2004 : TRAGEDI TAHI LEMBU

Romance Series 123204

KAMPUNG RAJA.
15 TAHUN YANG LALU...

    "Man! Sini! Sini!" Timbul habis anak tekak di leher Akram meminta kawannya memberi dia bola memandangkan dia yang paling dekat dengan gawang gol.

Sememangnya menjadi rutin harian budak-budak kampung bermain di padang waktu petang begini. Padang kampung yang cuma berlapik pasir tanah hitam dan putih. Dekat kawasan rumah masing-masing.

Sekarang sebelah padang diguna Akram dan sembilan orang kawannya bermain bola sepak. Sebelah lagi ada sekawan budak-budak lain bermain lompat tikus. Kat tepi padang pulak ada lima orang budak perempuan main masak-masak.

Kembali pada Akram, budak lelaki 12 tahun itu berseluar pendek atas lutut, tidak berbaju menampakkan tubuh kurusnya yang bersalut peluh dan pasir. Sampaikan 'masak' kulit duk bermain sejak selepas asar hingga sekarang dah pukul 6:45 petang. Nama pun budak lelaki, budak kampung sejati. Serius, kampung boy. Apa yang dia tak pernah buat?

Main tengah panas sampai tak nampak rupa manusia? Check.

Mandi lumpur? Check.

Terjun parit? Check.

Panjat kerbau lembu? Check.

Tangkap ayam? Check.

Merangkak dalam semak-samun cari belalang? Check.

Curi mangga surau? Pun check.

Umur baru 12 tahun tapi banyak betul ni pengalamannya. Jenis sukakan cabaran.

   "Akram, tu. Sana sana." Leman, si tinggi melangguk datang memberitahu Akram sesuatu.

Tak jadi Akram nak menyepak bola yang baru sampai di kakinya. Dia berpaling ke arah yang dimaksudkan Leman.

Di tepi padang sana, muncul gadis sunti berbaju T lengan pendek dengan gambar pelakon Shah Rukh Khan terpampang di dada baju. Sepakej seluar track garis tepi. Rambut panjangnya diikat satu macam ekor kuda. Kalau tak diikat, konfom macam pontianak.

Melihat kemunculan itu, Akram tersenyum senang tanpa sedar. Senyum sendiri.

   "Orang dah nak balik, dia baru datang. Mesti komando tak bagi dia keluar kan?" kata Leman menyedarkan Akram.

Akram tarik semula senyum. Kepala diangguk-angguk. Sempat sekali lagi memandang Mawar yang ikut serta geng masak-masak sebelum dia kembali pada bola di kaki. Kawan-kawannya pun sabar aje menunggu. Maklumlah, Akram kan ketua geng.

   "Aik. Kau tak nak kacau Mawar ke? Bukan ke kau tak suka Mawar? Tiap kali nampak dia mesti kau kenakan dia." Leman pun dah sebati dengan sikap Akram yang sejak dulu lagi selalu kacau Mawar. Sehari tak bergaduh, tak sah.

Akram tak menjawab, dia meneruskan permainan yang terbantut. Ligat berlari, menyepak, menendang kalahkan pemain berbayar.

Siang menjengah senja. Perlawanan bola pun berakhir dengan pasukan Akram menang 13 gol. Dalam sembilan orang kawan Akram, tujuh orang dah bergerak pulang. Takut mak ayah marah balik lewat. Akram dan Leman masih di padang, berbincang apa mereka nak main esok. Jadual padat budak-budak ni semua.

Dalam rancak berbincang, Akram menoleh ke arah geng masak-masak di tepi padang sana, mencari Si Mawar. Tapi tak ada pulak orang yang dicari. Sempat meliarkan anak mata kiri kanan depan dan... belakang.

Dia nampak Mawar ada bersama sekumpulan budak lelaki di atas padang yang sama. Tampak seronok Mawar bermain lompat tikus sampaikan ketawa terbahak-bahak. Cukup untuk buat kerut dahi tanpa sedar. Bola yang tadi dipegang, dia lempar ke tepi, tangannya digenggam kemas. Dia masih muda, tak kenal kata cemburu. Jadi yang tahu, dia tak suka melihat Mawar bermain dengan kumpulan lelaki itu. Perutnya serasa macam nak muntah. Hatinya rasa macam nak marah. Mungkin kerana Mawar tak pernah ketawa dengannya tapi malah ketawa dengan orang lain. Entah. Dia tak tahu nak mengerti perasaannya sendiri.

Namun tidak berfikir panjang, kaki dihayun ke arah geng lompat tikus membuatkan Leman terkulat-kulat ditinggal di tengah-tengah perbincangan. Sesaat, Leman juga menyusul.

Akram berhenti dekat kumpulan budak-budak lelaki lingkungan umur 10 tahun ke 13 tahun itu. Mawar sorang saja perempuan.

   "Mawar, ni bukan tempat kau. Padang ni untuk lelaki je," kata Akram membantutkan gerak Mawar yang baru nak merangkak di atas tanah. 

Mawar bangun, mengesat-ngesat tangan pada baju sendiri. Berpeluh dan comot.

   "Kenapa pulak? Ni bukan padang kau."

   "Kau perempuan, main cara perempuan."

   "Tapi Lela tak bagi aku main sebab aku datang lambat."

   "Dahtu kau balik la!" Akram bertindak menolak kasar tubuh Mawar sehingga terjelepok gadis sunti itu jatuh.

Muka Mawar berkerut menahan sakit, yang lain terkejut tapi tiada yang berani membantu kerana takutkan Akram.

   "Aku tak nak balik! Aku nak main kat sini, ni bukan tempat kau yang punya!" Masih petah mulut Mawar melawan setelah kembali berdiri.

Akram ketap gigi. Dia memandang budak-budak lelaki di sebelah Mawar untuk beberapa saat sebelum laju berjalan keluar padang. Tangan mengutip sebatang kayu pemukul yang biasanya mereka guba untuk main permainan 'roundas'. Membawa kayu itu, dia berjalan laju ke arah jalan. Tak fikir panjang pun, dicedoknya tahi lembu segar yang di atas jalan menggunakan kayu itu lalu berlari semula ke padang.

   "Akram!" Leman tak sempat menghalang apabila Akram lebih pantas meletakkan tahi lembu di atas kepala Mawar, terseret sampai ke hujung rambut.

   "Aaa!!!" Jeritan Mawar kuat memecah senja. Menggelupur gadis itu dengan tangan terkipas-kipas tanpa arah kerana rasa jijik.

Akram berdiri saja, tidak menunjukkan rasa bersalah sedang yang lain lintang-pukang berlari pergi kerana takut Akram melakukan hal yang sama pada mereka. Dengan Leman sekali lesap, takut dipersalahkan.

Tinggallah Akram dan Mawar berdua.

   "Aku dah suruh kau balik kau tak dengar. Sekarang kau nak balik tak?"

   "Kau jahat!!" Tempik Mawar separuh menangis. Bersungguh-sungguh dia menangis sampaikan meleleh air mata dan hingus. Muka merah menyala.

   "Lagi sekali kau main kat padang aku, aku sapu tahi lembu kat muka kau."

   "Kau jahat, Akram! Aku bagitahu bapak kau!!"

* * * * *

    Zap! Rotan buluh hinggap di tapak tangan kanan Akram untuk yang ketiga kali berturut-turut.

Akram berdiri tegak, langsung tidak mengaduh, jauh sekali menangis mengakui salahnya. Muka tak berperasaan ditayang. Lagipun dia tahu bapaknya tak akan bertindak lebih daripada rotan tiga kali. 

Ruang dapur sepi sebentar selepas bunyi rotan bertemu kulit barusan. Encik Rauf bercekak sebelah pinggang memicit batang tengkuk sedang Puan Ameeta duduk di atas anak tangga kayu.

Budak lelaki berusia 10 tahun diam saja duduk di sisi Puan Ameeta. Terkebil-kebil mata melihat abangnya dihukum.

   "Kenapa along selalu sangat ganggu anak Cikgu Khalid? Bapak dah malu muka setiap hari nak kena minta maaf kat dorang. Hari-hari along buat masalah. Tak kesian ke bapak dengan mak?" Suara Encik Rauf lembut saja meski ada nada kecewanya.

Akram diam. Tidak membalas pandangan mata si bapak, dia cuma menekur dada lelaki berkain pelikat itu. Kedua-dua tangannya bersatu di belakang tubuh sendiri.

   "Esok, along ikut bapak pergi rumah Cikgu Khalid. Minta maaf dengan Mawar elok-elok," sambung Encik Rauf. Sempat dia mengusap sekali rambut ikal anak sulungnya sebelum beredar masuk ke dalam rumah.

Selang beberapa saat, Puan Ameeta menyusul suaminya kerana dia tahu Akram baik-baik saja.

Sebaik saja orang tuanya hilang daripada pandangan, barulah Akram mengeluh pendek. Meniup-niup tapak tangannya yang boleh tahan pedih. Berbirat juga dua, tiga garis merah.

Azfar, mendekati dengan muka polosnya. Baik budaknya. Fizikal ke personaliti, bertentangan Akram.

   "Along nak adik sapu ubat? Adik tahu kat mana mak letak ubat," tanya Azfar meraih tangan si abang. Bukan dia yang dirotan tapi bola mata bergenang seakan nak menangis.

Akram geleng. Senyum lebar tanda dia langsung tak terkesan dengan hukuman diterima tadi.

   "Sikit jelah." Dia usap rambut lurus Azfar. "Adik pergi masuk bilik adik. Buat kerja sekolah."

Azfar angguk dan menurut.

Tinggallah Akram sendirian di dapur. Termenung sejenak mengingatkan perbuatannya petang tadi. Terbayang jelas muka merah padam Mawar menangis. Waktu itu sumpah dia tak rasa menyesal. Tapi sekarang...

Dia garu belakang kepala bersama decitan kalahkan orang tanggung masalah negara.

   "Siapa suruh tak dengar cakap," getusnya cuba membela diri sendiri walau sekarang dia dihembus rasa bersalah.

Jujurnya dia tak terniat nak buat sampai macam tu sekali. Semuanya spontan. Terlalu marah melihat Mawar galak bermain dengan budak-budak lelaki yang lain.

Cuma dia tak faham kenapa dia perlu marah.

Entah. Dia tak suka dengan rasa yang bergolak dalam hatinya.

* * * * *

    "Saya segan betul dengan cikgu. Anak saya asyik buat masalah."

Akram berdiri di sebelah Encik Rauf, tadah telinga saja mendengar bapaknya itu meminta maaf pada Encik Khalid dan Puan Saodah. Mereka dua beranak berdiri di luar pintu rumah walaupun sudah dipelawa masuk tadinya.

   "Tak apalah. Bukan besar sangat masalah dibuat. Nama pun budak-budak..." Puan Saodah menjawab bagi pihak suaminya yang tampak kurang senang. Dia tahu suaminya seorang yang tegas dan tak gemarkan manusia tak berdisiplin.

Encik Rauf angguk meski masih merasa bersalah. Dia menoleh pada Akram di sebelah, mencuit sekali lengan Akram isyarat suruh minta maaf.

Akram yang berseluar pendek dan baju T lengan pendek diam dulu. Memandang wajah tegas Encik Khalid tanpa gentar.

   "Saya mintak maaf, pak cik." Senada, jelas tiada ketelusan.

Cukup untuk buat Encik Rauf terherot-herot bibir memberi isyarat amaran pula namun tak diendahkan Akram.

   "Ermm..." Encik Rauf beralih para Puan Saodah. "Mana Mawar? Akram nak minta maaf kat Mawar."

   "Ada, ada. Sekejap." Laju Puan Saodah bergerak masuk ke dalam rumah.

Encik Khalid, Encik Rauf dan Akram. Eloklah mereka ditinggal bertiga. Dingin, krik krik. Akram bersahaja riaknya. Si bapak Akram pula janggal dek keseriusan Encik Khalid.

Mujurlah Puan Saodah muncul semula membawa Mawar.

Munculnya Mawar, barulah riak muka Akram berubah serta-merta. Jelas lebih berminat. Tambahan pula ada yang berbeza pada Mawar kali ini. Sesaat sahaja diambil untuk dia menyedari hal itu.

Mawar memakai selendang. Selendang kuning sekali dengan anak tudung warna putih. Anak tudungnya pula ke depan, menutup separuh dahi.

   "Ha. Cepat minta maaf."

Akram tersedar dicuit sekali bapaknya. Cepat-cepat dia tutup mulut yang entah bila melopong.

Dia cuba mencari mata Mawar tapi Mawar berlindung separuh di balik tubuh Puan Saodah.

   "Aku minta maaf," ucapnya perlahan. Malu terasa nak menuturkan kata-kata itu.

Sejurus itu, semua mata beralih pada Mawar. Sabar masing-masing menanti Mawar buka mulut.

Mawar toleh kiri, memandang wajah lembut uminya. Toleh kanan, memandang wajah serius abahnya. Ikutkan hati, dia nak hempuk-hempuk muka Akram sampai lebam. Tapi... dia terlalu takutkan abahnya.

"Mm. Aku maafkan." Akhirnya suaranya kedengaran perlahan mengundang senyum lega Encik Rauf.

Akram senyum nipis, masih tak lepas merenung wajah Mawar. Jarang-jarang sekali Mawar tidak memandangnya tajam dengan muka cemberut.

*********
*********

Bab 15 akan menyusul sekejapppp saja lagi. Tunggu ya! (^^)/

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience