BAB 12

Romance Series 123204

TIGA MINGGU KEMUDIAN...

    SETELAH penat meronda satu bangunan KTCC, Mawar dan Akram berehat sebentar di restoran KFC untuk makan tengah hari. Tak adalah tengah hari sangat. Sudah jam 3:30 petang sebenarnya. Plastik dan beg kertas hasil belian hari ini diletak di atas lantai sebelah kaki meja.

Walaupun mengkritik pilihan makanan Mawar, Akram tetap menikmati makanannya. Satu set Dinner Plate sementara Mawar pula memilih satu set Zinger Burger.

“Orang nak makan nasi, dia loghat nak makan KFC. Dua hari lepas dah KFC. Aku tengok muka kau pun dah macam ayam goreng tahu tak?” bebel Akram meski dia tidaklah berkisah sangat tentang makanan.

Tambahan hatinya cukup terhibur setiap kali keluar makan bersama Mawar. Tuannya kurus tapi makannya banyak dan bersungguh. Tak pandang kiri kanan bila ada makanan atas meja.

“Kalau kau nak makan nasi, kau pergilah kedai lain. Yang kau ikut aku sampai sini kenapa?”

“Kau tu macam chips more. Sekejap aku tinggal kau, hilang. Susahkan aku kena cari satu mall ni.”

“Kau nak tak ayam tu?” Mawar menyoal tanpa menghiraukan omelan Akram. Mata sudah aim pada ayam goreng bahagian dada yang di pinggan Akram.

Akram geleng membuatkan Mawar terus menyambar. Makan tak ingat dunia. Untung saja Akram sudah cinta mati pada Mawar. Jadi gadis itu nak melahap macam hantu Mak Wok pun dia tak kisah. Tetap nampak cantik di matanya.

“Perlahan-lahanlah makannya. Tak ada kucing liar nak berebut dengan kau,” giat Akram menyandar tubuh. Dia sudah kenyang dengan cuma melihat Mawar makan.

Mawar yang berkain separa buku lali dan blaus peplum itu angkat muka. “Kita kena cepat. Banyak lagi barang tak beli. Balik lewat kang abah marah. Jangan mentang kau JPJ bawah abah, kau ada tiket emas. No no no.”

“Kaulah yang cerewet sangat. Pilih itu ini pun berejam. Cakap tak nak baju pengantin tapi dia yang paling beria. Warna itu tak kena, warna ini tak kena.”

Mereka sebenarnya sudah berada di kampung halaman. Masing-masing dah dapat cuti kahwin bermula semalam. Sejak kejadian kedai mamak, sempatlah tak bercakap dua hari tapi lepastu terpaksa juga bertemu muka sebab nak uruskan hal nikah kahwin. Dan setakat ini semuanya berjalan lancar.

Yang tak lancarnya sekarang, Mawar terlalu cerewet bab memilih sesuatu. Jenuh Akram yang ikut bersama.

“Aku nak tanya kau. Kau rasa logik ke kau nak baju kita warna kuning bunian tadi?” Mawar menyoal Akram dek geram dituduh cerewet. Mulut masih mengunyah. Makan tetap makan.

“Lah. Itu kuning diraja. Kuning bunian nenek kau.”

“Nenek aku dah arwah, kau jangan buat main eh.”

“Maaf.”

“Okey. Kau cakap kuning diraja, fine. Tapi kau rasa sesuai ke dengan kita? Kulit aku tak berapa cerah, kulit kau apatah lagi. So kita kenalah cari warna yang sesuai dengan tone warna kulit kita. Kau jugak cakap kau nak kahwin sekali seumur hidup aje. Kau nak ke gambar kau nanti keluar tak cantik? Tema warna memainkan peranan yang sangat penting dalam menhasilkan gambar yang cantik. Faham tak?” Panjang lebar Mawar berhujah kali ini. Tiada ruang Akram nak menyela.

“Kau nak cakap kulit tak berapa cerah ni tak cantik dalam gambar?”

“Kau jangan nak putar belitkan kenyataan aku. Tak kisah kulit kau cerah ke, gelap ke, kalau salah pilih tema warna, hasil tak akan cantik.”

“Habis tu kau nak pilih warna apa sebenarnya? Aku dah pening nak cari butik pengantin mana lagi ada jual warna yang kau nak.”

“Ada... kau kena sabar. Usaha.”

“Aduh...” Akram meraup rambut ikalnya ke belakang.

“Kau tenang aje. Kau just sediakan duit, aku uruskan semua.”

“Hai. Belum kahwin kau dah nak kikis harta aku.”
“Kau yang nak kahwin dengan aku, bukan aku paksa. Minggu lepas aku belanja kau makan kan? Kau jangan buat lupa pulak.” Akram geleng kepala tanda tiada kata nak menempelak Mawar. Bukan tiada kata tapi Mawar yang banyak sangat katanya.

“Lepas nikah nanti, ingat. Malam tidur rumah kau kan? Keesokan tu, kau bermalam rumah aku pulak. Family mak aku dari Kedah datang. Lepastu keesokan pulak baru kita balik KL.”

Mawar mengangguk kepala acuh tak acuh sambil makan ayam goreng. Mereka dah pernah bincang dah hal ini beberapa hari lepas. Dua-dua tak boleh cuti lama. Hari keempat selepas nikah mereka perlu masuk kerja.

“Di KL, kau duduk rumah aku sebab takkan kau nak aku duduk rumah kau dengan dua orang housemate kau kan?”

“Ish... Tak boleh ke kalau kita duduk asing? Bukan parents kita tahu pun.”

“Allah tahu, mak cik. Kau kalau dah nikah, kena ikut cakap suami. Syurga kau bawah tapak kaki aku hah. Ingat. Jangan dibuat main bab hukum agama.” Lancar pula Akram kalau bercakap bab begini. Intonasi suara pun berubah macam pendakwah bebas. Saja nak buat Mawar menurut perancangannya.

Dan benar, Mawar tidak lagi membantah. Cuma menjuih-juih sambil buat muka.

Ting! Bunyi notifikasi telefon bimbit Mawar mencelah dua kali tanda ada mesej baru diterima.

Serentak menarik perhatian Mawar dan juga Akram.

Akram diam, memerhati gerak-geri Mawar yang sebelah tangan memegang ayam goreng di mulut, sebelah tangan memegang telefon.
bimbit. Rancak jemari menari di atas skrin. Melihat Mawar yang begitu tekun, hati dicuit rasa penasaran. Juga cemburu.

Entah siapa yang dimesej Mawar. Lelaki atau perempuan? Soal kerja atau peribadi? Dia… cuma mahu Mawar fokus pada dirinya seorang sahaja. Dia mahu tumpuan Mawar hanya padanya. Dia mahu memiliki Mawar sepenuhnya.

“Hesh. Itu ini serba nak tanya aku,” omel Mawar selang beberapa minit sambil meletakkan telefon di atas meja. Ayam gorengnya kembali dikunyah.

Melihat peluang terbuka, Akram menyua tubuh ke depan, muka masih bersahaja. “Siapa?”

“Siapa lagi yang siang malam duk kacau hidup aku? Tajul ler… Aku rasa kalau dia boleh bergayut atas bahu aku, dah lama dia bergayut ikut aku ke hulur ke hilir. Serius cakap, dia tak boleh hidup tanpa aku.”

Akram sentap sendiri mendengar jawapan Mawar. Sekelip mata air muka berubah keruh. Mendung pun iya juga. Terasa hati saat nama Tajul disebut. Terbayang-bayang pula kemesraan Mawar dan lelaki berwajah jambu itu selama ini.

“Kau…” Dia teragak-agak nak meluahkan isi hati. Muka orang terkilan terpampang jelas.

“Apa dia? Nak makan nasi?”

“Kau dengan Tajul ada apa-apa hubungan ke?”

“Hah??” Mawar kaget, sesaat berubah jijik. “Aku dengan Tajul? Hubungan apa? Kawanlah.”

“Just kawan? Nothing more?”

“Choi! Choi mulut kau.”

“Kau cakap dia tak boleh hidup tanpa kau.” Berbaur rajuk nada suara Akram kali ini. Sekejap keruh, sekejap kendur. Galau hati gara-gara cemburu.

Mawar yang langsung tak dapat membaca rasa hati Akram, sekadar menggeleng kepala.

“Tajul tu, dia macam budak tak cukup DHA sikit. Sel otak dia kurang berhubung dan dia dah terbiasa ada aku as support dia. Kalau tak ada aku, hmh. Naya Pak Abu. Lembab, lurus bendul. Mudah kena scam.”

Akram masih tak berpuas hati. Makin sakit hati adalah. Sampai bila Tajul nak bergantung pada Mawar?

“Betul ke dia tak ada perasaan suka kat kau lebih dari seorang kawan?”

“Oh.” Mawar berhenti makan, tayang muka mual nak muntah. “Kau jangan buat aku terbayang benda pelik boleh tak? Geli-geleman kalau plot twistnya, Tajul nakkan aku.”

“Jadi betul kau pun rasa dia sukakan kau?”

“No! Ish kau ni. Kalau aku hempuk kepala kau dengan tulang ayam ni karang, tak pasal pelamin anganku musnah.”

Akram ketawa kecil. Sedikit lega dengan reaksi Mawar barusan.

“Gila kau ni, Akram. Orang marah, kau gelak.”

“Aku boleh jadi lebih gila daripada ni tau. Jadi kau better jaga batas kau dengan Tajul.”

“Hah?” Mawar kerut kening. Sebelah bibir terjongket tanda tak memahami maksud ucapan Akram.

Entah sel otak siapa sebenarnya yang tak berhubung.

“Dah. Makan cepat. Dah lewat ni,” gesa Akram bersama senyum.

Baik pula Mawar menurut bak anak kecil diperhati Akram.

Setelah selesai makan, mereka sambung memburu segala apa yang diperlukan untuk majlis pernikahan nanti. Lagi satu minggu sebelum majlis.

Majlis akad nikah akan berlangsung pagi di Masjid Kampung Raja. Majlis makan-makan di rumah pengantin perempuan bermula jam sepuluh pagi dan acara bersanding berlangsung jam 12:30 tengah hari. Itulah perancangan yang dibuat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience