“BETUL ke mak dan abah terima pinangan Johan?” soal Syihan. Awalnya berat hati dia nak berjumpa dengan kedua orang tua Suri. Tapi mengenangkan masa depan Suri, Syihan datang juga berjumpa dengan mereka seperti yang Suri mahukan.
“Ya. Mana Han tahu?” tanya Pak Leh kembali. Dia agak terkejut juga bila tiba-tiba Syihan datang ke rumahnya.
Bukannya dia tak biasa dengan kedatangan Syihan. Malah sebelum ini Syihan kerap datang ke rumah mereka bertanyakan khabar mereka. Rumah mereka sudah ibarat rumah kedua Syihan. Tapi sejak Suri pulang semuanya berubah. Syihan dah tak datang ke sini lagi dan mereka faham. Mungkin Syihan tidak datang kerana tidak sanggup untuk berhadapan dengan Suri lagi.
“Abah, mak... Han minta maaf. Han bukan nak masuk campur. Han tahu Han cuma orang luar. Tapi, kalau Suri tak setuju, mak dan abah tak boleh paksa Suri kahwin dengan Johan.” Dengan berhati-hati Syihan menyusun ayat.
Pak Leh terus memandang isterinya di sebelah.
“Kami bukan nak paksa Suri. Tapi Han...”
“Tapi kalau kami tolak lamaran Johan, ada ke lelaki yang nak kahwin dengan Suri lepas ni? Sebagai ibu bapa, kami tentu nak yang terbaik untuk Suri. Lagipun, Johan tu baik budaknya,” sambung Pak Leh.
“Betul tu, Han. Walaupun Suri dah kecewakan kami, dia tetap anak kami. Satu-satunya anak kami. Kami sayangkan dia. Kalau suatu hari nanti kami dah tak ada, siapa yang nak jaga dia? Siapa yang boleh dia jadikan tempat untuk berpaut?” Sayu suara Mak Timah kedengaran.
Syihan mengangguk faham. Dia mengerti setiap orang tua pasti mahukan yang terbaik untuk anaknya.
“Han, abah minta maaf bagi pihak Suri ya. Abah minta maaf kalau Han tak senang dengan kepulangan Suri. Tapi dia dah tak ada tempat lain nak pergi. Abah minta maaf kalau kepulangan Suri dah buat Han rasa tak selesa.”
“Abah... Jangan cakap macam tu.” Serba salah Syihan dibuatnya bila Pak Leh meminta maaf kepadanya.
“Mak tahu bukan mudah untuk Han hadap semua ni. Mak dengan abah pun masih kesal dengan apa yang Suri dah buat pada Han. Malu kami ni dengan Han dan umi Han,” celah Mak Timah pula.
“Mak, abah... Kalau Suri tak nak kahwin dengan Johan, boleh tak mak dan abah tolak pinangan Johan?”
“Tapi Han, macam abah cakap tadi kami...”
“Kalau Han lamar Suri sekali lagi, abah dan mak boleh terima?” tanya Syihan sekaligus mematikan bicara Pak Leh.
Pandangan Pak Leh dan Mak Timah bersatu. Masing-masing bagaikan tidak percaya dengan apa yang keluar daripada mulut Syihan.
“Han, jangan main-main. Tak mungkinlah...” Pak Leh beranggapan mungkin Syihan hanya bergurau. Tak mungkin Syihan mahukan Suri kembali setelah apa yang gadis itu lakukan padanya dahulu.
“Han serius. Han tak main-main.”
“Tapi Han, Suri tu...” Mak Timah jadi serba salah. Syihan itu seorang lelaki yang sangat baik. Rasa tak layak pula lelaki sebaik Syihan bergandingan dengan anaknya. Apatah lagi selepas Suri meninggalkan lelaki itu empat tahun lepas.
“Mak dan abah dah tak sudi nak terima Han sebagai menantu ke?” soal Syihan dalam nada gurauan.
“Bukan macam tu Han. Kami ni dah anggap Han macam anak kami sendiri. Han budak baik. Rajin pula tu. Orang tua mana yang tak nak jadikan Han menantu. Tapi kami sedar, Suri tu tak layak untuk lelaki sebaik Han.”
Syihan menarik nafas dalam-dalam sebelum dihembus perlahan. “Kalau mak dan abah sudi, Han nak jadi menantu mak dan abah. Hujung minggu ni, Han dan umi datang meminang,” putus Syihan.
SURI menatap lama kotak cincin yang Mak Timah berikan padanya tadi. Katanya siang tadi, Mak Nah datang melamarnya. Sungguh, Suri tidak menyangka.
Bukankah Syihan sudah membencinya? Mengapa lelaki itu masih mahu berkahwin dengannya?
Rancangan asal Suri hanyalah mahu Syihan memujuk orang tuanya supaya mereka menolak lamaran Johan tapi lain pula yang jadinya. Sudah tentu Suri masih cintakan Syihan. Cuma... Dia tak tahu adakah hati lelaki itu masih sama? Atau Syihan lakukan semua ini kerana mak dan abah?
Memori pahit empat tahun lalu bermain di fikirannya kembali.
“Peluang ni datang sekali je Suri. Suri masih muda. Suri tak nak ke kembangkan bakat Suri sampai ke luar negara? Kalau Suri tolak sekarang, belum tentu Suri dapat peluang macam ni lagi.”
“Tapi Anne, majlis kahwin saya minggu depan. Saya tak boleh pergi.”
“Suri masih muda untuk kahwin. Tunda je lah dulu. Kalau Suri kahwin, Suri rasa suami Suri izinkan Suri jadi model lagi ke? Perempuan dah kahwin dengan anak dara, lain Suri. Sementara masih ada peluang ni, rebutlah.” Anne masih bersungguh-sungguh memujuk.
Suri berbelah-bagi. Menjadi model terkenal memang impiannya sejak daripada kecil lagi. Tapi majlis perkahwinannya dengan Syihan sudah dekat. Kalau dia minta mereka menundakan majlis, tentu mereka semua tidak setuju. Lagipun segala persiapan sudah dibuat.
“Suri, ini impian Suri. Suri akan menyesal kalau Suri tolak sekarang.” Anne tahu kalau dia terus memujuk Suri, mungkin Suri akan berubah hati. Lagipun sudah lama Suri nantikan peluang besar ini.
Antara cinta dan cita-cita tidak dapat dikejar dalam waktu yang sama. Salah satunya perlu dikorbankan.
Dan untuk kali ini, Suri memilih untuk mengejar cita-citanya.
PIHAK pengantin lelaki sudah tiba di rumah keluarga Suri. Orang kampung dan sanak-saudara turut hadir memeriahkan lagi majlis pernikahan mereka.
Dada Syihan berdebar-debar menanti akad yang bakal dilafaz. Kurang daripada sejam saja lagi Suri akan menjadi isterinya.
“Pengantin perempuan dah siap?” tanya tok kadi.
Mak Timah memberi isyarat kepada Anis untuk memanggil Suri di dalam bilik. Tapi beberapa minit selepas itu keadaan mula menjadi kecoh.
“Cik Timah, Suri tak ada!”
Semua yang berada di situ terkejut. Terutamanya Syihan. Daripada duduk, dia terus berdiri. Wajahnya penuh gusar. Kemana pula Suri pergi?
“Suri tinggalkan surat ni dekat bilik,” ujar Anis sambil menghulurkan helaian kertas itu pada Syihan.
Syihan menyambut huluran Anis. Surat itu bertukar tangan. Luluh hatinya saat membaca surat yang Suri tinggalkan itu.
Sekelip mata hatinya dihancurkan oleh gadis itu. Impian mereka untuk membina masjid bersama lebur sekelip mata.
“Han.” Mak Nah merapati anaknya.
“Umi... Suri dah tinggalkan Han...” Bergetar suara Syihan kedengaran. Matanya berkaca.
Mak Timah sudah terduduk di situ sambil ditenangkan oleh ahli keluarga dan jiran tetangga. Pak Leh menarik nafas dalam-dalam. Riak wajahnya jelas menunjukkan betapa kecewanya dia dengan Suri. Tergamak Suri melakukan semua ini...
“Han, pergi cari Suri cepat. Umi rasa Suri belum pergi jauh lagi,” gesa Mak Nah.
Syihan menggeleng perlahan. “Tak semua yang hilang ingin dirinya dicari. Kalau ini pilihan dia, Han tak boleh nak buat apa-apa umi.”
Dan sejak hari itu Syihan cuba membuang segala-galanya tentang Suri. Nama Suri yang terpahat kemas di hati selama ini cuba dipadamkan.
Suriku, andai kau tahu melepaskanmu adalah pilihan yang tak akan pernah ingin kupilih...
Share this novel