BAB 4 : BIAWAK KOMODO

Romance Series 123204

RUANG pejabat yang agak luas dan elegan interiornya itu dipenuhi bunyi tembak-menembak. Pistol, senapang, bom segala senjata tak henti berbunyi. Diselang seli dengan suara serak-serak garau membebel sesuatu. Sesekali menyumpah marah. Sesekali bersorak senang.

Itulah Akram Hidayat. Elok berseluar slack biru gelap, kemeja hitam dan kot serona seluar tapi terlentang di atas sofa sambil bermain permainan dalam telefon. Bersungguh sampaikan anggota tubuh bergerak ikut rentak permainan.

Tok! Tok! Tok!

Bunyi ketukan di pintu pejabatnya menyapa telinga tapi sikit pun dia tidak beri perhatian. Beberapa saat, pintu terkuak dari luar dan sebatang tubuh gempal menapak masuk bersama helaian kertas dan fail yang agak tinggi.

Wanita lewat 30-an berambut kemerahan itu meletakkan kertas dan fail itu di atas meja kerja Akram sambil mulut terkumat-kamit mengomel sesuatu yang tak jelas.

"Hai Kak Bee. Marah kat siapa tu. Bergaduh dengan hubby ke?" giat Akram selamba sedangkan mata masih melekat kemas pada skrin telefon.

Mendengar itu, Abby atau nama sebenar Habibah, mendekati set sofa sebelah kiri ruangan.

"Tak... Itu reporters kat bawah tu. Tak reti bahasa. Dah cakap nak datang kena set appointment dulu. Nak juga meluru masuk macam orang tak ada adab."

"Iya?" Acuh tak acuh Akram membalas.

"Pening kepala akak. Hesh. And... atas meja tu ada bahan untuk next case. Akram tengok dulu. Need anything, bagitahu akak."

"Shit! Buta ke? Aduh..." marah Akram apabila ahli pasukannya sendiri menembak dia di bahagian bahu. Dalam permainan, bukan realiti.

"Oh. Sorry, Kak Bee. Okay, okay. Nanti saya tengok," sambung Akram tersengih-sengih pada sekretarinya.

Abby yang sudah terbiasa dengan perangai Akram sekadar menggeleng kepala seraya mengatur langkah untuk keluar.

"By the way..." Akram bersuara mematikan langkah Abby di muka pintu. "Reporters tu dari mana?"

"Entah. Bukan nama besar. Kejap..."

Abby pejam mata cuba mengingat sebaris nama. "Legacy? The Legacy?"

Zap! Laju Akram mengangkat tubuh. Cerah mata memandang Abby. Sedikit terkejut. Takut kalau dia salah dengar.

"The Legacy?"

"Haah. Rasanya."

Akram pantas bangun berdiri. Kalut merapikan rambut dan pakaian di tubuh. Muka pula ditilik pada skrin telefon. Masih kacak.

"Kak Bee, suruh dorang masuk. Ada sorang perempuan sorang lelaki kan?"

Abby angguk dalam kehairanan.
Buang tabiat ke apa Akram ni? Kan lelaki itu sendiri yang tidak suka ditemu bual. Leceh nak berlagak 'man with charisma'.

"Cepatlah, Kak Bee. Nanti dorang balik pulak."

"Ah. Ya. Akak panggil dorang naik."

* * * * *

Tajul duduk di atas anak tangga luar bangunan firma guaman enam tingkat yang berdiri megah di Putrajaya. Dia melepaskan keluhan panjang. Hampa mukanya kerana dihalau sekuriti. Ini semua gara-gara Mawar yang kononnya ada plan tapi ternyata, nak ceroboh masuk. Memalukan betul.

Dia merenung Mawar di sisinya yang tayang muka selamba. "Ini plan kau?"

Mawar menoleh bersama kerutan di dahi. "Aku dah cakap dia berlagak kan?"

"Itu ajelah alasan kau."

Mawar diam. Tidak berkisah tentang mata mata yang melihat ke arahnya, dia mengolah akalan. Egonya dicuit dengan kata-kata Tajul. Ingat dia ni orang sembarangan ke?

"Kau betul nak jumpa malaun tu?"

"Kenapa? Kau nak menyurup ikut paip jamban?"

"Kau!" Tangkas tangan Mawar menepuk kepala Tajul sebelum sempat lelaki itu mengelak.

"Sakit! Janganlah main kepala.
Ini aje harta berharga aku. Otak bernas aku." Tajul menjauhi duduk daripada Mawar.

"Dengar sini. Aku boleh bawak kau jumpa malaun tu dengan petik jari aje tau?"

"Huh."

"Tak percaya? Mamat kerek tu sekor, dia tinggal satu..." Mawar teragak-agak. Geli nak mengakui fakta mereka saling kenal sejak kecil. Nanti nampak macam dia menumpang populariti Akram. Eih.

"Cik, encik," celah satu suara tiba-tiba membuatkan Mawar dan Tajul serentak menoleh ke belakang.

Mereka pantas berdiri menghadap lelaki tinggi dan tegap berseragam pengawal keselamatan.

"Kami dah nak pergilah ni. Jangan sampai halau kedua kali..." Lirih suara Tajul berkata.

"Encik Akram minta cik dengan encik jumpa dia di pejabat. Tingkat tiga. Boleh ikut staf yang kat dalam tu," maklum pengawal keselamatan kepala botak itu pula dengan tenangnya sambil menunjuk sopan ke arah yang dimaksudkan.

Cukup untuk membuatkan Tajul dan Mawar kehairanan. Mereka bertukar pandang sebelum sama-sama melempar pandangan ke arah dalam bangunan kaca. Seorang gadis muda berskirt separa lutut tercegat menanti.

"Betul ke ni?" soal Tajuk bingung.

"Ish. Banyak tanya." Mawar lantas berjalan masuk semula ke dalam bangunan disusuli Tajul.

Mawar biasa saja riaknya. Cuma Tajul teruja kalahkan anak kecil dibawa masuk zoo di hari lawatan sekolah.
Mereka membuntuti langkah staf perempuan cantik yang mengorak jalan buat mereka untuk ke pejabat Akram.

"Weh... Besar gila kan? Rasa macam duduk luar negara. Hebat betul Akram Hidayat," bisik Tajul pada Mawar yang lebih tinggi daripadanya. Dia separa telinga Mawar.

Mendengar itu, Mawar jongket bibir tanda jelik. "Dia pun bekerja bawah orang. Tempat ni bukan tempat dia sorang. Ramai lagi lawyer hebat lain, staf penting lain. He's not the main character okay?"

"Bitter betul kau. Makan apa kau? Batu?"

"Nak aku makan kau ke?"

Tajul telan liur, spontan menjarakkan diri dari Mawar. Bukan boleh percaya sangat si Mawar ini. Nama saja indah. Empunya nama psiko!

"Sila masuk," pelawa staf pengiring setibanya mereka di depan pintu pejabat tertera nama 'Akram Hidayat'.

Tanpa basa basi, Mawar terus menerjah masuk tanpa salam membuatkan Tajul kalut menyusul berniat nak menampar muka Mawar agar sedar diri tapi terhalang apabila melihat orang yang dikejar sudah berada di depan mata.

Tajul gugup, berdiri di sisi Mawar menghadap Akram yang duduk di atas kerusi kulit dengan penuh gaya memegang sebatang pen. Sedang meneliti fail kes mungkin.

Wah. Karisma!

"Jemput duduk," sila Akram tenang sambil tersenyum manis memandang Tajul dan Mawar. Berpura-pura tidak mengenali Mawar.

Meski sedikit gemuruh kerana teruja bercampur ketidakpercayaan, Tajul tetap mengambil tempat bertentangan Akram. Senyum-senyum, angguk-angguk. Kalahkan mengadap raja.

Selang beberapa saat, Mawar masih berdiri. Merenung muka Akram semacam memori masa kecil berlegar di layar mata. Terutamanya babak lelaki itu meletakkan tahi lembu di atas kepalanya.

Melihat itu, Tajul ketap gigi. Pantas menarik tali beg yang digalas Mawar memaksa gadis itu duduk di sebelahnya. Untung saja Mawar menurut. Kemudian barulah dia tersegih-sengih macam kerang busuk di depan Akram.

"Maaf, Encik Akram. Kawan saya ni..." Dia memutarkan jari dekat kepalanya buat isyarat senteng.

Akram senyum. Memandang pada Mawar sebelum ketawa kecil.

Sinis pula menyapa telinga Mawar.
"Kenapa gelak?"

"Syh! Kau diam." Sepantas kilat Tajul bertindak menekup mulut Mawar kali ini seakan terlupa tentang batas perhubungan.

Akram yang melihat pun serta-merta lenyap senyuman di bibir.
Pandangannya berubah sedikit layu.
Seperti benak merancang untuk melempar Tajul melalui tingkap kaca, jatuh sampai ke bawah sana. Biar patah tangan yang berani menyentuh Mawar itu.

Ah. Tak guna. Moodnya sudah melayang.

"Maaf, Encik Akram. Abaikan dia. Er... saya Tajul. Wartawan dari The Legacy. Ini... partner saya, Mawar," ujar Tajul yang tidak menyedari perubahan Akram.

Perlahan-lahan dia melepaskan mulut Mawar semacam nak melepas haiwan berbahaya kembali ke habitat asal.

"Saya peminat Encik Akram. Kagum sangat dengan... cara Encik Akram selesaikan setiap kes terutamanya kes Salina tahun lepas," sambung Tajul lagi.

Akram cuba mengawal perasan dan air muka. Senyum nipis dipaksa segaris. "Tajul right?"

Tajul teruja. Laju mencari mata Mawar seakan cuba menunjuk-nunjuk pada Mawar yang namanya disebut orang hebat seperti Akram.

Mawar cuma menjeling.

"Ya, saya. Saya nak minta kebenaran interview Encik Akram untuk... our magazine. Keluaran September tahun ini."

"Oh... Menarik. Majalah apa ya?"

"The Legacy."

"The..." Akram buat-buat tidak tahu.

"Legacy. Kami bertapak di Cheras and..."

"Before we start our interview session, boleh awak dapatkan saya a cup of coffee?"

"Kau ni kenapa berlagak sangat?" Tiba-tiba saja Mawar naik angin bila Akram melayan Tajul begitu. Hati dah panas kan.

Namun Akram angkat kening tanda bertanya apa salahnya sementara Tajul segera menenangkan Mawar.

"Chill sikitlah weh..." Dia berbisik sebelum kembali pada Akram.

"Tak ada masalah, Encik Akram. Any kind of coffee?" Lelaki itu bangun sedia menurut apa saja arahan Akram demi konten majalah.

Bertambahlah panas hati Mawar melihat anggukan Akram. Bahkan Akram melirik sinis ke arahnya seolah-olah sengaja nak menambah minyak pada hati yang sedang marak.
Setelah batang tubuh Tajul hilang di balik pintu...

Bam! Kuat mawar menampar meja.

"Kau sengaja nak kenakan kitaorang kan? Syarikat bapak besar macam ni tak ada tea lady? Tak ada pembantu?"

"Macam ni perangai kau sekarang eh?" Akram masih bersahaja. Menyandar selesa sedangkan Mawar hampir terbangun dari kerusi. "Dulu bukan main. Aku pegang tangan sikit menangis macam nak masuk neraka tapi sekarang... nyaris berpeluk tadi tu."

Mawar kerut dahi. Ambil masa beberapa saat untuk dia fahami apa yang dimaksudkan Akram. "Kau jangan melampau."

"Komando kau tahu ke perangai kau macam ni?" soal Akram belum mahu mengalah. Luka cemburu tadi bersisa baki.

"Suka hati akulah. Jangan nak sibuk hal aku. Kau uruskan hal kau aje.
Dasar hipokrit."

"Siapa yang hipokrit? Kau dekat kampung depan komando, sopan sangat kan? Pijak paku tak tembus. Siang malam kain batik. Suara jauh sekali nak dengar. Oh... jauh daripada mata komando, dah macam biawak komodo perangai kau."

"Akram Hidayat!!!" Mawar hilang pedoman, bertindak menerkam Akram walau harus merangkak di atas meja. Betul-betul macam biawak komodo mengganas.

Tapi Akram pun apa kurangnya.
Dah lama tidak 'mengajar' Mawar jadi dia keluarkan segala jurus terpendam. Tangan meraba-raba apa saja yang ada di atas meja, berjaya mencapai fail kulit keras. Fail itu dia hayun bertubi-tubi tanpa melihat sasaran. Mengena kepala dan lengan Mawar.

Mawar pula berterusan menggila. Rambut ikal Akram ditarik sekuat hati menggunakan teknik cengkaman kesumat. Sesekali kukunya digunakan untuk mencederakan leher Akram. Terserlah sisi psikopatnya di situ. Sama-sama gila dua orang ini.

Sampailah satu tahap, kerusi Akram akhirnya terlentang ke belakang. Dengan Akram sekali jatuh terlentang dan tubuh Mawar ditarik bersama membuatkan tubuh gadis itu menghempap tubuhnya.

Kalau anda rasa babak romantis akan muncul dimana mereka saling berpandangan tanpa suara, ditemani lagu latar nyanyian Alka Yagnik dan Udit Narayan, anda salah besar.
Melihat peluang yang ada, Mawar sepantas kilat menggigit cuping telinga kanan Akram sekuat hati diikuti tempikan Akram memenuhi segenap ruang pejabat.
Mungkin sampai ke luar pejabat.

"Sakit!" Akram menolak tubuh Mawar ke tepi, memegang telinganya sambil bangun berdiri menjauhi Mawar. Berkerut satu muka menahan sakit. "Kau dah gila ke?"

"Ya aku gila!" sahut Mawar kemengahan. Gadis itu berdiri. "Dah lama aku sakit hati dengan kau tahu tak? Kau ingat aku budak perempuan lemah macam dulu ke? Yang kau buli setiap hari?"

Kali ini Akram tidak sempat membalas saat melihat ada air mata meluncur dari kolam mata Mawar. Dia jadi sedikit kaget. Kan seharusnya dia yang menangis. Kenapa Mawar pula yang menangis?

"Kau... jangan nak berlagak mangsa eh."

"Semua sebab kau..." Ada getar dalam suara Mawar. Gadis itu menurunkan pandangan, menekur lantai.

"Kalau bukan sebab kau pancitkan tayar basikal aku malam tu, aku takkan balik jalan kaki sorang-sorang. Aku takkan lalu jalan pintas tu.
Dan aku takkan dirog..." Dia berhenti. Tidak sanggup menyebut sebaris perkataan yang menjijikkan itu. Peristiwa hitam sepuluh tahun yang lalu amat mengerikan buatnya sampai ke hari ini.

Dia... benci binatang yang meragut kesuciannya malam dan dia bencikan Akram.

"Your coffee prince is..." Tajul mati gerak di muka pintu tatkala melihat situasi aneh dalam ruang pejabat tika ini. Anak mata silih berganti memandang Akram dan Mawar.

"Er..."

"Aku nak balik," ucap Mawar menghayun langkah besar meninggalkan pejabat Akram.

Tajul yang bingung dan keliru, terpaksa meletakkan minuman yang dibeli dari kafe di atas meja Akram lalu mengejar langkah Mawar sampailah ke luar bangunan. Tajul menghalang laluan Mawar di tempat parkir kereta.

"Weh... Janganlah buat aku tertanya-tanya macam ni. At least sebelum kalau pergi, explain dulu apa sebenarnya jadi."

"Aku tak ada mood, Tajul. Aku tak rasa nak bagitahu sesiapa."

"Tapi..."

"Tajul, please... Aku penat, nak balik. Aku nak mintak cuti harini. Lantaklah David nak bising sekalipun."

Tajul terdiam mati kata. Tiada niat nak mendesak kerana dia tahu betapa keras kepalanya Mawar seorang. Ah... Melepaslah peluangnya nak menemu bual Akram Hidayat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience