PANDANGAN dibuang ke luar tingkap teksi. Panorama kampung itu menjadi tatapan matanya. Nampaknya tidak banyak yang berubah. Kampung ini masih sama seperti empat tahun lalu.
“Cik ada urusan apa datang ke kampung ni?”
Pertanyaan itu buatkan Suri tersentak daripada lamunan panjangnya.
“Ini kampung saya. Rumah orang tua saya dekat sini,” jawab Suri.
Pemandu teksi yang berusia lingkungan 50-an itu terangguk-angguk tanda faham.
“Dah lama ke cik tak balik?” soalnya lagi. Dia perasan daripada tadi mata Suri tak lepas daripada menikmati pemandangan kampung itu. Nampak macam dah bertahun-tahun tak balik kampung je.
Ah, anak muda zaman sekarang memang begitu. Sudah selesa duduk di bandar sampai terlupa pada kampung halaman sendiri. Padahal di sinilah kehidupannya bermula.
Suri terdiam seketika. Soalan itu seolah memerlinya walaupun dia tahu pemandu teksi itu tidak berniat apa-apa.
“Maaf cik kalau soalan saya ni buat cik tak selesa,” ujar pemandu teksi itu apabila sedar yang dia mungkin sudah keterlanjuran kata.
Suri tersenyum nipis. “Tak apa pak cik.”
Pandangan kembali dibuang ke luar tingkap. Waktu teksi ini berjalan melintasi sebuah kilang, senyuman Suri perlahan-lahan memudar.
Kilang itu...
“Kerepek dekat sini sedap betul. Anak-anak dengan isteri pak cik pun suka makan kerepek ni. Dekat sini rupanya kilang dia,” ujar pemandu teksi itu.
“Cik kenal pemilik kilang kerepek ni?” tanyanya. Rasanya pemilik kilang itu orang kampung Suri juga. Tentu Suri kenal.
Suri ketap bibir. Kenal. Kenal sangat. Dan dia sangat bangga dengan pemilik kilang kerepek itu.
“Saya tak kenal,” balas Suri sambil menggeleng perlahan. Dia terpaksa menipu. Tidak mahu pemandu teksi itu bertanya lagi tentang pemilik kilang itu.
Waktu teksi membelok ke kanan, mata Suri terpandangkan kawasan tali air yang berada di situ. Di sinilah tempat dia curi-curi berjumpa dengan si jantung hati dahulu.
Dia tersenyum sendiri apabila kenangan lalu singgah di ingatan. Terlalu banyak memori indah yang tercipta di sini.
“Rumah orang tua cik dekat depan simpang tu kan?”
“Betul, pak cik.” Suri mengangguk.
Debaran mula terasa. Rasa gelisah menjamah hati. Kepulangannya ini pasti akan mengejutkan kedua-dua orang tuanya itu. Tapi dia sudah bersedia untuk menghadapi mereka.
“Okey, dah sampai.”
Rumah kampung separuh kayu dan separuh batu itu tersergam indah di hadapan matanya. Rasa rindu bersarang di dada.
“Terima kasih pak cik,” ucap Suri sambil menghulurkan sekeping not RM100.
“Eh, banyak sangat ni cik. Sekejap, pak cik pulangkan baki.”
Suri menggeleng. “Tak apa. Pak cik simpan je bakinya. Boleh beli kerepek yang isteri dan anak-anak pak cik suka makan tu.” Senyuman diukir buat lelaki tua itu.
Bila tengok pemandu teksi itu, dia teringatkan abahnya. Waktu muda-muda dulu abahnya juga pernah menjadi pemandu teksi.
“Terima kasih cik. Semoga cik dimurahkan rezeki dan bahagia selalu di samping keluarga tersayang.”
Usai mengambil beg pakaiannya, teksi itu meluncur laju meninggalkan halaman rumahnya. Suri menarik nafas dalam-dalam. Mencari kekuatan untuk berhadapan dengan kedua orang tuanya. Memang tidak mudah tapi dia sudah berjanji kepada dirinya yang dia akan hadapinya walau apapun reaksi mereka nanti.
“Assalammualaikum!” Suri memberi salam. Sambil itu matanya meliar memerhati sekeliling kawasan rumah. Keadaannya masih sama. Cuma pokok-pokok bunga mak yang berwarna-warni menghiasi laman rumah sudah tiada. Mungkin mak dah tak larat nak menjaga pokok-pokok bunganya.
“Waalaikumsalam. Siapa tu?”
Tubir mata Suri bergenang mendengar suara tua itu. Suara yang sudah bertahun-tahun tidak menyapa halwa telinga.
“Mak...”
Mak Timah terpaku di muka pintu saat figura gadis itu menyapa pandangan matanya. Kakinya terasa lemah. Cepat-cepat dia berpaut pada juring pintu.
“Suri.” Nama itu meniti perlahan di bibirnya. Nama yang selama ini diharamkan disebut di dalam rumah ini.
Tak mungkin dia lupa pada penghuni rahimnya itu walaupun sudah bertahun-tahun mereka tidak bertemu dan penampilan baru Suri juga sudah jauh berubah.
SYIHAN melangkah masuk ke dalam rumah. Matanya meliar mencari figura uminya.
“Assalammualaikum. Umi...”
“Waalaikumsalam. Umi ada dekat dapur ni, Han!” laung Mak Nah daripada dapur.
Syihan terus membuka langkah menuju ke dapur. Dia tersenyum kecil melihat Mak Nah yang sedang sibuk membuat kuih itu.
“Umi buat kuih apa tu?” soalnya. Umi memang rajin buat kuih. Walaupun dalam rumah ni cuma ada mereka berdua je. Umi selalu sedekahkan kuih yang dibuat pada jiran-jiran. Kadang-kadang hantar dekat masjid.
“Lepat pisang. Umi tengok pisang banyak sangat dekat kebun tu. Sayang kalau dibiarkan je. Umi ingat maghrib nanti nak hantar dekat masjid sikit. Lagipun malam ni ada kuliah ustaz Adam.”
Syihan mengangguk. “Nanti Han hantarkan.”
Syihan mengambil tempat di meja makan. Melihat lauk gulai ayam yang terhidang di atas meja buatkan dia telan liur. Perut yang tak lapar pun boleh jadi lapar bila nampak gulai ayam umi.
“Han makanlah dulu. Umi masih kenyang.”
“Macam tahu-tahu je Han memang dah tak sabar nak makan lauk gulai umi ni.” Syihan terus mencedokkan nasi ke dalam pinggan.
“Han, umi nak tanya sikit ni,” ujar Mak Nah tiba-tiba. Dia menghampiri anak tunggalnya itu.
“Apa dia?” soal Syihan. Nasi disuapkan ke dalam mulut.
“Han ada dengar apa-apa berita ke?”
Dahi Syihan berkerut halus. “Berita? Berita apa?”
Mak Nah terdiam. Mungkin saja anaknya itu masih belum tahu. Lagipun Syihan baru saja pulang daripada Kuala Lumpur. Hantar stok kerepek kepada pengedarnya di sana.
“Tak ada apalah. Makanlah, umi nak sambung buat kuih.” Mak Nah menyambung kembali kerjanya. Biarlah Syihan tahu sendiri nanti.
Syihan dapat rasakan seperti ada sesuatu yang uminya itu cuba sembunyikan. Waktu dia singgah ke kedai runcit tadi pun orang-orang kampung memandang pelik padanya. Ada sesuatu ke yang berlaku waktu dia tiada di kampung?
“Syihan nak pergi tengok kilang sekejap umi,” ujar Syihan usai makan. Perut dah kenyang, sekarang kenalah bergerak buat kerja pula.
“Han baru je sampai. Esok je lah pergi melawat kilang tu. Rehatlah dulu.” Mak Nah dah faham sangat dengan anaknya yang kuat bekerja itu. Tak sempat-sempat nak rehat. Kalau boleh 24 jam nak duduk dekat kilang tu.
“Han pergi sekejap je. Nak pantau budak-budak tu.”
“Haa iyalah,” balas Mak Nah akur.
KERETA Proton X50 miliknya dipandu menuju ke kilang kerepek yang sudah dua tahun diusahakan olehnya. Walaupun masih baru, kerepeknya mendapat sambutan ramai sehingga dia berjaya memasarkannya di luar negeri juga. Tidak lama lagi kerepeknya juga akan menembus pasaran luar negara.
Pembukaan kilang kerepeknya juga telah membuka peluang pekerjaan kepada orang-orang kampungnya. Ramai anak-anak muda di kampung itu yang bekerja di kilangnya. Tak perlulah mereka merantau ke bandar lagi untuk mencari kerja.
Sedang Syihan fokus memandu, tiba-tiba ada sebuah basikal meluncur laju keluar daripada simpang. Kalut kaki Syihan memijak brek. Kalau dia tak sempat tekan brek tadi, entah apa yang jadi pada penunggang basikal itu.
Syihan terus keluar daripada perut kereta. Walaupun dia sempat menekan brek, penunggang basikal itu terjatuh. Mungkin dia juga terkejut melihat kereta Syihan.
“Awak tak apa-apa?” soal Syihan pada gadis bertudung hitam itu.
“Saya okey,” balas gadis itu perlahan. Angkat wajah, matanya bertembung dengan sepasang mata milik Syihan.
Bukan hanya gadis itu, Syihan juga terkejut. Masing-masing terkaku di situ. Air mukanya berubah sekelip mata.
Dia... Dia dah balik?
Share this novel
bestttt sgtttt......
bestttttt????