“Suri belum nak tidur lagi. Abang dah nak tidur ke? Boleh kita berbual sekejap?”
“Aku pun belum nak tidur.”
“Abang tak jadi nak pergi jalan-jalan dengan Ayu?”
“Kenapa? Bukan kau ke yang tak bagi aku pergi lama-lama. Kau cakap kau rindu aku.”
Ujaran Syihan membuahkan senyuman di bibir Suri. “Ya, Suri rindukan abang,” akuinya jujur.
“Kalau rindu, kenapa kau tinggalkan aku dulu?” Sayu kedengaran suara Syihan menyoal. Jelas dia menyimpan duka.
Suri terdiam. Tubuhnya mengeras. Dia tiada jawapan untuk soalan Syihan itu. Yang pasti, dia menyesali keputusannya empat tahun lalu. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia begitu nekad mahu meninggalkan Syihan di saat hari bahagia mereka tiba.
“Kalau kau tak pergi empat tahun lepas, kita dah lama bahagia, Suri. Mungkin kita dah ada anak sekarang ni,” ujar Syihan lagi.
“Suri minta maaf...” Cuma itu yang mampu Suri katakan.
Syihan menghela nafas berat. Tiada guna bercakap tentang kisah lalu yang menyakitkan itu. Bukannya dia dapat putarkan kembali masa. Yang terjadi, tetap sudah terjadi.
“Boleh abang cintakan Suri sekali lagi?” pinta Suri penuh mengharap.
Cintakan Suri sekali lagi? Dia tidak pernah berhenti mencintai Suri.
Tapi...
“Kau bukan lagi untuk aku pertahankan. Kita dah terlalu hancur untuk kembali macam dulu.”
Jawapan Syihan buatkan air mata Suri mengalir perlahan. Rasa sakit menjalar ke segenap hati.
Adakah dia benar-benar sudah terlambat?
Pinggan yang berisi puding buah dibawa ke ruang tamu. Syihan sedang menonton televisyen di situ.
“Abang,” panggil Suri.
Syihan menoleh.
“Suri ada buat puding buah kegemaran abang. Dulu abang suka sangat makan puding buah yang Suri buat. Suri masih ingat.”
Syihan ketawa. Sinis. Dia menggeleng perlahan.
“Boleh tak kau berhenti bercakap tentang masa lalu? Aku dah tak hidup dekat sana lagi.”
Senyuman yang terpamer di bibir Suri serta-merta menghilang sebaik mendengar jawapan Syihan. Tubuhnya mengeras. Ya, Syihan dah tak hidup di sana lagi. Tapi dia yang masih tersangkut lagi pada masa lalu mereka.
“Aku dah tak makan puding buah. Aku dah tak suka.” Sejak Suri pergi, Syihan dah tak makan lagi puding buah kerana ianya mengingatkan dia kepada Suri.
“Suri...” Suri hilang diksi. Pandangan matanya kabur dek air mata yang bertakung di tubir mata. Hatinya makin tersayat.
Share this novel