PAGI-PAGI lagi Suri dah keluar. Mujurlah hari ini dia cuti. Suri bertekad untuk bertemu dengan Syihan. Hanya lelaki itu yang boleh membantunya.
Dari kejauhan Suri nampak Syihan yang sedang duduk di pondok berhampiran kandang lembunya. Tetapi lelaki itu tidak sendirian.
Terus berubah raut wajah Suri saat melihat figura yang sedang bersama Syihan ketika ini. Terbit rasa cemburu di hati melihat kemesraan mereka berdua. Suri kenal gadis itu. Gadis itu ialah sepupu Syihan.
Tarik nafas dalam-dalam, Suri beranikan diri mendekati mereka.
"Assalammualaikum."
Syihan dan Ayu terus berpaling memandangnya. Mereka berdua nampak sedikit terkejut dengan kehadiran Suri.
"Waalaikumsalam."
"Maaf menganggu. Boleh Suri cakap dengan abang sekejap?" pinta Suri.
Syihan mengangguk perlahan. Dia tidak tahu apa tujuan Suri berjumpa dengannya hari ini tapi nampaknya seperti ada hal yang penting ingin dibicarakan. Jika tidak, takkanlah pagi-pagi lagi Suri dah cari dia.
"Suri nak cakap berdua je dengan abang. Boleh?" Suri kerling ke arah Ayu sekilas. Berharap gadis itu faham maksudnya.
Raut wajah Ayu terus berubah tidak senang. Jelingan tajam dilemparkan pada Suri.
"Ayu pergilah balik ke kilang dulu. Nanti lepas Ali datang, abang pergi ke sana. Kita jumpa dekat sana je nanti," ujar Syihan.
Ayu terpaksa akur. Dia bangun dan meninggalkan mereka berdua. Sempat dia mencuri pandang ke arah Suri. Entah apa agaknya yang Suri mahukan daripada Syihan.
"Ada apa?" tanya Syihan. Sekarang ini tinggal mereka berdua saja di pondok itu.
"Err... Suri nak minta tolong abang."
Dahi Syihan berkerut halus memandang gadis itu.
"Suri tahu Suri tak layak nak minta tolong abang lepas apa yang Suri dah buat pada abang. Tapi cuma abang yang boleh tolong Suri."
"Tolong apa?"
"Abang Johan nak hantar rombongan meminang Suri minggu depan. Mak dan abah dah setuju. Tapi Suri tak nak kahwin dengan Abang Johan."
Syihan bungkam. Liur ditelan kesat. Jantungnya berlari laju ketika ini. Ternyata Johan tidak bergurau tempoh hari. Dia benar-benar maksudkannya.
"Suri nak minta tolong abang untuk pujuk abah dan mak. Suri yakin mak dan abah akan dengar cakap abang. Suri betul-betul perlukan pertolongan abang. Suri tak nak kahwin dengan Abang Johan."
Syihan masih diam. Dia masih terkejut sebenarnya. Dalam masa yang sama hatinya rasa bagai disiat-siat. Mengapa Johan sanggup lakukan semua ini?
"Boleh abang tolong Suri? Cuma abang je yang boleh pujuk mak dan abah." Wajah Suri penuh mengharap.
"Suri janji, lepas ni Suri tak akan kacau hidup abang lagi. Kalau abang minta Suri untuk tak muncul depan abang lagi lepas ni pun Suri sanggup."
Syihan menghela nafas berat. Wajahnya diraup perlahan. "Jangan mudah berjanji, Suri."
Kendur bahu Suri mendengar balasan Syihan. Nampak seperti Syihan tidak mahu membantunya. Dia tak salahkan Syihan. Lagipun ini masalahnya sendiri. Dia tak boleh nak paksa Syihan untuk membantunya jika lelaki itu tidak mahu.
"Suri minta maaf ganggu masa abang. Abang boleh lupakan apa yang Suri cakap tadi kalau abang tak nak tolong Suri. Suri balik dulu." Suri terus berlalu. Nampaknya dia gagal meminta pertolongan Syihan.
Apa yang akan berlaku selepas ini, Suri terpaksa reda menerimanya. Mungkin ini takdir yang terbaik buatnya.
"ABANG!" Suri berlari mendapatkan Syihan yang sedang memberi lembu-lembu ternakannya makan.
"Suri, jangan lari-lari. Jatuh nanti." Seriau Syihan tengok Suri berlari dengan kaki bersarung stiletto lima inci.
Suri hanya menayang sengih. Dia begitu teruja mahu menunjukkan gaji pertamanya kepada lelaki itu.
"Suri dah dapat gaji pertama Suri," ujarnya teruja sambil menayangkan sampul putih yang berada di tangannya.
"Alhamdulillah. Abang happy untuk Suri." Syihan tersenyum bangga. Bangga dengan usaha keras Suri.
Bukan mudah untuk gadis kampung sepertinya mendapat kerja sebagai model pakaian.
"Abang nak makan apa? Suri nak belanja abang."
Syihan senyum. "Tak perlulah. Suri simpan je duit tu. Itu kan gaji pertama Suri. Biar abang yang belanja Suri makan."
Suri mencebikkan bibirnya. "Sebab ini gaji pertama Surilah, Suri nak belanja abang makan."
"Tak apa. Suri simpan duit tu dulu. Tak pun, Suri belanja mak dan abah."
"Berlagaklah abang ni. Orang nak belanja pun tak nak." Suri sudah menarik muncung sedepa.
Syihan garu kepalanya yang tidak gatal. Ah, sudah!
"Suri, janganlah merajuk. Abang bukannya tak nak Suri belanja tapi abang rasa Suri patut gunakan duit tu untuk benda yang lebih penting."
"Ya lah." Suri akur.
"Marah abang lagi?"
Suri menggeleng perlahan. "Cantik tak Suri pakai mekap macam ni?"
Syihan mengangguk. "Suri abang selalu cantik. Tapi abang lagi suka kalau Suri tak pakai mekap. Suri dah cukup cantik tanpa mekap."
"Eii... Poyo je lah abang ni!"
Syihan ketawa. Memang benar dia lebih suka melihat wajah Suri tanpa alat solek. Suri tak perlukan alat solek.
"Suri, tunggu abang tau. Sikit je lagi. Lepas ni kita kahwin." Syihan tidak sabar mahu membina masjid bersama gadis itu. Sungguh, dia terlalu cintakan Suri.
Gadis itu adalah cinta pertamanya sejak di bangku sekolah lagi. Bukan mudah dia nak tawan hati Suri.
"Syihan!"
Syihan tersentak daripada lamunan panjangnya. Jauh dia mengelamun sampai tak sedar umi memanggil namanya berkali-kali.
"Err... Ya, umi?"
"Jauh betul mengelamun. Ada masalah ke?"
Syihan menggeleng perlahan. Sebenarnya sedari tadi dia tak henti-henti memikirkan tentang Suri.
"Tadi umi terserempak dengan mak Johan dekat kedai. Dia cakap dengan umi, dia nak hantar rombongan meminang Suri minggu depan. Han tahu? Johan ada beritahu Han?" Raut wajah Mak Nah nampak gelisah.
Syihan terdiam seketika. Dia menghela nafas perlahan. "Ya ke? Baguslah kalau macam tu." Riak wajahnya seolah-olah menunjukkan seperti dia tidak kisah. Tapi hanya ALLAH saja yang tahu apa yang dia rasakan ketika ini.
"Han tak kisah ke? Han dah tak sayangkan Suri lagi?"
Soalan umi buatkan tubuh Syihan mengeras. Kelu lidahnya nak menjawab soalan itu.
"Han tak boleh nak kawal perasaan orang umi."
"Tapi Han..." Mak Nah masih berharap Suri menjadi menantunya. Tapi nampaknya tiada lagi sinar buat mereka. Mungkin Syihan benar-benar sudah tawar hati.
Syihan meraup perlahan wajahnya. Dia dalam dilema. Perlukah dia berjumpa dengan orang tua Suri seperti yang Suri mahukan? Tapi andai dia lakukan itu, adakah keadaan antara mereka akan berubah? Atau masih kekal sama?
Mereka hanya sebatas orang asing yang penuh dengan kenangan.
HARI ini Suri hanya berjalan kaki ke tempat kerja. Tayar basikalnya bocor. Jadi dia terpaksa berjalan kaki. Mujurlah kedai runcit milik Pak Zahar tidak jauh mana daripada rumahnya.
Fikiran Suri kusut tika ini. Tinggal dua hari lagi sebelum rombongan daripada Johan tiba. Mahu atau tidak, Suri tiada pilihan lain lagi. Dia terpaksa akur walaupun berat hatinya untuk menerima.
Sedang Suri berjalan menuju ke kedai runcit Pak Zahar, tiba-tiba Mak Jah, ibu kepada Johan menerpa ke arahnya.
"Hei Suri!"
Suri kaget. Wajahnya terus berubah. "Cik Jah, ke..." Tak sempat Suri bertanya, satu tamparan hinggap di pipinya.
"Dasar perempuan murahan! Hei, kau ingat kau tu anak raja ke? Suka-suka hati kau je tolak pinangan anak aku. Kau tahu tak, aku dah siapkan semuanya!"
Suri tergamam. Pipinya yang terasa kebas dek tamparan Mak Jah disentuh. Apa Mak Jah cakap tadi? Dia tolak pinangan Johan? Tapi...
"Kau ni memang perempuan murahan!" Berombak dada wanita tua itu. Dia terus menyerang Suri. Pipi gadis itu berkali-kali ditampar. Tubuh Suri ditolak kasar sehingga gadis itu terduduk jatuh.
Suri cuba melawan tapi apalah sangat tenaganya jika mahu dibandingkan dengan tenaga Mak Jah. Tambahan pula tubuh Mak Jah tiga kali lebih besar daripada tubuhnya.
"Cik Jah, sakit..." rintih Suri. Tubuhnya dikerjakan cukup-cukup oleh wanita itu sehingga dia tiada kesempatan untuk mengelak.
"Ya ALLAH, mak!" Johan berlari mendapatkan Mak Jah yang masih tidak berhenti memukul tubuh Suri.
"Lepaskan aku Jo! Biar aku ajar perempuan murahan ni!" Mak Jah masih cuba memukul Suri walaupun tubuhnya sudah ditarik oleh Johan.
"Mak sudah mak!" Tubuh ibunya ditarik menjauhi Suri. Kalau terus dibiarkan, silap-silap Suri boleh mati di tangan maknya.
Wajah Suri basah dengan air mata. Tudung bawal yang dipakai sudah terlucut daripada kepala. Wajahnya habis luka-luka.
"Suri."
Dalam kabur pandangan matanya, Suri dapat melihat ada sepasang kaki berdiri di hadapannya. Tanpa melihat wajah pun dia sudah tahu siapakah lelaki itu.
Share this novel
Sambungan please