Bab 9

Romance Series 59726

“KENAPA abang nak kahwin dengan perempuan tu lagi? Abang dah lupa ke dia tinggalkan abang dulu?” Bentak Ayu geram.

Dia begitu terkejut bila tahu Syihan mahu berkahwin dengan Suri. Sangkanya selepas Suri tinggalkan Syihan dia akan memiliki hati lelaki itu. Rupanya dia silap. Suri datang kembali!

Syihan hanya diam. Pandangan dilempar ke arah lembu-lembu ternakannya yang sedang meragut rumput.

“Abang, tolonglah jangan kembali dekat perempuan macam tu. Kalau dulu dia boleh tinggalkan abang, tak mustahil dia boleh tinggalkan abang lagi.”

“Nanti Ayu datanglah majlis abang ya.”

“Abang!” Mencerlung mata Ayu memandang sepupunya itu. Dia yang selama ini temani Syihan tapi Suri juga yang Syihan pilih.

“Abang betul-betul nak kahwin dengan perempuan tu ke?”

“Perempuan tu ada nama. Nama dia Suri.” Syihan kelihatan tak senang bila Ayu tak habis-habis memanggil Suri dengan gelaran perempuan.

Ayu mendengus geram. Syihan memang tak makan nasihat! Tak serik ke kena tinggal?

“Kalau dia tinggalkan abang lagi macam mana? Kalau dia tu betul-betul ikhlas cintakan abang, dia tak akan tinggalkan abang dulu. Bila tengok abang dah senang sekarang, barulah terhegeh-hegeh nak cari abang semula.”

Syihan menghela nafas perlahan. Dia pandang wajah Ayu. “Ayu, kalau Suri nak tinggalkan abang sekali lagi, itu pilihan dia. Abang tak boleh nak halang. Ayu tak perlu risau. Hati abang dah kebal.” Mulut saja cakap begitu tapi hati? Entah Syihan kuat atau tidak andai Suri tinggalkan dia sekali lagi.

“Ayu tak fahamlah dengan abang ni. Tak ada orang rela diri dia di sakiti. Tapi abang ni meminta-mintalah pula!”

“Ayu ingat bertahun-tahun dia tinggalkan abang, abang dah lupakan dia. Rupanya masih cinta!” Ayu benar-benar geram.

Syihan terdiam. Lupakan Suri? Sudah berkali-kali dia cuba untuk lenyapkan gadis itu daripada ingatannya tapi dia gagal. Cinta buat Suri masih tersisa. Sehancur apapun dia, dia masih tak dapat lenyapkan bayangan Suri dari kehidupannya.

“Jangan sampai suatu hari nanti abang menyesal dengan keputusan abang!” Usai itu Ayu terus beredar meninggalkan Syihan sendiri. Dia tak dapat menahan sebak di dada. Bimbang dia akan menangis di hadapan lelaki itu. Lelaki yang tidak pernah nampak cintanya selama ini.

SURI memandang dirinya melalui pantulan cermin. Baju kurung moden berwarna putih tersarung cantik di tubuhnya. Wajahnya juga sudah siap disolek.

Suri rasa seperti dejavu. Sekali lagi dia bersiap untuk majlis akad nikahnya. Cuma kali ini dia nekad dengan keputusannya. Dia tidak tinggalkan lagi majlis pernikahannya seperti yang dia lakukan empat tahun lepas.

Andai Suri mampu mengulangi masa, dia tidak akan lari ketika hari bahagia mereka. Dia tak akan korbankan cintanya pada Syihan demi mengejar cita-citanya.

“Boleh abang bagi peluang pada Suri untuk perbaiki semula hubungan kita?”

Syihan terus panggung kepala memandang Suri. Hujung bibirnya ternaik sedikit. Sinis.

“Apa lagi yang nak diperbaiki? Kita dah terlalu hancur, Suri.”

Ya, mereka sudah terlalu hancur dihentam masa lalu.

“Suri janji kali ni Suri tak akan tinggalkan abang lagi. Kita akan wujudkan semua mimpi-mimpi yang kita pernah bayangkan suatu masa dahulu.”

“Apa jaminan yang kau tak akan tinggalkan aku lagi?”

Suri terdiam. Bukan mudah untuk dia mendapatkan kembali kepercayaan Syihan. Nafas panjang ditarik.

“Kalau abang dah bencikan Suri, kenapa abang masih nak kahwin dengan Suri?” soalnya.

“Jadi kau ingat aku kahwin dengan kau sebab aku nak mulakan semula hubungan kita?” Syihan ketawa hambar. Kepala digeleng perlahan.

“Maaf kalau kau rasa macam tu. Tapi kau silap. Aku kahwin dengan kau bukan sebab nak mulakan semuanya sekali lagi. Kalau boleh aku tak nak ada kaitan lagi dengan kau. Tapi aku tak sanggup nak tengok orang tua kita terluka lagi. Aku buat semua ni untuk ubati luka yang kau bagi pada dia orang.”

Terkatup bibir Suri. Dia hilang diksi. Hatinya ketika ini bagai disiat-siat mendengar ujaran Syihan. Syihan yang berada di hadapannya ini berbeza sekali dengan Syihan yang dia tinggalkan empat tahun lalu.

Air mata Suri mengalir perlahan. Mewakili rasa sakit yang tak mampu diungkap dengan kata-kata. Tapi kalau nak dibandingkan dengan rasa sakit yang Syihan terima dulu, apalah sangat. Lelaki itu lebih menderita.

“Suri akan kembalikan hubungan kita macam dulu. Suri percaya abang masih cintakan Suri. Suri masih cintakan abang. Perasaan ni tak pernah sikit pun berkurang.” Dengan yakin Suri berkata. Dia percaya cinta antara mereka masih ada. Masih ada sinar harapan buat hubungan ini. Cuma dia perlu berusaha lebih keras untuk memiliki kembali sekeping hati milik Syihan.

“Terserah. Itu pilihan kau.”

“Suri dah siap?”

Suri tersentak. Dia menoleh ke muka pintu. Mak Timah menghampirinya.

“Mak.” Senyuman manis dilemparkan kepada wanita itu. Sejak beberapa hari ini Suri dapat rasakan layanan Mak Timah kepadanya sudah berubah. Mak Timah tak lagi dingin dengannya. Mungkin kerana dia bersetuju untuk berkahwin dengan Syihan.

Begitu juga dengan Pak Leh. Abahnya itu sudah tidak berkeras lagi dengannya. Dan Suri sangat bersyukur hubungan mereka sudah kembali seperti dulu.

Cuma... Yang perlu dia hadap selepas ini adalah Syihan. Walaupun lelaki itu berkahwin dengannya kerana orang tua mereka, Suri tidak kisah. Dia percaya suatu hari nanti hubungan mereka akan kembali seperti dulu. Dia akan tawan kembali hati Syihan.

Kalau dulu dia boleh buat Syihan jatuh cinta padanya, takkanlah sekarang tak boleh? Suri tak akan mengalah!

“Mak gembira sangat. Akhirnya Suri kahwin dengan Syihan. Kuat betul jodoh kamu berdua. Doa mak sentiasa mengiringi langkah Suri dan Syihan.”

Suri tersenyum mendengar ujaran Mak Timah. Tak ada yang lebih hebat daripada doa seorang ibu.

DENGAN sekali lafaz, Suri sah menjadi isteri kepada Syihan. Orang-orang kampung terkejut dengan pernikahan mereka. Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba saja berkahwin. Tak kurang ada yang mengata juga.

Katanya Suri mahukan Syihan kembali kerana Syihan sudah hidup senang sekarang ni. Sedangkan tak terlintas langsung di kepala Suri untuk kembali pada Syihan kerana harta lelaki itu. Yang dia tagihkan adalah cinta Syihan.

Daripada kejauhan Suri perhatikan Syihan yang sedang berbual dengan ahli masjid dan tetamu yang datang ke majlis pernikahan mereka.

“Suri balik dengan Syihan nanti ya. Mak dengan abah nak balik rumah dulu. Banyak kerja nak buat ni,” ujar Mak Timah.

Suri mengangguk faham. Tahu yang orang tuanya itu sibuk untuk menyiapkan kenduri kahwinnya yang akan berlangsung esok.

Sementara menunggu Syihan habis berbual, Suri berdiri di pintu utama masjid. Tiba-tiba Ayu menghampirinya.

“Hei Suri!”

Suri tersentak. Daripada dulu hubungannya dengan Ayu tidak berapa baik. Dia sendiri tidak mengerti mengapa Ayu membencinya sedangkan dia tidak buat apa-apa pun.

“Kau jangan nak suka sangat bila dapat kahwin dengan Syihan. Syihan buat semua ni pun sebab umi.”

Suri menarik nafas dalam-dalam. Senyuman dipamerkan pada Ayu. “Kita dah jadi sepupu kan sekarang?”

“Jangan harap! Aku tak hingin ada kena mengena dengan perempuan macam kau.”

“Tak kisahlah. Yang penting sekarang aku dah jadi isteri Abang Syihan.” Kalau Ayu boleh sakitkan hati dia, takkan dia tak boleh pula kan?

Ayu mendengus bengang. Sakit hatinya melihat senyuman yang terpamer di bibir Suri. Rasa benci membuak-buak.

“Dengar sini, Suri. Aku akan pastikan Syihan akan tinggalkan kau macam mana kau tinggalkan dia dulu. Waktu tu baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah!” Usai itu Ayu terus beredar meninggalkan Suri. Dia nampak Syihan datang menghampiri mereka. Sebab tu dia cepat-cepat beredar.

“Mak dan abah dah balik?” tanya Syihan.

Suri mengangguk perlahan.

“Borak apa dengan Ayu?” tanya Syihan. Tadi dia nampak Suri seperti sedang berbual dengan Ayu.

“Tak ada apa-apa.”

“Jomlah,” ajak Syihan.

Suri hanya mengikut langkah Syihan menuju ke kereta. Langkah lelaki itu laju. Dia terpaksa berlari anak untuk mengejar langkah Syihan. Dah lah Syihan parking keretanya di luar pekarangan masjid.

Entah di mana silap Suri, kakinya tersepak batu membuatkan tubuhnya hilang imbangan tapi...

Syihan pantas menyambut tubuhnya. Rasanya kalau Syihan tak sempat sambut tubuhnya, dah lama dia tergolek jatuh dekat sini.

“Hati-hati,” pesan Syihan. Tangan Suri dilepaskan.

Suri tersenyum nipis. “Terima kasih abang.”

Syihan hanya beriak biasa. Dia terus masuk ke dalam perut kereta. Padahal hati sudah bergelora. Melihat Suri dengan pakaian serba putih itu buatkan jantungnya berdegup kencang.

Share this novel

Nurhayati Muin
2024-05-22 14:42:38 

Suri.... kenapa setuju nak kawin ngan shihan ni, pinggan tak retak nasi tak dingin, orang tak nak aku lagi tak hingin. penat Suri hidup dalam keadaan pura2 ni, macam nak mencarut tau kat shihan ni, taknak tak payah LA kawin.


NovelPlus Premium

The best ads free experience