BAB 5

Romance Series 123204

'SEMUA sebab kau. Kalau malam tu kau tak pancitkan tayar basikal aku, aku takkan balik jalan kaki. Aku takkan lalu jalan pintas tu. aku takkan dirog-.'

Suara Mawar siang tadi bergema dalam kepalanya. Mengulang tayang titisan air jernih dari pipi Mawar jatuh ke lantai. Ulang dan ulang sehingga dia bagaikan terlalu hanyut, fokus matanya juga hilang.

“Allahuakhbar...” Akram sedar sendiri.

Mukanya yang suram diraup sekali sebelum dia bangun berdiri. Tikar sejadah dilipat dua lalu disangkut pada penyidai kayu sebelah almari pakaian. Songkok di kepala dia tanggalkan dan dia letak perlahan di atas meja sisi katil.

Tidak berniat untuk sambung tidur usai solat tahajud, dia berjalan masuk ke bilik bacaan selang satu pintu dari kamarnya. Mendekati meja kerja, dia melabuhkan punggung di atas kerusi beroda bersama keluhan berat. Dia cuma duduk di situ. Merenung kosong pada kaki lampu meja untuk beberapa minit dengan fikiran menerawang tanpa hala tuju. Kemudian anak mata melirik pada bingkai gambar dekat lampu meja. Gambar bersaiz 4R. Gambar yang terserlah bukan di era milenia.

Gambar dirinya ketika berumur lima tahun. Berseragam sekolah, berdiri di sisi budak perempuan sebayanya. Satu-satunya gambar kedua-dua mereka tersenyum lebar tanpa pergaduhan. Gambar dia memegang tangan gadis kecil di sebelahnya bak pasangan paling manis. Terpampang gigi depan yang rongak. Dia ingat dengan jelas siapa di balik kamera. Ustazah Mariam, guru tadikanya yang baik dan ayu.

Akhirnya dia mencapai bingkai gambar yang sentiasa menemaninya itu. Cermin bingkai itu dia usap-usap lembut. Sehingga tidak sedar air mata lelakinya tumpah di situ. Sebak menjerut kerana dia tahu dia tidak mampu memutar masa dan mengubah kesilapan terbesarnya.

“Maafkan aku, Mawar. Maafkan aku...” 

* * * * *

KAMPUNG RAJA, BESUT, TERENGGANU.

“Kak, kau ingat kan janji kau?” terjah Orked memeranjatkan Mawar yang sedang mengeluarkan pakaian dari bagasi.

Mawar tayang muka sebal. Mabuk naik bas tak hilang lagi, budak ni datang tanya soalan lebih memabukkan.

“Aku tak ada janji apa-apa. Aku cakap nak cuba kan?”

“Kak... Kau kena tolong aku...” Orked menempel dekat Mawar, cuba merayu kakaknya sehabis cara. "Kak... Bersungguhlah sikit. Aku dah cakap kat Taufik yang kau nak tolong aku."

"Ish kau ni kan? Rimaslah. Kau tak penat ke? Dalam bas potpet potpet, dah sampai rumah pun potpet potpet. Tak cukup ke kau mengajar anak murid kau kat sekolah?" bebel Mawar menepis tangan Orked yang menarik-narik lengan bajunya tapi sebelum Orked membalas, susuk yang digeruni muncul di muka pintu kamarnya membuatkan dia spontan bangun.

Orked yang baru menyedari kehadiran komando keluarga itu kalut membetulkan posisi. Dia dan Mawar berdiri bahu ke bahu dengan kedua-dua tangan bersatu di depan tubuh. Penuh hormat.

"Abah baru balik?" sapa Mawar terlebih dahulu sambil segera menyalami tangan kasar Encik Khalid.

Orked pun melakukan tingkah yang sama.

"Ehem." Encik Khalid yang dua puluh empat jam memasang riak serius itu berdeham sekali.

Diam dulu mengamati penampilan dua anak perempuannya. Sukar hendak menebak reaksinya. Cukup mendebarkan Mawar dan Orked.

"Kamu dah selalu ke pakai seluar macam ni?" soal Encik Khalid pada Mawar bagaikan anak panah berapi. Tenang tapi menggerunkan.

Berpeluh dahi Mawar diasak rasa takut. Macam mana nak cakap ek? Walaupun umur dah 27 tahun, dia tetap takut akan abahnya sendiri.
Gerak-geri abahnya, lirikan mata abahnya, suara rendah abahnya, semua bikin kecut perut!

"Kakak pakai seluar ni sebab senang nak naik bas. Kalini kakak dapat bas dua tingkat, bah. Kalau pakai kain, takut tersadung," jawabnya mereka alasan. Dia sudah lama tak memakai kain, jauh sekali baju kurung seperti Orked.

Dilihat abahnya kekal serius. Tampak tak termakan langsung jawapannya.

"Tak pernah lagi nenek moyang kamu tersadung buat kerja selama ni. Naik bas, naik lori, panjat bukit. Itu Orked. Kamu nampak ke dia jatuh tersadung?" tempelak Encik Khalid mengundang rasa mual dalam perut Mawar.

Kalau macam ini pun dah mual, macam manalah mak cakap tentang langkah bendul nanti? Ya Allah... Mau kena sawan babi kau, Mawar.

"Hmh," rengus Encik Khalid. "Berkemas cepat. Pergi dapur tolong umi kamu masak. Malam ni majlis tahlil, jangan lupa."

"Baik, bah," sahut Mawar laju.

Sedetik, Encik Khalid beredar pergi. Sepantas kilat Mawar mencubit lengan Orked.

"Sakit, kakak!"

"Oh... Pandai kau eh? Bisu kelu bila aku yang kena. Beria suruh aku tolong kau, kau ada tolong aku?"

"Nak tolong macam mana?Nanti kalau aku kena, kau kena, meleret-leretlah jadinya."

"Alasan. Keluar kau sana." Mawar menolak Orked agar keluar dari biliknya namun Orked tidak mahu berganjak sama sekali.

"Kak. Sementara abah ada, kau pergilah cakap dengan abah..."

"Gila ke? Kau nak ke tahlil malam ni gabung tahlil aku?"

"Bila kau nak cakap dengan abah?"

"Lepas majlislah... Esok pagi bila dah tenang semua orang."

Orked memuncung pendek. Berkira-kira sebelum terpaksa jua akur. Dia mengangguk lambat lalu perlahan-lahan berjalan keluar dari kamar Mawar tanpa sepatah kata.

Pabila susuk Orked yang lebih kurang dengan susuk tubuhnya itu hilang daripada pandangan, Mawar melepaskan keluhan berat. Serabut kepalanya yang sedia kusut. Dia kembali duduk di atas katil. Diam beberapa detik kemudian tunduk menilik pakaiannya sendiri. Dia mengenakan seluar palazo longgar bersama blaus yang tidaklah terlalu singkat. Masih di bawah paras punggung. Selendang yang dipakai pula sesampai rumah lagi dia dah tanggalkan dek rimas dan panas.

"Tsk abah ni. Macamlah zaman nenek moyang dulu ada bas dua tingkat," getusnya sambil menyambung kerja mengemasnya. Terkumat-kamit bibir lentik bergerak mengomel perkara tak jelas.

Ruang kamarnya agak luas berbanding kamar adik-adiknya yang lain. Bahkan di dalam rumah batu ini cuma kamarnya dan kamar orang tuanya saja yang ada pengdingin hawa. Kamar Orked di sebelah agak kecil. Kamar yang sama luas dengan kamarnya pula dihuni adiknya Melur dan Kamelia. Si kembar itu berkongsi kamar. Eh berapa banyak kamar daaaa...

Ringkasannya, rumahnya ini agak luas dan ia bukanlah rumah seratus peratus berciri kampung dan kampung halamannya ini juga tidaklah kampung yang benar-benar 'kampung'. Kampung Raja merupakan sebuah bandar utama dalam daerah Besut. Dan dia tinggal di salah satu kawasan perumahan di bandar itu.
Bandar yang masih kampung tapi tidak terlalu mengikut streotaip sebuah kampung. Ha begituuuu...

Kembali pada Mawar, gadis itu sudah siap mengemas barangannya. Dia berniat untuk mandi dan mengganti pakaian sebelum menolong ibunya di dapur. Sempat dia membelek isi telefon bimbit. Tajul siang malam menghantar pelekat melalui pesanan Whatsapp. Pelekat budak menangis, pelekat kera bersedih, pelekat lelaki mana entah gantung diri pada pokok pisang, entah. Macam macam kalahkan orang meroyan.

Kenapa? Kes tak dapat jadikan Akram Hidayat muka depan majalahlah. Ah. Malas dia ambil tahu. Bayangkan muka mangkuk hayun tu sorang pun dia dah naik darah. Ini nak suruh dia tangkap gambar orang tu? Oh tidak...

Akhirnya telefon dilempar ringan ke atas katil.

* * * * *

"Ish dah dekat 30 tahun kenapa tak nikah lagi..." Rancak betul ruang dapur tika ini apabila mak sedara, tok sedara, sepupu sepapat berkumpul.
Rancak ambil tahu urusan peribadi orang.

Sebab itulah Mawar yang menjadi mangsa utama itu kelat manis kelat manis saja air mukanya sejak tadi. Kelat bila hati bermonolog geram. Manis bila berlaga mata dengan saudara maranya itu. Haih...

'Nasiblah aku hormat lagi korang as family umi dengan abah. Kalau tidak, muka sorang-sorang aku tonyoh dalam kerabu kaki ayam tu. Biar tahu beza muka dengan kaki. Ish.'

"Tak tahulah saya, kak cik. Orang lain umur 50 dah dukung cucu, saya ni duk dukung si Putih itu ajelah..." jawab Puan Saodah pula memaksudkan Putih, kucing peliharaannya.

Mawar yang sedang menggoreng tempe cuma mampu ketap gigi tadah telinga.

'Umi pun dua kali lima,' monolognya bak babak sineteron. Tapi luarannya, dia tersenyum sopan setiap kali menoleh muka.

Untunglah ramai orang berkumpul, jadi topik itu selalu berubah. Sekejap fasal motor tercabut rantai. Sekejap fasal Rogayah beli gelang emas baru, sekejap fasal menteri makan rasuah, sekejap fasal harga santan mahal. Riuh kat dapur gelak tawa makcik-makcik, riuh kat luar rumah suara budak-budak terpekik melolong, yang tenang kat ruang tamu hah. Geng abah abah bercakap macam berbisik.

'Hmh...' Tak sedar Mawar melepaskan keluhan sedangkan dia cuma bermonolog dalam benak kepala.

"Haih. Mengeluh kenapa tu, Mawar... Rindu buah hati di Kuala Lumpur ke..." usik Mak Uda yang sedang mengacau bihun di sebelah Mawar.

"Kamu dah ada calon ke, Mawar?" celah Mak Usu laju sebelum sempat Mawar buka mulut.

Mawar yang berkain batik Terengganu dan baju T lengan panjang bersama tudung sarung cuma tersenyum dan menggeleng. Malas buka mulut. Takut keluar ayat pedas dan berbisa.

"Eh, umi lupalah," sela Puan Saodah pula tanpa sengaja menyelamatkan Mawar. Wanita kurus berkain lepas dan dan blaus corak bunga itu bangun melilau anak mata sekitar dapur.

"Kak. Kamu tolong pergi ambil periuk besar rumah Chik Rauf sekejap. Umi nak suruh pak su kamu masak lauk kat luar. Takut tak sempat." Dia memberi arahan pada Mawar membuatkan Mawar kerut dahi seribu.

Kalau ikutkan memanglah dia nak lari daripada kelompok ini tapi pergi rumah musuh utamanya? Tak ubah macam keluar mulut buaya, masuk mulut harimau.

"Orang tengah goreng tempe ni. Kenapa tak suruh Orked aje?" Dia cuba membantah tapi masih dalam nada perlahan dan sopan.

"Orked kan keluar beli barang..."

"Kembar dua orang tu?"

"Adik-adik kamu baru sampai, penat..."

"Orang pun baru sampai, umi."

"Kamu pergilah ajelah sekejap... Umi dah pesan dah dekat Chik Meeta nak pinjam periuk tu..."

Mawar cuma mampu berdecit kecil. Air muka pun ketat semacam kerana akhirnya dia terpaksa menurut.

'Ah lantaklah. Bukan malaun tu ada pun kat rumah.'

Dalam terpaksa dia keluar jua ke halaman rumah. Mencapai basikal dari bawah garaj lalu mengayuh perlahan menyelusuri jalan perumahan. Sebelah kanannya kawasan perumahan dan sebelah kirinya satu kawasan lapang ditumbuhi semak. Seberang kawasan lapang itu terdapat jalan raya utama dan seberang jalan raya pula ialah pantai. Macam yang dikatalah. Kampung dalam bandar tapi bandar masih kampung. Eh? Ha. Betullah tu.

Mawar masih mengayuh basikal sambil mulut mengomel rancak. Selepas dah kayuh lurus, masuk simpang, jumpa selekoh, masuk simpang lagi, dia pun tibalah di rumah Encik Rauf. Rumah kayu tinggi yang tampak moden dan cantik. Halaman rumah pun luas tanpa pagar. Rumah ini dah tidak termasuk dalam kawasan perumahannya tadi. Kawasan perumahannya berjiran sederet tapi kalau kawasan sekitar rumah Encik Rauf ini, agak berjarak. Ada juga tanah kosong belum bertuan.

Sudah lama Mawar tidak datang ke sini. Dia turun daripada basikalnya lalu menongkat basikal warna merah jambu milik adiknya, Kamelia. Perlahan-lahan dia berjalan ke arah tangga rumah. Melilau sekeliling terlebih dahulu. Motor ada, sebuah kereta Myvi pun ada terparkir elok di bawah pokok besar pinggir laman.
Dan satu lagi kereta...

Mawar memanjangkan leher ke arah garaj sebelah rumah. Cuma dapat melihat ekor kereta. Sipi-sipi warna putih. Dahi sedikit berlapis.

'Hmm... Macam ku kenal.' Dia undur beberapa tapak, bergerak ke tepi untuk melihat kenderaan itu dan sedetik, mata membuntang luas melihat sebuah Toyota Camry warna putih.

"Apa dia buat kat sini?" Soalan itu spontan meniti di bibir. Tidak menyangka Akram akan berada di kampung tika ini. Baru saja dua tiga hari lepas mereka bercakaran di Kuala Lumpur.

Tapi... dia pun kat sini. Dan ini rumah Akram. Suka hati mamat tulah nak balik bila-bila masa pun kan? Ah! Dia tetap tak suka!

"Mawar?" sapa satu suara sebelum sempat Mawar nak patah balik.

Mawar menoleh ke arah pintu rumah. Sekelip mata bibir mengoyak senyum manis tatkala seorang wanita berketurunan India berdiri di situ.

"Assalamualaikum, Chik Meeta." Dia segera memanjat beberapa anak tangga dan menyalami tangan Puan Ameeta. Sopan benar tingkahnya bila di depan orang tua.

Puan Ameena yang berusia 49 tahun itu pun manis dan lembut saja orangnya. "Lama betul mak cik tak nampak kamu. Dah besar, dah cantik."

“Uwek!!!” Tiba-tiba kedengaran satu suara dari dalam rumah menarik perhatian Puan Ameeta dan Mawar.

Suara lelaki seperti nak muntah.
Timingnya itu elok sejurus Puan Ameeta memuji Mawar.

Sedetik, Puan Ameeta kembali pada Mawar semula. "Kamu datang nak ambil periuk ya?"

"Haah, Chik Meeta. Umi takut tak sempat nak tunggu periuk kat rumah. Dapur dah ada lebih tapi periuk tak cukup."

"Betullah tu. Sekejap mak cik ambilkan."

Mawar angguk kepala. Menanti agak janggal di anak tangga sementara Puan Ameeta menghilang ke dapur.

Namun kurang lima saat, sebatang tubuh berjersi bola pasukan Terengganu muncul menarik perhatiannya. Tak semena-mena darahnya menyirap.

"Cantiklah sangat..." perli Akram sambil menyandar sisi tubuh pada bingkai pintu.

Mawar yang jenis cepat melenting itu sudah pun bercekak pinggang. Sedikit mendongak kerana dia berdiri di tengah anak tangga.

"Kau kenapa balik? Tak ada hujan tak ada ribut tiba-tiba balik kampung kenapa?"

Akram ketawa kecil. Sinis. "Kau kenapa balik?"

"Aku balik sebab keluarga aku buat tahlil. Ada sebab. Kau tu yang saja nak menyakitkan hati aku kan?"

"Nak balik jumpa mak ayah ni mak cik oi, tak perlu sebab. Rasa rindu, balik. Ada peluang, balik. Jangan nanti orang tua dah tak ada baru menggelupur nak balik. Ha. Ini nasib baik family kau buat tahlil. Kalau tahlil dibuat untuk family kau? Kau faham kan?"

"Mulut kau-" Mawar mendaki anak tangga bersisa untuk menampar mulut lancang Akram tapi Akram sempat mengelak selamba membuatkan Mawar pula yang tersungkur.

"Aduh..."

"Ya Allah, Mawar. Kenapa, nak?" Kebetulan Puan Ameeta kembali dari dapur membawa periuk besar, terkejut melihat Mawar yang terduduk di atas anak tangga.

Akram dicuit geli hati, tahan tawa dengan mengetap bibir.

Lambat-lambat Mawar bangun berdiri bersama rasa sebal yang amat. Sempat dia menjeling tajam pada Akram di belakang Puan Ameeta.

"Tak ada apa-apa. Jatuh."

"Dia teruja jumpa jumpa along, mak. Nak peluk, terus along tepis. Harammmm along cakap," bohong Akram dengan muka berianya.

Puan Ameeta kerut dahi tak percaya.

Mawar pula ketap gigi menyumpah seranah dalam hati. Otaknya sudah mula merancang plot pembunuhan Akram malam ini. Tak guna!

"Along dengan Mawar berkawan lagi ke? Mak tak pernah nampak kamu berdua berbual sejak tamat sekolah."

"Eh apa pulak tak berkawan. Baru aje tiga hari lepas Mawar melawat along kat tempat kerja."

"Oh yeke?" Puan Ameeta tampak senang mendengar khabar itu. Dia memandang Mawar dengan gembira. "Mak cik tak tahu pulak... Eloklah. Kita orang sekampung kat tempat orang, kena saling menjaga. Saling tolong-menolong. Kan, Mawar?"

Mawar senyum paksa. Makin menggelegak hati bila melihat Akram tayang muka menganjing di belakang Puan Ameeta.

‘Ya Allah... kenapalah mata rakyat Malaysia tak nampak apa yang aku nampak sekarang? Mr Brain konon. Uwek!’

"Eh lupa. Ini periuknya," sambung Puan Ameeta menghulurkan periuk berserta tudung kepada Mawar.

Mawar menyambut tapi terkejut dek saiz periuk yang lebih besar daripada yang disangka. Dah macam mana dia nak pikul periuk ni naik basikal?

"Lah. Kamu datang dengan basikal ke?" Puan Ameeta memandang basikal warna merah jambu di laman rumahnya.

"Along. Pergi tolong hantar periuk rumah Mawar sekejap."

"Boleh."

"Tak perlu, Chik Meeta!" pangkas Mawar laju dengan mata luas.

Tak tak tak. Dia cuma mahu Akram jauh daripadanya walau dia sampai harus menatang periuk ini atas kepalanya. Bahkan dia sanggup galas basikal dan periuk sambil berjalan kaki pulang. Dia sanggup.

“Tak payah susah-susahlah, Mawar. Jangan malu jangan segan. Macam tak biasa pulak kau kan?” Akram pantas menyambar periuk daripada tangan Mawar lalu menyusun langkah menuruni anak tangga. Nasib baik tak terjatuh Mawar dia langgar bahu kerana ruang di tangga yang ‘sempit’.

Tidak dapat Mawar menghalang apabila Puan Ameeta sendiri mendesak dan Akram sekelip mata dah masuk ke dalam perut kereta.
Mahu tidak mahu, dia lambat-lambat pamit dengan Puan Ameeta sebelum mengayuh basikal untuk pulang.

Jalan agak luas untuk kereta Akram melewati basikalnya tapi lelaki itu malah sengaja memperlahan kereta dan membuntuti basikalnya. Bila dia melajukan kayuhan, Akram pun ikut laju. Bila dia memperlahankan kayuhan, eh. Akram pun ikut perlahan.

Sengaja. Jebon tu sorang memang sengaja nak mengenakannya.

Pon!!!

“Oh mak kau!” latah Mawar apabila Akram membunyikan hon kereta panjang.

Gadis itu menoleh ke belakang beberapa saat dengan pandangan tajam tapi cermin depan kereta Akram agak gelap jadi dia tidak dapat melihat jelas. Sakit hati bukan kepalang. Nak saja dia hempuk basikal di atas kepala Akram tapi dipujuk hati agar bersabar.

Kayuhan tetap diteruskan walaupun Akram sesekali sengaja merapatkan muncung kereta mengena belakang basikalnya. Hampir hilang kawalan.

Pon!!!

Kali ini bunyi hon lebih panjang dan kuat. Malang sungguh nasib, Mawar pun hilanglah kawalan sehingga dia dan basikalnya masuk ke dalam semak tepi jalan.

“Aduh...” Mawar mengaduh, menggosok-gosok pinggul yang terasa sakit. Mujurlah tidak jatuh di atas jalan tar.

Ah. Sabarnya sudah habis.

Dia pantas bangun berdiri. Tidak mempedulikan basikal yang terlentang, dia berjalan laju mendekati kereta milik Akram yang berhenti di bahu jalan tak jauh darinya. Tingkap kereta bahagian pemandu dia ketuk kuat.

“Mak cik, lain kali hati-hatilah sikit...” giat Akram sebaik saja tingkap kereta diturunkan.

“Kau keluar sekarang.”

“Tak naklah aku. Dah kenapa kau?”

“Aku cakap keluar!”

Mawar ketap gigi memasukkan tangan melalui tingkap untuk mencapai rambut ikal Akram namun Akram lebih pantas mengelak seperti biasa. Bahkan dia segera menaikkan tingkap sedangkan separuh lengan Mawar masih di dalam kereta.

“Tangan aku!” jerit Mawar cuak. Separuh lengannya sudah tersekat, tidak boleh dikeluarkan selagi Akram tidak menurunkan semula tingkap.

“Weh... Tangan aku sakitlah, bodoh!”

Akram ketawa geli hati. Bukannya nak diturunkan cermin, sebaliknya dia malah mengeluarkan telefon bimbit daripada poket seluar track yang dipakai lalu menangkap gambar muka gelabah Mawar. Puas hati.

“Itulah kau. Angin tak bertempat. Perangai kalahkan rimau. Menurun sangat sikap garang komando kau tu kan?”

“Akram!” jerit Mawar lagi yang sememangnya agak gelabah. Dipandang kiri kanan memastikan tiada orang kampung lalu di momen memalukan begini. Nanti kalau sampai ke telinga abahnya, susah pulak nak menjawab.

“Hm, bermuka-muka kau ni. Pandai buat muka sedih bila dah tersepit macam ni. Yalah yalah. Aku buka tingkap, kau terus tarik tangan kau. Kalau kau berani nak menyambar sekali lagi. Ha. Bersedialah kau jadi mak cik kudung,” ujar Akram yang  sudah puas memainkan Mawar untuk waktu ini. Dia ketawa mengejek.

Dan seperti yang dikata, Akram menurunkan tingkap kereta secara perlahan. Tak luas sangat pun. Ngam-ngam saja untuk Mawar menarik keluar tangannya. Apabila Mawar berundur setapak ke belakang, dia terus menekan pedal minyak. Meninggalkan Mawar di tengah jalan memaki-hamun dirinya bagai orang gila.

Ah... dia rindukan amarah gadis itu padanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience