DAPUR rumah Encik Rauf dan Puan Ameeta bertingkah suara gelak tawa bahagia. Hari ini mereka tiga beranak sibuk memasak lauk tengah hari bersama seperti biasanya. Encik Rauf juga sama rancaknya dengan Puan Ameeta nak menunjukkan bakatnya dalam membuat kek pisang sedap.
Orang sibuk nak masak lauk, dia sibuk nak buat kek.
“Nanti bila sampai masanya, bapak akan turunkan resipi rahsia bapak ni pada along. Sekarang tak boleh lagi,” kata Encik Rauf yang duduk di atas kerusi di depan oven. Bukan main beria menunggu hasil tangannya sampaikan tidak berganjak dari tadi.
Akram yang berseluar tiga suku dan jersi bola pasukan Terengganu kegemarannya itu tersenyum sambil tangan mencuci sayur di singki. Sempat dia bertukar pandang dengan ibunya sebelum mengabaikan saja kata-kata si bapak.
“Tak pun, nanti bapak ajar isteri along.”
“Encik Mat Rauf. Resipi kek pisang berlambak dekat Fac. Taip saja nak kek pisang jenis apa. Pisang tanduk, pisang berangan, pisang goreng.”
“Pisang emas dibawa belayar,” celah Akram pula sengaja nak menyakat.
“Esh... Tak sama, cik adik sayang,” pangkas Encik Rauf tidak mahu kalah. Kedudukannya diubah agar tubuh menghadap ke arah anak isteri. Bukannya dia nak bangun. “Ini rasa dia lain dari yang lain. Bukan ke awak jatuh cinta pada saya dulu sebab rasa kek pisang saya ni?”
“Awak yang hari-hari letak kek pisang awak atas tangga rumah saya. Takkanlah saya nak buang. Saya makanlah walau sedap walau tidak.”
“Along jangan dengar cakap mak. Lepas dah dapat bapak, macam gitu pula dia cakap. Mari bapak cerita.”
“Ya Allah... Dia dah mula dah...”
Tawa Akram meletus lucu apabila Puan Ameeta buat muka kerana sudah jemu nak mendengar kisah yang sama berulang-ulang kali. Kisah resipi rahsia kek pisang turun-temurun.
Dia pula sentiasa tadah telinga dan tidak pernah bosan mendengar cerita itu. Adiknya Azfar juga sama sepertinya. Nak-nak pula kalau kisah cinta orang tuanya dulu kala. Seronok.
Tapi sebelum sempat kulit buku dibuka, suara seseorang memberi salam kedengaran sayup dari luar rumah. Masing-masing diam saling berpandangan untuk memastikan apa yang didengar tadi betul atau tidak.
Selang beberapa saat, suara memberi salam barusan kedengaran lagi.
Akram yang baru mengecam empunya suara pantas membersihkan tangan dan mengesat tangan yang basah pada kain dapur.
“Siapa tu?” tanya Puan Ameeta melihatkan anak terunanya tergesa-gesa nak menyambut tetamu.
“Mawar Safiya. Mak masaklah dulu. Along pergi tengok,” jawab Akram lalu menyusun langkah menuju ke pintu depan.
Sebaik saja pintu kayu berkembar dibuka, anak matanya jatuh pada batang tubuh Mawar dekat tangga. Muka cemberut macam biasa tapi tetap comel di pandangannya.
“Ha. Ada apa waktu macam ni datang rumah orang? Tak masak ke kau?” Akram pun satu hal. Sengaja dia nak mencucuh bara di hati Mawar.
Mawar jeling sekali. “Turun kau kejap. Aku ada benda nak cakap.”
“Amboi, cantik adab kau. Dahlah datang rumah aku.”
“Tsk.” Mawar kerut dahi menikam muka Akram menggunakan sepasang matanya. Sudah dia lemparkan egonya untuk datang mengadap musuh azalinya tapi musuhnya ini malah menguji kesabarannya pula.
“Yalah... Aku turun.” Akram mengalah awal dek panahan tajam mata si harimau.
Lelaki itu menuruni separuh anak tangga dan melabuhkan punggung di situ. Rumahnya agak tinggi jadi anak tangga pun banyaklah. Berdebar kerana dia tidak dapat menebak tujuan Mawar ke sini.
Apa Mawar nekad nak menolak lamarannya atau Mawar bertindak gila dengan menerima lamaran tidak masuk akalnya semalam?
Setelah diberi ruang untuk bercakap, Mawar cuma membisu. Teragak-agak dan keliru. Sekejap dia menekur kaki Akram. Sekejap dia lontar jauh ke dada langit. Sekejap dia alih pula ke arah deretan pasu bunga sekeliling laman.
“Mak cik,” seru Akram yang menggunakan gelaran ‘mak cik’ sejak dari kecil kerana gaya dan sikap Mawar yang selalu ketinggalan zaman. Mak cik lain semua dah moden mengikut arus masa. “Dah bisu ke kau? Cakaplah. Tadi suruh sangat aku turun.”
“Pasal... lamaran kau semalam.” Mawar menebalkan muka. Muka Akram tidak dipandang, dia buat-buat bermain dengan kukunya sendiri.
“Ya. Kenapa dengan lamaran semalam? Dah solat istikharah?”
“Aku nak kau tahu yang aku bukannya tak laku. Bukan tak ada orang yang nakkan aku. Dan jauh sekali aku ada perasaan kat kau. Sebesar kuman pun tak ada.” Banyak pula selekoh sebelum tiba di destinasi dituju.
Akram sabar menanti, terangguk-angguk kepala dengan gaya bersahaja meletakkan lengan di atas lutut sendiri.
“Yes. Aku... setuju nak kahwin dengan kau.”
Dap! Akram terpana. Luarannya saja bersahaja tapi jantungnya sudah berhenti berdegup. Dunia bagaikan berhenti berputar dan dia bagaikan terapung di awang-awangan, tidak berpijak pada bumi yang nyata. Ada satu rasa aneh membelit jiwa. Sebu dalam perut. Bingung antara realiti atau mimpi. Ya, dia yang melamar tapi dia tidak menyangka Mawar akan menerima. Tidak semudah ini.
Melihat reaksi itu, Mawar jadi malu dan menyesal. Kepalanya yang tak gatal digaru-garu. Dia tidak boleh berpatah balik. Mana sanggup dia memandang ke dalam mata Orked tanpa membawa khabar gembira.
“Tapi aku nak kau tahu,” sambungnya selang beberapa minit. “Aku terima bukan sebab aku tak laku eh. Aku buat semua ni demi Orked. Jadi macam kau cakaplah. Win-win deal. Kau buat demi family kau, dan aku buat demi family aku. That’s it.”
Akram sedar sendiri. Dia tunduk sesaat, mengawal hati dan air muka agar tidak terlalu teruja.
“Okey. Baguslah kalau macam tu. Win-win deal. Tapi kenapa dengan Orked?” soalnya ingin tahu. Berlagak selamba.
“Orked, dia nak kahwin...”
“Dengan aku jugak?”
“Taklah, bodoh. Dengan boyfriend dia ler...”
“Tsk. Janganlah ‘bodoh’kan aku. Cakap elok-eloklah...”
Mawar jeling lagi. “Dah kau tu cakap tak cerdik.”
“Macamlah kau cerdik sangat. Huh.”
“Selagi aku tak kahwin dulu, Orked tak boleh kahwin. Abah aku tak bagi langkah bendul.”
“Biar betul. Kan adat aje.”
“Betullah. Habis tu kau ingat kalau bukan sebab terpaksa, aku hadap sangat ke datang sini jumpa kau semata-mata nak bagitahu yang aku nak kahwin dengan kau?”
Akram pantas menyua tubuh ke depan untuk menjentik dahi Mawar tapi kali ini Mawar lebih pantas mengelak dengan berundur ke belakang.
Tidak sedar Mawar ketawa kecil kerana berjaya mengelak.
“Mulut kau kan? Tak reti nak cakap baik-baik,” kata Akram kembali duduk seperti tadi.
Mawar menjelir lidah. “Tak kisah. Wek...”
Akram menyorokkan senyum. Haih. Geram pula dia melihat tingkah kebudak-budakan Mawar. Macam manalah dia tak angau siang malam?
Mawar Safiya terlalu imut!
“Okey tak apa. Jadi kau dah terima lamaran akulah ni?” Dia kembali pada topik utama.
Mawar angguk. Berkurang sudah malunya. Itu satu hal yang dia tidak sedar. Walaupun dia dan Akram tidak pernah rapat bahkan sudah sembilan tahun tidak berkomunikasi, tapi dia tidak pernah janggal bersama Akram. Seolah-olah tiada tahun yang berlalu.
“Tapi aku ada banyak benda nak bincang.”
“Eh memanglah kena bincang banyak benda. Bukan harini plan esok terus nikah. Banyak proses, banyak prosedurnya.”
“Itu belakang kira. Sekarang aku nak buat perjanjian dengan kau dulu sebelum kita pergi next step.”
“Perjanjian apa pulak kau ni? Macam drama pukul tujuh maghrib macam tu? Perjanjian tak boleh jatuh cinta? Tolonglah, Mawar.”
“Eh tak ada makna aku nak buat perjanjian macam tu.”
“Ha... Tahu tak apa. Kau kena ingat. Rasa dalam hati kita ni, Allah yang titikkan. Allah yang selitkan. Allah yang tanamkan. Kita siapa nak tetapkan syarat macam tu kan?” Akram mula membuka mukadimah ceramah tak berbayarnya.
“Harini kau benci aku, mana tahu esok lusa Allah titikkan rasa sayang,” sambungnya lagi beria membuatkan Mawar jongket sebelah bibir tanda ‘tidak hingin’.
“Dah. Kau jangan nak melebih-lebih, Akram.”
“Habis tu kau nak bincang apa?”
“Aku nak setkan beberapa peraturan sebelum, semasa dan selepas kahwin.”
“Amboi.”
“May I?”
“Okay, proceed.”
“Okey, dengar sini.”
“Eh kejap.”
“Apa lagi?”
“Alah kau ni. Garang betul. Amarah dalam diri tu cuba kawal sikit. Jangan diikutkan sangat bisikan kawan kau, si syaitan tu...”
Mawar berdecit sekali dengan jelingan maut. Berpeluk tubuh pula. Gaya harimau betina namanya.
Akram sekadar menggeleng-geleng kepala. “Kau nak bincang lama ke? Takkan nak berdiri aje kat tangga ni. Marilah masuk dalam. Berbincang di ruang tamu. Ngopi, ngeteh.”
“Tak mahu. Aku nak cepat.”
“Ha... Ni mesti kau bagitahu bapak kau keluar pergi kedai runcit kan?” giat Akram mengena tepat di batang hidung Mawar tapi dek kerana ego, Mawar memangkas laju.
“Tak ada maknanya aku nak menipu abah aku.”
“Yolah tu. Dah, cakap cepat.”
“Kau tu yang asyik potong aku bercakap.” Dah macam budak-budak mereka bertikam lidah.
“Okay fine... Aku tak menyampuk dah.”
“Ehem.” Mawar berdeham sekali. “Sebelum nikah, aku nak kau jumpa family aku. Malam ni kau datang jumpa abah aku. Yang penting abah aku.”
“Malam ni? Serius? Haih. Gelojoh jugak kau eh?”
“Hotak kau.”
“Mulut.” Akram mengipas muncung tudung Mawar. Laju, tidak sempat Mawar menggunakan jurusan elak kilatnya. “Mulut jaga.”
Mawar jeling seperti biasa sambil membetulkan semula muncung tudung.
“Orked nak kahwin bulan Disember nanti jadi kita kena nikah dalam bulan September atau Oktober so that abah takkan curiga. Better September.”
“September? Lagi dua tiga minggu. Mana sempat nak cari baju pengantin.”
“Tak payah nak baju pengantin sangatlah.”
“Eh no no no. Banyak cantik muka kau. Kalau kau nak kahwin cincai, kau kahwin dengan orang lain. Aku ni nak kahwin sekali seumur hidup. Nak jugak merasa pakai baju pengantin, naik pelamin.” Beria betul Akram bab merancang perkahwinannya.
Mawar mulai sebal. “Habis tu? Tak bolehlah hujung sangat... Nanti abah syak. Kena berjarak sikit dari tarikh Orked kahwin.”
“Hm... Awal Oktober rasanya boleh kut. Aku dah ada sijil kursus kahwin. Kau?”
“Aku pun dah ada.”
“Okeylah tu. Settle satu hal. Yang lain kita kena settle cepatlah kalau nak kejar awal Oktober.”
“Oktober bulan berapa ek?” selamba bengap Mawar bertanya. Keliru...
“Bulan sepuluh. Sepuluh. Ni, kau nampak jari aku? Se-pu-luh. Hesh kau ni. Tahulah sekolah dulu masuk kelas pemulihan. Takkanlah sampai ke besar tak pulih lagi otak kau tu.”
“Tsk. Aku confused.”
“Alasan.”
Dan untuk yang kesekian kalinya, Mawar jeling lagi.
“Apa-apa ajelah. Tapi yang penting, malam ni kau datang rumah aku, jumpa abah aku dan aku nak kau... tipu sunat sikitlah. Janganlah cakap kita nak kahwin terjun. Kau cakaplah kau nak masuk meminang sebab berkenan kat aku ke, apa ke, tapi jangan cakap bercinta. Abah aku tak bagi aku bercinta belakang dia.”
Berkerut seribu dahi Akram mendengarnya. “Hai. Apa yang pelik sangat family kau ni, mak cik? Itu tak boleh, ini tak boleh. So ini konon kau tak tahu aku datang merisik ke apa? Habis tu nanti Orked dengan pakwe dia nak buat alasan macam mana pulak?”
“Janganlah sampai tak tahu menahu langsung. Macam... kita tak bercinta, tak keluar dating tapi dalam diam ada perasaan. Alah, kau rekalah sendiri...”
“Aduh...” Akram garu kepala semacam serabut benar gayanya. “Aku rasa meminang Puteri Gunung Ledang tak ada rumit macam ni sekali.”
“Okey, itu sebelum. Semasa pulak, kau berlakon sikit depan saudara mara aku nanti. Berlakon macam kita ni betul-betul nikah sebab nak sama nak. Maklumlah. Mak cik-mak cik aku semua tu pesara FBI. Mata tajam, telinga tajam. Firasat hati pun tajam. Jadi jaga-jaga jangan sampai kantoi.”
“Ya Allah, Mawar…” Akram menggeleng lagi. Pening kepala.
“Selepas pulak, ha. Aku tak nak kau melebih-lebih. Jangan nak guna kuasa veto kau sebagai suami sah untuk buat benda pelik.”
“Benda pelik apa pulak kau ni...”
“Hmh. Itu lepas dah nikah baru kita bincang semula.”
“Ini... kau sorang aje ke yang complicated macam ni atau semua perempuan dalam dunia macam kau?”
“Aku sorang aje macam ni. Biar merana hidup kau sebab lamar aku.”
Pft! Tawa Akram meletus lucu.
“Oh... Mengaku juga akhirnya.”
“Hmh. Malaslah aku layan kau. Aku balik dulu. Ingat. Malam ni, datang jumpa abah.”
“Ya, sayang intan payung...”
“Eiy!”
Akram ketawa besar bila Mawar tayang muka jijik. Sempat pula gadis itu menjelingnya sebelum mengatur langkah pergi. Jauh benar parking basikal.
Setelah bayang Mawar hilang di balik selekoh, barulah dia angkat punggung dengan hati berbunga-bunga. Teruja dia berjalan menuju ke dapur. Menyanyi kecil bagai.
Di dapur, Puan Ameeta sedang bertingkah dengan Encik Rauf tentang cara memotong kek.
“Along, cuba tengok bapak kamu ni hah. Dia nak belah kek separuh macam ni, tak cantiklah...” adu Puan Ameeta tatkala Akram mendekati meja.
“Awak nak potong cara awak, awak buatlah sendiri...” sela Encik Rauf pula.
Tapi Akram entah dengar ke tidak apa yang dikata orang tuanya. Dia tersenyum-senyum bahagia ambil berdiri di bucu meja. Tangan ringan mencubit kek pisang yang masih panas lalu disumbat ke dalam mulut.
“Along. Kenapa ni? Senyum senyum,” tegur Puan Ameeta hairan. Dia dan suaminya bertukar pandang beberapa saat.
“Mawar datang buat apa tadi?” Encik Rauf pula bertanya.
Makin lebar senyuman Akram mendengar nama Mawar disebut.
“Mak, bapak.”
“Ya. Kenapa, long? Mak dah risau ni.”
“Along tak jadi balik KL nanti petang.”
“Kenapa?” Puan Ameeta kerut dahi. Bukanlah dia tak suka tapi cuma pelik.
“Calon menantu mak dengan bapak dah terima lamaran along jadi dia nak malam ni kita jumpa family dia, masuk merisik.”
“Hah??” Mata galak Puan Ameeta yang bercelak hitam itu membuntang luas. Nampak sangat terkejutnya.
“Merisik? Malam ni? Eh, along jangan main-main... Kita persiapan satu apa pun tak ada. Nak merisik apa. Ya Allah, long...” Wanita itu gelabah seperti biasanya.
“Jangan risau, ini saya ada kek pisang sedap,” celah Encik rauf tenang mengundang tawa lucu Akram.
“Awak ni tak habis habis dengan kek pisang awak.”
“Mak, sabar... Bawa bertenang. Ambil nama merisik aje. Dia cuma nak kita jumpa keluarga dia. Bagitahu mak ayah dia hajat along nak menikahi dia. Itu aje. Macam bapak cakaplah.
Bawa kek pisang pun boleh...”
Puan Ameeta tidak termakan kata-kata Akram. Dia masih gelabah memikirkan banyak hal sementara suaminya cuma bertukar senyum dengan Akram. Entah apa yang kelakar sangat di waktu begini.
“Sepatutnya waktu merisik inilah along kena tunjuk persepsi yang baik. Datang dengan cara baik, bawa buah tangan tanda kita menghormati tuan rumah... Eh. Sempat lagi kita beli buah, kuih, long? Jauh ke rumah perempuan?”
Akram senyum lagi. Buat muka comel meletakkan dagu di bahu Puan Ameeta. “Erm... Kalau jalan kaki mungkin jauh sikit, mak. Kalau naik kereta dalam lima minit macam tu.”
“Lima minit?” Puan Ameeta bingung. Kutlah telinga tuanya salah dengar.
“Dekat sangat tu. Siapa kamu nak kahwin ni, long?” Giliran Encik Rauf pula bertanya penasaran.
Akram angkat dagu. Berundur setapak ke belakang dan mengoyak sengihan bak kerang busuk. Meleret sampai telinga. Belakang kepala dia garu-garu pula sebelum membuka mulut.
“Mawar. Kita nak masuk merisik Mawar Safiya, anak Pak Cik Khalid dengan Mak Odah.”
“Mawar???”
Share this novel