Bab 11

Romance Series 59726

“ABANG dah nak tidur?” soal Suri.

Syihan tidak menjawab. Sebiji bantal yang berada di atas katil dicapai. Tidak mengapalah. Malam ini saja dia mengalah tidur di bawah. Tak mungkin dia nak tidur sekatil dengan Suri walaupun gadis itu sudah halal untuknya.

Suri hanya memerhati gerak-geri suaminya itu. Raut wajahnya berubah suram melihat Syihan tidur di lantai. Sudahlah tidak beralaskan apa-apa. Mujurlah lantai bilik Syihan ada karpet. Taklah sakit sangat badan kalau tidur tanpa alas apa-apa.

“Abang, abang tidurlah atas katil. Biar Suri yang tidur bawah.” Suri serba salah. Kalau betul Syihan memang tidak mahu tidur di sebelahnya, biarlah dia yang mengalah tidur di bawah. Lagipun inikan katil Syihan. Takkan dia nak selesa-selesa tidur di atas katil sedangkan lelaki itu hanya tidur di bawah.

Syihan masih tidak menjawab. Mata dipejam perlahan. Dia benar-benar letih sekarang ni.

“Abang...” Seru Suri lagi. Selagi Syihan tak buka mulut, selagi itulah dia tak puas hati.

“Kau tidur je lah dekat atas tu diam-diam. Aku ni bukannya kejam sangat nak biarkan tetamu tidur atas lantai.”

Suri ketap bibir mendengar jawapan Syihan. Tetamu? Jadi Syihan cuma anggap dia sebagai tetamu saja? Hatinya bagai dihiris halus.

“Esok kita pindah rumah aku,” ujar Syihan. Selepas ini dia tak perlulah tidur di atas lantai lagi. Rumahnya ada banyak bilik. Jadi Suri boleh pilih bilik mana yang dia mahu. Tak perlu lagi nak berebut katil dengan Suri.

“Kita tak duduk sini?” tanya Suri kembali. Sangkanya dia akan tinggal terus di rumah mentuanya. Ya lah, lagipun Mak Nah tinggal sendirian.

“Dah besar panjang pun masih nak duduk bawah ketiak umi ke? Lepas ni kenalah belajar hidup berdikari.” Apa Suri ingat selepas ini mereka akan terus tinggal bersama dengan umi? Memang taklah! Tahulah Suri nanti apa yang menantinya di rumah mereka.

“Rumah abang jauh ke?” tanya Suri lagi. Dia tak pernah tahu pun yang Syihan ada rumah sendiri. Nampaknya business lelaki itu benar-benar berjaya sampai Syihan mampu beli rumah sendiri sekarang ni.

“Tidurlah.” Syihan sengaja tidak menjawab soalan Suri. Esok Suri akan tahu juga di mana rumahnya.

Suri berbaring kembali di atas katil. Nafas dihela perlahan. Terkebil-kebil matanya merenung kipas siling yang berpusing. Macam-macam yang berlegar di fikirannya ketika ini.


SAYUP-SAYUP azan subuh kedengaran dari masjid. Suri terjaga daripada tidurnya. Matanya yang masih mengantuk itu digosok-gosok perlahan. Entah pukul berapa dia terlelap malam tadi. Rasa macam baru je tertidur. Tiba-tiba dah kena bangun solat subuh.

Dalam keadaan masih mamai, Suri terus turun daripada katil. Tapi tiba-tiba...

Buk!

Kakinya tersandung dengan kaki Syihan yang tidur di bawah itu. Elok tubuh Suri jatuh mendarat di atas tubuh Syihan.

“Argh...” Syihan mengerang kesakitan. Dia yang sedang nyenyak tidur itu langsung terjaga.

Membulat mata Suri apabila menyedari dia berada di atas tubuh Syihan ketika ini. Macam mana dia boleh lupa yang Syihan tidur di bawah?

“Err... Sorry abang...” Kalut dia ingin bangun tapi entah macam mana, dia jatuh sekali lagi di atas tubuh Syihan.

“Argh...” Terpejam mata Syihan. Nasib baiklah tubuh Suri tak berat mana. Kalau tidak, mahu patah pinggangnya. Bukan sekali kena hempap, tapi dua kali!

Tangan Syihan naik memegang kedua belah bahu Suri. Menahan tubuh gadis itu supaya tidak terjatuh lagi. Tak sanggup kena hempap untuk kali yang ketiga pula.

“Sorry abang...” ucap Suri perlahan. Nasib baiklah keadaan bilik ketika ini agak gelap. Hanya ada cahaya lampu daripada lampu tidur yang sedikit malap itu.

Syihan tidak melepaskan bahu Suri. Dia merenung dalam wajah gadis itu. Jantungnya berdebar-debar. Dia tidak pernah berada sedekat ini dengan Suri. Dan kini jarak mereka hanya tinggal beberapa inci sahaja.

Tak betah terus direnung oleh sepasang mata milik Syihan, Suri cepat-cepat bangun. Kali ini dia lebih berhati-hati supaya tidak terjatuh lagi untuk kali yang ketiga. Mahu patah pinggang suaminya itu!
Suri bergegas keluar meninggalkan bilik. Sumpah dia malu! Belum apa-apa dia dah buat hal.

Hujung bibir Syihan ternaik sedikit. Dalam kesamaran cahaya terlihat dia tersenyum sendiri. SUBUH itu mereka solat berjemaah. Kebiasaannya Syihan akan solat berjemaah di masjid. Tapi gara-gara pagi ini dia terlewat bangun, dia solat di rumah sajalah. Jadi imam untuk Suri dan umi.

Selepas mengaminkan doa, Syihan memusingkan tubuhnya ke belakang. Dia bersalaman dengan Mak Nah.

“Salam suami.” Mak Nah menepuk perlahan paha Suri.

Suri tersentak. Dia masih teringat kejadian pagi tadi. Nak pandang muka Syihan pun dia masih segan. Entah apalah yang lelaki itu fikir tentangnya.

Lambat-lambat Suri hulurkan tangan juga pada Syihan.
“Umi, hari ni Han dengan Suri pindah rumah ya?” beritahu Syihan. Sejujurnya dia memang berat hati nak keluar daripada rumah ini. Dia pun tak sampai hati nak tinggalkan Mak Nah sendirian. Tapi sekarang dia sudah berkahwin, dan lebih baik mereka tinggal berasingan.

Lagipun rumah Syihan bukannya jauh sangat pun. Masih di dalam kampung yang sama. Ambil masa lebih kurang lima belas minit je nak ke sana kalau daripada rumah Mak Nah. Bila-bila pun dia boleh datang jenguk uminya itu.

“Baguslah tu. Nanti umi tolong kemas apa yang patut.”

“Bagus? Umi ni macam dah tak sabar-sabar je nak halau Han.”

Mak Nah ketawa kecil. Bahu Syihan ditampar lembut. “Han dah kahwin, kenalah berdikari sendiri. Sampai bila nak duduk bawah ketiak umi?”

“Ya lah.”

“Bila dah duduk rumah sendiri nanti, pandai-pandailah bertolak ansur ya. Jangan biarkan ego menang. Menyesal di kemudian hari nanti dah tak guna.” Sempat Mak Nah memberikan nasihat ringkas kepada anak dan menantunya itu.

Suri hanya terangguk-angguk. Dia tak tahulah selepas ini bagaimana hala tuju hubungan mereka. Yang pasti dia tak akan mengalah untuk memenangi kembali hati Syihan


KERETA yang dipandu Syihan membelok masuk ke lorong kiri. Sebuah rumah berkonsepkan rumah kampung moden tersergam indah di depan mata.

Suri terpegun seketika melihat keindahan rumah itu. Rumah itu sangat besar untuk mereka. Halaman rumah itu juga sangat luas. Siap ada gazebo lagi di tepi rumah.

“Ini ke rumah abang?” tanya Suri. Sungguh dia benar-benar bangga dengan kejayaan Syihan. Walaupun lelaki itu sudah berjaya, Syihan langsung tak berubah. Dia masih merendah diri. Tak pernah sombong dengan apa yang dia miliki sekarang.

“Takkanlah aku nak bawa kau pergi rumah orang pula.” Selamba Syihan menjawab. Dia terus keluar daripada perut kereta.
Suri menggeleng perlahan. Dia memujuk hati sendiri. Sabar Suri... Sabar. Kau juga yang buat dia berubah jadi dingin macam ni.

Suri masih berdiri di luar sementara menunggu Syihan mengambil beg pakaian mereka di dalam kereta. Matanya meliar memerhati sekeliling rumah itu. Dia tersenyum nipis.

“Suri, nanti bila kita dah kahwin abang akan hadiahkan sebuah rumah yang cantik untuk Suri.”

“Mana abang nak dapat duit? Suri tak kisah pun kalau kita duduk dengan mak dan abah. Haa... Duduk dengan umi pun okey juga.”

“Abang janji. Abang akan usahakan. Abang akan kerja keras untuk bahagiakan Suri.”

Dan ternyata Syihan masih memegang janjinya...

Tapi, Suri dah musnahkan semua mimpi-mimpi mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience