MAWAR tidak senang duduk. Semalam baik-baik saja, tapi kenapa harini macam ada ribut taufan dalam hati? Sebu dalam perut, sejuk daripada tapak tangan ke tapak kaki. Kepala pun naik pening, rasa nak pitam.
Dia duduk berteleku di atas kusyen bulat diapit Orked dan Aina di sebelah kiri sementara di sebelah kanan pula Puan Saodah dan Puan Ameeta.
Beberapa ahli keluarga kedua-dua belah pihak juga turut berada di dalam ruang masjid. Upacara akad nikah akan bermula bila-bila masa saja lagi.
Mawar yang duduk tidak jauh dari Akram, cuma mampu memandang susuk belakang Akram. Akram duduk di tengah-tengah ruang dikelilingi wali dan saksi. Bertentangan tok kadi. Entah kenapa, hari ini Akram tampak berbeza di matanya. Susuk belakang lelaki itu saja membuatkan jantungnya berkocak hebat. Dia bahkan belum bertentang mata dengan bakal suaminya itu.
Ya Allah. Bakal suami? Sukar dipercayai. Hari ini baru dia terasa bahawa apa yang berlaku bagaikan sebuah mimpi. Hebat sungguh aturan Allah.
“Kak, dah mula,” bisik Orked di cuping Mawar menyedarkan Mawar daripada lamunan pendek.
Biru satu muka tatkala dia mendengar suara tok kadi membaca doa pembuka. Nak telan liur pun rasa tersekat di kerongkong.
‘Ya Allah... Berilah kami segala apa yang terbaik...’
“Akram Hidayat Bin Mat Rauf.”
“Saya.” Suara serak Akram kedengaran jelas menyahut seruan tok kadi.
Sampai ke telinga Mawar menambah debaran menggila gadis itu.
“Aku nikahkan dikau dan aku kahwinkan dikau dengan Mawar Safiya Binti Khalid berwakil walikan ayahnya kepada aku dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai...”
“Aku terima nikahnya Mawar Safiya Binti khalid dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai...” Lancar Akram melafaz akad.
Tok kadi menoleh kiri dan kanan untuk mendapatkan kesahihan saksi. “Sah?”
“Sah...”
“Alhamdulillah, sah.”
“Dah sah, kak,” bisik Orked lagi penuh teruja membuatkan Mawar menghela nafas lega.
Mawar tunduk, memejamkan kata untuk mencari sedikit ruang bertenang. Dada yang bagai nak pecah, dia usap perlahan-lahan. Perut yang terasa mual pun dia pegang kejap agar bertahan.
'Memang macam gini ke perasaan pengantin di hari nikah?'
“Doa.”
Mawar tersedar lagi bila disiku perlahan oleh Puan Saodah.
Melihat ibunya itu menadah tangan, dia pun ikut menadah tangan walau fikiran tidak berada di tempat yang betul. Usai berdoa, dia melihat Akram bangun berdiri dan saat itu, barulah dia dapat melihat wajah lelaki yang kini sudah sah bergelar suaminya.
Terpukau dia dek melihat penampilan Akram. Tiada lagi jambang di muka, lelaki itu tampak sangat berbeza. Air muka yang bersih, berbaju melayu putih sekali samping. Tampan. Sehinggakan dia sudah terpaku. Tidak dapat mengawal reaksi sendiri.
Sedar tak sedar, Akram sudah pun duduk berteleku di depannya.
“Mawar,” seru Puan Ameta sekali berjaya membangunkan Mawar.
Mawar gemuruh. Debarannya kembali lagi apabila menyedari semua oarang tertumpu ke arahnya. Ahli keluarga, sahabat, beberapa orang kampung dan juga jurugambar pastinya.
Jujur cakap, dia rasa nak pitam. Betul-betul nak pitam. Patutlah sebulan kebelakangan ini dia langsung tiada rasa takut atau gemuruh. Rupanya semua berkumpul nak keluar hari ini.
“Okey tak?” Akram bertanya perlahan saat anak mata mereka bertemu. Cukup untuk hanya mereka berdua dengar.
Meski rasa bercampur aduk, loya seangkatannya, Mawar tetap mengangguk.
Akram senyum. Kepala diangguk sekali memberi isyarat pada Mawar supaya bertenang kerana semuanya baik-baik saja.
“Sarung cincin, long,” arah Puan Ameeta yang sangat teruja dan gembira dapat menantu sulung.
Dengan itu, Akram meraih lembut tangan kanan Mawar. Kali pertama dia menyentuh tangan Mawar, rasa aneh melingkari hati. Rasa yang tidak dapat dia gambarkan dengan kata-kata mahupun lukisan. Rasa yang sangat indah tapi dalam masa yang sama menggetarkan sanubari.
Diiringi cahaya kamera kiri dan kanan, dia perlahan-lahan menyarungkan cincin emas di jari manis Mawar. Dingin sungguh kulit isterinya itu.
“Cium dahi.” Beria Puan Ameeta memberi panduan disambut tawa senang Puan Saodah.
Kulit muka Mawar yang hari ini bersolek cantik, berona merah mendengar ucapan itu. Dia bahkan cuma tunduk tanpa suara. Tidak berani membalas pandangan Akram namun Akram sudah lama menantikan saat bermakna ini.
Tangan kasar Akram menyentuh dagu Mawar. Diangkat lembut dagu itu sebelum bibirnya hangat mengucup dahi Mawar. Agak lama atas permintaan jurugambar untuk mendapatkan tangkapan yang baik. Tanpa dipinta dan entah bagaimana, air mata Akram tumpah sekali. Pantas tangan hendak menyeka tapi Mawar sempat melihat titisan air jernih itu.
Mawar terkedu kaget. Tidak bergerak tunak matanya melekat di wajah Akram. Dia... tidak pernah menyangka air mata lelaki Akram akan tumpah di hari pernikahan mereka. Dan sedetik, dia merasa seperti ada sesuatu di pipinya. Apabila disentuh, ternyata air matanya juga mengalir.
Rasa apakah ini, Ya Allah?
* * * * *
"Kau okey tak ni? Nampak pucat je," tegur Akram setelah sesi bergambar selesai.
Majlis bersanding berjalan lancar.
Para tetamu juga sudah berkurang.
Hampir jam lima petang sekarang ini.
Mereka berdiri di sudut salah satu khemah. Penat seharian melayan tetamu dan ahli keluarga yang mahu bergambar dan berkenalan.
Mawar buat-buat memandang ke arah lain. Entah kenapa dia jadi segan nak bertentang mata dengan Akram sejak upacara akad nikah tadi. Perasaannya jadi lain macam setelah melihat sendiri air mata Akram tumpah. Dan walau dia benci nak mengakui ini, tapi Akram tampak amat mempesona dalam busana pengantin warna nude sedondonnya.
Wajah Akram tanpa jambang masih tidak terbiasa di matanya. Dia takut kalau terlalu awal untuk dia menyukai Akram. Tak, tak. Dia cuma keliru dek ini pengalaman pertamanya.
'Akram is a jebon. Ingat, Mawar. Kau, benci dia.'
“Dengar tak ni aku tanya?” Akram menolak sekali lengan Mawar cuba menarik perhatian Mawar dan ianya berhasil.
Mawar angkat muka membalas pandangannya. “Aku okey je. Penat sikit.”
“Yeke? Nak masuk dalam? Rehat dulu. Orang pun dah tak ada ni,” cadang Akram meluaskan pandangan sekitar pekarangan rumah. Berbaki saudara-mara dan beberapa orang kampung sedang berbual.
Mawar meniru tingkah Akram dengan meluaskan pandangan sekeliling. “Tak apa ke?”
“Dah dekat waktu asar. Kita pun kena solat zohor dulu. Kau boleh solat tak?”
“Boleh.”
“Hm, kau masuk dulu. Aku ambil beg aku dalam kereta kejap.”
“Hah? Kau nak masuk mana?” Mawar terkejut. Bukannya dia tak tahu apa akan berlaku selepas kahwin tapi otaknya semacam bersimpul sikit hari ini.
“Kau agak-agaklah buat aku macam ni. Aku dah jadi suami kau. Tak baik kau. Kau nak suruh balik rumah mak aku ke?”
Mawar garu kepala, tersenyum sumbing. “Aku... sorry. Kau dah tahu mana bilik aku kan?”
“Tak.”
“Sebelah bilik Orked.”
“Ha memang. Memang bilik Orked tu, aku yang buat. Jadi aku tahulah mana bilik dia,” sindir Akram membuatkan tawa Mawar meledak.
Gadis itu pun sedar akan kebodohan sendiri. “Kat ruang tamu tu aje. Langsir warna hijau.”
“Tadi aku nampak semua langsir hijau.”
Bhahaha! Tawa Mawar melambung lagi sambil tangan menampar lengan Akram.
Berkerut dahi Akram dibuatnya. “Kau mabuk ke apa? Lain macam.”
“Sorry. Aku pening sikit. Panas cuaca harini kan. Erm... Kau ambiklah beg dulu. Aku tunggu depan pintu.”
Akram angguk sebelum berjalan menuju ke arah keretanya yang diparkir di luar pagar.
Sementara Akram mengambil beg daripada kereta, Mawar mengatur langkah membawa ekor baju meleretnya ke arah pintu rumah.
Kebetulan Puan Saodah yang tergesa-gesa membawa lauk yang dibungkus bertembung dengan Mawar.
“Kakak, masuklah mandi solat dulu. Ajak Akram masuk sekali. Dah selesai dah majlis ni. Periuk belanga apa semua dah ada orang cuci, lauk lebih nanti mak suruh adik dengan Melur hantar rumah orang kampung yang tak dapat datang,” maklum wanita itu pada Mawar tanpa ditanya.
Tidak sempat pun Mawar membalas, Puan Saodah sudah beredar melayan tetamu. Selang beberapa minit, Akram menghampiri membawa satu beg pakaian.
“Mari,” ajak Mawar membuka langkah disusuli Akram menuju ke kamarnya yang cantik dihias persis bilik pengantin.
Mawar kembali janggal. Pertama kali dalam sejarah hidup dia membawa lelaki masuk ke dalam bilik tidurnya. Lelaki pula bukan sebarang lelaki tapi suaminya sendiri.
Fuh. Aneh!
“Kain baju kau boleh letak dalam almari ni. Aku dah kosongkan bahagian kau. Tapi kau nak stay satu malam je kan?” Mawar berlagak biasa dengan memulakan sesi room tour.
Dilihat Akram mengangguk-angguk kepala sambil mengimbas segenap kamar.
“Bilik mandi dengan bilik air kat sini aje tapi ini bersambung dengan bilik Orked. Mari aku tunjuk,” sambung Mawar bergerak ke arah pintu bilik air.
Bilik air sekali dengan bilik mandi itu direka memanjang. Bersih dan agak selesa. Terdapat dua pintu agar penghuni dari kedua-dua kamar dapat menggunakannya.
“Kalau kau tengah guna, pintu belah sana kau lock so Orked tahu ada orang dalam ni. Bila dah siap guna, kau unlock belah sana tapi kau lock belah kita ni. Faham?”
Akram angguk lagi. Alah, bukan susah sangat nak faham. Dia tidaklah lembab seperti Mawar.
“Kau mandi dululah, aku nak rehat kejap. Lepastu kita solat sama-sama,” kata Akram bersahaja seraya menapak ke arah katil.
Tanpa menghiraukan riak gugup Mawar, dia merebahkan tubuh di atas katil lalu memejamkan mata. Sepi mencelah masuk menemani mereka.
Mahu tidak mahu, Mawar terpaksa akur. Lambat-lambat dia bergerak menutup pintu kamar. Rasa yang dia ‘takut’, muncul lagi. Rasa getaran yang mencuit sukma tatkala Akram berkata mahu mereka solat bersama.
Mawar tercegat dekat meja solek. Teragak-agak nak menanggalkan tudung di depan Akram. Lama dia merenung Akram yang masih terbaring dengan mata terpejam.
‘Tidur ke?’ desisnya cuba mengintai Akram lebih dekat.
Dia mendengar desiran halus jadi mungkin Akram terlelap. Tanpa membuang masa, dia segera menanggalkan apa yang ada di kepalanya satu persatu.
Veil, selendang, tudung, anak tudung, berlapis-lapis hah. Tak masuk lagi bab jarum dan pin. Bila dah tanggalkan semuanya, barulah rambut hitam separa bahunya dapat bernafas lega.
Tuala dan pakaian hendak dipakai nanti dia bawa masuk ke dalam bilik mandi. Mandi separuh, termenung separuh. Itu yang jadi lama. Lebih kurang tiga puluh minit kemudian, dia usai mandi. Siap memakai kain batik dan baju T lengan panjang warna putih. Rambutnya masih lembap.
Mungkin dia terlupa tentang Akram jadi dia menonong keluar dari bilik mandi dan terkejut beruk melihat batang tubuh Akram tercegat di depannya. Tidak berbaju, cuma berkain tuala separa bawah lutut. Kus semangat!
“Akram!” marah Mawar menutup sisi matanya menggunakan tapak tangannya tanda dia tidak mahu melihat tubuh tegap Akram yang terdedah itu.
Laju dia mengelak batang tubuh itu, bergerak ke arah katil. Jantungnya berdegup sepuluh kali ganda lebih kencang.
“Kenapa pulak? Kau malu ke?” giat Akram sengaja nak menyakat Mawar. Kalau bercakap, kalahkan rimau. Baru buka baju sikit dah kalut.
“Lain kali pakailah baju. Tak ada oranglah nak tengok badan kau,” pangkas Mawar mengawal rasa. Buat-buat melipat baju kahwinnya tanpa memandang Akram.
Akram cuma ketawa kecil. Comel sungguh Mawar safiya.
“Aku mandi sekejap. Tunggu aku dulu.”
“C-cepat sikit."
“Ya, sayang...”
“Eiy!”
Share this novel