dirobek.
Share this novel