TENGAH hari itu Syihan duduk makan di pondok kecil yang terletak berdekatan dengan kandang lembunya. Johan dan Ali turut sertainya makan bersama.
“Sedap betul masakan Mak Nah ni. Memang tak mengecewakan.” Berselera sekali Johan menikmati makanan tengah hari yang Mak Nah hantar tadi.
Mak Nah saja hantar makanan lebih kepada Syihan hari ni. Itu yang Syihan ajak Johan dan Ali makan bersamanya.
Terkebil-kebil Johan pandang Syihan yang sedari tadi hanya termenung. Entah apa yang berada di fikiran Syihan agaknya.
“Yang nak beranak lembu kau, bukannya bini kau. Yang kau termenung je ni, kenapa?” soal Johan.
“Mana ada,” nafi Syihan. Dia akui sejak Suri pulang, macam-macam yang ada di fikirannya. Dadanya memberat dengan pelbagai rasa.
“Bukan aku je yang rasa macam tu. Ali pun sama. Betul tak Ali?”
Ali hanya menayang sengih. Mengiakan tidak. Menafikan juga tidak. Tak berani nak cakap lebih-lebih. Nanti tak fasal-fasal gajinya bulan ini kena potong.
“Pandai je lah kau.” Syihan menyuapkan nasi ke dalam mulutnya. Dia cuba membuang jauh-jauh Suri daripada fikirannya tapi orang-orang di sekelilingnya asyik mengingatkannya kepada gadis itu. Tak habis-habis bercakap soal Suri padanya.
“Pak Leh masih cuti ke?” soal Johan. Dia malas nak usik Syihan lebih-lebih. Mengamuk pula kawannya tu nanti. Nanti bukan gaji Ali je yang kena potong, dengan gaji-gaji dia sekali kena potong.
“Ya, masih cuti. Biarlah dia rehat lama sikit,” balas Syihan. Lagipun sejak kebelakangan ini Syihan nampak Pak Leh tak berapa sihat. Bila disuruh rehat, lelaki itu kata dia baik-baik saja.
“Kesian aku tengok Pak Leh tu. Sekarang ni dia dah jarang datang masjid. Kau pun tahu kan mulut orang kampung kita ni. Sejak Suri balik, dia orang mula bercakap tentang Suri lagi. Pekerja dekat kilang tu pun sama je. Manalah Pak Leh tu tak terasa. Agaknya sebab tu dia ambil cuti lama sikit kali ni,” ujar Johan panjang lebar. Dia simpati pada Suri. Jika benar Suri silap sekali pun, mereka tidak berhak untuk menghukum Suri.
Syihan menghela nafas perlahan. Kesian pula dia dengan Pak Leh dan Mak Timah. Kerana Suri, mereka yang mendapat tempiasnya.
“Tapi Suri tu kan dah berubah,” celah Ali yang sedari tadi hanya diam.
Johan mengangguk. “Betul. Kisah silam dia tak perlu diungkit lagi. Syihan pun tak cakap apa-apa. Orang kampung pula yang lebih-lebih. Betul tak Han?”
Syihan hanya diam. Kalau boleh dia tidak mahu mengulas apa-apa lagi tentang Suri. Kisah mereka sudah lama selesai. Tak ada apa yang ingin dikatakan lagi.
“Suri tu makin cantik sekarang. Kalau aku lamar dia jadi isteri aku, agak-agak dia terima tak? Mungkin bila dia dah kahwin dengan aku nanti, orang kampung akan berhenti bercakap buruk tentang dia.”
“Uhuk! Uhuk!” Terbatuk-batuk Syihan dibuatnya mendengar ujaran Johan. Sesak dadanya.
Ali pantas menghulurkan secawan air kosong pada Syihan.
“Eh, kau okey tak ni?” tanya Johan. Baru dia luahkan rasa hatinya, Syihan sudah tidak keruan.
“Kau ni pun Jo, agak-agaklah. Suri tu kan be...”
“Dah lah. Makan cepat,” pintas Syihan. Dia masih terkejut mendengar ujaran Johan tadi. Entah mengapa dia jadi tak senang duduk lepas dengar Johan cakap macam tu. Harap-harap Johan cuma bergurau.
SEDAR tak sedar sudah seminggu Suri bekerja di kedai runcit milik Pak Zahar. Merata dia mencari kerja sebelum ini tetapi tidak berjaya. Mujurlah Pak Zahar mahu menerimanya bekerja walaupun orang-orang kampung tak sudah-sudah bercakap buruk tentangnya.
“Dik, kira,” panggil seorang lelaki.
Suri yang sedang menyusun air kotak ke dalam peti sejuk segera berlalu ke kaunter. “Sekejap ya,” ujarnya.
“Suri?”
Suri panggung kepala melihat lelaki itu.
“Abang Jo? Abang Johan kan?”
Johan ketawa. “Suri dah tak kenal abang lagi ke?”
“Mestilah kenal.” Mana mungkin dia lupa wajah Johan. Sejak bangku sekolah lagi mereka kenal. Johan itu kawan baik Syihan. Jadi di mana ada Syihan, di situlah ada Johan.
“Suri makin cantik sekarang,” puji Johan.
“Tak adalah. Biasa je.”
“Suri okey?” tanya Johan tiba-tiba.
Suri angkat wajah. Dia tersenyum nipis lalu mengangguk.
“Lepas Suri pergi, Han jadi tak tentu arah. Syukurlah, dia bangkit semula lepas tu.”
Suri terdiam. Riak wajahnya terus berubah.
“Err... Abang minta maaf Suri. Tak patut abang cakap macam tu dengan Suri.” Sedar akan keterlanjuran katanya Johan cepat-cepat minta maaf.
Suri menggeleng perlahan. “Tak apa.”
“Suri tak akan tinggalkan kampung lagi kan?” tanya Johan.
“Semuanya lima belas ringgit,” ujar Suri. Soalan Johan sengaja dibiarkan tidak berjawab. Dia tak selesa nak membicarakan tentang hal ini dengan Johan.
Johan menghulurkan not RM10 dan RM5 kepada Suri. “Maaflah kalau abang banyak tanya. Buat Suri rasa tak selesa.”
Suri hanya senyum segaris. “Terima kasih.”
“Dah lama Suri kerja?”
“Baru seminggu,” balas Suri.
Johan mengangguk. “Kilang kerepek Han masih ada kosong. Kalau tahu Suri nak cari kerja, boleh abang rekomenkan Suri.”
Bekerja di kilang Syihan bukanlah idea yang bagus. Suri tak mahu terus seksa perasaan Syihan lagi. Cukuplah dia torehkan luka di hati lelaki itu. Tak mahu menabur garam pula di atas luka Syihan.
“Takpalah. Kerja dekat sini pun okey,” balas Suri.
“Ya lah, kerja dekat mana-mana pun sama je. Asalkan kerjanya halal. Abang balik dulu ya Suri. Nanti kita jumpa lagi.”
Suri hanya mengangguk. Melihat Johan buatkan dia rindu pada Syihan. Sewaktu di bangku sekolah dulu, dua lelaki inilah yang menjaganya daripada dibuli dulu.
SURI pandang Pak Leh dan Mak Nah Timah bersilih ganti. Balik kerja tadi, tiba-tiba mereka panggil Suri duduk di ruang tamu. Katanya ada hal penting yang ingin dibincangkan. Menimbulkan debaran di dada Suri.
“Ada apa mak, abah?” tanya Suri.
“Kamu cakap kamu akan buat apa saja kan? Asalkan kami maafkan kamu?” Mak Nah bersuara terlebih dahulu.
Suri mengangguk perlahan. Ya, dia sanggup buat apa saja untuk tebus kesilapan lalunya kepada mereka berdua.
“Petang tadi Johan dan keluarga dia datang ke sini.”
Suri makin tak senang duduk bila dengar Mak Timah sebut nama Johan. Baru tiga hari lepas dia terserempak dengan lelaki itu di kedai runcit.
“Kenapa dia orang datang?” tanya Suri.
“Mereka nak melamar kamu jadi isteri Johan.” Pak Leh yang sedari tadi diam akhirnya buka mulut.
Suri rasa dunianya seakan terhenti seketika mendengar jawapan Pak Leh. Biar betul Johan nak melamar dia sebagai isteri?
“Abah, Johan tu kan kawan Syihan,” balas Suri.
“Jadi? Apa masalahnya? Bukannya Han tu nak dekat kamu semula pun. Pandang kamu pun dia dah tak sudi. Jangan berharaplah nak dapatkan dia semula.”
Pedih hati Suri mendengarnya. Tapi itulah kenyataan yang dia perlu terima.
“Kami dah terima lamaran Johan. Minggu depan dia akan bawa rombongan meminang kamu.”
“Abah, mak... Suri tak nak... Suri dah anggap Johan tu macam abang Suri. Macam mana Suri nak kahwin dengan orang yang Suri tak cinta?”
“Kamu juga yang cakap kamu sanggup buat apa saja kan. Kami dah buat keputusan. Setuju atau tak, kami akan tetap terima lamaran Johan.” Pak Leh terus bangun dan berlalu meninggalkan ruang tamu.
Air mata Suri mengalir perlahan. “Mak... Suri tak nak...” ujarnya separuh merayu. Tangan Mak Timah diraih.
“Abah kamu dah buat keputusan, Suri. Kalau kamu tak terima Johan, ada ke lelaki yang nak ambil kamu jadi isteri?”
Suri memejamkan matanya perlahan. Tak sanggup dia nak bayangkan masa depannya selepas ini.
Share this novel