KOTAK bersaiz sederhana yang terletak di penjuru bilik itu menarik perhatian Suri.
“Ada apa dalam ni?” soalnya sendiri.
Tidak mahu terus berteka-teki, penutup kotak terus dibuka. Suri tergamam seketika tatkala melihat isi kotak itu.
Syihan simpan semua ni?
“Kau buat apa tu?” Suara garau itu mengejutkan Suri.
Terangkat bahunya. Mukanya berubah pucat. Perlahan-lahan dia menoleh ke belakang melihat si pemilik suara.
“Ab-abang...”
“Siapa yang izinkan kau sentuh barang-barang aku?” Mencerlung tajam mata Syihan memandang Suri.
Suri menggeleng perlahan. Bukan niatnya mahu menyelongkar barang peribadi lelaki itu.
“Suri cuma nak bersihkan bilik ni,” jawabnya perlahan. Takut sebenarnya dengan pandangan mata Syihan.
“Suri tak sangka abang beli majalah-majalah ni.”
Syihan diam. Dia tiada jawapan. Nak buat macam mana, dah kantoi dah pun.
“Umi yang minta aku beli majalah tu sebab dia terlalu rindukan kau.” Laju otaknya mencari jawapan.
Suri tersenyum kelat. Dia mengangguk perlahan. “Tapi kenapa majalah-majalah ni ada dekat rumah abang? Bukan dekat rumah umi?” Saja Suri memberi soalan perangkap.
“Aku tak nak umi terus ingatkan kau. Aku nak dia lupakan kau. Macam aku lupakan kau.” Sengaja Syihan tekan ayat terakhirnya itu.
Suri mengetap bibir menahan rasa. Walaupun hatinya ngilu mendengar jawapan Syihan, dia tetap senang melihat majalah-majalah itu masih disimpan oleh lelaki itu. Kalau betul Syihan nak lupakan dia, kenapa Syihan tak buang je semua majalah ni?
“Abang, boleh abang jujur dengan Suri? Selama Suri pergi, pernah tak abang rindukan Suri? Walaupun sekali?”
Syihan terkedu mendengar soalan itu. Beraninya Suri tanyakan soalan itu selepas apa yang dia lakukan.
“Aku sibuk bangunkan kilang aku. Aku tak sempat nak rindukan sesiapa pun.”
“Tapi Suri percaya sesibuk manapun abang, mesti ada waktu abang rindukan seseorang yang abang cinta.”
“Mungkin bukan Suri lagi yang abang rindu. Tapi tetap ada seseorang yang abang sentiasa rindukan. Betul tak?” Suri tersenyum perit. Sakit nak menelan kenyataan bukan dia lagi yang bertakhta di hati lelaki itu tapi dia tak salahkan Syihan andai tempatnya sudah diganti dengan nama yang lain.
Share this novel