BAB 8

Romance Series 123204

RUANG dapur tika ini cuma kedengaran bunyi sudu garpu berlaga pinggan. Sesekali bunyi gerakan-gerakan kecil.

Makan di meja makan bersama yang namanya Encik Khalid itu tak ubah seperti makan bersama komando tertinggi. Anak buah semua makan ikut tertib tanpa mengeluarkan satu bunyi berlebihan. Sejak kecil lagi dididik agar tidak bercakap ketika makan, tidak mengecap makanan, tidak melambat-lambatkan waktu makan.

Mawar yang tampak tidak cukup rehat itu termenung sendiri sehingga bihun gorengnya di pinggan tidak luak sama sekali. Tunak mata melekat pada cawan air sebelah pinggan tapi fikirannya menerawang entah ke negara mana.

Ini semua Akram Hidayat punya angkara. Dia tidak dapat tidur gara-gara memikirkan lamaran Akram. Ligat otaknya berfikir muslihat Akram tapi tidak menemui sebarang konspirasi munasabah.

Untuk apa Akram nak menikahinya? Sekadar untuk suka-suka? Atau nak mengenakannya? Atau benar seperti dikata kerana desakan orang tua? Tapi ini kan zaman moden. Mana ada lagi orang berfikiran macam tu. Nak menikah semata-mata nak tunaikan hasrat keluarga. Tambahan pula orang itu ialah Akram Hidayat. Manusia paling tak guna.

Ish... Peninglah macam ni... Dah cuba untuk tak dia hiraukan tapi kepala otak ni hah. Degil. Nak jugak fikir sampai semalaman tak boleh tidur.

“Kakak.”

“Hmh?” Tersentak Mawar bila ada satu suara garau menyerunya tegas. Terpinga-pinga dia bagai terjaga dari lena panjang. Dilihat semua ahli keluarga memandang ke arahnya hairan termasuklah...

Gulp. Dia telan liur. Gerun dengan panahan mata sang abah. Dia segera tunduk menekur bihun.

“Kalau tak nak makan, jangan duduk di meja makan. Termenung depan rezeki bukan adab yang baik,” tegur Encik Khalid tidak berbasa-basi.

Puan Saodah menggeleng kepala dengan sikap tegas tak bertempat suaminya. “Abang ni. Anak-anak balik dari Kuala Lumpur terus buat kerja sampai lewat malam. Penatlah tu dia...”

“Baru buat kerja satu malam dah penat? Manja, lemah. Macam tu ke awak nak besarkan anak-anak awak?”

“Ya Allah... Anak-anak kita semua ni manusia, bang.”

“Kalau saya tak tegur harini, esok lusa takut tak jadi manusia. Dia tak merasa susah payah nenek moyang dia nak dapatkan sesuap nasi sampai dia boleh termenung depan makanan.”

“Kakak minta maaf, abah. Kakak janji tak buat lagi,” celah Mawar laju sebelum sempat Puan Saodah menjawab. Dia tidak mahu sampai berlaku pertelingkahan kerana dirinya.

Yang lain cuma diam membisu merasai ketegangan di pagi hari dan mereka menyambung sarapan tanpa sepatah kata.

Apabila Encik Khalid usai menyantap makanannya, dia terus bangun dan meninggalkan meja makan. Sekali gus memberi ruang untuk anak-anak bernafas lega.

“Mungkin betullah arwah opah cakap dulu. Abah tak sukakan kita semua sebab abah tak nak anak perempuan jadi anak sulung. Dahlah anak sulung perempuan. Berderet sampai ke bongsu pun perempuan,” luah Kamelia tidak berlapik.

“Dik, tak baiklah cakap macam tu,” tegur Orked lembut saja suaranya. Sempat dia mengerling air muka Puan Saodah memastikan ibunya tidak terasa hati.

Puan Saodah tersenyum tawar. “Abah kamu bukan tak sayang kamu semua... Dia cuma tak tahu macam mana nak tunjuk kasih sayang dia. Arwah atuk kamu dulu didik abah kamu sama macam abah kamu didik  kamu sekarang. Abah cuma nak yang terbaik untuk kamu.”

“Betul,” tokok Orked lagi.

Kamelia cuma angkat bahu sementara Melur di sebelah diam menyuap bihun.

Mawar pula sepertinya berbelah bahagi. Sebelah hati mengakui kata-kata Kamelia kerana dia juga pernah terfikir tentang itu dan sebelah lagi cuba menimbang kata-kata Puan Saodah kerana dia juga dalam tak sedar sudah terikut sikap abahnya. Dia tidak reti nak meluahkan kasih sayang meski hati ikhlas menyayangi.

* * * * *

Selesai membersihkan dapur, Mawar membawa diri ke laman rumah untuk menikmati suasana pagi di situ. Keluarganya mempunyai satu gazebo dekat gigi laman. Selesa duduk di situ.
Teduh dan dihiasi pokok bunga sekitarnya.

Cuaca pagi ini agak mendung, Mawar duduk bersila sambil melihat bunga-bunga yang ditanam dan dijaga Puan Saodah sendiri. Dia jenis tidak berminat dengan bunga tapi sesekali dapat tengok bunga cantik begini, segar matanya terasa. Tapi baru nak menikmati suasana, anak matanya terpandang susuk Orked berseluar slack longgar dan baju muslimah muncul dari pintu utama rumahnya. Orked menyusun langkah ke arahnya dan dia sudah dapat mengagak apa yang adiknya itu mahu.

“Kak,” seru Orked sepatah sebaik saja berhenti di depan muka Mawar. Tersenyum-senyum penuh makna.

“Apa dia?”

“Harini aje abah cuti. Esok abah kerja, kita pun dah nak balik KL. Kau pergilah cakap dengan abah. Tu abah ada kat ruang tamu. Baca surat khabar.”

“Aduh...” keluh Mawar yang sakit kepala tak semena-mena. Berdebauu membayangkan apa yang akan keluar dari mulut abahnya nanti.  “Malam ni tak boleh ke? Aku baru aje lepas kena marah tadi.”

“Ala... Sekaranglah. Abah nampak tenang aje tu.”

“Kau jangan sangka air yang tenang tiada buaya. Karang aku pula yang kena ngap.”

“Cepatlah...”

“Yalah yalah yalah.” Akhirnya Mawar terpaksa akur dan terima tugasnya sebagai anak sulung.

Dia bangun berdiri. Tudung sarung warna ungu di kepala dia rapikan lagak nak masuk temu duga bekerja. Doa pelembut hati juga meniti di bibir sebelum dia menghembus kiri dan kanan termasuklah ke muka Orked.

“You can do it, kak.” Orked memberi kata semangat di sambut anggukan Mawar.

Dengan lafaz bismillah, Mawar pun mengorak langkah menuju ke dalam rumah. Jantung berdegup kencang seperti dia berlari marathon. Fikiran pula diterjah pelbagai andaian serta kemungkinan. Tatkala tiba di ruang tamu, anak mata jatuh pada sang abah yang duduk di atas sofa sedang membaca akhbar. Tampak tekun dan serius.

Ah. Bila masa abahnya tak pernah serius? Orang nak tegur pun tak berani tapi demi Orked, dia tetap meneruskan niat. Lambat-lambat dia mendekati.

“Abah,” serunya sepatah berjaya menarik perhatian Encik Khalid.

Apabila Encik Khalid sudah angkat muka, barulah Mawar melabuhkan punggung di atas sofa yang paling jauh dengan abahnya itu. Teragak-agak.

“Ada apa?” suara garau Encik Khalid kedengaran.

“Er... kakak ada benda nak cakap sikit.” Mawar memberanikan diri untuk angkat muka an bertentang mata.

“Fasal apa?”

“Pasal nikah kahwin.”

“Siapa yang nak kahwin?” Kali ini suara Encik Khalid kedengaran lebih garau daripada tadi. Bahkan akhbar sudah diletak ke tepi dan pandangannya menembusi ke dalam mata Mawar.

Mawar kecut perut!

“Er... T-tak ada siapa. Kakak cuma nak tanya, orang kampung kita ada yang kahwin tak harini? Ha. Er... kakak dah lama tak merasa nasi minyak kenduri,” dalih gadis itu gugup. Hati sudah menyumpah seranah diri sendiri kerana kebodohannya ini.

Encik Khalid kulum bibir memandang Mawar atas bawah seakan menilai sama ada anaknya itu berkata benar atau tidak. Beberapa detik, dia berdaham sekali.

“Harini tak ada. Minggu depan ada.”

“Oh… Okey.”

Sepi menjengah masuk bersama angin kejanggalan. Encik Khalid pun sudah kembali pada dada akhbar dan Mawar berkira-kira sendiri. Hubungan mereka anak-beranak sangatlah aneh. Tiada kemesraan sama sekali. Kerana ketegasan Encik Khalidlah anak-anak jadi trauma dan tidak berani untuk bermanja.

“Kalau macam tu... kakak masuk bilik dulu,” pamit Mawar dek tiada keberanian lagi untuk meluahkan hajat sebenar.

Dia segera bangun. Berat kaki nak melangkah tapi dia menapak jua ke arah kamarnya namun langkahnya berbantut sekerat jalan saat melihat Orked berdiri di depan pintu kamar.
Merenung ke dalam matanya penuh rasa kecewa.

Hatinya dicuit rasa sedih menyedari ada cecair jernih bertakung dalam kolam mata Orked. Dia sungguh dihimpit rasa bersalah yang amat sangat. Terasa sangat tidak berguna sebagai seorang kakak. Terbayang betapa gembiranya Orked bila dia bersetuju untuk bercakap dengan abah tentang perkahwinan dan sekarang, kelam kelabu wajah adiknya itu.

“Orked...” Dia cuba mendekati Orked tapi Orked terlebih dahulu berpaling lalu menghilang di balik langsir pintu membuatkan dia kaku pula sejenak.

Tiada guna dia cuba memujuk sekarang. Orked tentu tidak mahu mendengar sebarang alasan. Jadi akhirnya dia melepasi kamar Orked dan masuk ke dalam kamarnya. Dia duduk di atas birai katil. Berat kepala dan bahu.

“Bodohnya kau, Mawar,” monolognya perlahan sambil mengetuk kepala sendiri. Keruh air mukanya memikirkan air mata Orked.

“Tsk.” Dia berdecit pula. Serba tak kena bila hati dibalut resah. Mengimbas semula babak di depan abahnya tadi. Padahal dia cuma perlu berterus-terang dan mungkin abahnya akan menerima niat Orked untuk langkah bendul.

Mungkin.

Mungkin?

Tidak.

Tidak mungkin.

“Ya Allah...” Keluhan berat meluncur dari bawah nafas Mawar.

Tubuhnya dihempas melentang dengan kedua-dua kaki masih menyentuh lantai. Tunak mata melekat pada siling putih. Entah mengapa dia memutarkan memori silamnya pada siling itu. Memori ketika dia di sekolah menengah dulu. Setiap kali ada lawatan sekolah atau perkhemahan sekolah, dia selalu tidak ikut serta walau teringin sangat dia nak menyertai.

Abahnya melarang dia bermalam di luar walaupun di bawah pantauan pihak sekolah. Betapa cemburunya dia bila kawan-kawannya berseronok menikmati masa muda, mencipta kenangan manis sementara dia terkurung di rumah. Belajar dan belajar dari siang hingga malam.

Dia masih ingat dengan jelas perasaan itu. Seharusnya dia lebih mengerti perasaan Orked. Seharusnya dia menebus silapnya di masa dulu dengan tidak membiarkan adik-adiknya merasai apa yang dia rasa.

Tapi sekarang lihatlah. Dia sudah dewasa tapi tiada apa yang berubah...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience