SUDAH sepuluh minit berlalu tapi masing-masing hanya diam. Hening terus menguasai mereka. Syihan fokus pada pemanduannya manakala Johan di sebelah membuang pandangan ke luar tingkap.
“Kau betul-betul nak kahwin dengan Suri?” Akhirnya Syihan buka mulut. Memecahkan kesunyian antara mereka.
Johan membetulkan duduknya. Dikerling sekilas ke arah Syihan yang sedang memandu itu.
“Kenapa? Kau marah?” Soalan dibalas dengan soalan.
“Aku tak ada hak nak marah. Tapi kau tahu kan yang kau tak boleh nak paksa dia untuk terima kau kalau dia tak nak.”
“Tapi keluarga dia dah setuju.”
Syihan menghela nafas perlahan. “Keluarga Suri yang setuju. Bukan Suri.”
“Kau masih sayangkan Suri kan?” tebak Johan. Walaupun Syihan tak mengaku, Johan tidak akan percaya. Mustahil untuk Syihan melupakan cinta pertamanya dengan mudah. Johan lebih kenal Syihan. Bukan sehari dua mereka berkawan.
“Aku tak nak kita bergaduh hanya disebabkan seorang perempuan.”
Johan ketawa kecil. “Tapi kau nampak marah bila tahu aku hantar rombongan meminang Suri.”
“Aku...”
“Kalau kau masih sayangkan Suri, aku undur diri. Mungkin Suri pun masih sayangkan kau.” Tenang Johan membalas. Dia tidak mahu hubungan persahabatannya dengan Syihan putus hanya kerana seorang wanita. Lagipun dia tidak tega merampas Suri daripada Syihan jika memang pasangan itu masih saling mencintai.
“Jo, jangan salah faham. Aku...”
“Sudahlah Han. Jangan cakap tentang hal ni lagi. Aku yang salah. Aku yang buat keputusan tak fikir panjang. Tak fikirkan perasaan kau.” Bila difikirkan kembali, Johan menyesal dengan keputusannya. Dia seharusnya menjaga hati Syihan. Tak patut dia bertindak melulu seperti ini.
“Jo, itu mak kau kan?” Syihan nampak Mak Jah sedang memukul seseorang di tepi jalan.
“Ya ALLAH, apa mak aku buat tu? Berhenti cepat Han!” gesa Johan. Mengucap panjang dia bila menyedari Mak Jah sedang memukul Suri.
Tak sempat Syihan berhentikan kereta, Johan sudah melompat keluar daripada perut kereta.
“Ya ALLAH, mak!” Dia meluru mendapatkan Mak Jah. Menghalang wanita itu daripada terus memukul Suri.
“Lepaskan aku Jo! Biar aku ajar perempuan murahan ni!” Mak Jah masih cuba memukul Suri walaupun tubuhnya sudah ditarik oleh Johan.
“Mak sudah mak!” Tubuh ibunya ditarik menjauhi Suri. Kalau terus dibiarkan, silap-silap Suri boleh mati di tangan maknya.
Syihan tergamam melihat keadaan Suri. Dia terus mendapatkan gadis itu.
“Suri.”
Perlahan-lahan Suri panggung kepala memandang wajah Syihan. Hati Syihan remuk melihat keadaan gadis itu. Teruk Suri dipukul oleh Mak Jah. Wajah gadis itu penuh dengan luka.
“Bangun,” ujarnya sambil membantu Suri berdiri kembali. Tudung Suri yang sudah terlucut daripada kepala dikutip kembali lalu diletakkan di atas kepala Suri.
“Syihan, kau masih tak sedar ke yang perempuan ni cuma nak pergunakan kau? Kau tak ingat dulu dia tinggalkan kau? Sekarang bila kau dah kaya, barulah dia nak terhegeh-hegeh dekat kau!” Hambur Mak Jah. Amarahnya pada Suri masih meluap-luap. Jika Johan tidak memegang tangannya ketika ini, dah lama dia pukul Suri lagi. Hatinya masih belum puas.
“Mak, sudah mak...” Pening kepala Johan ketika ini. Dia tak sangka keputusannya telah membuat keadaan menjadi kecoh. Dia juga tak sangka Mak Jah akan bertindak seperti ini. Yang jadi mangsanya adalah Suri.
“Aku dah siapkan hantaran untuk meminang dia! Kalau aku tahu jadi macam ni, aku tak akan jejakkan kaki aku ke rumah dia. Perempuan murahan macam kau ni tak layak untuk anak aku pun. Lebih baik kau berambus!”
Suri hanya tertunduk mendengar kata-kata hinaan yang keluar daripada mulut wanita itu.
“Cik Jah, saya akan bayar ganti rugi hantaran yang Cik Jah dah siapkan tu. Saya minta maaf bagi pihak Suri. Tapi tolong, jangan hina bakal isteri saya.”
Bukan hanya Mak Jah dan Johan yang terkejut mendengar ujaran Syihan. Suri turut sama terkejut. Bakal isteri?
“Aku minta maaf, Jo,” ucap Syihan. Dia tahu pasti Johan terkejut dengan kenyataan yang keluar daripada bibirnya sebentar tadi.
Johan tersenyum nipis. Dia mengerling sekilas ke arah Suri. “Abang minta maaf Suri.”
“Mak, jangan salahkan Suri. Salahkan Jo. Jo punca semua ni berlaku.”
“Ah, aku tak peduli!” jerit Mak Jah geram.
“Han, bawa Suri balik.”
Syihan mengangguk perlahan. Dia memberi isyarat kepada Suri untuk mengikutnya. Lambat-lambat Suri melangkah mengikut Syihan.
“APA maksud abang tadi? Bakal isteri?” soal Suri saat mereka sudah berada di dalam kereta.
Syihan hanya diam. Sengaja dia tidak menjawab soalan Suri.
“Kenapa kau biarkan je Cik Jah pukul kau?” Dia kesal melihat keadaan Suri. Kalau dia tak lalu di situ tadi, entah apa agaknya yang berlaku pada gadis itu.
“Suri...”
“Mak dan abah dah tolak pinangan Johan. Sebab tu Cik Jah marah sangat dekat kau,” ujar Syihan.
Suri terdiam. Patutlah Cik Jah mengamuk teruk tadi. Dia sendiri tidak tahu yang mak dan abah sudah menolak pinangan Johan.
“Abang pujuk mak dan abah?” tanya Suri. Dia yakin kerana Syihanlah, mak dan abahnya mengubah fikiran.
Syihan tidak menjawab. Kereta dipandu menuju ke klinik berdekatan. Melihat luka-luka Suri, dia rasa Suri perlukan rawatan di klinik.
“Kita nak pergi mana?” tanya Suri bila Syihan memandu keretanya menuju keluar daripada kampung mereka.
“Klinik.” Sepatah saja jawapan Syihan.
“Tapi Suri kena kerja.”
“Kau masih nak kerja dengan keadaan kau sekarang?” soal Syihan kembali.
“Suri takut Pak Zahar marah.”
Syihan menghela nafas berat. “Biarlah kalau dia marah. Lepas ni kau berhenti je terus,” putus Syihan.
“Tapi abang...” Bicara Suri terhenti di situ bila Syihan sengaja menguatkan suara radio. Menunjukkan lelaki itu tidak mahu mendengar ujarannya lagi.
Akhirnya Suri hanya diam. Pandangan dibuang ke luar tingkap. Air matanya mengalir perlahan mengenangkan kata-kata hinaan Mak Jah tadi. Perempuan murahan. Berulang kali Mak Jah memanggilnya dengan panggilan itu.
Syihan perasan Suri menangis walaupun tiada suara esakan yang terbit daripada bibirnya. Sehelai tisu ditarik lalu dihulurkan pada Suri tanpa sepatah kata.
Suri tersentak. Huluran Syihan disambut juga. “Terima kasih,” ucapnya perlahan.
Sejujurnya Suri masih tidak mengerti apa yang sedang berlaku sekarang ini. Semuanya masih tidak jelas. Pulang ke rumah nanti dia akan dapatkan penjelasan daripada kedua orang tuanya.
PULANG daripada klinik, Syihan menghantar Suri pulang ke rumah.
“Buat masa ni jangan keluar rumah dulu. Keadaan tengah tegang,” pesan Syihan. Dia tidak mahu Mak Jah menyerang Suri lagi. Tidak mustahil wanita itu akan menyerang Suri lagi.
“Suri minta maaf sebab susahkan abang. Terima kasih sebab tolong Suri.” Suri terus keluar daripada perut kereta Syihan.
“Suri.”
Langkah Suri terhenti. Dia menoleh memandang Syihan.
“Masuklah,” ujar Syihan.
Suri mengangguk perlahan. Dia memerhati kereta milik Syihan keluar daripada perkarangan rumah. Tangan naik menyentuh dada. Jantungnya berdegup kencang. Ternyata perasaan ini masih sama seperti dulu.
“Suri, kenapa dengan kamu?”
Suri menoleh ke muka pintu. Mak Timah dan Pak Leh memandangnya dengan wajah kerisauan. Mahu tak terkejut tengok luka dan lebam di wajah anaknya itu.
“KAMI dah tolak pinangan Johan,” ujar Pak Leh.
Suri tersenyum nipis. “Terima kasih abah,” ucapnya. Syukurlah. Johan itu memang lelaki yang baik tapi Suri tak boleh buka pintu hatinya untuk menerima lelaki yang sudah dianggap seperti seorang abang.
“Jah tu memang melampaulah. Nasib baiklah kita tolak pinangan Johan. Belum jadi menantu dia dah pukul anak kita teruk macam ni. Kalau dah jadi menantu nanti entah apa agaknya dia buat pada Suri.” Mak Timah mengesat air matanya dengan hujung lengan baju kurung kedah yang dipakai. Ibu mana yang tidak sedih melihat anaknya diperlakukan seperti ini.
“Mak... Tak apa. Suri okey. Cik Jah tengah marah tu. Jadi dia mungkin tak sedar apa yang dia buat.” Suri cuba memujuk. Dia tidak mahu ada pertelingkahan antara maknya dengan wanita itu pula.
“Suri minta maaf sebab dah susahkan mak dan abah.”
“Suri, Syihan datang jumpa kami.”
Suri mengangguk. Dia tahu. Jika tidak, tak mungkin Pak Leh berubah fikiran. Dia terhutang budi dengan lelaki itu. Nampaknya selepas ini dia perlu menunaikan janjinya kepada Syihan. Janjinya untuk tidak muncul di hadapan Syihan lagi.
“Suri tahu Syihan nak kahwin dengan Suri?”
Suri terkedu. Tubuhnya mengeras. Wajah Pak Leh dan Mak Timah dipandang silih berganti.
Terus terngiang-ngiang di telinganya ujaran Syihan tadi.
“Jangan hina bakal isteri saya.”
Tapi...
Share this novel
tak sabar nak tungguuu