MAWAR dan Tajul duduk di ruang tamu yang luas dan mewah. Luasnya sampaikan mereka duduk tak berkutik. Dalam diam anak mata mengimbas sekeliling. Siling yang tinggi, perabot yang berjenama, hiasan yang bernilai.
"Tajul. Aku merayu kau behave harini. Jangan buas sangat jadi manusia. Ini pecah satu benda, kau jual diri kau pun masih tak mampu nak bayar ganti rugi," bisik Mawar memberi peringatan pada Tajul yang sering bersikap cuai. Terkadang aktif melebihi had manusia biasa berusia 29 tahun.
Tajul menoleh sekilas pada Mawar di sisi kirinya. Cuba mendekatkan lengan mereka tapi Mawar lebih pantas memberi isyarat mata tanda jaga jarak. Dia menjuih bak anak kecil.
"Kalau ada kau, memang aku akan behave. Sebab tu kau janganlah sampai terfikir nak jauhkan diri kau daripada aku sebab suami kau suruh."
"Tak habis-habis lagi kau ni. Dari dalam kereta lagi kan? Kan aku dah cakap, aku bukan nak pindah planet lain. Cuma aku kena jaga batas aku dengan kau. Kadang sebab aku layankan sangat perangai kau punca kau jadi makin clingy, makin tak boleh buat apa. And kalau bukan Akram suruh pun, memang aku kena ubah kebiasaan kita."
"Tsk."
"Jangan nak 'tsk tsk' kan aku."
Mawar kerut dahi dibalas cebikan Tajul. Dah macam perbualan mak dan anak melihatkan gaya mereka.
Mujurlah selang beberapa detik, sebatang tubuh berbaju T kolar jenama Polo warna merah muncul membuatkan Mawar dan Tajul serentak berdiri.
Tajul tersenyum lebar saat berjabat tangan Dato Hilman sementara Mawar cuma senyum sambil meletak sebelah tangan di dada kiri tanda dia tidak boleh bersalaman.
Dato Hilman angguk beberapa kali bersama senyuman mesra. Siap memegang kejap bahu Tajul sebelum memberitahu Tajul dan Mawar untuk duduk dengan selesa. Dia sendiri melabuhkan punggung di atas sofa tunggal. Duduk menyandar dengan kedua-dua lengan direhatkan di atas tangan sofa. Orangnya beruban putih, berkaca mata dan sentiasa tersenyum. Senyuman ahli politik, senyuman mesra.
Sebelum sempat mereka memulakan sesi temu bual, dua orang pembantu rumah datang menghidang minuman dan kuih.
"Jemputlah minum dulu. Maaf buat kamu berdua tunggu lama," kata Dato Hilman sejurus pembantu rumahnya beredar.
Laju Tajul menghulur tangan untuk mencapai tart keju tapi geraknya terbantut dek kaki Mawar memijak kakinya tanpa sebarang bunyi. Spontan dia tarik semula tangannya dan duduk dengan tegak. Tidak perlu sepatah kata, Tajul sedia faham.
"Maaf dah susahkan Dato." Mawar bersuara tenang.
"Tak ada susah pun... Lagipun saya memang dah expect kedatangan kamu berdua. Jadi jangan segan, jangan malu."
"Terima kasih, Dato."
Dato Hilman angguk. "Boleh kenalkan diri sekali lagi?"
"Oh. Sorry." Pantas Tajul menyua kad bisnesnya pada Dato Hilman menggunakan dua tangan tanda hormat. "Saya Tajul dan ini partner saya, Mawar."
Dato Hilman angguk lagi. Menekur kad di tangannya sebelum pandangan diangkat memandang Mawar. Mawar sedang fokus memasang lampu jadi tidak menyedari pandangannya itu. Dia ralit sejenak menikmati kecantikan Mawar.
"Boleh saya mulakan temu bual kita harini, Dato?" soal Tajul menarik perhatian Dato Hilman.
Lelaki awal awal 60an itu tersenyum membalas pandangan Tajul. Memberi isyarat tangan untuk Tajul memulakan temu bual.
Dengan Mawar masih sedang menyediakan prop, sesi temu bual pun bermula. Tajul bertanya soalan asas latar belakang Dato Hilman sebelum beralih ke beberapa soalan politik, pengalaman dalam bidang diceburi dan akhir sekali kata penutup. Sesi yang agak formal walau terlihat santai itu berakhir setelah tiga puluh minit sahaja.
"Terima kasih, Dato Hilman kerana sudi meluangkan masa berharga Dato untuk kami," ucap Tajul menghulur tangan kanan. Tangannya itu disambut baik Dato Hilman dan mereka sama-sama berdiri.
"Dah nak masuk waktu makan tengah hari. Duduklah dulu, kita makan sama-sama," kata Dato Hilman tatkala mengerling jam Rolex di pergelangan tangannya
Mendengar itu, polos saja mata sepet Tajul mencari mata Mawar.
Mawar yang usai menyimpan barang-barang ke dalam beg galas hitam, mendekati Tajul. Senyuman dipasang di wajah. "Saya appreciate sangat pelawaan Dato tapi kami tak dapat nak terima sebab kami ada appointment lain lepasni."
"Oh yeke?" Laju Tajul berespon dengan muka tak tahu apa-apanya membuatkan Mawar terpaksa ketap gigi dalam senyuman.
"Ya... Cik Mira dah bagitahu semalam kan?" Dia mencerlung Tajul berharap Tajul akan mengerti.
Hakikatnya, Tajul belum dapat tangkap isyarat itu tapi kepala mengangguk-angguk.
"Jadi sekali lagi, terima kasih untuk temu bual hari ini. Insya-Allah, kalau tiada masalah, temu bual ini akan keluar untuk isu December," sambung Mawar memberi senyum pada Dato Hilman.
Mujurlah Dato Hilman tidak mendesak. Namun lelaki itu bersahaja mengusap sekali lengan Mawar sebelum sempat Mawar mengelak.
"Today's interview was really fun and I'm very honored to meet talented people like you two."
Mawar yang jenis kesabaran setipis kulit bawang, tidak membalas kata-kata Dato Hilman. Bahkan senyum di wajah sudah hilang dek tidak senang disentuh tanpa izin.
Oleh itu, Tajul pula memainkan peranannya. Buat-buat riang ria sebelum pamitan. Dia menolak baik niat Dato Hilman nak mengiring mereka keluar dan cepat-cepat menarik lengan Mawar keluar daripada rumah agam milik Dato Hilman.
"Kau ni, Bunga. Agak-agaklah nak bagi side eye kat menteri negara." Tajul melepas lengan Mawar apabila berada di pekarangan kediaman Dato Hilman. Pekarangan yang masih luas walau bersusun-susun kereta di situ.
"Kau nampak tak dia pegang lengan aku tadi?" Mawar berpeluk tubuh, masih tak puas hati.
"Dia tak sengaja... Mungkin dia dah terbiasa."
"Alasan. Kau ingat aku tak perasan mata dia pandang aku atas bawah atas bawah? Nampak dalam TV baik sangat. Miang keladi rupanya. Sesuai sangat dengan appearance dia tu. Perut boroi, mata galak, uban putih, senyum pun creepy."
"Uish. Syhh..." Pantas Tajul meletak satu jari di bibir. Siap menoleh kiri kanan mencari manusia lain. "Jaga mulut kau. Mentang husband kau lawyer, kau sanggup nak kena saman ke kalau orang dengar kau burukkan menteri?"
Mawar jeling. Tubuh dipaling lalu membuka langkah ke arah pagar utama. Moodnya memang dah ke laut dan jangan haraplah dia boleh kembali senyum dalam tempoh dua puluh empat jam.
Nak tak nak, terpaksalah Tajul berlari anak mengejar langkah besar Mawar. Mereka keluar melalui pintu kecil sebelah pintu pagar utama. Pintu itu dibuka oleh seorang pengawal keselamatan lelaki.
Meski dalam mood tidak baik, Mawar tetap mengucap terima kasih pada pengawal keselamatan itu namun belum lagi pintu kecil ditutup kembali, kedengaran suara meminta tolong menerpa telinga.
Mawar dan Tajul sama-sama melempar pandangan ke arah seorang wanita berlari dari pekarangan rumah menuju ke arah mereka.
"Tolong... Cik, tolong saya..." Wanita itu tercungap-cungap di depan Mawar. Tampak cemas dan ketakutan.
Cukup untuk buat Mawar dan Tajul tercengang mati kata. Bingung. Tambahan pula muka wanita yang sedang memegang tangan Mawar tika ini dipenuhi kesan lebam dan bengkak. Memakai gaun tidur warna putih separa buku lali, kesan lebam di bahagian kaki dan lengan juga kelihatan. Rambut kusut masai.
Ambil masa beberapa detik untuk Mawar sedar sendiri. Dia cuba bertenang. Memandang Tajul dan pengawal keselamatan silih berganti sebelum kembali pada wanita di depannya. "P-puan. Bawak bertenang. Kenapa ni? Siapa yang buat puan macam ni?"
"Tolong saya. Tolong bawa saya pergi dari sini."
"Kita bawak dia pergi balai polis, Bunga," cadang Tajul membuatkan wanita di depan Mawar menggeleng panik.
"Tak tak tak. Jangan. Polis tu semua kawan dia. Bawak saya pergi mana-mana saja asalkan-"
"Hana!" Satu suara mencelah memeranjatkan Mawar dan Tajul.
Apabila Mawar dan Tajul angkat muka, dilihat Dato Hilman muncul bersama tiga orang lelaki tegap yang pastinya pengawal peribadi.
Melihat muka Dato Hilman, Farhana bagai melihat hantu. Pucat satu muka! Dia cuba menyorok di belakang Mawar tapi lebih pantas disambar dua orang pengawal peribadi Dato Hilman. Dia meronta sambil menjerit bagai nak gila.
Kaget dan keliru. Kerana itu, Mawar dan Tajul cuma mampu melihat dalam kebingungan. Kaki bagai digam.
"Maaf. Kamu berdua mesti terkejut kan?" Tenang bersama senyuman Dato Hilman berkata saat berhenti di depan Mawar dan Tajul.
Dalam masa yang sama, Mawar melihat wanita yang memegang tangannya tadi diheret masuk ke dalam rumah secara paksa. Rasa kecut perut membelit isi perut.
"Apa... semua ni, Dato?" Ada getar dalam suara Mawar bertanya. Jujurnya dia takut. Kerana dia tahu Tajul masih di sebelahnya, jadi dia masih mampu bersuara.
Mendengar soalan itu, Dato Hilman masih tenang.
"Perempuan yang kamu berdua nampak tadi, itu Farhana. Isteri saya."
"Isteri?" Kening Tajul bertaut.
"Ya. Actually dia tak berapa sihat. Dia meracau and selalu cederakan diri sendiri. Yang paling bahaya, dia boleh cederakan orang lain dalam tak sedar so atas saranan our psychiatrist, saya terpaksa kurung dia dalam bilik. Tadi maid terlupa kunci pintu."
Mawar diam. Kelu nak memberi respon atas penjelasan Dato Hilman kerana dia rasa tidak masuk akal.
"Saya dah cuba macam-macam cara untuk sembuhkan isteri saya. So I really hope that you both faham kenapa saya buat semua ni. Dan saya harap kamu berdua tak sebarkan apa yang kamu lihat tadi kepada orang lain."
"No no..." Geleng Tajul laju. "Trust me, Dato. Me and my friend will never tell a single soul about what just happened. Kami tahu Dato ada sebab Dato sendiri demi kebaikan isteri Dato."
Dato Hilman angguk tersenyum. Dia alih pandangan pada Mawar pula. Diam menanti Mawar buka mulut namun Mawar tampaknya hilang fokus. Tiada tanda nak menutur kata jaminan seperti Tajul barusan.
* * * * * *
Sekarang jam 4:30 petang dan Akram baru saja keluar dari perbicaraan mahkamah untuk proses mitigasi salah seorang kliennya. Dari pagi lagi dia berada di mahkamah ini. Benar-benar sibuk sehinggakan dia tak sempat menyentuh telefon bimbitnya soal peribadi. Penat mental, penat juga fizikal.
Baru saja selesai urusan di mahkamah, Akram memandu Toyota Camry putihnya menuju ke firma guaman tempat dia bekerja.
"What a long day, huh?" sapa Abby sebaik saja Akram menapak masuk ke ruang pejabat. Abby mengekor di belakang Akram membawa beberapa keping surat.
Apabila Akram melabuhkan punggung di atas kerusi, Abby meletakkan surat-surat itu di atas meja tanpa sebarang konteks.
Tidak menyentuh surat-surat itu, Akram menyandar tubuh bersama keluhan berat.
"So... macam mana dengan Puan Farhana? Still tak ada response ke?"
"Yeah. Akak dah cuba call banyak kali, tak dapat reach. Semalam talian bersambung tapi tak angkat. Pagi ni dah unavailable. Emel pun tak reply."
"Did something bad happen?"
"Ikut yang sebelum ni punya cases, ini mesti husband dia dah tahu."
Akram angguk kepala tidak menolak kemungkinan itu. Berkerut satu dahi berfikir-fikir sesuatu.
"Esok kalau still tak dapat contact Puan Farhana, kita cuba cara biasa."
"Uuu... Mission Impossible, I like it. Dah lama tak beraksi kan?"
Tawa Akram meletus lucu mendengar nada Abby. Entah betul teruja atau sindiran. Kerana Abby yang dia kenal, tak gemarkan aktiviti luar pejabat.
"Kalau tak ada apa-apa, akak boleh keluar dulu. Saya nak sambung sikit lagi case post-trial Jenny Lim."
"Okay. Macam biasa, need anything just roger akak okay?"
"Ooookayyyy. Thank you, Kak Bee yang manis."
"Seram dapat ayat manis suami orang ni. Takut dilabel penyondol."
"Aish. Nak main sondol sondol apa pulak ni, kak."
Abby cuma ketawa besar sehingga hilang di balik pintu meninggalkan Akram berbaki senyuman.
Seperti yang dikata, lelaki itu tidak bermain masa. Terus saja masuk mod fokus dengan kerjanya.
* * * * * *
"Termenung apa?"
Mawar tersentak daripada lamunan panjang apabila suara Tajul menerjah cuping. Dia sedikit terpinga-pinga memandang Tajul yang duduk di depannya. Apabila kepala ditoleh kiri kanan, ternyata cuma tinggal mereka berdua di ruang pejabat ini. Segera dia kerling jam di pergelangan tangan. Dah pukul enam petang.
"Ya Allah... Macam mana boleh tak sedar. Semua orang dah balik ke?" Kalut dia mengemas meja kerjanya. Beg laptop, beg kamera, beg tangan, semua dibimbit, digalas dan dipikul.
"Aku pun terlelap sebenarnya. Sorry..."
"Ish. Aku dah cakap kan Akram nak ambik aku harini."
"Sorry, sorry..." Tajul susun sepuluh jari dan segera mengejar langkah Mawar apabila Mawar mula mengorak langkah. Mahu berjalan seiring.
"Tadi kenapa kau termenung? Masih fikirkan isteri Dato Hilman?" soal Tajul mengubah topik perbualan. Mereka sama-sama menuruni anak tangga memandangkan lif sedang dalam penyelenggaraan.
"Haah. Dia cakap keadaan wife dia macam tu sebab cederakan diri sendiri? Kau rasa? Black eye. Kau boleh ke tumbuk muka kau sendiri or mata kau sendiri dengan kuat sampai macam tu?"
Kali ini Mawar berhenti di anak tangga agar dapat bertentang mata dengan Tajul.
"Dia ada beza tau kau pukul diri kau sendiri dengan orang lain pukul kau. Tahap kelajuan dan tahap... apa tu? Erm... tahap hentakan tu berbeza. Yang aku nampak tadi, dia dipukul, dicederakan orang lain. Bukan dia cederakan diri sendiri."
Tajul garu kepala mendengar hujah Mawar. "Takkanlah kot. Takkan Dato Hilman nak tipu kita."
"Kenapa? Mulia sangat ke seorang menteri sampai tak boleh menipu?"
"Bunga... Keras hati kau."
Mawar sambung langkah terhenti, begitu juga Tajul.
"Kau rasa macam mana? Kau boleh tidur ke malam ni lepas apa jadi tadi pagi?"
Tajul jongket bahu. "Habistu kau nak buat apa?"
"Kita bantu perempuan tu. Kita siasat dulu, and kalau betul apa yang aku fikir, kita report polis."
"Bahayalah, Bunga... Kau ingat kita dalam filem aksi ke? Kalau kantoi dengan Dato Hilman, kau aku kena simen dalam tong biru."
"Kita hati-hatilah buat kerja... Jangan sampai kantoi."
"Tapi... aku takut..."
"Takpe... Aku ada. Kau cuma perlu teman aku je. Boleh?"
Sedar tak sedar, mereka sudah keluar daripada bangunan The Legacy. Sedang Tajul berfikir, bunyi hon kereta mencelah kuat mengejutkan mereka berdua.
Kurang tiga saat, tunak mata Mawar tertancap pada kenderaan milik Akram di tempat parkir bertentang bangunan. Perlu melintas jalan kecil terlebih dahulu untuk ke sana.
"Kau balik fikir dulu, esok bagitahu aku jawapan kau," kata Mawar seraya membuka langkah ke arah kereta Akram.
Meski Tajul memarkir kereta di tempat lain, dia tetap menuju ke arah yang sama Mawar tuju.
Tanpa salam, Mawar menerobos masuk ke tempat sebelah pemandu sementara Tajul bergerak ke arah pintu pemandu sekali gus membuatkan Akram turunkan tingkap.
"Assalamualaikum, Encik Akram," sapa Tajul ceria walau tiada senyum di wajah selamba Akram.
"Erm... Encik Akram, saya... cuma nak assure Encik Akram yang saya tak ada niat tersembunyi pada Bunga. Bunga BFF saya yang selalu jaga saya dari dulu sampai sekarang. Jadi-"
"Kenapa? Kau tak boleh jaga diri kau sendiri ke? OKU pun boleh jaga diri sendiri, apa masalah kau?" tempelak Akram tak berlapik mengejutkan Mawar di sebelah.
Pap! Tamparan Mawar hinggap di lengan Akram namun Akram tayang muka tak kisah dan jelas tak mahu menarik semula kata-katanya.
Tajul pula cuma menyeringai menampakkan barisan gigi tersusun rapi. Kepala tak gatal digaru-garu.
"Bukan macam tu, Encik Akram. Cuma... saya dah biasa Bunga tengokkan saya. Kalau Bunga tak ada, susah saya nak kerja."
Keluhan pendek dihela Akram dengan muka 'tak-kuasa-dah-nak-melayan'.
"Well, unfortunately dia sekarang dah ada aku as her husband untuk dia jaga and tengokkan. Kalau kau rasa kau tak boleh jaga diri sendiri, apa kata kau pergi berbini. Stay halal okay?"
"Mengarutlah kau ni, Akram. Dah, dah," celah Mawar menampar lengan Akram sekali lagi.
Dan Akram sengaja membiarkan perbuatan itu supaya Tajul nampak yang dia dan Mawar itu tiada batas untuk bertepuk tampar mahupun bersentuhan.
Melihat Tajul yang terdiam, Mawar geleng kepala. "Aku balik dulu. Kau pun boleh pergi balik. Kau jangan lup-"
Belum sempat Mawar selesai bicara, Akram dah pun menaikkan tingkap kereta. Kereta pun bergerak meninggalkan tempat parkir.
"Aku tak nak gaduh dengan kau so kau jangan nak sebut nama 'sutun' tu depan aku." Awal-awal lagi Akram memberi amaran tatkala bibir Mawar sedikit terbuka.
Tak jadi Mawar nak membebel, wanita itu jeling bersama helaan nafas berat dan pendek. Selendang malasnya dia rapikan ala kadar sebelum menyandar tubuh. Melempar pandang ke hadapan.
"Nak pergi Ikea ke? Dah pukul enam lebih."
"Oh... Reti tengok jam rupanya," perli Akram selamba. "Aku pukul lima setengah dah sampai tunggu kau. Call tak angkat, mesej tak reply. Daripada kereta penuh keliling aku sampai tinggal kereta aku sebuah kat parking lot tu."
Pantas Mawar membuka tas tangan di ribaan, mencari telefon bimbit yang dia belum sentuh sejak tengah hari tadi. Bila tak dia temui dalam tas tangan, dia tunduk pula menggeledah beg galas dekat kaki.
"Heshh... Tsk," decit Akram menolak tubuh Mawar kembali ke belakang. Panjang batang tengkuknya ketika nak keluar simpang.
"Orang nak keluar simpang, dia sibuklah duk halang blind spot. Cuba kau duduk sini tengok nampak ke tidak side mirror tu."
"Aku cari phone aku... Manalah aku tahu kau nampak ke tidak."
"Sebab kau tak tahulah aku nak bagitahu... Jalan tengah sibuk, jangan duk halang side mirror, jangan halang pandangan aku nak tengok kereta datang belah sana, bahaya... Lepastu ni, tali handbag kau ni. Berjuntai macam rambut hantu. Ini kalau terbelit gear, stuck gear tengah drive kau ingat tak bahaya? Ya Allah... Perempuan, perempuan." Dah macam abah-abah Akram mengomel rancak.
Ketat muka Mawar dibuatnya. Wanita itu sandar tubuh tanda protes. "Susahlah tumpang kereta orang ni."
"Pulak dah..." Akram garu kepala sebelum menyangkut sebelah siku pada gigi tingkap. "Aku cakap ni untuk keselamatan kita jugak. Kau terasa ke?"
Diam. Sengaja Mawar keraskan air muka.
Melihat itu, Akram senyum. Dia menoleh sekilas sebelum mencubit manja pipi Mawar.
"Dah besar panjang, pasang muka merajuk lagi. Macam comel je. Macam cantik je," usiknya disambut tawa lucu sendiri.
Apabila Mawar tidak juga buka mulut, dia semakin berani dengan meletakkan sebelah tangannya di atas tangan Mawar. Tangan Mawar dia elus-elus. Yang anehnya, Mawar tidak menepis.
"Sorry... Sorry okay? Aku mintak maaf..." Barulah terdengar lembut dan ikhlas suara seraknya memujuk sang isteri.
"Tak ada istilah siapa tumpang siapa. Kereta aku, kereta kau. Segala harta aku, harta kau jugak. Aku ni pun dah jadi milik kau tau."
"Eiy!" Barulah Mawar berespon dengan muka geli gelemannya.
Cukup untuk buat Akram ketawa besar.
"Ooo... Sampai macam tu sekali eh? Kau 'eiy' kan aku?"
"Aku tak nak pun naik kereta orang. Karang terbelit gear, terbabas masuk semak, susah..."
"Olololo..." Akram ketawa lagi. "Merajuk lagi la ni? Aku mintak maaf, Mawar... Sumpah bukan aku marah kau. Bukan aku berkira. Aku cuma pesan. Lain kali kau beringatlah sikit bila drive sendiri or bila kau jadi passenger sekalipun. Hati-hati... Benda nak jadi ni, sekelip mata je, Mawar. Dahlah merajuk... Hmh?"
Mawar jeling mata sisi, lempar pandang ke luar tingkap sebelah pula.
Untuk itu, Akram usap jemari kasarnya pada pipi Mawar. Ditepis oleh Mawar sekali, dia bawa pula tangannya itu ke batang tengkuk Mawar. Mengurut-ngurut belakang batang tengkuk itu tanpa kata. Beberapa detik berlalu dan Mawar membiarkan.
Mawar telan liur. Ada rasa aneh melingkari hati membuatkan bulu romanya merinding tatkala disentuh begitu tapi ia bukanlah satu rasa tidak selesa. Ia... selesa. Nyaman tapi menggetarkan sukma wanita.
"Marah aku lagi ke?" Nada suara Akram berubah romantis, memenuhi segenap ruang dalam perut kereta.
Ah... Siapa saja tak cair mendengarnya? Untung saja Mawar tak melihat senyum manis di wajah tampan Akram. Kalau tidak, besar kemungkinan untuk terus jatuh cinta.
"Lain kali kalau kau membebel lagi, siap kau." Akhirnya Mawar buka mulut sambil menolak tangan Akram yang di batang tengkuknya.
Akram senyum bahagia. "Aku tak akan membebel dah sebab lepasni aku nak kau yang drive, aku jadi passenger."
"Belikan aku kereta, baru aku drive sendiri."
"Ah boleh... Kau jadilah isteri solehah, doakan yang baik-baik untuk aku. Menang banyak kes, murah rezeki, boleh aku belikan kau kereta."
Mawar menoleh pada Akram. Diam sejenak cuba membaca air muka Akram. Walau ada nada gurauan dalam suara, riaknya tampak memaksudkan setiap bicara.
Dia... dibalut rasa terharu. Hidupnya sebagai anak sulung, tak pernah ditanya kemahuan atau keperluannya. Bahkan dia yang perlu pastikan keperluan adik-adiknya dipenuhi. Dia yang perlu mendengar kemahuan adik-adiknya. Dia... tiada tempat nak menyuarakan kemahuan. Jadi tak hairanlah kalau hatinya boleh hangat dengan cuma mendengar ucapan Akram barusan.
"Mawar?"
"Hmh?" Mawar terpinga-pinga. Terangkat keningnya dengan mata masih melekat pada wajah Akram.
Akram senyum. "Sempat eh kau tidur."
"Apa dia?" Lantas Mawar melarikan pandangan. Menyembunyikan sepasang bola mata yang berkaca.
"Aku cakap, nak terus singgah Ikea or nak balik dulu? Lepas dah mandi, solat, kita keluar. Dinner kat luar sekali."
"Mm. Mana-mana pun boleh."
"Mmm... Kalau macam tu, balik dululah. Aku pun ada bau-bau kambing gurun dalam ni."
"Kau nak cakap aku busuk ke?"
Tak bertahan lama mereka berdamai dek sorang kuat menyakat, sorang kuat sentap.
"Tak... Aku tak mention sesiapa. Siapa rasa dia kambing gurun, dialah terasa. Kan?"
"Malaslah aku layan kau."
Share this novel